BAB 2
Persis model, tubuh langsing Rozita melintuk liuk
melintasi jalan yang tidak sesibuk mana itu. Dia mengawal setiap langkah,
kerana tahu banyak mata yang memandang. Dia sedar betapa dia sering menjadi
perhatian. Seksinya menggiurkan. Langkahnya penuh keyakinan. Gayanya mengalahkan primadona. Anggun dan menyerlah!
Terlalu ramai pemuda yang ingin rapat. Semuanya dilayan mesra tetapi tiada satupun
yang bertakhta di hatinya. Sekadar teman
gelak tawa, dia tidak mahu komited membina apa-apa hubungan kerana
pemuda-pemuda itu semuanya tidak berguna. Tiada masa depan. Hanya suka melepak
dan merokok. Walau mahu keseronokan berkawan, namun Rozita juga ada citarasa
yang tinggi untuk calon pasangan hidupnya. Dia mahu yang bekerja tetap, yang
kemas, bersih dan wangi. Jenis yang ayat manis dan muka sahaja kacak tetapi tidak
berduit, mana mampu menawan hatinya.
Berkenalan dan berkawan dengan Ayu yang bekerja di kedai
menjual majalah, telah mengubah kehidupannya. Ayu seorang gadis yang tidak
pandai bersosial. Dia pemalu dan baik hati. Kerana sering membelek-belek dan
mencuri membaca majalah hiburan secara percuma, Rozita beberapa kali ditegur
oleh taukeh kedai. Memahami naluri Rozita, suatu hari, Ayu menghulurkan majalah
kegemaran Rozita.
“Ambillah. Hadiah dari saya.
Nama saya Ayu. Awak?” “Saya Rozita”.
Mereka berjabat salam, dengan senyuman ikhlas. Sejujurnya, sebelum
itu Rozita tidak pernah perasan akan kewujudan Ayu. Ternyata detik itu
bermulalah sejarah mereka sebagai kawan baik yang membawa kepada termeterinya
ikatan sahabat sejati. Suatu hari, Ayu memperkenalkan sepupunya, Malek pada
Rozita. Malek yang bekerja sebagai pegawai di sebuah syarikat swasta ketika
itu, begitu menerujakan Rozita. Orangnya memiliki kerja tetap, berkereta
sendiri dan berpakaian kemas. Malangnya,
Malek tidak pula seperti lelaki-lelaki lain yang selama ini mengejar dan
tergila-gilakannya. Malek langsung tidak terpikat pada Rozita. Padanya Rozita
hanyalah gadis jalanan murahan yang berpakaian umpama jalang, untuk menarik
perhatian lelaki cetek akal demi mengambil kesempatan. Dia sudah ‘masak’ dengan
perangai gadis kampung yang terkena kejutan budaya. Rozita hanya salah seorang
daripada lambakan gadis-gadis pisau cukur yang menggunakan kecantikan sebagai
umpan untuk mencapai kemewahan.
Godaan demi godaan, akhirnya ia tidak mampu ditepis
lagi. Malek cair! Hubungan mereka kian serius hingga berjanji untuk sehidup
semati. Sesuatu yang Rozita tidak tahu, ibu bapa Malek ada rencana yang telah
dirancang beberapa tahun setelah kelahiran Malek. Sebelum Malek mencapai akil
baligh lagi rencana itu sudah diatur rapi. Walaupun mereka tahu hanya Tuhan
yang bakal menentukan, namun mereka tetap yakin membuat perancangan secara
terperinci. Mengetahui hubungan intim Malek dan Rozita bagaikan menikam mereka
daripada belakang. Malek diberi kata dua; sama ada memilih Rozita ataupun ibu
dan bapanya.
Walau perbuatan itu bersifat ortodoks, namun ia tetap
menjadi stigma dan amalan segelintir
keluarga. Tiada istilah bertolak ansur dalam kamus kehidupan mereka. Hanya pilihan
berkuasa veto yang menjadi sandaran untuk mencapai matlamat. Kata muktamad yang
tiada unsur-unsur muzakarah. Dilema Malek diluah pada Ayu. Atas simpati, Ayu
menasihatkan agar Rozita melupakan Malek.
Rozita bagaikan hilang arah. Dia menjadi keliru dan
tidak menentu. Ketika itu hatinya sudah tertutup untuk lelaki lain. Segala-galanya hanya untuk
Malek. Maleklah putera impian. Setelah percintaan mereka dibina kukuh,
tiba-tiba ada rekahan yang mampu meranapkan struktur binaannya secara
diam-diam. Malek pasrah. Dia tidak mahu menjadi anak derhaka. Atas percaturan
keluarga, Malek berkenalan dengan Fazilah, anak sahabat karib dan bekas jiran
mereka semasa di Sarawak dahulu.
Hakikatnya Malek masih kecil dan tidak ingat pada
keluarga Fazilah. Memorinya hanya mampu mengenang saat mereka tinggal di Kuala Lumpur sebelum dia
bersekolah lagi. Namun, tiada alasan untuk menidakkan perancangan ibu dan
bapanya. Tiada kompromi. Orang tua lebih arif. Mereka terlebih dahulu makan
garam, lebih tahu apa yang terbaik buat anak mereka. Itu alasan kukuh setiap
kali diperdebatkan. Tanpa terma dan syarat, Malek terpaksa menguburkan hasrat
hatinya untuk sehidup semati dengan Rozita. Tiada lagi nota-nota cinta. Tiada
lagi senyuman mesra. Yang tinggal hanyalah kisah luka.
Semuanya terlalu berat dan sukar untuk Rozita. Tetapi tidak
serumit mana bagi Malek. Malek lelaki berjiwa kental. Sedihnya hanya sebentar.
Rozita tidak mahu melepaskan Malek. Bukan setakat sayang yang terlalu dalam,
namun ia lebih dari jangkauan semua orang. Ayu juga tidak menduga. Rupanya kekecewaan Rozita memang hanya mampu
diubati oleh Malek. Rozita dan Malek sudah beberapa kali terlanjur. Atas tiket
‘cinta’, mereka hanyut dalam nafsu serakah, menurut hasutan syaitan. Terduduk
Ayu mendengar pengakuan Rozita yang ketika itu sedang mengandungkan zuriat
Malek.
Ketika pulang dari pejabat, Malek terkesima apabila
mendapati Rozita meraung merayu-rayu pada orang tuanya. Rozita menebalkan muka
datang ke situ untuk memohon agar membenarkan Malek bertanggungjawab atas benih
yang dikandungnya. Namun, usaha itu tidak berbaloi. Malek naik berang kerana
pengakuan Rozita bagaikan menconteng arang di muka keluarganya. Maruahnya
sebagai anak yang menjadi harapan keluarga, tercalar. Malek bukan sahaja tidak
mengakui perbuatannya, bahkan dia sendiri yang telah menghalau Rozita dengan
kata-kata kesat. Rozita pergi dengan segunung penghinaan. Hubungan yang
kononnya berjanji sehidup semati, ternoktah tanpa simpati.
“Ayu…”
Rozita menjerit meminta Ayu membela nasibnya. Namun Ayu hanya mampu
menangis tercegat di muka pintu. Ayu menyaksikan detik sayu itu. Ternyata,
cegat Ayu beriring simpati. Ayu masih ada sebagai pengubat lara. Dialah yang
menjaga kebajikan Rozita sepanjang Rozita sarat mengandung. Kerana tidak tahan
diumpat dan dipulau masyarakat, Rozita dibawa Ayu ke daerah lain. Di situ dia
terpaksa mengaku balu yang kehilangan suami, demi untuk menjaga maruah.
Setelah memujuk Malek, akhirnya Malek bersetuju untuk
mencarikan keluarga angkat untuk anak yang bakal dilahirkan. Malek sebenarnya
sudah tidak tahan dengan mulut Ayu yang asyik sahaja mengganggu hidupnya dengan
meminta dia bertangungjawab. Akhirnya dia terpaksa bersetuju untuk membuat Ayu
diam. Hakikatnya, dia tidak pernah berusaha mencarikan keluarga angkat untuk
bayi itu. Dia akan melakukan apa yang terbaik untuk kepentingan dirinya bila
tiba saatnya nanti.
Tanggal 8 Januari 1985, diiringi hujan renyai, lahirlah seorang bayi
di luar taraf di sebuah klinik swasta. Diikat pada kaki kiri bayi itu, benang
tebal yang dijahit nota bertulis:
MOHAMAD ADAM BIN ABDULLAH
DILAHIRKAN PADA 8 JANUARI
1985.
Nota itu menutupi satu tompok kehitaman, tanda lahir bayi itu yang terdapat
pada buku lali kaki kirinya.
Rozita yang mahu anak itu dinamakan sedemikian. Rozita hanya sempat
menyusukan sekali bayinya itu. Tidak sampai 2 jam, maka tibalah detik
perpisahan paling menyayat hati. Sembilan bulan anak itu berdenyut nadi di
dalam rahimnya, namun saat itu dia terpaksa melepaskan. Dicium, didakap dan
ditangisinya Adam sepuas hati. Perasaan keibuan yang bukan dibuat-buat. Rozita
terlalu sayangkan Adam, tetapi dia tahu nasib Adam lebih terjamin jika dibela
oleh keluarga angkat. Kelak hidup Adam lebih lengkap dengan kehadiran ibu dan
bapa. Rozita tidak mahu hidup anaknya terumbang ambing jika dia membela anak
itu sendiri memandangkan dia tidak bekerja ketika itu. Dia tidak mahu hidup
Adam merempat sepertinya.
“YA ALLAH YA TUHANKU… KAU LINDUNGILAH ANAKKU ADAM SENTIASA. KAU
LINDUNGILAH ADAM SENTIASA, YA ALLAH. LINDUNGILAH ADAM SENTIASA, YA ALLAH…”
Doa seorang ibu yang tidak tahu bakal nasib anaknya. Mulutnya hanya
menyebut doa itu sahaja berulang kali. Selagi matanya belum tertutup, Adam
tidak akan luput dari hatinya.
“Bila Abang Malek datang untuk mengambil Adam, aku mahu bertemu
dengannya”.
Pinta Rozita kepada Ayu.
Ayu menjadi serba
salah memandangkan Malek berkeras tidak mahu bertentang mata dengan Rozita. Ayu
memujuk agar Rozita redha dan bersabar menerima keadaan yang sedang mendesak.
Mana mungkin Ayu dapat memuaskan hati kedua-dua pihak di saat dia mahu
menyelamatkan Adam. Dia mahu kebajikan Adam dijaga dengan baik walaupun bukan
dari darah daging sendiri. Kemelut pertelingkahan Malek dan Rozita terlalu
remeh untuk dilayan semuanya ketika itu.
“Maaflah. Abang Malek nak cepat! Dia menunggu di luar”.
Balas Ayu, pantas. Adam beralih tangan ke pangkuan Ayu.
“Aku mahu Abang Malek azankan Adam. Tolong minta Abang Malek azankan
Mohamad Adam. Tolonglah!” Sayu tatkala mendengar rayuan Rozita pada Ayu.
“Baiklah, aku akan minta Abang Malek azankan anak ini”. Kata-kata
Ayu melegakan sedikit gusar di hati Rozita. Namun kesedihan melihat anaknya
berada di tangan orang lain, terlalu sukar untuk membuat dirinya berlagak
tenang.
Rozita meraung semasa tubuh kecil Adam dirangkul Ayu. Adam
yang dibedung kemas telah diserahkan kepada Malek. Ayu berpegang pada
janji-janji Malek yang mengatakan dia telahpun menguruskan pencarian keluarga
angkat untuk Adam. Apalah yang mampu dilakukan oleh gadis hingusan seperti Ayu.
Hanya mampu memberi sokongan moral pada sahabat baiknya, Rozita. Tidak tercapai
akalnya untuk mencarikan sendiri keluarga angkat untuk Adam kerana tidak mahu
menanggung risiko perkara berbangkit kelak. Keluarga itu pasti ingin tahu asal
usul bayi itu dan Ayu tidak mahu terlibat dalam sebuah konflik yang
panjang. Baginya, hal itu terlalu berat
untuk diuruskannya seorang diri.
“Tolong azankan anak ini. Ini permintaan Rozita. Lagipun memang
tanggungjawab Abang Malek ke atas bayi lelaki
ini”. Pinta Ayu berkali-kali. Malek hanya tersenyum sinis.
Beradanya Adam di tangan Malek, maka terleraikan sebuah
ikatan nan suci. Ikatan antara seorang ibu dan anak yang baru sahaja
dilahirkan. Seakan mengerti darah yang mengalir di tubuhnya, Adam berhenti merengek
tatkala dipegang Malek. Haba tubuh Malek
dirasakan umpama belaian. Disinari lampu-lampu jalan, malam yang basah itu
terus dihujani renyai. Alam seakan mengerti mengiringi bermulanya kisah pilu
seorang Adam.
Malek segera meninggalkan Ayu yang terkebil-kebil sambil
mengulangi minta anak itu diazankan. Malek hanya mengangguk untuk membuat Ayu
diam dan percaya. Sedangkan dia langsung tidak berminat untuk melafazkan
apa-apa kalimah Allah ketika itu. Tiada bisikan azan di telinga, tiada
pandangan mata yang ikhlas dengan kasih sayang terhadap anak itu. Yang wujud
hanyalah keazaman yang kukuh untuk menghapuskan
bukti-bukti perbuatan zinanya. Dia mahu maruahnya bersih, peribadi diri
dipandang tinggi tanpa kehadiran anak haramnya itu.
Malam itu syaitan
berkeliaran. Segelintir bertopengkan manusia. Ada yang berwajah Malek tapi bersifat
syaitan. Tanpa berfikir panjang, Malek menyusuri kawasan pembuangan sampah yang
berbau hanyir itu. Diletakkannya Adam di dalam kotak. Adam merengek minta
dibelai. Adam menggeletar disapa bayu malam nan dingin. Kulit nipisnya
merasakan bias kesejukan hingga ke tulang. Inilah rupanya kehidupan di dunia.
Berada sekian lama di rahim ibu dirasakan jauh lebih selesa dan selamat. Tidak
tahan dengan rasa dingin titisan hujan yang sakit menimpa kulit, rengekan manja
bertukar tangisan. Tatkala bayi itu menangis kerana kesejukan, dengan berang Malek
mendengus resah.
“Diamlah! Setan betullah budak ni!
Menyusahkan hidup aku saja!”
Mimik bengisnya melempiaskan rasa marah terhadap si kecil yang tidak
berdaya. Adam terus menangis minta dilindungi. Bertindak atas nama pembuli,
Malek menekup mulut Adam hingga anak itu tersedak-sedak kerana tersekat
nafasnya. Tangisan Adam kian nyaring mencetuskan rasa tercabar yang
membuak-buak di hati Malek. Marahnya hingga menjegilkan urat mata.
“Memekak betul! Kau mampos lagi baiklah!”
Malek mencucuh bayi itu dengan
puntung rokoknya yang menyala. Bertubi-tubi, tanpa belas! Aduh…sakit! Betapa
seksanya bayi itu. Bertambah nyaring tangisan Adam. Pedih bahunya, melecur
dicucuh bara api. Kesombongan Malek seakan membelakangkan Tuhan, maha pencipta
yang menetapkan setiap kelahiran. Amanah yang berada di tangannya bertukar
beban yang mengganggu hidup. Adam tidak pernah merayu minta dilahirkan sebagai
anak Malek. Kerana perbuatan terkutuk Malek, Adam muncul walaupun tanpa ikatan
suci yang diberkati. Anak itu tidak membawa palitan dosa kedua orang tuanya.
Adam bersih. Noda silam tetap terpahat di bahu sang pelaku iaitu Malek dan
Rozita.
Bosan dan gelisah dengan suara Adam melantunkan raungan,
Malek meletakkan kotak itu di atas timbunan sampah yang busuk lagi kotor. Memperlihatkan betapa dia menyamatarafkan anaknya dengan
bahan buangan yang tidak berharga. Malek mengharapkan agar Adam mati kesejukan
dan busuk menjadi bangkai tanpa dapat dikesan mana-mana pihak. Langsung tidak
terlintas di fikiran dewasanya untuk menebus kesilapan diri dek perbuatan
berzina. Malek mahu kisah nodanya bersama Rozita ternoktah muktamad. Tiada
perkara berbangkit yang mengganggu hidupnya lagi di masa akan datang.
Malaikat mencatat tanpa prajudis. Maha suci Allah tidak
akan menganiayai walau apa kejadian sekalipun. Seksaan ke atas Adam pasti
membawa hikmah daripada Ilahi. Anak itu diizinkan melihat dunia atas
kehendakNya. Maka Adam berada dalam pemeliharaan Allah yang melindungi anak
yang tidak berdaya itu. Malek terlalu keras! Dia hanya mahu lepas dari
tanggungjawab ke atas Rozita dan anak itu. Pedulikan dosa pahala! Asalkan dia
bebas dari dipertanggungjawabkan. Dosa berzina yang tidak terpikul ditambah pula
dengan niat membunuh bayi yang suci itu. Masyaallah! Dosa-dosa besar itu
pastinya bakal membungkam kehidupan. Entahkan bila tiba harinya, namun ia pasti
datang. Kerana Allah mengadili setiap sesuatu dengan saksama.
Kisah itu tertutup begitu sahaja. Bagi Malek, semuanya
beres! Selesai dengan jayanya. Beberapa minggu kemudian, berlangsung perkahwinan
Malek dan Fazilah. Malek membuka lembaran baru dalam hidupnya. Penghijrahannya
ke Sarawak turut membawa bersama arus
perubahan. Dia menetap di sana
selama 20 tahun. Akibat kegawatan ekonomi, Malek diberhentikan kerja. Malek
yang pada mulanya berniaga kecil-kecilan kemudiannya telah berjaya membuka
sebuah restoren.
Perjalanan hidupnya semakin lurus kerana Fazilah seorang
isteri solehah dan berlatar belakangkan keluarga yang warak. Setelah
mengerjakan umrah, dalam usia yang masih muda, Malek kemudiannya menunaikan
haji ke Makkah. Keperibadian Malek sangat dihormati. Dialah Tuan Haji yang sangat dermawan, baik
hati dan disayangi masyarakat. Itu di mata manusia yang menilai dengan
pandangan di permukaan sahaja. Sedangkan kualiti isinya hanya Tuhan yang maha
mengetahui. Persoalannya sekarang ialah;
wujudkah ketenangan hakiki di jiwa Tuan Haji Malek?
No comments:
Post a Comment