BAB 4
Hajah Fazilah semakin keliru. Kepulangan Syahid bukan
sahaja tidak membantu, bahkan menambah lagi keserabutan di kalbu. Haji Malek
dan Syahid seolah-olah berada dalam dunia mereka sendiri. Sedang Hajah Fazilah
terus diselubungi tanda tanya. Masalah terbesar mereka ialah tiada komunikasi
yang berkesan. Syahid yang sememangnya lebih rapat dengan ayahnya, tidak
menjelaskan kisah Adam, mendorong
menguatkan lagi kegelisahan yang kian bersarang di hati Hajah Fazilah.
Hari ketujuh.
Dari tadi dia berdiri di tepi jendela. Sesekali mengintai bila
terdengar bunyi enjin kereta. Penantiannya bagaikan tidak mahu berakhir. Selang
beberapa ketika dia duduk. Kemudian dia bangun dan meninjau lagi. Namun, yang
ditunggu tidak muncul tiba. Hanya harapan palsu yang mengundang berbakul-bakul
kehampaan. Perasaannya luluh bila terasa diri tidak dipeduli.
Selama lebih seminggu dia beralah membiarkan Haji Malek menemani
samseng kaki pukul itu di hospital. Hajah Fazilah langsung tidak mengetahui
identiti Adam. Padanya pemuda kurang ajar itu tidak layak diberi layanan yang
baik. Sepatutnya terus dihumbankan ke lokap.
“Abang tahu apa yang Abang buat. Zilah janganlah bersangka buruk
pada Abang. Abang harap Zilah dapat bersabar dan berilah kepercayaan pada
Abang. Zilah tolonglah beri Abang sedikit masa dan ruang untuk Abang
memperbaiki diri. Bila tiba masanya, Abang akan jelaskan segala-galanya pada
Zilah”.
Itulah sahaja ayat yang menjadi jawapan kepada setiap pertanyaan
Hajah Fazilah. Untuk menanti penjelasan yang entahkan bila tiba masanya, Hajah
Fazilah sudah letih. Sepanjang tempoh berkongsi hidup selama 25 tahun, inilah
dugaan terbesar yang terpaksa ditempuh. Hajah Fazilah tidak mahu terus
menunggu. Dia mahu jawapan sekarang.
Petang itu sabarnya pudar. Dia sudah tidak tahan lagi
terkapar-kapar keseorangan di rumah. Haji Malek sudah melampau. Sudahlah
restoren sumber rezeki mereka diabaikan, isteri pula dibiarkan
terkontang-kanting keseorangan mencari jawapan. Sedangkan selama ini kedua-dua
itulah antara perkara terpenting dalam hidup Haji Malek selain Syahid. Kini
tiba-tiba Adam muncul. Pembawa musibah yang entahkan dari mana asal usul keturunannya.
Dengan nekad Hajah Fazilah menuju ke hospital. Dia mahu merungkai segala yang
terbuku di hati. Mindanya sudah penat memujuk diri sendiri. Namun dia gagal
untuk mempertahankan kesabarannya.
Langkahnya teratur walau di dalam hati sebu dengan rasa
marah. Dari jauh dia tercari-cari. Ketika itu pintu bilik Adam terbuka luas. Tiba-tiba
matanya tertumpu pada kelibat Haji Malek yang berada beberapa meter daripada
kedudukannya. Terkesima Hajah Fazilah tatkala memerhati dari luar pintu betapa
Adam dijaga dengan rapi oleh Haji Malek. Syahid duduk di hujung kaki Adam. Haji
Malek mengusap ubun-ubun Adam dengan penuh kasih sayang sambil mulutnya
terkumat kamit membisikkan sesuatu di telinga Adam.
Allahhu Akbar, Allahhu
Akbar
Allahhu Akbar, Allahhu
Akbar
Ashhadualla illahaillallah,
Ashhadualla illahaillallah,
Ashhadu anna
Muhammaddarrasullullah, Ashhadu anna Muhammaddarrasullullah,
Haiya a’lal solah, Haiya
a’lal solah,
Haiya a’lal falah, Haiya
a’lal falah,
Allahhu Akbar, Allahhu
Akbar
Lailahaillallah.
Langkah Hajah Fazilah terhenti dan terpaku di situ. Air matanya
tidak terempang, turun mencurah menyaksikan babak yang merobek perasaan itu. Ya
Allah… dia siapa? Yang sampai perlu ditatang sedemikian? Sampai hati Abang membiarkan
Zilah sendirian, sedangkan Abang membela mayat hidup yang berdosa itu. Tidak
puas dengan itu, Abang pengaruhi pula Syahid sehingga anak yang masih mentah
itu menurut sahaja bagaikan lembu dicucuk hidung. Budak samseng itu yang dijaga
saban hari sehingga lupakan semua yang telah dibina.
Keluhan dan rungutan yang panjang meruntun di sanubari.
Dia tidak mahu diperkotak katikkan oleh insan yang sepatutnya mengutamakan
dirinya. Sebagai pemegang status isteri, Hajah Fazilah ingin disayangi, dilindungi
dan dihargai. Tanpa meminta maaf kerana melukakan hatinya, Haji Malek
seolah-olah tidak sedar yang perbuatannya mengundang konflik jiwa pada
rumahtangga mereka. Semuanya kerana kemunculan pemuda misteri itu.
Hajah Fazilah tidak sanggup melihat adegan yang mengelirukan
itu. Darahnya serta merta naik ke kepala. Terlalu sarat menanggung rasa sakit
hati. Tanpa menghampiri tiga beranak itu, Hajah Fazilah beredar dengan rasa marah
dan sedih yang membuak-buak. Rasa meluatnya pada Adam bertambah berlipat kali
ganda. Hajah Fazilah merasakan dirinya tidak lagi dihargai. Haji Malek lebih
mementingkan orang luar yang jahat itu daripada isteri sendiri. Memuliakan
samseng yang telah mencederakannya dan mengabaikan isteri sendiri yang telah 25
tahun setia mendampingi mengharung saat suka mahupun getir. Lebih melukakan
perasaan, Haji Malek berjaya mempengaruhi Syahid untuk bersekongkol dengannya.
Hajah Fazilah berjalan pantas meninggalkan perkarangan
hospital. Terlalu pahit rasanya apabila dia terpaksa melihat detik itu. Dia tidak
mahu pulang ke rumah. Hajah Fazilah ingin membawa hatinya yang luka itu
jauh-jauh. Dia tidak cukup kuat untuk berhadapan dengan dugaan yang berat itu.
Pancaroba yang menegangkan urat sarafnya hingga dia longlai untuk menerima
kenyataan. Tujuannya datang ke situ adalah untuk membawa Haji Malek dan Syahid
pulang kembali padanya. Namun, melihatkan kemesraan tadi, Hajah Fazilah pasrah.
Dia mahu pulang ke Sarawak . Meninggalkan suami
dan anak yang telah meminggirkannya. Di sini sudah tiada apa-apa. Tiada sesiapa
lagi yang mengambil berat tentangnya.
Hakikatnya, apa yang ditafsir oleh Hajah Fazilah terlalu
jauh menyimpang. Langsung tidak terfikir kisah di sebalik kejadian yang
berlaku. Dia melatah dan berfikiran negatif apabila melihat pemuda yang dibenci
dan didendami itu tidak dihukum. Sebaliknya dimuliakan oleh Haji Malek.
Sedangkan Haji Malek sendiri adalah mangsa yang dizalimi Adam. Begitu persepsi
Hajah Fazilah.
Kebenarannya, Haji Malek ingin menebus setiap saat yang
dimilikinya untuk mendampingi anak yang telah dizalimi sejak anak itu lahir ke
dunia pada 25 tahun dahulu. Selama tempoh itu jugalah Haji Malek merasa rugi
kehilangan seorang anak dari darah dagingnya. Dia buntu berhadapan dengan
musibah yang tidak terjangkau oleh akal. Musibah yang kemudiannya membawa
hikmah hebat di depan mata. Hikmah yang merupakan nikmat untuk disyukuri.
Semuanya kerana seorang Adam.
Hari kelapan.
Syahid membawa berita ibunya sudah meninggalkan rumah. Haji Malek
seakan tidak percaya betapa rapuhnya kesabaran Hajah Fazilah menghadapi ujian
itu. Dia hanya meminta sedikit ruang dan masa untuk memperbaiki kekhilafan
diri, namun Hajah Fazilah terlalu cepat berjauh hati. Terlalu pantas membuat
kesimpulan sendiri. Kisah Adam terlalu besar dan amat memalukan. Kisah hitam
yang tidak terduga oleh sesiapa yang mengenali Haji Malek. Haji Malek
memerlukan masa yang sesuai untuk menjelaskan keadaan sebenar kepada Hajah
Fazilah. Dia mahu menunggu Adam sedar dari koma untuk melangsaikan hutangnya
pada Adam dan juga Hajah Fazilah. Pada peringkat
awal, dia sendiri trauma dan terkejut dengan kehadiran Adam. Haji Malek
memerlukan masa untuk bertenang dan berlapang dada.
Puas dihubungi, Hajah Fazilah membatu. Diam membisu
tanpa memberi peluang pada Haji Malek dan Syahid untuk menjernihkan keadaan.
Detik itu bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga. Haji Malek redha kerana mengerti
balasan Ilahi pada hambaNya yang ingkar. Dia telah melakukan dosa besar. Mana
mungkin dosa itu terhapus begitu sahaja. Syahid sangat memahami situasi sesalan
yang menghimpit bapanya. Dia tidak akan menyalahkan bapanya atas perkara yang
telah terjadi berpuluh tahun dahulu. Dia melihat bagaimana kesalnya Haji Malek
atas perbuatannya dahulu. Mengungkit kisah hitam itu akan menambah lagi
sengsara sesalan Haji Malek.
Di saat Haji Malek ingin keluar mencari isterinya, tiba-tiba Adam
memberi reaksi pergerakan. Tidak sampai satu kilometer daripada kawasan
hospital, Haji Malek berpatah balik apabila dihubungi Syahid. Berkat doa yang
tidak putus, Adam tersedar dari koma pada hari kelapan. Sekurang-kurangnya ada
juga berita baik di saat Haji Malek terkilan dengan pemergian isterinya.
Daripada kabur, pandangannya semakin jelas. Dia bukan sahaja dapat
melihat, tetapi juga merasakan sentuhan.
Segala kisah yang tergambar semasa dirinya koma, menceritakan kronologi
yang ingin diketahui seumur hidupnya. Jawapan daripada Allah S.W.T yang
tidak perlu disangsikan.
“Adam…ini ayah, nak…”
Haji Malek menggengam erat jemari Adam.
Adam masih diam. Dia terlalu lesu untuk memberi reaksi. Cuma air mata
jernih yang menitis perlahan dari kelopak matanya yang baru sahaja terbuka
luas. Dan air mata itu adalah jawapan yang mudah difahami.
“Adam… ayah ada di sini, nak. Ayah takkan tinggalkan Adam lagi”.
Adam menangis lagi. Tidak bersuara tetapi air matanya semakin laju.
Dia membiarkan Haji Malek mengucup tangannya. Dia dapat merasakan tangannya
dibasahi air mata orang tua itu.
“Syahid, mari sini nak”.
Dari hujung katil, Syahid datang menghampiri. Memerhati wajah Adam
dengan pandangan terharu.
“Adam… ini Syahid, adik kamu”.
Haji Malek meletakkan tangan Syahid pada tangan Adam. Dengan penuh
rasa hormat, Syahid bersalam mengucup tangan Adam.
Adam masih diam. Dia menjadi kaku tatkala apa yang diingini berada
di sisi. Sayu, sedih, terkilan, menyesal, gembira, semuanya berbaur di dalam
hati. Dia menangis atas semua rasa itu. Ayah kandung yang dicari telah muncul
di depan mata. Melihatkan Haji Malek bertanggungjawab menjaganya, Adam dengan
rasa rendah hati ingin memohon ampun atas ketelanjurannya menumbuk orang tua
itu dengan emosi. Walau hanya satu tumbukan, sudah cukup untuk melabelkannya
sebagai anak derhaka.
Namun, perlukah dia meminta ampun jika di dalam hati masih wujud
berguni-guni dendam amarah? Bapa kandung yang dicari adalah orang yang
bertanggungjawab menyiksa dan membuangnya dengan niat untuk membunuh. Sekarang
manusia zalim itu menghinjak tua dan memiliki kehidupan yang berbeza. Tiba-tiba
Adam jadi keliru. Dia gembira dan terharu kerana bertemu ayah kandungnya.
Tetapi dalam waktu yang sama, dia turut merasa marah, sakit hati dan terhina
dengan perbuatan orang tua itu ke atas dirinya dahulu. Terlalu sarat kisah
pahit yang tersurat pada takdir hidupnya. Kini wajarkah dia menerima orang tua
kejam itu sebagai bapanya… Ahhh!!! Runsing dan menyakitkan kepala!
Semasa diperiksa doktor, Adam tidak menjawab setiap
soalan yang diajukan kepadanya. Dia hanya menggunakan isyarat mengangguk atau
menggelengkan kepala. Masih belum mampu kerongkongnya untuk meluahkan
kata-kata. Setelah doktor beredar, Adam menjadi serba salah. Dia tidak tahu
apakah yang wajar dilakukan ketika berhadapan dengan Haji Malek dan Syahid.
Walau bertahunan dia berusaha mencari orang tua itu, namun di saat segalanya
berdiri di depan mata, Adam buntu. Dia menjadi gelisah kerana tidak bersedia
untuk menghadapi semua itu sekaligus.
Dalam melayan dilema, mujurlah datang pekerja hospital
membawa makanan. Hidangan itu menjadi penyelamat, mengisi kesunyian. Hidangan
itu diletakkan di meja beroda yang terletak di ruang kaki Adam. Adam menguatkan
diri untuk bangun. Namun dengan pantas Syahid membantu mendekatkan kedudukan
meja itu kepada Adam. Adam ingin mencapai sudu, tiba-tiba tanpa diduga, Haji
Malek terlebih dahulu memegang sudu itu.
Kudrat lemahnya hanya memerhatikan segala tindak tanduk Haji Malek
dan Syahid. Dia terharu apabila ada insan yang menjaga kebajikannya. Semasa
koma, Adam tidak mampu menelan makanan sendiri, melainkan dimasukkan melalui
tiub. Selepas ini apa pula yang ingin dilakukan oleh Haji Malek, Adam tidak
pasti. Namun perkara itu bermain di fikirannya.
Dia mahu tahu apa seterusnya.
Dengan penuh kasih sayang Haji Malek menyuapkan bubur nasi dan
sup ke mulut Adam. Begitu janggal rasanya apabila dilayan sebegitu. Dengan
suapan pertama itu, air mata Adam mencurah deras. Kali ini ada suara esakan
yang jelas kedengaran. Haji Malek dan Syahid menyaksikannya. Tiada perasaan
malu ketika itu kerana dirinya terlalu terharu dengan kasih sayang yang
julung-julung kali dapat dirasa. Sepanjang hidupnya, dia tidak pernah dimanja,
dikasih oleh ibu mahupun bapa. Hanya dilayan sama rata oleh pengasuh yang
bekerja di rumah kebajikan anak-anak yatim. Dia memang mendambakan rasa
disayangi. Dan kini dia mula dapat menikmati dan merasakan erti kasih sayang
keluarga. Dengan sukar, Adam menelan makanan itu. Dia tidak dapat menerima
suapan seterusnya. Dia terus menangis teresak-esak. Nada sayu menyelubungi
bilik itu.
Haji Malek faham. Air matanya sudah tertumpah banyak daripada mula
Adam dimasukkan ke hospital itu. Tempoh lapan hari menjadikannya lebih tenang
dan berlapang dada. Syahid tunduk sambil air matanya turut gugur satu persatu.
“Maafkan ayah, nak. Ayah telah menganiaya kamu. Dosa ayah terlalu
besar”.
Haji Malek memeluk erat tubuh Adam. Mulut Adam seakan terkunci.
Membiarkan Haji Malek terus merayu padanya. Adam hanya menangis pilu.
“Ayah tahu ayah salah. Maafkanlah ayah, nak. Maafkanlah ayah. Ayah
malu atas perbuatan terkutuk ayah dahulu. Maafkan ayah”.
Haji Malek terus merayu. Dia dapat merasakan anak itu masih
mendendaminya. Pada detik bersejarah itu, Adam menolak egonya kerana dia memang
mahu memeluk bapa kandungnya. Beberapa saat kemudian, Adam membalas dakapan itu
dengan hati yang ikhlas. Dia memeluk erat ayahnya yang telah lama dirindui.
“Kenapa ayah buang Adam? Kenapa ayah benci Adam sampai nak bunuh
Adam?” Ungkapan keramat itu terluah dengan bisikan penuh emosi. Adam dan Haji Malek
menangis semahunya dalam dakapan. Pertemuan anak dan bapa yang terlalu menyayat
hati.
Haji Malek tergadah dengan luahan pertanyaan Adam. Terlalu berbisa
hingga menusuk ke jantung. Rasa bersalahnya memuncak. Namun, dia terus
menggagahi diri meminta maaf atas perbuatannya dahulu.
“Maafkanlah ayah. Ayah memang salah. Dosa ayah terlalu besar pada
Adam. Maafkanlah ayah”. Hanya ungkapan maaf yang mampu dijawab sebagai pujukan.
“Abang Adam maafkanlah ayah. Ayah dah bertaubat dan insaf”.
Syahid berniat untuk melembutkan hati Adam.
“Ayah takkan tinggalkan Adam lagi. Kita akan mulakan hidup baru
bersama-sama. Ayah sayangkan Adam”.
Haji Malek memujuk dengan luahan yang meyakinkan. Kehadiran Adam
benar-benar menginsafkan. Adam mengangguk dan memeluk kembali ayahnya.
“Adam pun nak minta ampun pada ayah sebab tumbuk ayah…”
“Ayah dah lama ampunkan Adam sebab Adam tak salah. Ayah yang
menyebabkan Adam buat begitu”.
Dua beranak itu sama-sama memaafkan, saling menerima. Syahid
memerhati dengan sayu. Walaupun ketika Adam koma dia menerimanya dengan ikhlas,
namun di saat itu timbul sekelumit rasa cemburu di hati. Dia tidak mampu untuk
menidakkan perasaan itu. Adam telah sedar dan semuanya bakal berubah. Perlahan-lahan
Syahid mahu beredar dari bilik itu.
“Syahid, sini nak”.
Pantas Haji Malek memanggil dan memegang tangan Syahid. Dia tidak
mahu Syahid rasa terpinggir. Haji Malek kemudian memeluk erat kedua-dua
anaknya. Ketiga-tiga mereka menangis sambil tersenyum. Terbit suatu perasaan
puas hati dan gembira yang sukar untuk digambarkan.
“Syahid jangan tinggalkan ayah. Adam dan Syahid sama-sama anak ayah.
Ayah janji takkan tinggalkan kedua-dua kamu. Ayah sayangkan anak-anak ayah” .
Syahid faham. Terbang perasaan cemburu yang ingin merasuk dirinya.
Dia menerima kehadiran Adam sebagai abangnya seikhlas hati.
No comments:
Post a Comment