Wednesday, June 19, 2013

KERANA SEORANG ADAM [Prolog & Bab 1]

PROLOG
Ya Allah! Kenapa aku terlalu terburu-buru?
Kalaulah aku mampu bertahan…
Kalaulah aku boleh bersabar…
Kalaulah aku berlapang dada dengan ujian dariMu… mungkin kisahku jadi berbeza.

Kisah luka itu ternyata telah menyerabutkan hidupnya dari akar umbi hingga ke pucuk. Kekalutan menyeringai membuahkan epilog kosong di daerah nan jauh. Dia sendiri yang meminggirkan diri membawa rajuk hati yang remuk berdarah. Tidak cukup kuat untuk menghadapi kemelut panjang yang tiba-tiba berkunjung setelah tersembunyi selama 25 tahun. Kisah hitam sisi gelap sang arjuna telah terbongkar hingga memalitkan tempias derita pada insan yang tidak bersalah. Bertindak atas naluri sendiri mengundang persepsi buruk sang pemerhati. Mata-mata pena kolumnis mencucuk tajam hingga ada pihak menjadi mangsa melecur tersimbah hangat bahangnya. Itulah Adam! Mangsa yang bangkit dengan cara sendiri kemudiannya terpaksa lari mengasing diri untuk meneruskan kehidupan dengan lebih tenang.

            Adakalanya kita berlari terlalu pantas hingga terpaksa berundur sebentar untuk menarik nafas semula. Namun, Adam berundur terlalu lama hingga dia ketinggalan. Tetapi, kadangkala ‘ketinggalan’ bukanlah perkara buruk yang mengundang padah kerana berehat sebentar sambil memerhati sekeliling lebih baik daripada terus berlari laju tanpa mempedulikan insan lain.  Adam menabur manfaat tatkala dirinya sendiri diulit derita. Adam menggembirakan hati ramai orang di saat jiwanya kosong. Pengisian yang bermakna telah memberkati hidupnya hingga Tuhan merahmatinya dengan kebahagiaan.

            Hakikatnya Mohamad Adam bin Abdullah bukanlah seorang adiwira yang mendapat sanjungan umum. Namun tanpa disedarinya, dia sebenarnya telah membawa haluan perubahan yang tidak dijangka.

Setiap tindakan ada risiko dan hikmah yang menanti di hujung jalan. Bergantung pada jalan yang dipilih, ketetapan faedah dan akibat, akan mencetuskan pengalaman untuk dipelajari dalam proses kehidupan. Kuncinya adalah beringat sebelum bertindak. Berfikir sebelum berkata-kata. Jika tersilap percaturan, berundurlah semula ke belakang untuk kembali ke jalanNya. Jangan malu dan ego untuk mengakui kesilapan, kerana hanya dengan belajar daripadanya sahaja kita mampu memperbaiki diri agar menjadi lebih baik. Biar melalui jalan berliku dan sukar, asalkan jalan itu jalan yang benar di sisiNya. Kerana keberuntungan setiap insan hanya dapat dinikmati dengan izinNya. 








BAB 1
Mengotakan jemputannya yang seakan tulus, Adam menggagahkan diri menghampiri premis jingga itu. Adam kenal benar pemiliknya. Cuma Haji Malek sahaja yang tidak kenal gerangan Adam. Padanya, Adam hanyalah salah seorang daripada pengunjung restorennya. Makan, bayar dan pergi dengan kekenyangan. Termaktub di derianya, mendengar alunan sendawa adalah maklum balas terbaik. Tanda kepuasan dan kenikmatan pelanggan menjamu selera di restoren yang diusahakannya.

Tapi Adam lain. Dia datang membawa misi tersendiri. Yang mungkin tidak dapat diramal oleh mana-mana pawang mahupun pengamal ilmu metafizik. Jika ada tukang tilik yang tahu niatnya, nescaya mereka akan meniup semboyan memberi amaran awal pada Haji Malek supaya berwaspada. Memang diakui, pernah beberapa kali dia menikmati makanan di situ. Tetapi menjadi pelanggan tetap di restoren itu bukanlah niat utamanya. Kalau tiada Haji Malek, lebih baik dia pulang sahaja. Berpatah balik lebih berbaloi daripada membuang masa.

Minggu lepas Haji Malek menepuk bahu Adam dan mengajaknya datang pada hari ini untuk kenduri doa kesyukuran. Pelanggan tetap diajak makan percuma.  Adam bukanlah berada dalam kategori itu. Mungkin dia mudah cam wajah Adam kerana Adam tidak pernah memesan minuman pada orang lain melainkan Haji Malek sendiri. Biar berpuluh kali pekerjanya bertanya, Adam hanya tersenyum dan diam. Adam mahu ia bersifat peribadi. Dia mahu layanan daripada Haji Malek.

Ini sasarannya yang kedua. Dulu pernah dia tersilap orang. Setelah disiasat, dia berhijrah dan melupakan usaha itu. Kini Adam lebih cekap memacakkan antena yang menularkan signal ke arah Haji Malek. Harapannya semoga kali ini sasarannya tepat dan berhasil. Satu usaha besar yang jika gagal, akan mencetuskan perasaan putus asa yang paling dalam.  Adam sudah cukup dewasa untuk memberanikan diri menghadapi kebenaran. Kebenaran yang walaupun pahit dan sakit, terpaksa dikendalikan dengan ikhlas. Adam lemas dihina, penat bila diri tidak diterima. Dia jelak melayan runtunan hati nan sayu. Walau hakikatnya Adam kelihatan teguh berdiri, melangkah megah dan berlari pantas, nun di dasar hati sebenarnya ada kerapuhan. Dia mudah patah. Dia pernah goyah. Kini dia ingin bangkit untuk mencari jawapan.  Menguis–nguis butiran debu yang selama ini menyesakkan nafas.

Mungkin satu kesilapan bila Adam kembali mencari, menggali dan ingin membongkar. Tetapi, itu memang hak mutlaknya. Adam tidak mahu lagi hidup tanpa identiti.  Meremang bulu tengkuknya, berderau darahnya bila mengetahui serba sedikit sejarah latar belakang dirinya yang terlalu kabur. Dia tidak rela terus hidup dalam misteri. Adam mahu tahu asal usul dirinya. Darah keturunan yang diwarisi. Mustahil dia dilahirkan oleh makhluk dari planet lain. Dia juga bukanlah dari spesies moluska yang lembik dan penyek bila dipijak. Dia manusia yang bertaraf khalifah di bumi Tuhan. Adam zuriat ‘seseorang’ yang dilahirkan cukup sifat dan sihat. Cuma dia tiada ibu bapa yang sah. Adam sendiri terlalu sukar menerima kenyataan yang dia adalah anak yang dilabel bakal membawa musibah dan beban berat pada orang tua kandungnya. Yang  Adam tahu dia merupakan seorang anak terbuang.
Apa rasanya dibuang? Ya, Adam arif benar dengan perasaan itu. Kerana dia adalah bayi yang dijumpai di tempat pembuangan sampah. Dibuang! Jika inginkan dia hidup, walau benci untuk membela, adalah lebih mulia diletakkan di masjid atau di hadapan pintu rumah orang. Ini tidak! Di tempat sampah! Betapa  peritnya mendengar kebenaran yang sadis. Adam dapat merasakan dengan jelas, bahawa orang tuanya mahukan dia mati. Mereka ingin dia lemas dalam kotak, mati kesejukan dan membusuk keseorangan.

            Pasti ada seseorang yang perlu dipertanggungjawabkan atas perbuatan itu. Mustahil bayi yang baru lahir mampu bergerak sendiri terlentang di longgokan sampah. Adam sedar dia bukanlah pejuang moralis yang mencanangkan wadah atas tiket kebenaran. Tindakannya ini bukan mewakili siapa-siapa. Dia menjadi patriot untuk memperjuangkan maruah diri sendiri yang telah digadai tanpa ditebus mana-mana pihak. Adam bangkit untuk menyelak tirai kepuraan yang berlindung di sebalik hipokrasi. Adam tidak pernah melencong dari fokus asalnya. Bukan mahu berangan tinggi menjadi batu zamrud, permata hijau nan dipandang indah. Cukup sekadar diterima, dihidu harum dan tidak dilihat kusam. Jelak rasanya menjadi bendasing yang menghalang ketulenan bahan. Adam mahu menjadi material asli yang suci, bukan sahaja di sisi Tuhan tetapi juga pada pandangan manusia.

Terlalu lama dia hidup menggalas rasa rendah diri yang bukan sedikit. Terlalu lama dia jijik dengan dirinya sendiri. Pembunuhan terancang itu ternyata gagal. Mujur Allah S.W.T mengizinkan dia hidup walaupun diselubungi rasa hina. Perasaan itu tidak pernah berkubur. Puas dilontar jauh, namun seakan udara, ia meresap ke dalam setiap nafasnya. Memikul status anak di luar taraf, ternyata menyebalkan perasaan.

“Apa yang kau nak buat, kalau kau jumpa ibu dan ayah kandung kau?”
Soalan yang bertubi-tubi ditanya sahabat baiknya, Fahmi.

“Adam, kau lelaki. Kau tak perlukan mereka’.
Fahmi sebenarnya tidak mahu Adam meneruskan misinya itu. Dia tidak mahu Adam membajai dendam dan membalasnya sepuas hati. Adam sendiri tiada jawapan yang pasti untuk menjawab soalan itu. Tapi, sebagai anak manusia, dia tahu dia ada ibu dan bapa yang perlu bertanggungjawab kerana membawanya ke dunia ini.

Adam yakin dia anak haram. Anak luar nikah. Dia percaya memikul status itu kerana, mana mungkin pasangan berkahwin membuang anak hasil hubungan yang suci. Adam tidak pasti sama ada ibu dan bapanya kemudian berkahwin atau tidak. Mungkin juga dirinya wujud hasil keseronokan duniawi yang kemudiannya tiada siapa yang mahu bertanggungjawab. Adam rela menjalani ujian DNA untuk kesahihan keturunannya. Dia tahu hakikat hidup bahawa tiada manusia yang dapat lari daripada melakukan  kesilapan.

Tapi kes Adam lain. Dialah ‘kesilapan’ itu. KESILAPAN!  Kesilapan yang mahu ditutup kerana bimbang ia mampu membungkam kehidupan. Pastinya Haji Malek bencikan kesilapan silamnya. Dan hari ini, kesilapan itu hadir di depan matanya. Apa yang dirasa sekarang amat sukar untuk digambarkan. Paling pantas ingin diacukan genggam penumbuknya ke hidung Haji Malek. Namun, jangka pendek Adam menang. Kemudian? Dia tidak mahu terpenjara di dalam lokap. Itu merugikan hidupnya sendiri. Jadi, dilepaskan genggaman tangan kirinya.

Senyuman Haji Malek meleret ke telinga. Bersalaman dengan setiap tetamu yang berkunjung. Tiba-tiba dia menghulur tangan ingin berjabat salam dengan Adam dan….ahhh, dengan longlai Adam menyambut tangannya. Rasa marahnya bertukar sedikit tenang. Perasaan itu menular ke salur darahnya hingga berjaya mengawal nafsu yang tadinya membuak-buak. Kalau diikutkan hati yang menanggung dendam, dia sanggup bunuh orang. Siapa lagi kalau bukan Haji Malek. Tapi, perlukah dia korbankan masa hadapan sendiri untuk kepuasan yang belum tentu kekal. Tentunya ia bersifat sementara dan kemudian terpaksa menanggung akibat daripada perbuatan itu. Tapi, wajarkah Adam berbaik dan mengenepikan segala perbuatan onar Haji Malek? Melupakan semua itu adalah mustahil. Sesungguhnya Adam berusaha menguatkan diri untuk berdiri sekukuh ini. Dia perlu teguh mempertahankan maruah diri.

“Laa, kenapa lambat? Orang dah habis baca doa, dah makan dah. Tapi, tak apa, ada banyak lagi ni. Mari makan. Silalah, jangan malu-malu”.

Adam tersenyum tawar mendengar keramahan Haji Malek. Tiada sepatah dari bibirnya ungkapan ayat untuk dibalas. Disambutnya pinggan kosong dari tangan Haji Malek dan dengan spontan menceduk nasi. Dia duduk dan menyuap perlahan. Bagaikan serba tidak kena, seleranya hilang. Bukan niatnya untuk makan. Semua yang disuap bagaikan payau, tidak tertelan oleh tekak. Dicubanya lagi sesuap. Tetapi tetap tidak mampu ditelan. Segera dibasuhnya tangan dan membiarkan nasi itu bersisa di situ. Adam melangkah keluar. Hampa dan tidak puas hati. Dia belum cukup kuat untuk melunaskan misi itu.

“Kenapa ni? Sekejap saja? Belum habis makan dah nak pergi?”
Haji Malek menegur Adam. Rupanya dia memerhati dari jauh. Inilah masanya. Adam perlu berani! Bertahun dia menguatkan tenaga mental untuk menghadapi saat berdepan dengan si keji itu.

“Haji Malek, ada sesuatu yang ingin saya bincangkan dengan Pak Haji”.

Adam tahu ini bukan masa yang sesuai. Ini waktu majlis yang mulia. Tidak patut dia merosakkannya dengan cerita silam yang hitam itu. Tetapi, jika tidak sekarang, adakah masa yang lebih sesuai? Untuk topik sehina ini, memang tiada masa yang paling sesuai. Hendak atau tidak, usah bertangguh lagi, ambil sahaja peluang untuk mula ‘bercakap’ mengenainya.

Mereka duduk di tepi longkang. Tidak mengapa, pada Adam ia tidak sebusuk tempat dirinya dibuang 25 tahun dahulu.

“Pak Haji kenal Rozita bt. Roslan?
Haji Malek tergamam. Riak wajahnya berubah serta merta.

“Kisah lama. Masa Pakcik kenal dia, rasanya anak ni pun belum lahir lagi”.
Jawab Haji Malek.

“Tapi anak ni siapa? Apa kaitan dengan Rozita?”

“Apa hubungan Pak Haji dengan Puan Rozita?”
Soalan Haji Malek dibalas dengan soalan lain.

“Err…kenalan biasa saja”.

“Apa maksud Pak Haji  kenalan biasa saja? Maksud Pak Haji, dia bukan kekasih Pak Haji masa tu?”

“Kenapa anak cakap macam ni? Lain macam aje ni? Pakcik tak nak fikir dah semua ni. Berkenalan dengan dia dulu pun adalah satu kesilapan. Pakcik ada majlis ni, jadi Pakcik nak masuk dulu…”

Alasan mudah untuk mengelak. Rentak suaranya bertukar berbeza. Mimik mukanya panik tetapi ego. Tanpa rela dia terpaksa mengimbau kembali sisi gelap hidupnya di suatu masa dahulu. Haji Malik kaget dan menjadi kurang selesa. Bagaikan pendeta, Adam berniat untuk mendidik ilmu kemanusiaan dan kehidupan kepada orang tua itu dengan caranya sendiri. Di dalam hati bagaikan dipanah halilintar, Adam gagal menahan perasaan marah mendengar penjelasan orang tua tidak bertanggungjawab itu.
“SATU KESILAPAN?”

BUKKK!!!!
Satu tumbukan ditujah tepat ke batang hidung Haji Malek. Tidak mampu dikawal! Lega sungguh rasanya menumbuk orang tua kurang ajar yang pura-pura alim. Haji Malek terduduk. Terbit darah dari hidung dan bibirnya.

“Tolongggggg!!!”
Haji Malek menjerit. Terkejut dan terpinga.

“AKULAH ‘KESILAPAN’ ITU!
AKULAH BAYI YANG KAU BUANG DULU!!!
YANG INGIN KAU BUNUH, TAPI TUHAN TIDAK MAHU AKU MATI DI TANGAN KAU!”

Haji Malek mendengarnya dengan jelas. Dia mengimbau detik silam yang pahit itu. Tidak langsung terjangkau di fikiran perkara itu akan kembali berbangkit. Sangkanya anak itu mati dan segala bukti lenyap dan terhapus bersama mereputnya mayat bayi itu. Atas arahan keluarga, dia berpindah ke Sarawak selepas itu.

Beberapa orang menerkam Adam.  Dari pandangan mereka, betapa biadab, hina dan buruknya perbuatan seorang pemuda memukul seorang ‘Pak Haji’ tua yang berkopiah hingga berdarah dan terduduk di tepi longkang.
“Jangan pukul dia! Jangan! Jangan! Saya yang salah!”

Rayu Haji Malek pada orang ramai. Tapi orang ramai bukan hakim yang menilai secara rasional. Mereka memandang dengan mata kasar. Pada penilaian mereka, walau Haji Malek salah sekalipun, mengapa perlu sampai mencederakan orang tua itu? Semahunya Adam dipukul. Bertalu-talu oleh sekalian lelaki yang ada.

Bagaikan masa terhenti, Haji Malek hanya mendengar degupan jantungnya yang kian kencang. Tidak terpandang episod hitam kesinambungan daripada kisah gelapnya 25 tahun yang lalu. Dia tidak mampu menahan perbuatan orang ramai yang berniat untuk membelanya. Namun, adakah pembelaan itu wajar di sisi Yang Esa? Hanya Dia yang Maha Mengetahui apa sebenarnya. Air mata Haji Malek mencurah lebat.

“Sudah! Sudah! Jangan apa-apakan dia, dia tak salah…..”

Namun hanya bibir bengkaknya sahaja yang terkumat kamit. Hiruk sang pelampau yang tidak mengerti, menenggelamkan suaranya. Anak itu telah lama derita kerana dia. Kini kerana dia juga, sengsara datang kembali menerjah tanpa belas.

“PUKUL LAGI! PUKUL! KURANG AJAR!”     
Sampukan itu yang kedengaran. Rayuan Haji Malek tidak diendah. Adam dibelasah secukupnya. Lemah dan berdarah-darah. Dia tidak melawan kerana hatinya sudah cukup bahagia dapat meluahkan isi hati yang terbuku sekian lama. Sakit itu tidaklah seteruk mana. Parah dipukul tidak menjadi kudis di hatinya. Allah S.W.T memahami keadaannya. Dia masih mampu tersenyum tatkala longlai dibawa ambulan ke hospital.

Biarlah! Biarkan sahaja. Mereka tidak salah! Sangkaan mereka semuanya meleset kerana hakikatnya mereka tidak tahu apa-apa. Mereka hanya melihat perbuatan Adam dalam tempoh sesaat. Sesaat sahaja! Balasan sesaat yang ditunggunya selama 25 tahun. Apalah sangat sesaat jika dibandingkan dengan tempoh 25 tahun yang menyamai 12,960,000 saat. Melebihi 12 juta saat. Tetapi inilah kehidupan. Manusia terlalu kerdil. Hanya tahu sezarah tapi mengambil tindakan melampaui batas. Sedangkan Allah sahaja yang maha mengetahui segala-galanya. Apa sebaliknya, bagaimana ia berlaku dan punca dari sekecil mata jarum. Adam tidak merasa tewas. Dia puas! Hanya jasadnya yang sakit, tetapi jiwanya kebal. Kuat, bagaikan mendapat semangat baru. Realitinya, yang kelihatan adalah sekujur tubuh Adam terlantar koma. Dia tidak sedarkan diri.











No comments: