Friday, June 28, 2013

KERANA SEORANG ADAM [Bab 8]

BAB 8
Rozie Rosa dan Ayu melangkah menuju ke bilik Adam. Sengaja diatur pertemuan di tempat tertutup kerana ia bersifat peribadi. Dengan yakin Ayu mengetuk pintu bilik Adam. Setelah berkali-kali mengetuk pintu, akhirnya pintu dibuka perlahan-lahan. Mata Ayu dan Rozie Rosa terpaku melihat berdirinya seorang pemuda mirip gandingan Rozita Roslan dan Malek. Mereka bertentang mata dan Adam tersenyum lembut.

“Kamu Adam?” Soal Ayu.

Soalan ringkas itu dijawab dengan anggukan oleh Adam. Tiada suara yang kedengaran.

“Adam, boleh kami tengok buku lali di kaki kiri kamu?” Ayu membuat permintaan.

Adam mengangkat sedikit kaki kirinya. Dengan jelas kelihatan tompokan hitam yang merupakan tanda kelahirannya.

“Kamu memang Adam!”
 Ayu mengesahkannya. Mereka sama-sama melihat tanda lahir itu yang menandakan sahihnya itu adalah Mohamad Adam yang dilahirkan oleh Rozita Roslan 25 tahun dahulu. Kini Rozita Roslan adalah Rozie Rosa.

Tanpa diminta, Adam kemudian menunjukkan kad pengenalannya. Dia mahu kedua-dua wanita itu benar-benar yakin bahawa dia memang Mohamad Adam bin Abdullah. Rozie Rosa dan Ayu tersenyum sambil membelek-belek kad itu. Langsir dan pintu hadapan terbuka luas menampakkan pemandangan menghadap ke laut. Sesekali dari kejauhan, desiran ombak kedengaran jelas. Setelah mempersilakan Ayu dan Rozie Rosa masuk, Adam duduk di hujung katil. Ayu duduk di balkoni, memberi peluang dua beranak itu untuk bersendirian.

“Adam tahu siapa saya?”

Adam mengangguk.
 “Rozie Rosa”.
Jawabnya ringkas.

“Ya, sekarang saya memang pelakon yang dikenali ramai. Tapi 25 tahun dahulu semuanya berbeza. Saya adalah Rozita Roslan”.

Adam diam. Dia masih menanti ayat keramat dari mulut Rozie Rosa. Dia mahu mendengar pengakuan ikhlas yang mengatakan Adam adalah anak kandung yang pernah dilahirkannya. Rozie Rosa melihat wajah Adam hingga Adam berasa kurang selesa.

“Kenapa Adam diam? Cakaplah sesuatu”.
Rozie Rosa tidak meneruskan ceritanya.

“Adam cuma nak tahu…”
Ayatnya termati di situ. Adam tunduk dan terus menyepi. Dia gagal meneruskan kata-kata.

“Adam nak tahu apa?”.
Rozie Rosa menyoal dengan lembut. Adam masih diam. Dia tidak sanggup bertentang mata dengan wanita popular itu.

“Adam nak tahu apa? Cakaplah”.
Rozie Rosa mengangkat dagu Adam agar Adam memandang tepat ke wajahnya.

 “Adam nak tahu siapa ibu yang melahirkan Adam ke dunia ini sebab Adam tak ada siapa-siapa”.
 Suara Adam perlahan namun didengari jelas oleh Rozie Rosa. Ayat pembukaan yang menyentuh naluri keibuannya.

“Adam… ini mama, sayang. Memang mama yang lahirkan Adam”.
Rozie Rosa memeluk Adam. Dia tidak tertahan lagi ingin menyentuh dan mendakap anak itu yang dahulu berada lebih 9 bulan di dalam rahimnya. Rozie Rosa menangis semahunya.  Sekian lama dia merindui anak itu. Anak yang terpisah kerana impiannya untuk mengahwini Malek tidak kesampaian. Anak yang kemudiannya menjadi mangsa keadaan.

“Maafkan mama, sayang…. mama malu dengan perbuatan mama. Maafkan mama…”
Air mata Adam tertumpah lagi. Dia ingin meluahkan segala yang terbuku di hati.
“Adam rindukan mama…”

“Mamapun terlalu rindukan Adam. Selama 25 tahun mama tak pernah lupakan Adam”.

“Kenapa mama tak pernah cari Adam? Adam sentiasa tunggu mana mama Adam, bila nak datang ambil Adam keluar dari rumah anak yatim tu…”
Terkejut Rozie Rosa mendengar perkataan rumah anak yatim.

“Rumah anak yatim? Tapi….? Takkanlah Abang Malek sanggup hantar Adam ke rumah anak yatim. Dia janji nak beri pada keluarga angkat”.

Rozie Rosa masih ingat lagi semasa dia sedang berpantang, Ayu meyakinkannya yang Malek telah menunaikan janjinya untuk memberi Adam kepada keluarga angkat. Menurut Malek, keluarga angkat itu meletakkan syarat supaya Rozita mahupun Malek dilarang menuntut semula Adam. Adam akan dibela seperti anak sendiri. Mereka tidak mahu gangguan daripada ibu dan bapa kandung bagi mengelak sebarang perkara berbangkit. Maka tenanglah hati Rozita ketika itu.

“Mama tak tahu ke yang Adam ni dibuang di tempat sampah? Di tempat sampah, mama!”
Adam menangis teresak-esak. Dia ingin meneruskan cerita sedih itu. Terlalu pilu rasanya apabila ibu kandung sendiri tidak mengetahui penganiayaan yang berlaku terhadap anak yang dilahirkannya.

“Syukurlah Adam tidak mati di situ. Adam dijumpai di tempat sampah dan dibesarkan di rumah anak yatim”.
Adam meluahkan segalanya umpama anak kecil yang mengadu pada si ibu.

“Tak guna punya Malek! Setan!”
Bagaikan histeria Rozie Rosa menjerit. Sukar untuk percaya nasib malang yang menimpa Adam. Penganiayaan yang terlalu perit untuk digambarkan oleh seorang ibu. Hidup-hidup Malek menipu mereka tanpa belas kasihan.

“Sekarang mama ada di sini, sayang. Mama janji takkan tinggalkan Adam lagi…mama janji…”

“Mama tak perlu berjanji sebab Adam tak mahu kecewa lagi”.

“Mama takkan kecewakan Adam, sayang. Mama akan jaga Adam”.

“Tapi mama dah ada keluarga sendiri. Kalau mereka tak dapat terima Adam?”
Adam inginkan kepastian.

“Walau apapun, mama tetap mama Adam. Adam tetap anak mama. Selama 25 tahun mama rindukan Adam. Mama tak mahu kehilangan Adam lagi”.

Kedua-dua beranak itu menangis teresak-esak. Rozie Rosa memujuk dan meyakinkan Adam bahawa dia tidak akan mengabaikan Adam lagi. Dipeluk dan dikucupnya dahi anak itu. Dia terlalu rindukan Adam. Adam sudah dewasa. Wajahnya banyak iras Rozie Rosa dan ada sedikit seperti Malek. Banyak juga persamaan dengan rupa Razzi yang persis wajah mamanya.

Dari balkoni, Ayu menjadi saksi. Dia mendengar drama sebabak yang sadis itu. Dia sangat menyesal kerana terlalu percayakan sepupunya Malek. Kata-kata Malek terlalu menyakinkan. Ayu yang masih mentah terlalu mudah ditipu dengan ayat-ayat manis yang menenangkan perasaan. Hatinya tersentuh mendengar hanya secebis luahan hati Adam. Dia turut merasa sayang pada Adam kerana dialah yang menjaga kebajikan Adam dan Rozita semasa Adam masih di dalam perut Rozita lagi.

Petang itu mereka bertiga berjalan di tepi pantai. Rozie Rosa memimpin erat tangan anaknya bagaikan tidak mahu berpisah.

“Mama nak Adam ceritakan semua tentang Adam. Daripada Adam kecil sampailah sekarang. Mama nak tahu segala yang telah Adam lalui. Jangan berahsia apapun daripada mama”.

“Adam pun nak tahu semuanya tentang mama. Adam ada juga baca kisah mama”.

“Hmm… Ini yang mama risau. Berita dan gossip tu belum tentu betul. Mama tak suka anak mama baca apa-apa tentang mama. Mama nak Adam tahu dari mulut mama sendiri”.

“Adam tahu yang Adam ada adik kembar, kan?” Soal Adam.

“Hmm… Razzi dan Raisya, mereka dah 17 tahun. Kami sangat rapat”. Jelas Rozie Rosa.

“Bertuahnya adik-adik Adam tu”.
Adam menghentikan langkahnya. Suaranya perlahan.

“Semua anak-anak mama memang bertuah, termasuklah Adam. Mulai sekarang, mama nak Adam kongsi suka duka Adam dengan mama, boleh?”

“Boleh”.
Adam tersenyum kembali.

Mereka bertiga duduk di bawah sepohon kelapa. Tiada sesiapa di situ kerana hari itu bukanlah hari cuti. Perkara itu membuatkan Rozie Rosa selesa tidak diperhatikan sesiapa. Saat itu dia langsung tidak mempedulikan apa-apa melainkan fokus pada Adam.

“Macam mana Adam tahu yang Adam telah dibuang?” Soal Rozie Rosa perlahan.

“Tuhan yang buat Adam tahu”.
 Adam memandang wajah Rozie Rosa dan Ayu dengan sugul.

“Maafkan Aunty, tapi Adam ceritalah pada kami kronologi yang membawa Adam berjaya menjejaki mama Adam”.

Adam tunduk. Dia kemudian memulakan pengkisahan rentetan peristiwa yang membongkar latar belakang dirinya.
“Dari kecil lagi Adam seorang je yang tak pernah ada pelawat. Budak-budak lain ada juga yang dilawati saudara mara. Jadi Adam tahu yang Adam memang sebatang kara”.

“Setiap tahun bila nak Raya, ada pihak yang menaja membelikan pakaian baru. Suatu hari semasa sedang mencuba kasut baru, secara tak sengaja Adam telah dilanggar oleh seorang makcik, namanya Amutha”.

Mendengar nama itu, Rozie Rosa dan Ayu saling berpandangan dengan wajah terkejut. Mereka kenal dan masih ingat dengan bidan jururawat yang penyayang itu. Amutha jenis yang mengambil berat dan banyak menasihatkannya ketika dia bersedih di saat getir menahan sakit bersalin. Amutha memberi kata-kata semangat dan melayan mereka dengan baik.

“Makcik tu minta maaf dan tiba-tiba Makcik Amutha tahu nama Adam”.
Bagaikan baru semalam peristiwa itu terjadi, semuanya masih segar di ingatan. Dia mengimbau ke zaman silam di mana tercetusnya perasaan untuk mencari diri sendiri.

“Maafkan Aunty ya, Aunty tak sengaja terlanggar kamu”.

“Tak apalah Aunty, sikit je’.

Tiba-tiba Amutha terkejut apabila terpandang kaki kiri Adam yang sedang mencuba kasut baru.
“Kamu Mohamad Adam kan?” Soalnya minta kepastian.

“Ya, saya Mohamad Adam. Peliknya! Macam mana Aunty boleh kenal saya? Saya tak kenal Aunty pun?”

Aunty yang sambut kelahiran kamu. Tu tanda lahir di kaki kamu tu, memanglah Aunty tak boleh lupa. Kamu kan anak Rozita Roslan”.

Aunty kenal ibu saya? Aunty tahu di mana ibu saya berada?”

“Oh…Aunty tak tahu di mana ibu kamu berada. Kamu kemudian diambil oleh Malek Omar, bapa kandung kamu, kamu tanyalah dia di mana ibu kamu berada sekarang”.

“Sejak dari peristiwa itu, Adam sentiasa ingat dua nama tu. Rozita Roslan dan Malek Omar. Adam berazam untuk mengetahui asal usul Adam. Adam nak cari ibu bapa kandung Adam. Tapi masa tu Adam terlalu muda, jadi Adam nak siasat dulu kenapa Adam ditinggalkan di rumah anak yatim”.

“Bila dah meningkat remaja, Adam semakin faham. Adam dilahirkan oleh Rozita Roslan dan kemudian diambil oleh bapa Adam iaitu Malek Omar. Suatu hari Adam mencuri fail rekod Adam dan mendapati Adam adalah anak di luar taraf. Sebab tu Adam berbinkan Abdullah. Rekod tu juga menyatakan Adam dijumpai di tempat pembuangan sampah semasa Adam baru dilahirkan. Terdapat kesan dera cucuhan api rokok dan parutnya masih jelas hingga sekarang”.
Adam menyelak sedikit bajunya dan menunjukkan kesan parut di bahunya itu kepada mama dan Aunty Ayu. Berguguran air mata kedua-dua wanita itu.

“Sejak itu Adam berdendam dengan Malek Omar yang sebenarnya bapa kandung Adam. Bertahun-tahun Adam mencarinya sehinggalah Adam berjaya menemuinya di Gombak”.

“Adam tumbuk muka dia di hadapan restoren dia, masa dia buat kenduri kesyukuran. Masa tu Adam rasa puas hati sangat. Tapi lepas tu semua orang kat situ yang tak tahu apa-apa, pukul Adam sampai Adam koma”.

“Semasa koma, Adam tahu apa yang sebenarnya terjadi 25 tahun dahulu. Tuhan yang beritahu Adam. Ayah dah insaf dan minta maaf pada Adam. Dia yang jaga Adam di hospital. Melalui Ayah, Adam tahu Rozita Roslan tu rupanya mama. Adam tak sangka mama Adam pelakon terkenal Rozie Rosa”.

Bagaikan dihimpap batu besar di kepala, hancur berkecai hati Rozie Rosa mendengar rentetan kisah sadis itu. Malek tak ubah seperti syaitan! Sedangkan haiwanpun tahu sayang dan lindungi anak. Perbuatan Malek tidak boleh dimaafkan. Buat masa sekarang hatinya terlalu panas. Terkilan dan terlalu menyesal menyerahkan Adam pada Malek 25 tahun dahulu. Ternyata, kepercayaan yang diberi disia-siakan oleh Malek. Saat itu Rozie Rosa terlalu bencikan Malek hingga terbit bibit-bibit dendam kesumat di jiwa. Air matanya hampir kering. Dia mahu bergembira menikmati pertemuan pertama dengan anaknya, namun lambakan kisah duka itu membunuh semangatnya.



No comments: