Hadiah
Yang Terlewat
Malam
itu bagaikan tiada rasa. Hanya gelap yang terbentang. Sama gelitanya dengan
fikiran Hafiya. Bukan mahu menutup segala deria, tetapi sememangnya dia tiada
daya untuk kembali membuka mata menikmati segala rasa.
Hakikat
yang Hafiya tidak sedari ialah betapa dia sudah mula dihargai dan disayangi
oleh insan yang sedang mendoakannya. Rizky mengusap ubun-ubun Hafiya dengan
penuh kasih sayang. Sesekali dia mengucup dahi wanita itu. Wanita yang terlalu
bermakna dalam hidupnya. Melihat mata Hafiya tertutup dengan nafas yang tidak
stabil, mengundang rasa sesal bertimpa-timpa. Sesak dadanya mengumpul rasa
terkilan yang menggunung.
Hafiya
keliru, dia hilang fokus. Yang terhidang di fikirannya adalah kisah lampau.
Kisah bunga indah yang dibaja hingga mekar mengharum, kemudian diracun layu
menunggu mati. Hafiya tidak mengerti. Sungguh dia tidak faham mengapa perbuatan
itu sanggup dilakukan oleh orang yang sama. Yang paling dia percaya. Yang
diberi amanah paling besar untuk menjaga dan membimbingnya hingga ke jannah. Mengapa
sebelum pergi meninggalkannya Rashid takut untuk berterus terang? Semua yang
tersorok akan terbongkar akhirnya. Dan akibatnya Hafiya yang terpaksa menanggung.
Berulang
kali Rizky memohon keampunan daripada Mama atas musibah yang menimpa Hafiya.
Bukan Rizky yang melakukan onar tetapi dialah punca malang itu datang. Mama
sudah faham kronologi yang membawa pada kemalangan yang menimpa Hafiya. Secara
teknikalnya ia berlaku seperti tidak sengaja dan tersalah orang. Namun, jika
mengetahui kisah dari awal, pasti dapat meneka ia bukanlah sebuah kemalangan.
Ia bagaikan sebuah rancangan jahat yang mahu menganiaya anaknya Rizky. Tetapi
Hafiya yang menjadi kambing hitam hingga menjadi mangsa.
Ya,
sasarannya adalah Rizky. Semua menyangka Hafiya tidak mengerti apa-apa. Dia
adalah mangsa yang tersalah sasar. Yang berada di tempat dan waktu yang salah. Hakikatnya
Hafiya tahu banyak perkara. Dia rela menjadi penyelamat kerana baginya
nyawa Rizki lebih berharga. Selama ini
dia sering menjadi pari-pari pelindung pada anak kandungnya itu. Anak kandung
yang hanya dia dan Tuhan saja yang mengiktiraf, sedang masyarakat tidak pernah
mahu menerima. Biarpun Rizky pernah acapkali menyangkal dan was-was, Mama hanya
diam dan tersenyum puas. Timbul kelegaan di hatinya setiap kali Rizky mengenepi
dan menidakkan hak Hafiya. Sedang Hafiya sudah puas terluka, tiada pengharapan
yang tinggi, yang tinggal bersisa dalam diri hanyalah ikatan darah dan doa dari
seorang ibu yang terpinggir.
Rizky
bukan anak haram, dia anak yang sah taraf. Zuriat yang lahir dari ikatan yang
suci. Hafiya ada kekhilafannya. Waktu itu dia masih muda bergetah. Nekad
mengahwini suami orang di Siam mengundang padah apabila perkahwinan yang sah
itu tidak didaftarkan di pejabat agama di negara ini. Itu silap awal yang
membawa padah besar dalam hidupnya. Beberapa bulan selepas itu dia
mengandungkan Rizky.
Bimbang
akan taraf anaknya yang bakal lahir, Hafiya mendesak untuk sama-sama mendaftarkan
pernikahan mereka di sini. Kelesaan hidup bersama isteri pertama tidak
menjadikan permintaan Hafiya sebagai sesuatu keperluan yang mesti dipenuhi
dengan segera. Rashid berjanji akan mendaftarkan pernikahan mereka sebaik
sahaja dia berjaya memberitahu Zainab tentang berita besar itu. Rashid mahu
jadi suami yang adil, tetapi dia perlukan masa untuk mencapai hasrat itu.
Malang
datang tanpa diduga, Rashid meninggal dunia akibat kemalangan jalanraya. Ketika
itu barulah terbongkar kisah pernikahan kedua antara Allahyarham Rashid dengan
Hafiya. Ketika di mana kemelut belum lagi terungkai, ketika di mana Rashid
belum mampu berterus terang dengan Zainab. Rashid pergi di saat segalanya masih tergantung.
Zainab
terkesima, tidak mampu menerima berita itu dengan berlapang dada. Kehilangan
suami tercinta sudah cukup pahit untuk ditelan. Bagaimana dia mampu menghadam
satu lagi masalah besar. Dimadukan tanpa pengetahuannya sudah cukup memilukan.
Betapa remuknya perasaan ketika itu. Dia sendiri tidak sedar bagaimana suami
sebaik Rashid berjaya menipunya sekian lama.
Lama
dia memujuk hati sendiri untuk redha dengan ketentuan Ilahi. Atas naluri kewanitaannya,
akhirnya dia mampu melembutkan hati apabila Hafiya tidak berputus asa memohon
maaf, berulang kali. Bukan kerana jemu atau rimas tetapi dia kasihan melihat
perut Hafiya yang sarat memboyot mengandungkan zuriat Allahyarham Rashid. Mungkin
itulah alasannya mengapa Rashid memadukannya tanpa izin. Kerana mahukan zuriat
tapi dalam waktu yang sama Rashid tidak mahu melukakan perasaan Zainab yang
telah dinikahi sekian lama.
Akhirnya
Zainab dan Hafiya berbaik. Demi masa depan Hafiya dan anaknya, Zainab meminta
izin untuk menjaga anak yang bakal lahir itu. Itu benih Allahyarham Rashid, Zainab
mahu membelanya. Selama ini pelbagai usaha dan kaedah perubatan telah
dilakukan, tetapi tiada juga rezeki untuk mereka memperoleh cahayamata. Namun,
bantuan Zainab bersyarat.
Status
Hafiya yang tidak berdaftar secara sah sebagai isteri Rashid memaksanya untuk
memikirkan permintaan Zainab. Zainab berniat untuk membantu anaknya demi masa
depan anak itu sendiri. Hafiya boleh memulakan hidup baru selepas itu sebagai
wanita bujang. Tambahan pula, tiada bukti dia pernah berkahwin di negara ini.
Selepas
anak itu lahir, Zainab menyusukannya untuk meyelesaikan masalah mahram. Dia
begitu komited mengambil khasiat tambahan dan pil yang perlu demi merangsang
pengeluaran susu untuk bayi yang baru lahir itu. Hafiya hanya sempat menyusukan
anaknya selama seminggu sahaja. Selepas itu secara sembunyi dan diam-diam
Zainab berpindah ke daerah lain yang jauh. Dia sengaja melakukan itu untuk
membolot Rizky hanya sebagai anaknya seorang. Ya, Rizky adalah milik mutlaknya.
Tidak perlu ada Hafiya. Cukuplah peranan Hafiya melahirkannya sahaja. Cukuplah!
Bagaikan
hilang akal Hafiya mencari Zainab ke sana ke mari. Mindanya menjadi tidak
stabil kerana ketika itu dia murung dan tertekan. Masih di dalam pantang, dia
berjalan merata-rata umpama orang gila. Dia tahu anaknya masih hidup, tetapi
kehilangan anak itu sama maknanya seperti mati. Baru dia tahu bagaimana rasanya
ibu kehilangan anak. Hilang separuh nafas, tiada lagi rasa bahagia.
Lama,
sangat lama Hafiya mengambil masa untuk kembali meneruskan kehidupan. Bukan
tiada yang cuba untuk melamarnya kerana
dia masih muda dan cantik. Tetapi, rasa itu sudah pudar. Kekuatannya
untuk terus hidup adalah untuk mencari anaknya yang dilarikan. Zainab berjanji
untuk membela anaknya bersama-sama, bukan menyingkirkannya begitu sahaja.
Hafiya hidup berpindah randah mencari Zainab.
Setelah
berbelas tahun mencari, akhirnya usahanya berjaya. Hafiya dapat menjejaki
Zainab dan Rizky. Anak itu sudah dewasa.
Ingin sahaja Hafiya menerpa dan mengakui bahawa dialah ibu kandungnya bila
melihat anak itu bersendirian. Tapi dia belum cukup kuat. Zainab hidup mewah,
sedangkan dia tidak punya apa-apa. Hafiya sentiasa dekat dengan anaknya. Cuma
Rizky sahaja tidak menyedari kewujudan dan kehadirannya. Hafiya menunggu masa
yang sesuai untuk mendekati anaknya itu.
Masa
berlalu pantas, usia Rizky kini sudah lebih 21 tahun, sedang mengikuti pengajian
di Universiti di utara tanahair. Sesuatu yang Zainab tidak tahu ialah Hafiya
lebih selalu dan sentiasa dekat dengan Rizky. Malah Hafiya turut mengikut Rizky
di universiti dengan bekerja sebagai tukang cuci. Dengan izin Allah, urusan
Hafiya dipermudahkan setiap kali dia memohon kerja. Hafiya insan teraniaya dan ditambah
pula dengan niatnya yang ikhlas untuk menjaga anaknya walaupun dari jauh. Dia 'ada'
ketika anak itu bersuka ria. Dia 'nampak' ketika anak itu berduka. Tetapi
paling buat dia terkilan ialah dia tidak boleh mendekati anak itu
sewenang-wenangnya. Melihat kelibat Zainab setiap kali dua beranak itu bertemu
mengundang rasa cemburu dan sesal. Terkilan kerana dia sendiri tidak dapat
menikmati rasa bahagia itu. Kecewa kerana dia sebagai ibu kandung tidak
berpeluang menyentuh apatah lagi membelai anak itu ketika anak itu kecil. Kini
Rizky sudah dewasa, mungkin sudah tiba masanya untuk dia muncul dalam hidup
anak itu.
Sesuatu
yang Zainab tidak tahu ialah sisi gelap Rizky. Anak itu hidup mewah hingga
asyik berseronok. Walau ada ilmu, namun jika rohani tidak diisi, dia akan mudah
alpa dan lalai. Hafiya tidak pernah putus doa supaya Allah melindungi anaknya.
Dia sedih dan bimbang melihat kehidupan Rizky yang hipokrit dan berpura-pura
bila di depan Zainab. Hidup bebasnya bersama
kawan-kawan sealiran langsung tidak dapat dihidu Zainab. Di mata Zainab,
Rizky anak yang baik, bijak dan menyejukkan hatinya.
Melihat
Rizky semakin liar, Hafiya mula gundah. Dia rasa bertanggungjawab untuk
membetulkan apa yang salah. Rizky masih muda, jiwanya belum kenal sepak
terajang kehidupan. Dia perlu belajar erti sebenar 'mana yang betul dan mana
yang salah'. Untuk itu, Hafiya perlu
tampil. Dia mahu dirinya wujud dalam hidup Rizky. Hafiya mahu mengisi ruang
kosong dalam jiwa Rizky. Dia mahu ada tempat di hati Rizky. Dia memang berhak, setelah
sekian lama dia memendam rasa mengalah.
Sememangnya
Hafiya baik dan mesra dengan sebilangan pelajar-pelajar di situ. Mereka begitu
menghormatinya kerana sifat Hafiya yang ramah dan baik hati. Nama Makcik Piah
Cleaner memang dikenali di kalangan pelajar. Tetapi malangnya Hafiya bagaikan
sukar untuk rapat dengan Rizky. Rizky bagaikan budak yang tidak perlukan orang
lain. Dia umpama tak perlukan apa-apa daripada sesiapa di situ. Dia hanya
membawa haluannya sendiri. Pelajarannya bagus tetapi dia tiada kawan rapat.
Sebaliknya dia berkawan dengan geng-geng motor di luar yang padanya lebih
memberi cabaran dan kepuasan. Itu yang paling Hafiya khuatiri. Hafiya perlu
berbuat sesuatu. Dia mesti membantu Rizky.
Dia
mula menampakkan dan mendekatkan diri dengan Rizky. Ditegurnya anak itu dengan
senyuman keibuan. Di mana ada Rizky, Hafiya akan muncul. Apabila ia terlalu
ketara, akhirnya Rizky perasan juga. Dia mula sedar kewujudan makcik cleaner
yang baik hati itu. Ketika membersihkan lobi hostel, Hafiya menawarkan diri
untuk membersihkan bilik Rizky. Walaupun sedar itu adalah tanggungjawab
peribadi Rizky, tetapi ketika itu hanya itu yang terlintas di fikiran Hafiya.
Asal saja boleh dekat dengan anak itu, dia rela mencuba.
Rizky
menolak dengan baik kerana tidak mahu dianggap mengambil kesempatan pada makcik
cleaner yang baik hati. Kerana gagal mendapat peluang itu, Hafiya nekad untuk
mengemas bilik anaknya yang bersepah dan merimaskan matanya itu, tanpa
pengetahuan Rizky.
Malam
itu Hafiya tersenyum sendirian sebelum tidur. Puas hatinya dapat memberi
keselesaan pada Rizky. Semua habuk telah dibersihkan. Tiada satu pun kertas
dibuang, dia hanya menyusunnya dengan teratur supaya tiada yang hilang.
Manakala Rizky pula pulang dengan hairan. Malam itu, walaupun dia tidur dengan
lebih selesa, tetapi timbul tanda tanya dalam diri. Dia tahu itu mesti 'kerja'
makcik cleaner yang banyak kali menawarkan diri untuk membantu mengemas
biliknya. Tetapi yang sarat di fikiran ialah KENAPA? PERLU KE?
Kerana
selesa biliknya dikemaskan, Rizky dengan sengaja tidak mengunci pintu biliknya
setiap kali keluar. Rizky berharap untuk terserempak dengan Hafiya. Namun ia
tidak berlaku. Setelah biliknya banyak kali dibersihkan, akhirnya Rizky
terpanggil untuk mencari makcik cleaner yang baik hati itu untuk berterima
kasih. Dia rasa PERLU untuk berjumpa depan-depan dengan Makcik Piah Cleaner.
"Makcik
Piah, saya tahu makcik yang selalu kemas dan bersihkan bilik saya, kan?"
Hafiya
diam, dia menjawab dengan senyuman dan anggukan lembut.
"Kenapa
Makcik Piah buat macam tu? Saya tak suruh pun. Saya taknak susahkan Makcik.
Lepas ni Makcik tak perlulah buat macam tu lagi". Kata Rizky
bersungguh-sungguh.
"Makcik
yang nak buat. Makcik ikhlas. Bilik kamu bersepah sangat makcik tengok. Kamu
tak suka ke bilik kamu bersih? Kamu marah makcik bersihkannya?" Soal
Hafiya lembut.
"Saya
suka, saya berterima kasih sangat. Saya hargai apa yang Makcik buat. Tapi,
lepas ni tak perlulah kot... biar saya bersihkan sendiri je".
"Kalau
macam tu, takpelah. Makcik mintak maaflah kalau buat kamu tak selesa".
Hafiya berlalu perlahan-lahan.
Rizky
mengikut dari belakang, dia tidak mahu buat orang tua itu berkecil hati.
Dipintasnya Hafiya lalu dihulurkannya tangan.
"Makcik,
saya Rizky. Muhammad Rizky bin Abdul Rashid. Saya minta maaf kalau buat makcik
kecil hati". Spontan dia cuba menyejukkan hati seorang wanita pencuci.
Hafiya
terharu untuk menyentuh anaknya. Rasa ingin memeluknya tetapi, semua itu perlu
dikawal. Ikatan darah antara mereka tidak diketahui umum. Ia pasti membawa
pandangan negatif jika Hafiya gagal mengawal emosi. Perlahan-lahan Hafiya
mengangkat tangannya, tetapi separuh jalan sahaja.
"Tangan
makcik kotor". Katanya.
Tanpa
diduga Rizky mengambil tangan kanannya lalu salam mencium tangan dengan selamba.
"Terima
kasih Makcik, saya hargai penat lelah Makcik". Katanya sambil tersenyum.
Hafiya tersenyum. Puas ditahannya airmata.
Setelah
Rizky berlalu cepat-cepat dia ke bilik air. Diberusnya lantai bilik air yang
telahpun bersih itu sambil menangis. Dia sangat bersyukur. Terlalu gembira dan
terharu. Akhirnya anak itu sendiri yang datang padanya. Biarlah dirinya hanya
dipandang sebagai perempuan tua tukang cuci, asal saja pandangan itu diiringi
dengan rasa hormat. Dia menangis semahunya. Tangisan gembira yang penuh
kesyukuran.
Sejak
daripada hari itu, Rizky sering menyapanya. Hafiya pula sudah berani untuk
membawa makanan yang dimasaknya untuk Rizky. Puas hatinya bila anak itu
menjamah makanan dari air tangannya. Setelah berbulan-bulan, mereka jadi
semakin rapat. Rizky selesa berbual dengan Hafiya. Dia menghormati Hafiya
bagaikan orang tuanya sendiri. Sesekali dia membantu Hafiya mengangkat
plastik-plastik sampah untuk dibuang. Tiada lagi istilah malu dan geli kerana
di situ semua pelajar menghormati Hafiya, tanpa mengira kedudukannya yang hanya
sebagai seorang tukang cuci. Hafiya memberanikan diri menasihati Rizky hati ke
hati. Dia tidak mahu anak itu hanyut dengan aktiviti malamnya.
"Kenapa
Rizky berkawan dengan budak-budak motor kat luar sana tu? Tak elok aktiviti tu.
Bahaya, buang masa dan tak berfaedah". Hafiya semakin berani memberi
nasihat.
"Hah?
Mana Makcik tahu? Makcik ni selalu intip saya, ye? Dalam ni bosanlah Makcik.
Kawan-kawan sini pun membosankan. Budak-budak motor tu bukan jahat pun. Adalah
yang merempit, tapi saya tak pernahlah sampai berlumba haram. Saya berkawan je
dengan dorang sebab saya ni penonton, selalu tengok dorang berlumba".
Teragak-agak Rizky menjawab.
"Rizky
jangan nak tipu Makcik,lah. Rizky pun pernah berlumba, kan? Mula-mula jadi
penonton, lepas tu berkawan. Bila dah jadi geng, kamu pun berlumba sama".
Bagaikan seorang ibu Hafiya membebel.
"Err...
Makcik jangan risaulah. Saya tak jahat pun. Saya berlumba untuk release tension
je, hilangkan stress belajar. Lagipun pelajaran saya cemerlang, kan?"
"Macam
mana kalau Rizky tertangkap? Apa akan jadi pada masa depan kamu? Kesian ibu
kamu, mesti dia kecewa. Dahlah Rizky, berhentilah melepak dengan mat-mat motor
tu. Kamu pelajar cemerlang, sayangnya kalau kamu terlibat dalam aktiviti tak
sihat macam tu".
"Makcik
ni macam mama saya pulak. Mama pun tak kata apa-apa".
"Sebab
mama kamu tak tahu dengan siapa kamu berkawan. Kalau mama kamu datang, biar
makcik beritahu dia aktiviti malam kamu".
"Makcik
ni dah tak bestlah. Suka hati sayalah nak buat apa. Tak payahlah nak kongkong
hidup saya. Makcik bukan sape-sape pun. Makcik bukannya mak saya. Tak payahlan
nak sibuk-sibuk ambik tahu hal tepi kain saya".
Rizky
berlalu dengan kemarahan yang masih meluap. Anak muda yang cepat panas. Pantang
ditegur, melenting mahu menang. Tak mengapalah, walau marah sehebat mana pun
dia sekarang, bila sudah surut marahnya, tentu dia akan memikirkan
nasihat-nasihat Hafiya. Biarlah masa membantu melembutkan hati anak muda itu.
Yang pasti Hafiya tidak pernah putus doa supaya Allah tunjuk jalan yang lurus pada
anaknya.
Sebenarnya
malam itu bukanlah seperti malam-malam yang biasa. Malam itu malam perlumbaan.
Perlumbaan berskala besar, di mana ganjarannya lebih besar daripada biasa. Wang
pertaruhan yang banyak jika dia menjadi pemenang. Satu kepuasan maksimum jika
dapat mengatasi pelumba yang lain. Prestasinya di arena lumba haram semakin
meningkat. Kini dia punya ramai penyokong dan mereka semua bertaruh untuk
kemenangannya. Mana mungkin dia dapat menarik diri di saat-saat akhir. Di saat
adrenalin menguasai diri, menjadikannya agresif dan bersemangat, ayat-ayat
Makcik Piah ternyata 'potong stim'. Di kala dia hampir berada di puncak
kegemilangan, ada pula orang tua yang menasihat supaya dia menghentikan semua
itu. Bukan mudah untuk mengecapi kemasyhuran. Populariti ini tidak datang
bergolek. Lama dia berusaha dengan sesekali kalah, cedera ringan, nyaris
ditahan dan macam-macam cabaran lagi. Setakat ini dia sangat bernasib baik,
terlepas dari tangkapan dan tidak pernah terjatuh hingga cedera teruk.
Jam
8 malam Rizky melangkah keluar. Di luar pagar di simpang jalan Hafiya sudah
sedia menunggu. Dia tahu malam itu Rizky ada perlumbaan besar. Dia tidak mahu
anak itu terlibat. Dengan apa cara sekalipun, dia mesti menggagalkan niat Rizky
untuk meneruskan aktivitinya.
Ketika
motor Rizky mula mahu memecut, Hafiya mendepa di tengah jalan. Melihat kelibat
Hafiya, Rizky mengawal pemanduannya kerana dia nyaris-nyaris sahaja mahu
terlanggar orang tua itu. Cepat-cepat dia berhenti dan mengheret tangan Hafiya
ke tepi jalan.
"Makcik
dah gila ke? Nak bunuh diri? Dah tu nak saya pulak yang dituduh jadi pembunuh
Makcik? Apa ni?" Rizky marah.
"Ummi...
panggil Ummi". Pantas dan lancar Hafiya menuturkannya, bagaikan satu
arahan.
"Hah?"
Rizky langsung tidak faham.
"Makcik
ni dah kenapa? Yang nak saya panggil Ummi pulak ni? Saya bukan anak
Makcik". Rizky membuka helmetnya tanda dia serius mahu mendengar alasan
Hafiya.
Hafiya,
ibu yang terdesak mahu menyelamatkan anaknya, tidak terfikir cara lebih lembut
untuk merungkai perkara sebesar itu. Perkara serius yang memerlukan dia
berterus terang dengan teliti sehingga dapat difahami oleh Rizky. Matlamatnya
dia mahu Rizky selamat. Rizky menafikan haknya untuk menasihat kerana dia
hanyalah seorang perempuan tua tukang cuci. Bagaimana pula reaksi Rizky jika
mengetahui bahawa perempuan tua tukang cuci ini adalah ibu kandung yang
melahirkannya ke dunia? Tentu responnya akan berbeza. Mungkin juga cakapnya
sebagai ibu lebih laku.
"Kenapa
Makcik nak saya panggil Ummi? Makcik ni siapa?" Soal Rizky bertubi-tubi.
"Sebab
ini Ummi, ibu kandung kamu. Ummi yang mengandungkan dan melahirkan kamu di
dunia ni 22 tahun yang lalu. Mama kamu tu madu Ummi, isteri pertama Arwah
Rashid. Ummi pula isteri kedua. Rashid meninggal dunia semasa Ummi
mengandungkan kamu. Selepas seminggu kamu dilahirkan, Zainab melarikan kamu
daripada Ummi. Percayalah".
"Hah?
Apa bukti makcik ni ibu kandung saya? Dan apa bukti mama tu cuma mak angkat
saya? Dalam surat beranak saya tertera nama mama Zainab sebagai ibu saya"
Soal
Rizky semakin keliru. Persoalan berat itu perlu disokong dengan bukti-bukti
kukuh. Mana mungkin dia dengan mudah diperbodohkan dengan kenyataan tanpa
sebarang bukti.
"Ummi
tiada bukti bertulis, tapi kalau nak bukti sahih, kita buat ujian DNA. Tengok,
siapa sebenarnya ibu kandung kamu".
_______________________________________________________________________
Malam
itu Rizky berlumba dengan cemerlang. Hafiya gagal menghalangnya. Ternyata
kemarahannya dilempiaskan pada perlumbaan itu dan dia berjaya mengatasi semua
pelumba. Bukan hadiah wang ringgit yang dia idamkan kerana dia sememangnya
tiada masalah kewangan. Mama memberi elaun yang berlebihan hingga dia mampu
upgrade motor ke fasa motor rempit berkuasa hebat.
Dia
bernasib baik lagi kerana masih terlepas dari ditangkap. 'Nasib baik' itu
sebenarnya adalah berkat doa dari dua orang ibu.
Perlumbaan
kali ini ada hadiah cikaro, tetapi dia tidak berlumba untuk itu. 'Dilepaskannya'
perempuan murah itu di rumahnya supaya hidupnya lebih bermaruah. Seperti biasa,
wang yang dimenanginya diletakkan di tabung
masjid. Dia hanya mahukan kepuasan memenangi perlumbaan, bukan
mengidamkan ganjaran hadiahnya. Dia tahu hukumnya, wang pertaruhan itu wang
haram. Sedikit pun dia tidak hadap itu semua.
Yang
bermain di fikirannya ketika itu ialah Makcik Piah. Jika benar dakwaan wanita
itu, bagaimana? Apa yang perlu dilakukan sekarang? Malam itu juga dia buat
kerja gila. Memecut ke Kuala Lumpur dengan motor sehelai sepinggang. Esok cuti,
tiada kelas. Dia mahukan kepastian. Mama tentu ada jawapannya. Jika Mama
berdolak dalih, dia akan buat ujian DNA Mama, dirinya dan Makcik Piah. Dia mahu
tahu asal usulnya. Dia perlu tahu susur galur keturunannya. Paling penting dia
mesti tahu adakah dia dibesarkan oleh ibu yang salah selama ini? Adakah dia
dibesarkan oleh seorang penculik?
Mama
terkejut dengan kepulangan Rizky secara tiba-tiba. Lebih mengejutkan lagi bila
tak semena-mena Rizky bertanyakannya soalan yang paling ditakuti.
"Betul
ke Mama ni ibu kandung Riz? Betul ke Arwah Papa ada isteri lain? Dan betul ke
Riz ni sebenarnya ialah anak kandung isteri kedua Arwah Papa?"
Jawapan
untuk semua soalan itu hanyalah satu; BETUL!
Tetapi,
wajarkah Zainab memberi jawapan tepat di saat dia belum bersedia? Sememangnya
untuk isu yang berat itu, dia tidak pernah bersedia. Tidak langsung membuat
sebarang persediaan untuk berhadapan dengan situasi itu. Sangkanya ia tak akan
berbangkit memandangkan perkara itu isu lama. Sudah lebih 20 tahun Rizky
menjadi anaknya. Miliknya seorang. Tetapi mengapa hari itu ia timbul kembali?
Adakah Hafiya telah menemui Rizky?
"Mama
satu-satunya ibu Riz. Dalam surat beranak Riz pun ada tercatat, kan? Papa tiada
isteri lain. Hanya Mama seorang sahaja isteri Arwah Papa. Dari mana Riz dapat
berita mengarut ni? Siapa yang bawak cerita?"
Dengan yakin Zainab membela diri. Dia berusaha
membetulkan keadaan. Dia tidak mahu emosi Rizky terganggu. Rupa-rupanya ada
sebab besar mengapa anak itu pulang dengan motosikal dari Pulau Pinang ke Kuala
Lumpur.
Hafiya
memang melampau! Perempuan perampas itu belum puas menyusahkan hidupnya. Jika
Hafiya ada di Pulau Pinang, Zainab mahu bersemuka dengannya. Cukuplah dia
memporak-perandakan hidup Zainab dahulu, jangan pula dia mahu melibatkan Rizky.
"Bagitau
Mama, siapa yang pandai-pandai buat cerita ni? Mama nak jumpa dengan orang
tu".
Rizky
diam. Dia lega dengan penjelasan Mama kerana selama dia hidup Mamalah tempat
dia bergantung. Mama menjaganya dengan penuh kasih sayang, mana mungkin Mama
seorang penculik. Namun, sebagai lelaki yang menghinjak dewasa, dia perlu
menyiasat perkara ini dalam-dalam. Dia tidak mahu Mama bersemuka dengan Makcik
Piah. Biar dia sendiri yang mencungkil dilema ini.
"Cepat
beritahu Mama, siapa dan dari mana Riz dapat cerita ni?" Desak Zainab.
"Takde
siapa yang beritahu. Riz dapat emel dari pengirim misteri, anonymous, Riz tak
kenal. Dia beri statement macam tu. Katanya Mama ni bukanlah ibu kandung Riz.
Sebenarnya Riz anak wanita lain iaitu isteri kedua Papa, yang Riz sendiri tak
tahu nama dia. Dalam emel tu takde mention nama isteri kedua Papa". Rizky
mereka cerita.
Rizky
tidak mahu melibatkan Hafiya. Pada pengamatannya Hafiya bukanlah ancaman.
Hafiya bukan orang jahat yang mahu merampasnya dari Mama. Lagipun Rizky sudah
dewasa, mana mungkin boleh direbut-rebutkan. Dia juga mahu menjaga hubungannya
dengan Mama. Mereka sangat rapat dan saling menjaga antara satu sama lain.
Mereka hanya ada sesama mereka. Rizky mahu merungkai kebenaran dalam diam.
"Kesian
anak Mama. Mesti penat sangat. Stress dengan emel rekaan mengarut tu, sampai
balik KL naik motor. Nanti balik sana naik flight ajelah. Penatlah nak naik
motor jauh-jauh. Motor tu kita hantar dengan KTM, ok tak?"
"Riz
nak balik esok, naik motor. Takpelah Mama, InSyaAllah selamat sampai".
"Laa...
tak penat ke?" Zainab ambil berat.
"Penatlah...
nak makan tak larat, nak mandi pun tak larat ni. Nak tidur dulu". Katanya
sambil kepalanya mendarat di pangkuan Zainab. Maka terlenalah dia di riba
mamanya hingga lebih sejam.
Zainab
mengusap ubun-ubun anaknya dengan kasih sayang. Tidak sanggup dia kehilangan
Rizky yang selama ini ditatang bagai minyak yang penuh. Rizkylah segalanya buat
Zainab. Dia sudah tiada sesiapa kecuali Rizky. Jika Hafiya mahu merampasnya
sekarang, boleh jadi gila Zainab dibuatnya. Tanpa disedari airmatanya mencurah
hingga menitis di dahi Rizky hingga anak itu terjaga.
"Kenapa
Mama sedih?" Soal Rizky.
"Mama
sedih sebab tak sanggup nak hadapi kalau ada pihak yang nak pisahkan kita. Mama
takut kalau Riz lari tinggalkan Mama. Mama dah takde siapa-siapa lagi sejak Arwah
Papa meninggal dunia. Mama cuma ada Riz saja".
"Riz
takkan tinggalkan Mama. Kalau Riz dah kahwin, dan ada anak, dah ada cucu pun
Riz akan bawa Mama tinggal dengan Riz
dan jaga Mama. Riz janji!"
"Kalau
Riz dah bercucu, Mama tentu dah ada dalam kubur". Kata Zainab tersenyum.
Lega
rasanya mendengar ungkapan janji dari seorang anak. Zainab bimbang jika kasih
sayangnya pada Rizky diracuni Hafiya. Melihat Mama kembali tersenyum, Rizky
puas hati. Dia tidak mahu Mama menitiskan airmata kerana dirinya. Dia sudah
masak bagaimana caranya untuk memujuk hati Mama jika Mama merajuk.
_______________________________________________________________________
Melepaskan
anak berjalan jauh memang membimbangkan. Panjang doa Zainab mengiringi
perjalanan Rizky. Dia mahu anaknya selamat. Selagi Rizky belum sampai, dia
tidak senang duduk. Petang itu, setelah Rizky menghubunginya menyatakan dia
sudah selamat sampai di hostel, barulah Zainab lalu untuk makan. Kembali mampu
tersenyum lega. Namun masih wujud kerisauan di sudut hatinya. Risau jika
tiba-tiba Hafiya muncul dalam hidup mereka. Zainab tidak sanggup!
Malam
itu Rizky tidak terus berehat. Walau badannya penat, tapi hatinya meronta mahu
berjumpa Hafiya. Dia mahu mencari rumah Hafiya, mahu bercakap hati ke hati
dengan wanita tua itu. Dia tidak mahu menunggu hingga esok kerana jika bertemu
di dalam universiti, mereka tidak boleh bercakap lama. Waktu itu Hafiya sedang
bekerja, Rizky tidak mahu mengganggu.
Setelah
puas mencari akhirnya Rizky terserempak dengan Hafiya di simpang jalan tempat
di mana Hafiya nyaris dilanggarnya dahulu. Nampaknya bukan dia sahaja yang
ingin bertemu Hafiya. Hafiya pun seperti menunggu kelibatnya.
"Makcik
carik saya ke?" Soal Rizky.
Hafiya
angguk.
"Saya
baru balik dari KL jumpa Mama. Rindulah!"
Hafiya
hanya tersenyum nipis. Dia mahu berkata-kata tapi zahirnya tak terucap.
"Makcik
dah makan?"
Hafiya
menggeleng lalu tunduk.
"Jom
kita pergi makan. Lepas tu nanti saya hantar makcik balik. Nah, helmet".
Bagaikan
orang mengantuk disorong bantal, Hafiya tidak mampu menolak. Malam itu mereka
makan bersama-sama. Makanan kegemaran Rizky rupanya ialah sotong. Sama seperti
makanan kegemarannya ketika mengandungkan Rizky dahulu. Mereka berbual tentang
diri masing-masing. Rizky menjawab setiap soalan yang diajukan Hafiya dan
begitu juga Hafiya. Bagaikan sesi suaikenal, dua beranak itu saling cuba
mengenali hati budi masing-masing.
Habis
makan, Rizky menghantar Hafiya pulang. Terserempak dengan jiran, Hafiya
memperkenalkan Rizky sebagai anak saudaranya.
"Ni
Ummi saya". Kata Rizky ketika bersalaman dengan jiran Hafiya.
Pengakuan
Rizky yang bersahaja itu sebenarnya amat menggembirakan hati Hafiya. Malam itu
mereka berbual panjang, hati ke hati. Hafiya menunjukkan gambar-gambar lama
pada Rizky. Gambar pernikahan Hafiya dan Arwah Rashid, gambar-gambar kenangan
mereka berdua hinggalah gambar Hafiya mengandung.
"Arwah
Papa kamu dulu suka ambil gambar. Ke mana-mana dia pergi dia akan membawa
kamera dan merakam gambar kenangan. Tapi gambar kamu tak ada, tak sempat nak
ambil sebab Papa dah meninggal sebelum kamu dilahirkan".
"Berapa
umur Makcik masa kahwin dengan Papa? Umur Makcik sekarang? Makcik jauh lebih
muda dari Mama saya".
"Masa
kahwin tu umur Ummi baru 19 tahun. Sekarang dah 42".
"Mama
saya sekarang dah 54 tahun. Masa dia lahirkan saya umurnya 32 tahun. Makcik
masih muda, lepas tu Makcik tak pernah berkahwin lain?"
"Tak
pernah. Sebab seluruh hidup, Ummi fokus untuk cari anak yang dirampas dari
Ummi. Ummi cari kamu, Rizky. Kamu anak kandung Ummi".
Hafiya
mula menangis. Tangisan gembira kerana anak yang dicari selama ini ada di depan
mata. Melihat Hafiya menangis, Rizky jadi serba salah. Memang dia boleh
mempercayai setiap ayat Hafiya kerana terlalu banyak kenangan dan bukti
bergambar bahawa beliau adalah isteri Arwah Papa. Tambahan pula di rumah, gambar
memang banyak tetapi tiada sekeping pun gambar Mama mengandung.
"Makcik,
untuk berlaku adil pada Makcik, Mama dan saya sendiri, saya setuju kita buat
ujian DNA. Masa balik rumah, saya ada ambil beberapa helai rambut Mama".
Tengahari esok, waktu makan kita ke pusat perubatan, ye. Saya sendiri buntu.
Saya rasa macam barang mainan bila direbut-rebutkan".
"Ummi
bukan nak rebut dan rampas Rizky dari Mama kamu. Ummi cuma nak menumpang kasih
pada anak kandung sendiri. Ummi tahu betapa sayangnya Mama kamu pada kamu sebab
kamu cukup segala-galanya. Kalau kamu hidup dengan Ummi, kamu hanya dapat kasih
sayang, Ummi tiada harta dan kemewahan untuk diberi".
Malam
itu mereka tidur lewat. Rizky terlena di
rumah Hafiya. Masuk waktu Subuh Hafiya menggerakkan tubuh Rizky mengejutkan dia
untuk mengerjakan solat.
"Rizky...
bangun nak. Rizki... bangun sayang. Dah subuh dah ni. Kita solat berjemaah,
Rizky imamkan Ummi. Bangunlah, nak".
Lembut
sahaja Hafiya mengejutkannya. Samalah macam Mama. Tapi Mama hanya kejutkan
Rizky ketika matahari dah terpacak. Dia biarkan Rizky tidur puas-puas.
"Rizky...
bangunlah kita solat subuh sama-sama. Bangunlah nak".
Setelah
hampir 15 minit berusaha, akhirnya barulah Rizky terjaga. Baru dia teringat dia
tertidur di rumah Makcik Piah.
"Makcik
jela yang sembahyang. Saya tak confidentlah nak jadi imam. Nanti nak pergi
kerja Makcik kejutkan saya, ye".
Rizky kembali menarik selimut setelah menggeliat. Malas rasanya untuk sembahyang subuh. Mama tak pernah paksa pun.
Rizky kembali menarik selimut setelah menggeliat. Malas rasanya untuk sembahyang subuh. Mama tak pernah paksa pun.
"Tak
boleh, nak. Bab solat ni, Ummi tak boleh nak berlembut. Rizky kena bangun
jugak. Kena solat. Kalau tak, Ummi siram dengan air".
Hafiya
menarik tangan Rizky. Diambilnya semangkuk air lalu dipercikkannya sedikit di
muka Rizky. Anak itu liat untuk solat subuh. Tak diajar dari kecil agaknya.
Rizky menutup mukanya dengan selimut.
"Ala....
jangan kacaulah, orang ngantuk ni.
Penatlah semalam bawak motor dari KL". Bagaikan anak kecil dia merengek.
"Iya,
Ummi tahu Rizky penat. Tapi solat tak boleh tinggal. Bangunlah, nak. Bangunlah
sayang".
Setelah
setengah jam berusaha mengejutkan Rizky akhirnya dia membuka mata. Bangun
secara paksaan, menghentak-hentak kaki ke bilik air tanda protes dan tak rela.
Pintu bilik air pun bagai nak roboh dihempaskannya. Terkejut Hafiya dengan
tingkahlaku Rizky. Barangkali anak ini terlalu dimanjai hinggakan dia membentak
bila diganggu tidurnya. Kenapalah Kak Zainab memanjakan anak hingga budak ini
rosak, tak jaga solat. Hafiya nekad mahu membentuk Rizky jadi lelaki budiman
yang soleh.
Usai
solat, mereka bersalaman. Rizky mencium tangan Hafiya, dengan perasaan yang
sedikit kekok. Tapi jiwanya tenang bila Hafiya membalasnya dengan senyuman.
"Susahnya
nak kejutkan anak Ummi ni bangun solat subuh. Kat hostel tak buat ke?"
Soal Hafiya.
"Kadang-kadang
je". Akui Rizky jujur.
"Makcik...
Riz lapar".
"Ummi
dah buat sarapan dah tadi. Ummi masak nasi lemak sambal sotong".
Berselera
Rizky menikmati masakan Hafiya. Dia sudah bersedia dan rasa selesa dengan Hafiya.
Walau kelak ujian DNA membuktikan Hafiya bukanlah ibu kandungnya sekalipun, dia
rela berkongsi kasih.
Kerana
apa yang lebih hebat dari disayangi oleh dua orang ibu? Dia patut bersyukur
bila diri dikasihi.
Sedikit
demi sedikit Hafiya dapat membaca perangai Rizky. Anak ini nampak keras dan
sukakan kebebasan, tapi sebenarnya dia anak yang baik dan hormatkan orang tua.
Mungkin kasih sayang Kak Zainab yang berlebihan memanjakan hingga Rizky
sentiasa mahu menang dan mendapatkan segala kehendaknya. Itu bukan cara Hafiya.
Bab makan boleh diikutkan, bab perangai banyak yang perlu diperbaiki. Tak
mengapa, perlahan-lahanlah. Ummi akan bantu Rizky jadi hamba Allah yang soleh,
ye sayang. Perlahan-lahanlah.
"Lepas
ni malam-malam Rizky tak payahlah keluar dengan geng rempit kamu tu lagi ye.
Ummi takutlah kalau kamu kemalangan ke, kena tangkap polis ke".
"Tu
kawan-kawan Riz. Makcik tak bolehlah nak halang Riz berkawan dan berjumpa
dengan dorang. Tengahari ni kita pergi Pusat Perubatan, ingat ye. Kalau Makcik bukan darah daging Riz, Riz
balik KL dan kita takkan jumpa lagi sampai bila-bila".
"Kalau
Ummi terbukti ibu kandung Riz, macam mana? Sanggup tinggal dengan Ummi dan tak
balik KL lagi?"
"Taklah...
walau apapun keputusannya nanti, Mama tak perlu tahu. Riz tetap akan sayang
Mama macam biasa, sebab Mama yang besarkan Riz, kan? Makcik dapatlah balik anak
Makcik yang hilang tu. Kalau Riz ni betul anak Makcik, malanglah nasib Makcik
sebab Riz ni perangai buruk, cepat marah, tak suka dikongkong dan degil"
"Yang
negatif tu semuanya sebab Riz ni manja sangat!"
"Mana
ada!"
"Ya!
Sebab Riz sentiasa je dapat apa yang Riz mahukan. Riz tak pernah hidup susah,
semuanya cukup dan berlebih. Ummi kejut solat subuh pun Riz marah-marah.
Kalaulah Kak Zainab tahu pasal Riz lumba haram..."
"Kalau
Makcik pecah rahsia, Riz taknak datang sini sampai bila-bila. Riz tukar belajar
di KL tinggal dengan Mama".
"Ummi
nak kita buat perjanjian... kalau terbukti Riz ni anak kandung Ummi, Ummi nak
Riz hentikan serta merta aktiviti Riz dengan mat-mat rempit semua. Kalau tak,
Riz bebas buat apa yang Riz suka".
"Mana
boleh macam tu. Tak adillah!" Sekali lagi Rizky memprotes.
"Baiklah,
takde apa-apa perjanjian dan syarat. Kita buat ujian dulu. Lepas tu kita tengok
keputusannya".
2 minggu kemudian
Keputusan
ujian telah berada di tangan Rizky. Mereka membukanya bersama-sama di hadapan
pegawai perubatan. Ternyata Rizky merupakan anak kandung Nur Hafiya binti Abdul
Aziz.
Malam
itu buat kali keduanya Rizky bermalam di rumah Hafiya. Esoknya cuti, jadi
mereka ada hari yang panjang untuk diisi bersama. Mereka solat marghrib
berjemaah dan Rizky rasa semakin selesa. Ketika bersalaman mengucup tangan
Hafiya, kali ini rasanya berbeza. Rasanya lebih sayu. Sekian lama dia menyangka
Mama adalah ibu kandungnya, rupanya ia hanya anggapan semata. Sekarang dia tahu
siapa sebenarnya perampas. Tapi, Rizky sayangkan Mama, walaupun terkilan ditipu
Mama seumur hidupnya, dia mula dapat menerima takdir. Tambahan pula Hafiya bukan
mahu membolotnya, dia bebas ke mana-mana sahaja
termasuk pulang ke rumah Mama. Hafiya cuma mahu berkongsi kasih.
"Ummi,
ampunkan Riz. Selama ni Riz tak tahu Ummi ibu kandung Riz".
Terharu
dan terlalu gembira mendengar luahan anak kandung yang buat julung kalinya
memanggilnya Ummi. Terlalu rindu rasanya untuk mendengar kalimah itu. Akhirnya
doanya dimakbulkan Allah. Anak yang hilang lebih 20 tahun, berada di
pangkuannya. Itulah hadiah paling istimewa sepanjang hayatnya.
"Ummi
nak jaga Riz, selagi ada peluang. Ummi tak pernah berhenti doakan Riz sepanjang
hidup Riz. Tolong beri Ummi peluang jadi ibu Riz".
Hafiya
mengucup dahi anaknya dan mendakapnya erat. Tangisan gembira berlagu di hening
senja. Rizky mencium pipi Hafiya kiri dan kanan. Itu syurganya. Dia mahu
menyayangi wanita itu sepenuh hati. Walau sudah terlambat, dia bersyukur kerana
masih sempat menghadiahkan kucupan kasih sayang buat ibu kandungnya.
Tiba-tiba...
semuanya gelap! Teriakan dan tangisan yang kedengaran. Keadaan jadi kecoh dan hingar
seketika. Jiran tertangga datang menerpa, memberi bantuan apa yang perlu. Rizky
terkesima dan trauma. Apa semua ni?
Dari
mana datangnya peluru sesat ini?
Ummi!!!
Ummi
ditembak tepat di rusuk kiri dan kakinya. Apa salah Ummi? Angkara siapakah?
Ummi
dikejarkan ke Hospital berhampiran. Masih trauma dengan kejadian tembakan tak
semena-mena itu, pihak polis menghubungi Zainab sebagai ibu Rizky.
"Mama...
Mama datanglah... Riz perlukan Mama..."
Hanya
itu yang dapat diluah menerusi talian. Pagi berikutnya Zainab tiba di Pulau
Pinang menaiki penerbangan awal pagi. Sesuatu yang tak disangka-sangka. Baju
Rizky berlumuran darah. Mujurlah itu bukan darahnya. Lebih mengejutkan lagi
apabila mengetahui mangsa kejadian tembakan itu adalah Hafiya.
"Ummi
kena tembak. Ummi kena tembak..."
Dalam
esakan Rizky menerangkan pada Mamanya. Zainab memeluk dan cuba menenangkan
Rizky. Anak itu trauma dan terkejut. Hakikatnya Zainab lebih terkejut lagi.
Sejak bila Hafiya bertemu Rizky sehingga anaknya itu memanggilnya Ummi.
Tangisan Rizky membuktikan betapa rapatnya ikatan antara mereka. Ini salah!
Bukan begini yang sepatutnya terjadi. Tetapi, siapa yang menembak Hafiya? Walau
Zainab rasa terancam dengan kemunculan Hafiya, tidaklah sampai ingin membunuh.
Pihak
polis memulakan siasatan. Maka terbongkarlah satu persatu aktiviti dan kegiatan
Rizky. Semuanya bermula pada hari kemenangan Rizky dalam perlumbaan. Kornologinya
dirungkai satu persatu.
-
Pada malam kemenangan itu, Rizky mendapat hadiah 2 bungkusan wang taruhan.
-
Salah satunya dicuri oleh cikaro [namanya Syakila]. Rizky tidak tahu menahu
tentang bungkusan yang satu lagi kerana wang
kemenangan yang diterimanya sudah cukup lumayan.
-
Sebenarnya bungkusan yang satu lagi ialah bungkusan yang salah. Tony, ketua
pertaruhan tersilap dan tertukar bungkusan wang itu dengan dadah padat jenis
Bath Salt, dadah baru yang amat bahaya. Nilainya mencecah ratusan ribu ringgit.
-
Syakila juga tidak tahu kerana dia berniat untuk mencuri wang bukan dadah.
-
Apabila sampai di rumah dia mendapati dalam bungkusan itu adalah dadah dan
bukanlah duit, maka dia melupuskannya kerana takut terlibat. Dia membuangnya
dalam mangkuk tandas sedikit demi sedikit hingga habis lupus semuanya.
-
Ada saksi, konco Tony yang ternampak Syakila memegang bungkusan itu, kerana
bentuk bungkusan itu agak berbeza daripada bungkusan wang kemenangan yang
dipegang Rizky.
-
Syakila diburu dan untuk melepaskan diri, dia menyatakan dia telah
mengembalikan semula bungkusan itu pada Rizky dan Rizky telah melupuskannya.
Rizky yang membuang dadah itu ke dalam tandas hingga habis.
-
Rizky tidak pernah sedar dirinya dalam buruan dan menjalani hidup seperti
biasa. Di Universiti konco Tony gagal menyelinap, maka bila Rizky bermalam di
rumah Hafiya, peluang mereka untuk memburu Rizki terbuka luas.
-
Malam itu cubaan menghapuskan Rizky gagal kerana tembakan terkena pada Hafiya
yang ketika itu sedang mendakap anaknya.
Sesalan
tidak terhingga menerpa. Rizky tidak tahu risiko dia bercampur dengan orang-orang
kongsi gelap seperti Tony. Rizky hanya pelumba yang mahukan kepuasan. Dia tidak
pernah terlibat dengan dadah apatah lagi sindiket pengedaran dadah secara
besar-besaran. Malah dia langsung tidak pernah mengambil tahu latar belakang
Tony. Yang dia tahu Tony merupakan ketua yang menguruskan pertaruhan setiap
kali ada perlumbaan besar.
Saat
itu barulah Rizky faham dia sebenarnya terlibat dalam kancah perlumbaan haram
yang bukan hanya setakat berlumba. Baru dia sedar betapa bahaya nyawanya
melibatkan diri dengan orang-orang seperti Tony.
"Riz
tak jahat Mama... Riz minta maaf. Riz tak tahu menahu pun pasal dadah tu... Riz
menyesal sebab tak dengar nasihat Ummi".
Hasil
siasatan polis mendapati Riz tidak bersalah dan tiada kaitan dengan kesalahan
memiliki dadah. Syakila ditangkap dan mengaku bersalah kerana meletakkan
kesalahan melupuskan dadah itu di bahu Rizky hingga Tony memburu Rizky. Syakila
diletakkan di bawah pengawasan polis kerana dia bukanlah pemilik dan pengedar
dadah itu. Kes ini merupakan kes tersalah suspek dan membunuh mangsa yang salah.
Rizky bukanlah orang yang patut diburu kerana dia langsung tidak tahu dan tidak
mengambil bungkusan itu dari mula lagi. Lebih malang lagi, tembakan itu
mengenai Hafiya, ibu kandung yang baru sahaja ditemui.
"Mama,
kalau Ummi selamat, Mama terima dia dalam hidup kita ya?"
"Dari
dulu sampai sekarang dia tetap perampas! Mama tak redha dia rampas Rizky dari
Mama".
"Cuba
Mama fikir dengan waras, dulu dalam hal Arwah Papa mungkin Ummi memang
perampas. Tapi dalam hal Riz, siapa yang sebenarnya perampas? Siapa yang rampas
hak siapa Mama?"
Zainab
terkedu mendengar luahan Rizky. Ada benarnya kenyataan itu. Sekarang dia sama
sahaja dengan Hafiya. Dulu Hafiya merampas haknya. Tapi selepas itu dia pula
yang merampas Rizky yang sebenarnya hak Hafiya.
"Mama
taknak kehilangan Riz. Riz kena pilih antara Mama dan perempuan tu".
"Mama,
kalau Mama nak confront, ini bukan masanya. Ummi sedang bertarung nyawa
sekarang. Ummi selamatkan nyawa Riz. Sepatutnya Riz yang kena tembakan tu, tapi
Ummi yang jadi mangsa. Tak cukup lagi ke pengorbanan Ummi selama ni? Mama culik
Riz dan bela Riz sampai Riz percaya Mama adalah ibu kandung Riz. Sampai Riz
sayang pada Mama. Tapi Ummi syurga Riz. Mama pula nyawa Riz. Riz tak boleh nak
pilih antara keduanya sebab Riz perlukan dua-dua sekali. Riz perlukan Mama sama
macam Riz perlukan Ummi. Tak boleh ke Mama kongsi Riz dengan Ummi? Kalau tak
boleh, biar Riz pergi serah diri pada Tony".
Beberapa
jam Zainab dan Rizky tidak bercakap. Mereka saling berfikir dan memberi ruang pada
diri masing-masing. Ya, Rizky pernah menyangkal dan was-was dengan dakwaan
Hafiya. Tetapi di saat dia mula menerima hakikat dan mula menyayangi, kebahagiaan
itu disentap dengan keras. Dia tidak mahu kehilangan Hafiya. Terlalu singkat tempoh
perkenalan mereka. Masih banyak lagi yang mahu dinikmati bersama.
Ummi,
jangan pergi dulu. Ya Allah, aku mahu terus bersama Ummi. Izinkanlah aku
bersama Ummi. Izinkanlah Ummi kembali sihat. Izinkanlah Mama menerima kehadiran
Ummi.
_______________________________________________________________________
Dua
hari selepas Hafiya ditembak, Tony ditahan. Namun masih terdapat konco-konconya
yang berjaya meloloskan diri. Merasakan dirinya telah bebas dan selamat, Rizky
mengikut Mamanya kembali ke hotel. Segalanya berjalan pantas, dalam beberapa
saat, Rizky ditembak dari jarak jauh, tidak tahu oleh siapa. Mungkin orang-orang
Tony.
Rizky
dan Hafiya sama-sama bertarung nyawa. Umpama ingin berkongsi rasa, Rizky
mengikut jejak ibu kandungnya ke alam koma. Mereka sama-sama berjuang untuk
terus hidup. Namun janji Allah tidak pernah mungkir. Tidak sesaat pun terlewat
jika sudah tertulis di Luh Mahfuz. Akhirnya doa Rizky supaya mereka dapat
bersama termakbul. Mereka meninggal dunia pada hari yang sama.
Tiada
apa yang lebih dikesalkan oleh Zainab melainkan kehilangan anak kesayangan. Zainab
menyesal kerana tidak tahu aktiviti haram anaknya, dengan siapa dia bergaul dan
bagaimana kehidupannya bila mereka berjauhan.
Namun,
Zainab lega kerana sempat memberi jawapan pada Rizky bahawa dia sanggup
menerima Hafiya sekiranya Hafiya selamat. Kerana itu Rizky kembali berbaik
dengannya. Sedih Zainab datang bertimpa apabila menjumpai keputusan ujian DNA
yang membuktikan bahawa Rizky adalah anak kandung Hafiya. Itu hakikat yang selama
ini cuba diselindungi. Allah Maha Mengetahui. Akhirnya Dia ambil Rizky kerana
Dia paling berhak. Nikmat duniawi andai tidak disyukuri, dibajai dengan sifat tamak dan rasa tidak cukup, bila-bila masa Allah boleh tarik balik.
Kini
semuanya tinggal kenangan. Insan yang direbut-rebutkan kembali pada yang Maha Pencipta.
-
Tamat -
No comments:
Post a Comment