Friday, June 28, 2013

KERANA SEORANG ADAM [Bab 9]

BAB 9
Mereka menikmati makan malam lebih awal pada hari itu. Terserlah sifat keibuan Rozie Rosa memanjakan anaknya. Padanya, walau sedewasa manapun usia seseorang anak, hubungan antara anak dan ibu tetap unggul dan bersifat sentimental. Anak semakin dewasa, seiring juga dengan usia ibu yang menghinjak tua.

“Mama nak Adam pesan makanan yang paling Adam suka. Hari ni sangat istimewa dan mama nak kongsi kegemaran Adam. Mama belanja”.

Sementara menanti makanan yang dipesan tiba, Adam hanya tersenyum. Dia menghargai saat manis itu sebagai detik terindah yang pernah dilaluinya.

“Adam ni memang tak banyak cakap ke atau Adam masih malu dengan mama?”
Rozie Rosa memandang Adam inginkan soalannya dijawab segera.

“Sebenarnya Adam rasa macam tak percaya, semua ni macam mimpi. Adam tak sangka dapat jumpa mama dan kita dapat habiskan masa bersama macam ni. Adam tak tahu nak cakap apa”. Luah Adam sejujurnya.

“Ini betul-betul… bukan cobaan!”
Gurau Ayu disambut dengan deraian ketawa oleh mereka bertiga.

Kemesraan ikatan dua beranak yang baru bertemu itu kian subur. Adam begitu berselera menikmati hidangan kegemarannya. Sudah lama dia tidak makan besar seperti itu. Selera makannya hilang semenjak peristiwa koma. Dia juga sudah lama tidak tersenyum dan ketawa ceria seperti itu. Ternyata Rozie Rosa berjaya mengembalikan semangat hidupnya yang sedang suram.

Sesekali Rozie Rosa menyuapkan udang ke mulut Adam. Dia juga mengelap mulut Adam jika comot. Adam dilayannya bagaikan anak kecil kerana dia tidak ada di sisi Adam  ketika anak itu membesar. Seumur hidup Adam, pasti itulah pengalaman pertamanya dilayan manja oleh seorang ibu dengan penuh kasih sayang. Adam kekok tetapi dia menikmati layanan itu dengan rasa syukur. Kalau Adam punya pilihan, dia tidak mahu hari itu berakhir dengan perpisahan. Dia mahu terus bersama ibu kandungnya, meleraikan kerinduan yang terpendam sekian lama.

Tepat jam 8 malam, Rozie Rosa dan Ayu meninggalkan Adam. Sebagai langkah pertama Rozie Rosa berjanji untuk memperkenalkan Adam pada keluarganya.  Dia mahu kehadiran Adam diterima. Dia mahu Adam tinggal serumah dengannya kerana Adam adalah darah dagingnya.

Rozie Rosa mula merencana satu persatu langkah yang perlu diambil. Pertama; dia akan berterus terang pada keluarganya agar mereka dapat menerima Adam. Kedua; dia ingin bersemuka dengan Malek untuk membuat perhitungan. Ketiga; dia akan membahagiakan keluarganya yang terdiri daripada suaminya dan anak-anak iaitu Adam, Razzi dan Raisya. Dia mahu mereka bersatu sebagai sebuah keluarga bahagia.

Sebelum tidur, Rozie Rosa menghubungi Adam. Dia meyakinkan untuk tidak mengabaikan tanggungjawabnya pada Adam selepas ini. Panggilan itu diakhiri dengan ucapan selamat malam.
“Selamat malam, sayang. Mama sayang Adam. Assalammualaikum”.

“Walaikumsalam. Selamat malam mama. Adam pun sayangkan mama. Adam… Adam…”
Ada sesuatu yang ingin disampaikan dan Rozie Rosa dapat merasakannya.

“Adam nak cakap apa, sayang? Cakaplah”.

“Adam nak tanya mama, boleh tak kalau Adam call mama bila-bila?”

“Mestilah boleh. Kenapa cakap macam ni? Mulai sekarang, kita akan sentiasa berhubung. Mama akan usahakan sampai Adam tinggal serumah dengan mama”.

Hati Adam bertemasya mendengar jawapan mesra Rozie Rosa. Dia memeluk bantal dengan senyuman puas. Dalam senyum menitis air mata gembira yang mensyukuri nikmat yang Esa. Dia berpuas hati dengan pertemuan siang tadi. Bertemu dengan ibu kandung yang menjadi impiannya sejak dulu. Sebelum tidur, dia mencatatkan rasa hati pada buku catatan. Malam itu tidurnya begitu nyenyak dan tenang. Dia merasakan seperti menikmati syurga di dunia, terlalu bahagia.

Ternyata peristiwa koma itu ada harganya. Nilai hikmah yang tidak terduga nikmatnya. Dia dapat bertemu Haji Malek yang kemudian membongkar identiti ibu kandungnya. Paling tidak disangka wanita yang dirindui itu adalah pelakon Rozie Rosa. Semua itu berlaku dalam tempoh tidak sampai sebulan. Adam berundur diri daripada kehidupan ayahnya dengan kekecewaan. Dia merasakan kehilangan yang amat besar. Namun kehadiran mama dapat mengisi kembali kekosongan hati.

Keesokan harinya Adam memandu pulang ke Kuala Lumpur. Dia menuju ke suatu tempat yang nostalgik. Dia memberhentikan kereta di bahu jalan lalu duduk menghadap ke arah ladang sawit yang terbentang luas menghijau. Pemandangan yang amat mendamaikan. Di situlah ayah melagukan azan buatnya. Di situ juga dia melaungkan jeritan batinnya ketika merasa kecewa kehilangan ayah. Dan hari ini, sekali lagi  lereng menghijau mendengar jeritan hatinya.

“AKU DAH ADA MAMA DAN AYAH!!!”

Lega dan puas hati! Dia melaungkan isihati yang sedang rancak merai kegembiraan. Kalau boleh dia ingin menjerit memberitahu semua orang yang dia sedang bahagia. Dia tersenyum puas. Tanpa mempedulikan kereta yang lalu lalang, Adam ketawa mengekspresi diri. Biarlah ada yang melihatnya dengan anggapan sinis. Bodoh! Gila! Tak apa, kerana hakikatnya mereka yang memandang sebenarnya tidak tahu apa-apa. Adam yang merasa gembira, dia yang tahu nikmatnya.

Adam kemudian meneruskan pemanduan. Dia tidak mahu menuju ke rumah sewanya di Kajang kerana bimbang dicari oleh Haji Malek. Adam menuju ke daerah Semenyih, mencari sahabat lama. Dia mahu tumpang bermalam di rumah Haikal, teman sebilik ketika dia di rumah anak yatim dahulu. Begitu nyaman tempat tinggal Haikal yang terletak di kawasan pinggir bandar yang ada suasana kekampungan.  Kehijauannya menyejukkan mata. Haikal mempelawa Adam untuk tinggal bersamanya, memandangkan lokasi itu tidak berapa jauh dari tempat kerja Adam.

Adam merasa bebas apabila bersama Haikal yang tidak tahu kisah hidupnya. Hati Adam bahagia dan lega setelah meluahkan segala cerita pada mama dan Aunty Ayu semalam. Segala yang menjadi bebanan berat di kepala menjadi ringan. Dia rasa seperti dilahirkan semula. Tuhan memberi peluang padanya untuk merasakan nikmat kasih sayang seorang ibu.

Malam itu, Adam mendapat panggilan daripada mamanya. Segera dia keluar rumah dan menjawab panggilan itu dengan mesra.
“Assalammualaikum mama”.

“Walaikumsalam. Anak mama sihat? Kat mana tu?”

“Adam sihat, sekarang Adam di rumah kawan kat Semenyih”.

“Mama nak beritahu Adam ni, bila suami mama pulang dari U.K nanti, mama akan ceritakan semua pasal Adam. Mama nak berterus terang dengan Papa J, Razzi dan Raisya”.

“Papa J? Adam kena panggil suami mama macam tu ke?”

“Mestilah! Suami mama, jadi papa Adamlah”.

“Perkara ni tak semudah seperti yang mama bayangkan. Keluarga mama belum tentu dapat terima Adam”.

“Kenapa Adam cakap macam tu?

“Yelah, Adam sedar siapa diri Adam. Adam dah pernah rasa kena reject. Kecewa, marah, sedih… semua ada. Bukan senang orang nak terima Adam sebagai ahli keluarga. Sebab Adam ni kan anak ha…”

“Tolong jangan cakap macam tu. Mama tak suka!”
Rozie Rosa memotong ayat Adam dengan tegas.

“Mama marah Adam? Adam minta maaf. Tapi Adam cakap perkara yang betul. Adam tak nak mama malu kerana Adam”.

“Mama memang patut tanggung malu, akibat dari kesilapan mama ketika remaja dahulu. Mama nak Adam tahu yang mama tak pernah menyesal melahirkan Adam ke dunia”.

“Tapi mama artis terkenal. Adam takut masyarakat meragui kewujudan Adam. Adam tak nak mama mendapat aib”.

“Itu semua biar mama yang uruskan. Sekarang, mama nak Adam jadi anak yang baik. Mama janji takkan tinggalkan Adam lagi”.

“Terima kasih mama. Mama buat Adam gembira sangat. Adam pun tak nak kehilangan mama lagi. Bila mama dah tua nanti, Adam akan jaga mama”.

“Sekarang Adam tak nak jaga mama ke?”

“Sekarang giliran mamalah yang kena jaga Adam”.

“Mama tengah jaga Adamlah ni. Itu yang mama ambil tahu tentang Adam. Bila-bila nanti mama telefon lagi, ya”.

“Ok, assalammualaikum mama. I miss you”.
“Walaikumsalam. I miss you too, sayang. Jaga diri baik-baik, ya”.

Adam masih tersenyum melirik setelah perbualan tamat. Dari tadi Haikal memerhati, kelihatan Adam seperti sedang bahagia.

“Wah! Sedang hangat bercinta ke? Manja je nampak?”
Usik Haikal. Dia sengaja berserkap jarang.

“Eh! Mana ada bercinta. Itu mama akulah! Mestilah manja”.
Dengan bangga dan selamba Adam membuat pengakuan. Sesungguhnya dia ingin berkongsi dengan seseorang tentang kegembiraannya.

“Betul ke? Dulukan kau tak ada keluarga? Bila kau jumpa mama kau?”  Haikal meragui.

“Betullah. Dia ibu kandung aku. Panjang ceritanya, tapi yang penting sekarang ni aku dah ada keluarga, sama macam orang lain”. Adam ceria menjelaskan isihati.

“Bila-bila nanti, kau kenalkanlah mama kau pada aku”.

Ala, kau kenallah siapa mama aku. Kalau aku bagitahu, mesti kau tak sangka” .

“Siapa? Bagitahu sajalah!”

“Kejap ya…”
Adam mencari gambar yang dipetik oleh Aunty Ayu di dalam telefon bimbitnya.
“Ni… tengok ni”. Adam menunjukkan beberapa gambar kenangan dia bersama mamanya.

“Rozie Rosa tu mama kau? Bila pula dia beranakkan kau?” Haikal mempertikai.

“Betullah! Demi Allah! Dialah mama kandung aku. Masa dia melahirkan aku, dia belum jadi artis lagi. Tapi, ni antara kita je. Aku tak nak kau hebohkan pada sesiapapun hal ni. Rahsia kita bersama, tau!”.

“Masyaallah, tak sangka… kawan aku anak artis terkenal rupanya. Nanti kau bawa aku jumpa mama kau, ya”.

“Ok”
Adam tersenyum puas. Dia bangga dapat berkongsi bahagia dengan seseorang yang boleh dipercayainya.

Keesokan hari, Rozie Rosa menghubungi Adam. Dia ingin memberikan sesuatu yang dibelinya ketika membeli belah. Rozie Rosa ingin menghantarkannya sendiri kepada Adam di Semenyih. Bertemankan Ayu, mereka mencari rumah Haikal. Kedudukan rumah itu agak tersorok kerana ia tidak berada di tepi jalan besar. Namun Ayu yang mahir mencari jalan, berjaya menemui rumah itu. Haikal teruja melihat wajah Rozie Rosa tatkala cermin separuh gelap itu diturunkan.

“Kenalkan, ini Haikal kawan Adam”.
“Haikal, ini mama aku, ini Aunty Ayu” .
Haikal lalu berjabat tangan dengan Rozie Rosa dan Ayu.

“Ini mama belikan untuk Adam” .
“Dan ini ada makanan sikit untuk Adam dan Haikal”.

“Terima kasih, mama. Buat susah-susah je”.

“Pakai, tau! Kalau boleh mama nak Adam pakai pakaian ni bila Adam datang ke rumah mama nanti”.

“Mama nak Adam datang ke rumah mama ke? Bila?”

“Bila Papa J dah balik dari U.K, mama akan beritahu Adam”.
“Mama nak balik dulu, ya. Haikal tolong tengok-tengokkan anak Aunty, ya”.

Haikal mengangguk sambil tersenyum manis. Adam bersalam dan mengucup tangan mamanya dengan rasa sayang dan hormat yang tinggi. Rozie Roza kemudian mengucup dahi Adam dan mengusap ubun-ubun anaknya itu. Senyuman ikhlasnya memancarkan sifat keibuan yang tebal.

Rozie Rosa turun tidak sampai lima minit, namun ia tempoh yang cukup untuk dua beranak itu saling melepas rindu. Dia ada urusan lain selepas itu. Bagaikan tidak percaya, Haikal menyaksikan pertemuan dua beranak itu di perkarangan rumahnya. Rozie Rosa melambai tangan hingga anak itu hilang dari penglihatannya.

“Sayang betul mama kau pada kau, ya?  Jealous aku!”

“Mak dengan anak, mestilah saling sayang menyayangi”.
Balas Adam ringkas.

Adam mencuba dua pasang baju yang dihadiahkan mamanya. Pakaian bergaya santai berjenama mahal. Dia rasa begitu dihargai. Malam itu Adam dan Haikal menonton drama lakonan Rozie Rosa. Mereka sama-sama bahagia dan puas hati dengan kunjungan pelakon itu siang tadi.







No comments: