Thursday, June 20, 2013

KERANA SEORANG ADAM [Bab 5]

BAB 5
Hari kesepuluh.
Adam bersiap-siap untuk pulang. Haji Malek memujuk untuk membawa Adam tinggal bersamanya, namun ditolak lembut oleh Adam. Haji Malek membawa Adam pulang ke rumahnya untuk seketika. Dia mahu Adam tahu lokasi kediamannya bagi memudahkan Adam menjenguknya. Haji Malek tidak berputus asa mahu menjaga Adam, namun Adam belum bersedia untuk perubahan drastik itu.

“Ayah mahu mengenali Adam dengan lebih dekat”.

“Apa yang ayah mahu tahu tentang Adam?”

“Semuanya. Ayah mahu tahu semuanya tentang Adam”.

“Tapi, tak ada apa-apa yang menarik tentang Adam”.

“Jangan cakap macam tu Adam. Ayah dah kerugian 25 tahun. Ayah nak Adam kongsikan 25 tahun yang ayah hilang itu”.

“Masa masih panjang, ayah. Nanti kita akan selalu bertemu. Ayah akan tahu juga kisah silam Adam”.

Akhirnya Haji Malek menawarkan pula untuk menghantar Adam pulang. Sebagai ayah, dia mahu tahu tempat tinggal dan tempat kerja Adam. Dia mahu mengambil tahu semuanya tentang Adam. Haji Malek tidak puas mendampingi Adam. Dia mahu Adam menceritakan 25 tahun yang tertinggal. Walaupun pahit, dia mahu tahu segala-galanya. Dia mahu berkongsi suka duka Adam.

Di dalam kereta, perjalanan yang tidak terlalu jauh itu seakan bertambah kilometernya akibat kesunyian sesama mereka. Adam ingin berbicara tentang semua kisah silam tentang dirinya, namun dia tidak tergamak untuk bertanya. Dia mahu ayahnya mengesahkan setiap jawapan yang dititip Tuhan ketika dia koma tempohari. Haji Malek pula teruja dan terlalu terharu dengan kemunculan Adam, satu-satunya anak dari darah dagingnya sendiri. Dia perlu mengisi kesuyian itu dengan memulakan bicara. Bicara yang terkawal kerana antara mereka masih dalam proses saling menyesuaikan diri menerima antara satu sama lain.

“Apa yang Adam rasa semasa terlantar koma di hospital?” Haji Malek tiba-tiba membuka bual.

“Adam rasa macam berada di alam lain. Tapi Adam tenang sangat. Adam ingat Adam dah mati, sebab selalu dengar bunyi orang azan”.

“Adam suka dengar suara azan tu?” Soal Haji Malek.

Adam angguk. Memang bisikan azan itu menemani roh dan mendamaikan jiwanya ketika itu. Tiba-tiba Haji Malek memberhentikan kereta di bahu jalan. Melihat orang tua itu keluar dari kereta, Adam menyusul berdiri di sebelah ayahnya. Mereka sama-sama menghadap ladang sawit yang tersergam. Bersaksikan lereng menghijau, Haji Malek mengalunkan azan buat pendengaran Adam.

Allahhu Akbar, Allahhu Akbar
Allahhu Akbar, Allahhu Akbar
Ashhadualla illahaillallah, Ashhadualla illahaillallah,
Ashhadu anna Muhammaddarrasullullah, Ashhadu anna Muhammaddarrasullullah,
Haiya a’lal solah, Haiya a’lal solah,
Haiya a’lal falah, Haiya a’lal falah,
Allahhu Akbar, Allahhu Akbar
Lailahaillallah.

Adam terkesima dan terharu mendengar alunan yang menyejukkan hati. Dia kenal benar suara merdu itu. Inilah suara yang sering berkumandang di corong telinganya. Adam memeluk erat Haji Malek selesai azan dilaungkan. Dia rindukan suara yang menemaninya di saat dia berada dalam keadaan tidak sedarkan diri. Detik itu terlalu sentimental buat mereka berdua. Sangat bermakna!

“Kenapa ayah selalu azan di telinga Adam?” Soal Adam tiba-tiba.

Haji Malek serba salah untuk menjawab soalan yang mudah itu. Namun, maruahnya tidak akan jatuh jika dia berkata benar. Haji Malek ikhlas untuk menerangkan sebabnya.

“Sebab ayah tak buat perkara tu semasa ayah patut buatnya dahulu”. Jawab Haji Malek dengan mata yang berkaca.

Baru Adam faham mengapa Haji Malek asyik sahaja mengazankannya semasa dia koma.  Rupanya ia dilakukan untuk menebus kembali perbuatan yang diabaikan ayah semasa Adam dilahirkan dahulu. Mereka meneruskan perjalanan dengan persepsi yang berbeza. Bibit rasa sayang mula bercambah membenihkan flora indah yang sukar diluah. Gambaran kegembiraan terpancar dari senyuman ikhlas yang terukir.

Di rumah Adam, Haji Malek teruja melihat bingkai gambar yang tergantung di dinding. Foto Adam menerima ijazah tersergam menghiasi biliknya.
“Wah! Anak ayah belajar di universiti mana?”

“Di Universiti Multimedia, ayah”

“Sekarang Adam kerja di mana?”

“Di Kajang, sebagai Pereka Mutimedia”.

“Oh! Anak ayah ni artis rupanya. Berjiwa seni macam...”
Kata-kata Haji Malek terhenti di situ. Tidak tergamak dia mahu meneruskan ayat yang pendek itu.

“Macam siapa ayah?”

“Hmmm…tak ada apalah. Lupakan saja”.

“Ayah, Adam bukan budak-budak lagi. Adam tak mahu ayah rahsiakan apa-apapun daripada Adam”.

“Hmm… Adam memiliki jiwa seni sama macam ibu kandung Adam”.

“Hah? Ibu kandung Adam masih hidup?”

“Ayah, Adam dah jumpa ayah. Lepas ni Adam nak fokus untuk cari ibu pula. Ayah tahu tentang ibu Adam? Siapa? Di manakah dia, ayah?”

Haji Malek diam. Dia gagal meneruskan kata-kata. Dia pulang tanpa membuka mulut mengenai ibu Adam. Tinggallah Adam dalam kemusykilan. Malam itu Adam tidak dapat tidur. Asyik sahaja memikirkan tentang ibunya. Seandainya Haji Malek mengetahui di mana ibunya tinggal, Adam tidak teragak-agak untuk mencarinya. Kalau diikutkan perasaan, mahu malam itu juga dia ke rumah ayahnya untuk mengetahui semua cerita tentang ibu.
Jam 3 pagi. Gombak.
Ketukan pintu bertalu-talu dibuka oleh Syahid. Adam menurut kata hati. Dia gagal mengawal dirinya untuk menunggu sehingga hari cerah. Haji Malek terkejut melihat Adam tercegat dengan wajah sugul di waktu begitu. Matanya berkaca dan dia kelihatan sedih.

“Kenapa ni Adam?”
Haji Malek cemas melihat mimik muka Adam yang sayu. Selama ini, anak itu sudah puas menangis. Dia tidak mahu air mata Adam tertumpah lagi. Haji Malek mahu hidup Adam diulit bahagia.

“Maafkan Adam sebab ganggu ayah dan Syahid. Tapi Adam tak tenang bila ayah sebut pasal ibu”.

“Oh… pasal itu. Lega hati ayah. Adam buat ayah risau. Tidurlah dulu. Mari Ayah tunjukkan bilik Adam”.

“Tak nak ayah. Adam tak boleh tidur selagi tak tahu apa-apa tentang ibu. Kalau boleh, Adam nak cari ibu malam ni juga”.
Keresahan Adam terpancar dari sinar matanya. Matanya yang berkaca mengeluarkan manik-manik jernih. Syahid beredar meninggalkan Adam dan Haji Malek bagi memberi ruang untuk mereka meluahkan isi hati.

“Ibu Adam artis terkenal. Kalau ayah sebut nama dia, Adam tentu tak sangka. Tapi, masa Adam lahir, dia belum jadi artis lagi”.

“Siapa dia ayah? Tolonglah beritahu Adam. Adam nak jumpa ibu yang melahirkan Adam”.
Haji Malek menepuk-nepuk belakang Adam dengan lembut. Dia seakan memujuk supaya Adam bersabar.

“Tolonglah beritahu Adam, ayah. Siapa ibu kandung Adam?”

“Ibu kandung Adam ialah pelakon Rozie Rosa”.
Tanpa suara, air mata Adam tertumpah lagi. Bagaikan mimpi mendengar kenyataan itu.

Pada jam itu Rozie Rosa masih di lokasi. Memberi komitmen untuk drama yang mendapat sambutan  hangat. Dia perlu menghabiskan penggambaran yang hanya bersisa 2 hari sahaja lagi. Di set itu dia memegang peranan sebagai ibu yang terpisah dengan anaknya ketika kecil dan bertemu semula setelah anak itu dewasa. Tidak susah untuk Rozie Rosa menjiwai watak itu. Pengalaman pahit yang pernah dilalui sendiri memudahkan penghayatan watak.

Hakikatnya hanya Tuhan yang tahu bagaimana tersentuhnya hati Rozie Rosa apabila membaca skrip kisah itu untuk kali pertama. Lakonannya membawa kesan mendalam hingga mampu membuat penonton sama-sama menangisi penderitaannya. Dia dilontarkan dengan komen-komen pujian kerana keberkesanan lakonannya. Sesuatu yang mereka tidak tahu, kisah itu hampir sama dengan kisah peribadinya. Kisah hitam yang terpendam selama 25 tahun. Dia terlalu rindukan anaknya. Saban hari selama 25 tahun dia sentiasa mendoakan agar Tuhan melindungi Adam. Naluri keibuannya kuat menyatakan dia akan menemui Adam suatu hari nanti.

Jam 6 pagi, Rozie Rosa pulang. Di hari Sabtu itu, dia bersolat subuh seorang diri. Suaminya berada jauh di luar negara bersama isteri pertama. Dia sudah lali dengan rutin hidup sedemikian. Doanya pagi itu terlalu panjang. Kebelakangan ini, rindunya pada Adam menbuak-buak. Rozie Rosa beranggapan perkara itu terjadi mungkin pengaruh daripada drama ‘Puncak Rindu’.

“YA ALLAH YA TUHANKU… KAU LINDUNGILAH ANAKKU ADAM SENTIASA. KAU LINDUNGILAH ADAM SENTIASA, YA ALLAH. LINDUNGILAH ADAM SENTIASA, YA ALLAH…”
Doa itu kekal menjadi doa harian di hujung solat. Setelah mendoakan kesejahteraan keluarganya, Rozie Rosa tidak pernah lupa untuk menyebut nama Adam. Dia tenang setiap kali mendoakan Adam. Tanpa disedari, Razzi dan Raisya sedang memerhati dari luar pintu yang tidak ditutup rapat. Biarpun Rozie Rosa sampai di rumah menjelang subuh, Razzi dan Raisya faham kerjaya ibu mereka. Setelah selesai Rozie Rosa menunaikan solat, Razzi dan Raisya menyapa dan menghampirinya.

“Eh! Anak-anak mama tak mengantuk ke?”
“Lepas bangun solat subuh, kami dengar mama balik, terus tak mengantuk”.
Kedua-duanya bersandar di bahu Rozie Rosa. Sepasang kembar itulah permata hati yang menjadi tempat Rozie Rosa meluahkan kasih sayangnya. Razzi dan Raisya kini berusia 17 tahun. Cahayamata yang dimanjakan dan ditatang bagai minyak yang penuh.

“Mama… Adam tu siapa? Anak mama kan Razzi dengan Raisya je?”
Rozie Rosa terkejut dengan soalan Raisya. Berubah air mukanya, namun segera disembunyikan keresahan hati. Tidak disangka mereka mendengar doanya kali itu. Selalunya doa yang bersifat peribadi itu diluahkan di dalam hati. Namun, di subuh nan syahdu itu Rozie Rosa meluahkan segalanya seikhlas hati tanpa berbisik. Dia tahu Razzi dan Raisya menunggu jawapan yang logik daripadanya.

“Oh… Adam tu anak angkat mama. Dulu mama ada anak angkat, tapi mama tak tahu di mana dia sekarang”.

“Mama tak pernah cerita pun…”
Rungut Raisya.

“Sudahlah… yang penting mama ada Razzi dan Raisya”
Rozie menepuk-nepuk belakang Razzi dan Raisya.

“Oklah, mama rehatlah. Mesti mama penat. Petang ni Mama ada shooting lagi, kan?”
Razzi bersuara tenang.
“Ya, sayang. Mama nak tidur sekejap. Sayang mama sikit”.
Razzi dan Raisya mengucup pipi Rozie Rosa kiri dan kanan. Mereka tersenyum meninggalkan mama yang amat mereka sayangi. Tidur Rozie Rosa tidak lena. Walaupun dia penat memenuhi jadual penggambaran, tetapi fikirannya tidak tenteram, sekaligus menyebabkan matanya enggan dilelapkan. Dia beralih tempat beberapa kali, tetapi gagal. Akhirnya dia bangun menyediakan sarapan untuk sepasang buah hatinya.

Mak Yah si pembantu rumah akur apabila disuruh majikan meninggalkannya sendirian di dapur. Rozie Rosa memang rajin menyediakan hidangan untuk keluarga setiap kali ada masa terluang. Tiada apa yang lebih menggembirakan hatinya selain daripada melihat anak-anak mengukir senyuman setiap kali menikmati masakannya.

“Hmmm…memang sedap! Tapi, Razzi kesian pada mama. Mama kan letih baru balik shooting, belum tidur lagi. Petang nanti nak pergi lagi. Mama tak penat ke?”

“Mama memang penat, tapi mata mama tak mahu tidur. Lebih baik mama turun memasak. Boleh kita makan sama-sama”.

“Bila papa balik sini mama?”

“Lagi 2 minggu”.

“Ha…ni mesti mama rindu papa, kan?”Usik Raisya.
Ala…ke situ pula Raisya fikir. Taklah…mama dah biasa. Lagipun papa kan sedang bercuti dengan famili Mama Jasmin. Kita tak boleh ganggu”.

“Habis tu, mama fikir apa yang sampai tak boleh tidur?”

“Hmmm…mama fikir anak-anak mama inilah. Tahun ni nak S.P.M, tapi mama tak nampak pun anak-anak mama study?

“Mama jangan risaulah. Razzi je yang malas. Raisya rajin study”.
Jelas Raisya mesra sambil mencuit kembarnya. Razzi hanya menjeling sambil tersenyum. Dia tahu mama bijak menilai.

“Petang ni Razzi ikut mama pergi shooting, boleh?”

“Boleh. Tapi siapkan kerja sekolah dulu”.

“Yes ma’am”.

“Tapi mama takut Razzi penat tunggu mama. Razzi je? Raisya tak nak ikut?”

“Nak! Nak! Raisya nak ikut. Lagipun weekend, apa salahnya” Raisya teruja.

Ala, Raisya kan nak study. Tak payahlah ikut!” Balas Razzi. Di meja makan itu mereka saling usik mengusik.

“Pukul 3.30 kita pergi, ok. Mama tak nak tunggu-tunggu. Siapa lambat, tinggal!”



No comments: