Wednesday, June 19, 2013

KERANA SEORANG ADAM [Bab 3]

BAB 3
Allahhu Akbar, Allahhu Akbar
Allahhu Akbar, Allahhu Akbar
Ashhadualla illahaillallah, Ashhadualla illahaillallah,
Ashhadu anna Muhammaddarrasullullah, Ashhadu anna Muhammaddarrasullullah,
Haiya a’lal solah, Haiya a’lal solah,
Haiya a’lal falah, Haiya a’lal falah,
Allahhu Akbar, Allahhu Akbar
Lailahaillallah.

Suara azan kerapkali berbisik merdu di telinganya. Adam keliru kerana dalam waktu yang sama ada wayang gambar yang berputar jelas mengisahkan sejarah hidup silam yang membawa kepada kelahirannya. Terasa seperti berada dalam dunia lain, walaupun aneh, tetapi semuanya kelihatan hidup. Seumur hidupnya Adam memang ingin tahu cerita sebenar. Kebenaran yang rupanya lebih pahit dari jadam. Allah memakbulkan hasrat hatinya, begitu terperinci kisah hidupnya dipaparkan.  Kebenaran yang datang telus dari Ilahi. Itulah pengisian status koma yang dialaminya. Denyut jantungnya bercelaru. Dia terlalu sedih bila dihidangkan imbauan kisah luka yang memedihkan. Walau sekujur tubuh lemahnya kaku, parah dipukul, namun luka di dalam hatinya jauh lebih kronik. Namun yang bermain di minda ialah siapa yang mengalunkan azan? Mengapa Adam mendengar bisikan itu berulang kali?


Hari Kelima.
Denyut nadi Adam tidak stabil. Dia lemas melayan kisah hitam itu hingga sesak nafasnya mengalun sendu di dalam hati. Perasaannya terlalu sayu. Dia ingin meronta dan meraung sekuat hati. Namun realitinya, semua itu bagaikan di alam lain. Doktor cemas. Lebih resah lagi ialah Haji Malek. Sudah 5 hari dia menemani Adam yang terlantar di wad itu. Dia tahu semua kisah. Dialah penyebab anak itu ditimpa musibah. Disingkapnya bahu Adam dan…Masyaallah…parut itu masih jelas di situ. Parut kesan cucuhan api rokok. Memang sah, itu adalah anak yang dilahirkan oleh Rozita 25 tahun dahulu.

“YA ALLAH… APA YANG TELAH AKU LAKUKAN YA ALLAH….
AKU TELAH BERNIAT UNTUK MEMBUNUHNYA… KERANA KAU,  ANAK INI MASIH DI SINI, YA ALLAH… TOLONGLAH YA ALLAH, KAU SELAMATKANLAH ANAKKU INI…”
Tangisan Haji Malek meruntunkan perasaan sesiapa sahaja yang mendengar.

“YA ALLAH… AKU BERTAUBAT YA ALLAH…AKU BERTAUBAT…”
Haji Malek menangis semahunya. Dia menadah tangan memohon kemaafan Ilahi.

“JANGAN KAU HUKUM ANAK INI, YA ALLAH…
ANAK INI TAK SALAH… AKULAH SYAITAN YANG MENGHANCURKAN HIDUPNYA…”

Sepanjang 5 hari di situ, Haji Malek langsung tidak mengambil tahu hal restorennya. Dia mahu menumpukan sepenuh perhatian buat Adam. Dia mahu membayar kembali dosa besarnya. Dia ingin menebus kesalahan dan kejahilannya yang membawa kepada penderitaan dua insan, Rozita dan Adam.

Walau telah menjejakkan kaki ke tanah suci, namun ketenangan yang dicari hanya ditemui bila dia menyentuh Adam dengan perasaan insaf. Haji Malek mahu memperbaiki kekusutan yang berserabut selama 25 tahun. Memanfaatkan setiap saat yang dimiliki untuk meleraikan kekusutan itu perlahan-lahan.

Hajah Fazilah semakin keliru. Dia marah tetapi sifat sabarnya masih tebal. Betapa dia curiga apabila suami yang terlalu baik tiba-tiba berubah menjadi lain. Terlalu berbeza watak yang ditonjolkan suaminya. Sangat sukar Hajah Fazilah untuk menerima kenyataan bahawa suaminya siang dan malam menjaga pemuda yang telah menumbuknya hingga berdarah bibir.

Haji Malek belum bersedia untuk menceritakan sisi gelap kehidupannya pada Hajah Fazilah. Perkara itu berlaku sebelum mereka berkahwin. Ketika darah mudanya mengalir panas. Berzina dan kemudian melepaskan tanggungjawab. Rozita yang berbadan dua dihalau dengan ayat-ayat penghinaan. Tanpa belas kasihan, dia telah mengkhianati janjinya pada Ayu yang menaruh kepercayaan untuk menyerahkan Adam pada keluarga angkat. Hakikatnya, Adam telah dizalimi. Tangisan anak itu dibalas dengan cucuhan api rokok.  Dibuang di tempat sampah dengan harapan anak itu mati dan mereput tanpa dapat dikesan sesiapa.

Ya Allah…apalah yang anak itu mampu lakukan ketika itu…?
Bayi itu terlalu lemah…
Sekadar menangis kerana merasa sakit.
Betapa seksanya dia ketika itu, Ya Allah…
Jika dibandingkan dengan satu tumbukan keras, ia langsung tidak setimpal.
Aku mampu melawan, aku lelaki dewasa yang kuat.
Ditumbuk begitu hanya sekali, aku telah menjerit meminta tolong…
Bagaimana dengan anak itu…?
Yang ketika itu belum terbuka matanya untuk melihat dunia…
Anak yang ketika itu sedang menahan kesakitan tali pusat yang masih luka…
Yang kesejukan ditimpa hujan  dengan hanya dibaluti kain bedung yang nipis…
Yang menjerit kesakitan dicucuh api rokok beberapa kali…
Yang bernafas di dalam kotak nan sempit…
Yang akhirnya kutinggalkan di dalam hujan di atas longgokan sampah yang busuk itu…
Ahhh… betapa kejamnya aku…
Zalim! Keji! Akulah menusia paling hina!
Ya Allah…ampunilah dosa hambaMu yang terlalu kotor ini…
Ya Allah, walaupun aku tidak layak diampuni, tapi tolonglah lindungi dan selamatkan anakku… Kau maha mengetahui setiap perbuatan silamku yang cuba ku sembunyikan.

Haji Malek bermuhasabah diri. Nur keinsafan mula terbit menyinari. Hatinya nan kelabu semakin putih dengan keihklasannya untuk memperbaiki kesilapan. Dia sedar bahawa Tuhan sedang menunjukkan akibat di atas kedurjanaannya 25 tahun dahulu. Tempoh yang agak lama untuk memendam kisah perbadi yang kini kian membusuk. Ia umpama bangkai yang cuba disorok. Baunya terlalu kuat hingga menusuk hidung semua orang. Dan semua itu terjadi adalah kerana perbuatan sadis seorang yang kini bergelar Tuan Haji… yang pada zahirnya dipandang mulia. Namun, hanya Tuhan yang tahu segala-galanya.

Allahhu Akbar, Allahhu Akbar
Allahhu Akbar, Allahhu Akbar
Ashhadualla illahaillallah, Ashhadualla illahaillallah,
Ashhadu anna Muhammaddarrasullullah, Ashhadu anna Muhammaddarrasullullah,
Haiya a’lal solah, Haiya a’lal solah,
Haiya a’lal falah, Haiya a’lal falah,
Allahhu Akbar, Allahhu Akbar
Lailahaillallah.

Terkumat kamit mulutnya membisikkan kalimah azan di telinga Adam. Perbuatan itu tidak jemu-jemu dilakukan dari hari pertama Adam terbujur di situ. Haji Malek tahu, di usia dewasa begitu, Adam telah sebati mendengar seruan azan, namun sebagai bapa, dia mahu Adam mendengar kalimah suci itu dari mulutnya sendiri. Permintaan Rozita yang diabaikan 25 tahun dahulu. Tuhan mendengar dan menilai. Haji Malek malu dengan perbuatannya, tetapi dia harus kembali berjalan di landasan yang betul.

Hajah Fazilah semakin buntu. Tidak tertanggung rasanya apabila terasa diabaikan. Syahid, anak tunggal mereka dipanggil pulang untuk membantu merungkai masalah. Syahid sedang menuntut di tahun kedua di sebuah universiti di utara tanahair. Mendengar cerita dari mulut ibunya, membuatkan Syahid naik darah. Dia tidak berpuas hati Adam masih koma. Padanya lebih baik jika Adam mati saja untuk menamatkan segala masalah  yang dibawanya.

            Syahid merasa terpukul apabila melihat Haji Malek berulangkali membisikkan azan di telinga Adam. Dia hairan kerana perbuatan pelik itu bertentangan dengan reaksi yang sepatutnya daripada Haji Malek yang telah dipukul oleh Adam.

“Tak payahlah ayah nak azan di telinga dia. Dia ni orang jahat! Kenapa tiba-tiba dia ni datang, ayah? Siapa si setan ni? Semua orang nampak setan ni yang pukul ayah. Tapi, kenapa ayah muliakan dia sangat sampai sanggup berumahtangga di sini, abaikan ibu, tinggalkan restoren, lupakan anak sendiri. Apa semua ni, ayah?”
Syahid tiba-tiba menyerang. Kata-katanya ternyata muncul dari budak pra matang. Membuat kesimpulan tanpa usul periksa.

“Tolong jangan panggil dia macam tu. Namanya Adam. Kamu sepatutnya memanggilnya Abang Adam”. Nada lembut Haji Malek menyejukkan sedikit emosi Syahid.
“Ibu kata dia ni pelanggan baru kita. Tapi kenapa sampai pukul-pukul ayah pula? Syahid tak fahamlah, ayah”.

“Kisahnya terlalu panjang. Puncanya dah terlampau lama berlaku, kira-kira 25 tahun dahulu. Tapi, akibatnya Allah tunjuk sekarang. Maka ayah perlu pikul dan bertanggungjawab untuk segala yang berpunca dari perbuatan ayah”.

“Syahid nak tahu, siapa lelaki ni… ayah ceritalah…”
Ketegangan tadi mulai kendur. Syahid duduk di sebelah ayahnya lalu memeluk bahu Haji Malek.

“Kamu terlalu mentah untuk mengetahui hakikat. Ayah takut kamu tak dapat menerima kenyataan”.

“Ayah cubalah cerita pada Syahid. Insyaallah, Syahid akan menilai dan menerimanya dengan hati yang terbuka”.

Petang itu Haji Malek meluahkan segala-galanya pada Syahid. Tiada sezarah pun yang disembunyikan. Walaupun dia malu dengan perbuatan sendiri, namun sisi hitam itu mampu memberi pengajaran paling berkesan pada Syahid. Detik itu Haji Malek tidak memandang Syahid sebagai anak remaja berusia 20 tahun. Tetapi dia memandang Syahid sebagai anak lelaki yang telah matang dan boleh dipercayai. Selama ini, Syahid dimanjakan dengan kasih sayang, menjadi tempat dia meluahkan rasa gembira. Kali ini, semuanya berbeza, dia mahu berkongsi duka dengan seseorang yang sangat disayanginya.

Syahid termenung seketika mendengar kisah silam yang tidak dapat diubah lagi. Langsung tidak terduga, Haji Malek yang berperawakan alim memiliki sejarah hidup yang sedemikian.  Perlahan-lahan Syahid seikhlas hati menyentuh Adam. Diselaknya baju di bahu Adam dan bersaksikan sinaran mata yang redup, dia menangis memandang tepat ke arah parut cucuhan rokok yang amat jelas.

“Inilah abang kamu, Adam”.
Haji Malek menangis memeluk Syahid. Syahid terlalu memahami. Dia menghayati setiap bait cerita hingga terbit penerimaan ikhlas di hati.

“Sekarang kamu nilailah sendiri, siapa sebenarnya ‘orang jahat’ dan ‘setan’?
Haji Malek meluah rasa dengan rendah hati.

“Maafkan Syahid, ayah…
Abang Adam, Syahid minta ampun. Syahid tak tahu penderitaan abang…”

“Rupanya ayah ada zuriat sendiri…”
Syahid menangis di bahu ayahnya. Tiba-tiba rasa rendah diri menular meresapi segenap nafasnya.

“Jangan cakap macam ni. Syahid kan anak ayah juga”.
Haji Malek memujuk. Dia tidak mahu Syahid rasa terpinggir setelah mengetahui siapa Adam sebenarnya.

“Tapi Syahid cuma anak angkat. Ayah dah jumpa anak kandung ayah”.

“Syahid…Syahid dengar cakap ayah, nak. Kamu tetap anak ayah sampai bila-bila. Ayah yang membesarkan kamu. Kamu anak ayah. Tak ada sesiapa pun yang boleh tukar kenyataan tu”.

Kedua-duanya melayan tangis sendu. Malam itu Syahid menemankan Haji Malek di hospital. Dia memahami dan menyokong tindakan ayahnya ingin berada di sisi Adam ketika Adam membuka matanya. Walaupun telah disingkap kisah membuka pekung itu, Syahid tetap mengidolakan ayahnya. Hormatnya pada Haji Malek meningkat kerana orang tua itu berani mengakui kesilapannya. Dan dengan pendirian yang teguh dia akan menyokong usaha ayahnya untuk memperbaiki diri dan membetulkan kesilapan silam.

Haji Malek sedang berfikir langkah seterusnya apabila Adam pulih dari koma. Pertama, dia akan membiarkan Adam menghukumnya, walau dalam bentuk apa sekalipun. Asalkan anak itu puas dan tidak lagi menyimpan dendam padanya. Kedua, dia tetap akan menjaga setiap kebajikan Adam. Ketiga, dunia akhirat Adam adalah darah dagingnya, jadi dia akan memainkan peranan sebagai bapa Adam walaupun ditolak mentah oleh anak itu.
Haji Malek belum pasti penerimaan Adam ke atas dirinya. Namun, sesuatu yang paling pasti ialah dia sendiri sangat menerima kehadiran Adam dalam hidupnya. Adam membuka lembaran keinsafan. Dengan sokongan Syahid, Haji Malek bertawakal pada Ilahi agar Adam segera sedar dari koma. Dia terlalu rindu untuk menatap mata Adam. Dia terlalu ingin bercakap dengan Adam. Pengalaman membesarkan Syahid menjadikan Haji Malek sudah arif dengan emosi anak muda yang sedang memberontak.


















No comments: