BAB 7
Fahmi membantah
hasrat Adam untuk keluar dari rumah itu. Dia memahami jiwa Adam sedang tertekan
dengan kemelut yang masih belum selesai. Jika Adam menyendiri, keadaan mungkin
menjadi lebih buruk. Dia dengan mudah akan menurut rasa hati dan membuat
perkara yang bukan-bukan. Fahmi bimbangkan Adam. Dia tidak mahu Adam terus
menangisi nasibnya. Dia mahu Adam yang dahulu. Yang kuat dan bersemangat. Adam
yang di depan matanya kini terlalu lemah. Semuanya berubah setelah Adam sedar
dari koma.
Setelah meninggalkan Haji Malek, Adam segera menukar nombor telefon
bimbitnya. Dia tidak mahu ditemui oleh Syahid menerusi GPS. Dia mahu melupakan
terus keluarga Haji Malek. Biarlah ia terlakar sebagai kenangan manis dalam hidupnya.
Berbekalkan sebuah beg pakaian dan komputer riba, Adam
memandu seorang diri. Dia tidak tahu tujuannya. Jika kawan-kawan yang lain akan
pulang ke kampung bertemu ibu dan bapa apabila bercuti, dia hanya mampu menelan
liur mendengar pengalaman manis itu. Dia tidak pernah merasai kenikmatan pulang
ke kampung kerana dia hidup sebatang kara. Dia terus memandu ke selatan
tanahair tanpa sebarang perancangan.
Pemanduannya berhemah walaupun di dalam hati dan fikiran
dipenuhi dengan ingatan terhadap ayahnya. Dia memberhentikan kereta di kawasan
Rawat dan Rehat (RnR) untuk menunaikan
solat. Doanya panjang, mahu Tuhan mempermudahkan usahanya melupakan Haji Malek.
Anehnya, semakin dia ingin melupakan, semakin kuat kerinduannya pada Haji
Malek. Dia terlalu rindu pada ayahnya. Saat bahagia itu terlalu singkat.
“Ya Allah ya Tuhanku, kau sejahterakanlah ayahku, Haji Malek. Kau
satukanlah semula ayahku dengan isterinya. Ya Allah, setelah aku menjauhkan
diri dari mereka, kembalikanlah semula kebahagiaan buat keluarga itu”.
Adam mendoakan agar Haji Malek bersatu semula bersama isterinya. Adam
tidak mahu menjadi punca pada perpecahan sebuah keluarga bahagia.
Tiba-tiba selepas solat itu dia terngiang-ngiang jawapan
Haji Malek bila disoal tentang ibu kandungnya. Siapa yang tidak kenal pelakon
Rozie Rosa. Pelakon senior yang beberapa kali merangkul anugerah dalam industri
seni. Mana mungkin Haji Malek berbohong
membicarakan perkara sepenting itu. Tujuannya menerjah ke rumah Haji Malek jam
3 pagi semata-mata untuk mencari jawapan siapa ibu kandungnya. Di saat jawapan
itu menjadi miliknya, dia kehilangan pula seorang ayah. Sedangkan pada awalnya
hatinya meronta-ronta untuk mengetahui dan mencari ibu kandung bagi
melengkapkan sebuah keluarga impian. Dia mahu merasakan pengalaman memiliki
ayah dan ibu. Walaupun ayah dan ibunya bukanlah pasangan berkahwin, namun dapat
merasai kasih sayang mereka sudah memadai.
Adam meneruskan pemanduan melewati daerah Seremban.
Fikirannya tidak henti memikirkan Haji Malek dan Rozie Rosa. Saat itu impiannya
untuk mencari ibu kandung semakin memuncak. Walaupun dia gagal menjadi ahli
keluarga Haji Malek, namun itu tidak bererti dia tewas menjadi anak pada ibu
kandungnya.
Tiba di Bandar Melaka, dia mencari maklumat daripada
internet melalui komputer ribanya. Semua maklumat mengenai Rozie Rosa diteliti.
Menerusi sebuah laman sosial, Adam menjadikan Rozie Rosa sebagai kawan. Adam
bimbang jika laman sosial itu dikendalikan oleh individu lain kerana kesibukan
jadual Rozie Rosa. Namun dia tidak mahu melayan rasa negatif itu. Adam
mengharapkan laman sosial itu dikendali sendiri secara peribadi oleh Rozie
Rosa. Dia hanya menanti Rozie Rosa meluluskan permintaannya. Ini sedikit
sebanyak membantu dia mengalihkan ingatannya terhadap Haji Malek.
Malam itu dia bermalam di sebuah pantai peranginan. Beberapa kali
dia memeriksa emel mengharapkan respon daripada Rozie Rosa. Dia mahu Rozie Rosa
membalas mesejnya siang tadi yang berbunyi;
SALAM,
SAYA MOHAMAD ADAM BIN ABDULLAH.
LAHIR PADA 8 JANUARI XXXX
SAYA RASA KITA ADA
PERTALIAN DARAH.
SAYA MENANTI MESEJ BALASAN DARIPADA PUAN.
Telah hampir seminggu Rozie Rosa tidak mengemaskini laman sosialnya.
Selalunya Razzi yang membantunya meluluskan setiap permintaan peminat untuk
menjadi kawan. Razzi hanya berbuat begitu apabila mendapat arahan. Dia lebih
suka memberi ruang pada mamanya sendiri untuk berkomunikasi dengan peminat
dengan lebih dekat.
Penggambaran Puncak Rindu telah selesai. Selepas ini
Rozie Rosa akan mula sibuk dengan jadual
penggambaran drama terbaru berjudul Menggapai Impian. Wataknya kali ini ialah
seorang ibu kaya yang mengongkong. Berbeza sekali dengan peranan yang dimainkan
di dalam Puncak Rindu.
“Mama nak Razzi tolong update
Facebook dan Twitter mama tak?
Dah dekat seminggu dah tak update”.
Razzi menawarkan diri.
“Hmm…boleh juga. Tapi, Razzi cuma tolong approve dan confirmkan
aje, ya. Yang lain biar mama buat sendiri”. Pinta si ibu.
Seperti biasa, Razzi membantu meluluskan setiap permintaan peminat.
Dalam tempoh beberapa hari sahaja, terlalu ramai yang ingin menjadi kawan di
laman sosial itu. Sempat juga Razzi membaca komen-komen peminat. Kebanyakannya
memuji lakonan Rozie Rosa dalam drama
bersiri Puncak Rindu yang mendapat
sambutan hangat penonton.
Inbox juga penuh dengan mesej. Terasa ingin membukanya, tetapi dibiarkan
sahaja oleh Razzi kerana ia bersifat persendirian. Biarlah mama yang membuka
dan membacanya. Walaupun mama tidak berahsia, tetapi Razzi menghormati hak
individu.
Lewat malam itu, Rozie Rosa membaca komen-komen yang
membuatnya lena tidur. Sebagai anak seni yang telah lama berada dalam industri,
dia sudah masak dengan kritikan pedas dan gosip liar yang tidak membina. Dia
tidak boleh lalai dan melakukan kesilapan kerana semuanya diadili oleh
masyarakat. Masyarakat umum menjadi juri yang sentiasa memberi komen dan mereka
sememangnya sukar untuk dipuaskan.
Setelah penat membaca komen dia membuka mesej-mesej dan
membacanya. Dia mula menguap dan rasa mengantuk, namun digagahi juga demi
melayan peminat yang memberi sokongan. Tiba-tiba dia membuka mesej Adam. Rozie
Rosa tersentak. Bagaikan mahu meletup jantungnya. Dibacanya mesej itu beberapa
kali. Sekarang dia mulai faham mengapa kebelakangan ini rindunya pada Adam
memuncak. Rupanya anak itu sedang mencarinya.
Dia menyemak senarai chatting,
tetapi Adam tidak aktif. Segera dia membalas mesej itu dengan hati yang
berdebar-debar.
SALAM,
MOHAMAD ADAM, KITA PATUT BERTEMU DI MANA-MANA. TOLONG HUBUNGI SAYA
SECEPAT MUNGKIN. 019 77xxxxxx
Adam membiarkan komputer ribanya terbuka sepanjang malam. Dia terus
menanti maklumbalas daripada Rozie Rosa. Seandainya wanita itu punya perasaan
keibuan, sudah pasti dia mengenali pengenalan diri Adam kerana dia yang
inginkan Adam dinamakan sedemikian. Sudah beberapa emel yang masuk, semuanya
menghampakan. Tiba-tiba isyarat bunyi emel masuk berbunyi di tengah malam itu.
Dia mengucap syukur beberapa kali. Jantungnya berdegup
kencang. Dicapainya telefon lalu menekan nombor Rozie Rosa. Dia takut tetapi
dia mahu mencuba. Dia mahukan jawapan. Dia mahukan pengesahan sebagai
pengiktirafan daripada ibu kandung yang telah melahirkannya ke dunia.
Rozie Rosa segera menyambut panggilan daripada nombor yang tidak
dikenalinya itu. Deringan di tengah malam itu amat dinanti.
“Assalammualaikum…”
Rozie Rosa memula bicara.
“Walaikumsalam. Saya Adam”.
Suara Adam tersekat-sekat. Dia terlalu gementar.
“Kamu di mana sekarang ni Adam?”
“Melaka”.
“Kamu memang menetap di sana
ke?”
“Oh, tak. Saya sedang bercuti”.
“Kita perlu bertemu, Adam. Kalau boleh esok juga saya ingin bertemu
kamu. Boleh beritahu saya lokasi kamu?”.
“Aaa…boleh. Saya berada di Tanjung Bidara Beach Resort”.
“Baiklah. Esok saya akan bertemu Adam di sana . Adam tunggu, ya”.
Rozie Rosa menamatkan perbualan.
Tiada ciri-ciri kemesraan dalam panggilan itu. Namun ia sudah cukup
istimewa bagi Adam mahupun Rozie Rosa .
Kedua-duanya tidak sabar lagi untuk menanti tibanya hari esok. Pada jam 2 pagi
itu, Rozie Rosa menghubungi Ayu, sahabat lamanya.
Kerana menyangkakan menerima panggilan kecemasan, Ayu berasa lega
bila mendengar suara Rozie Rosa dalam kegembiraan. Dihayatinya satu persatu
cerita Rozie Rosa. Dengan perasaan teruja Ayu bersetuju untuk menemankan
sahabatnya itu ke lokasi Adam pagi esok.
Semalaman Rozie Rosa sukar untuk melelapkan mata. Dia tidak sabar
untuk sampai di Melaka dan bertemu Adam. Betapa besarnya kuasa Tuhan,
mengizinkannya bertemu kembali dengan anak yang telah terpisah dengannya 25
tahun dahulu.
“Melaka, kami datang!” .
Jerit mereka di dalam kereta dengan riang gembira. Ayu yang
menawarkan diri untuk memandu kerana memikirkan semalaman Rozie Rosa berjaga.
Dia khuatir jika sahabatnya itu mengantuk atau kepenatan.
“Bercakap pasal Adam, aku nak bagitahu kau sesuatu ni…” Ayu mula
bercerita.
“ Cakap jelah”.
“Abang Malek tengah sakit sekarang. Dia kena heart attack dan sekarang ada di hospital”.
“Hmm… biarlah dia dengan hidup dia Ayu. Aku memang tak berminat nak
tahu apa-apa tentang dia”.
“Kau agak, Adam dah jumpa Abang Malek ke belum?” Soal Ayu.
“Entahlah! Tapi, yang penting sekarang ni, aku nak jumpa dengan anak
aku!”.
Jerit Rozie Rosa bagaikan tidak dapat mengawal kegembiraannya.
“Sabar, sabar… kau dah rancang aktiviti kita kat Melaka nanti?”
“Tak pun. Aku ingat nak jumpa Adam lepas tu aku nak habiskan masa
bersama dia. Aku terlalu rindu pada dia. Dia anak aku, walaupun aku benci
dengan Abang Malek, tapi aku sayang pada anak aku. Aku yang mengandung dan melahirkan
dia”.
“Dah berapa umur Adam sekarang ni, ya?” Soal Ayu.
“25 tahun”. Spontan dijawab Rozie Rosa.
“Macam manalah agaknya rupa Adam sekarang ini, kan? Mesti dia
kacak”.
Ayu mula membuat ramalan.
“Aku tak kisah bagaimana rupa dia. Dia dah dewasa sekarang. Terlalu
lama aku pendam rindu pada anak aku”.
“Eh! Kejap, kejap! Macam mana nak pastikan yang budak tu memang sah
Adam anak kau?” Soal Ayu. Suasana dalam
kereta senyap seketika. Mereka sama-sama berfikir.
“Kita tengok buku lali kaki kiri dia…”
Mereka bercakap serentak sambil saling berpandangan. Kedua-duanya
ketawa tanda bersepakat setuju dengan
cadangan itu.
Ayu membiarkan Rozie Rosa meluah rasa terujanya. Dia
memahami kerinduan yang selama ini ditanggung sahabatnya itu. Dia masih ingat
sejarah silam ketika mereka sama-sama meniti usia remaja, Ayu menemani Rozie
Rosa bersalin di sebuah klinik swasta di Kuala
Lumpur . Detik yang tidak dapat dilupakannya sampai
mati. Dia turut merasa berdosa kerana bersubahat memisahkan anak itu daripada
ibunya. Namun, apalah pilihan yang ada pada mereka ketika itu. Mereka terlalu
mentah untuk melakukan sesuatu yang lebih bernas. Dengan hanya memikirkan situasi
ketika itu, mereka telah membuat tindakan melalui pemikiran dangkal.
Perjalanan itu mengimbau kembali sejarah silam yang
mereka lalui bersama. Sepanjang lebih 2 jam di dalam kereta menjadikan mereka
benar-benar bersedia untuk bertemu Adam.
Adam menjadi serba tidak kena. Dia memang mengimpikan detik pertemuan dengan
ibu kandungnya, namun bila saat itu hampir tiba, denyut resahnya menyerbu diri.
Dia berusaha untuk bertenang, tetapi gagal. Dia tidak henti-henti berselawat
untuk mententeramkan jiwa yang sedang berkocak hebat di dalam.
No comments:
Post a Comment