Friday, June 28, 2013

KERANA SEORANG ADAM [Bab 6]

BAB 6
“Adam janganlah balik dulu. Lagipun hari inikan Sabtu”.

“Syahid dan ibu Syahid kan ada temankan Ayah. Eh! Tapi Adam tak pernah kenalpun ibu Syahid?”.

“Ibu Syahid…ibu Syahid…dah tak ada di sini”.
Jawab Haji Malek teragak-agak.

“Tak fahamlah. Ibu Syahid di mana?”
Soal Adam ikhlas inginkan kepastian.

“Ibu pulang ke Sarawak
Syahid menyampuk tiba-tiba.

“Ayah dan Syahid tak ikut?”
Tanya Adam jujur.

“Ibu dah lari sebab…”
Bicara Syahid membuatkan Haji Malek kurang selesa. Dia tidak mahu isu itu mengeruhkan keadaan.

“Syahid... Adam tak ada kaitan dalam hal ni”.
Pantas Haji Malek memotong ayat Syahid. Dipandangnya Syahid dengan wajah serius. Dia tidak tahu apa niat Syahid namun itu bukanlah tindakan yang bijak dilakukan di saat semuanya masih dalam proses sedang berusaha menyesuaikan diri.

“Semua ni berlaku kerana Adam ke?”.
Adam keliru, namun dia mula dapat menghidu sesuatu.

“Semua ni salah faham saja”.
Haji Malek berusaha menenangkan keadaan.

“Salah faham? Adam kelirulah. Apa semua ni ayah? Syahid?”
Adam menjadi resah dan bimbang jika ia melibatkan kehadiran dirinya.

“Sebenarnya ibu salah faham. Ibu tak tahu siapa Abang Adam. Yang ibu tahu, Abang Adam ialah orang yang pukul ayah. Sebab itu ibu benci Abang Adam. Dah puas kami hubungi, akhirnya saudara di sana yang beritahu kami. Ibu merajuk dan bawa diri ke Sarawak”.

Terduduk Adam mendengar luahan Syahid. Dia merasakan kehadirannya telah memecah belahkan keluarga bahagia Haji Malek. Begitu luluh rasanya jiwa di saat dia mula berjaya mengisi kekosongan hati, ada pula insan lain yang terluka.

“Adam yang salah. Bila Adam muncul, keluarga ni jadi porak peranda. Adam akan pergi dari hidup ayah. Itu yang terbaik untuk keluarga ni. Maafkan Abang, Syahid. Sebab Abang, Syahid hilang ibu”.

“Bukan salah Adam. Ini semua salah ayah. Adam jangan risau, ayah akan selesaikannya satu persatu”.
Perkara yang paling membimbangkan bagaikan bakal terjadi. Haji Malek tidak mahu Adam pergi darinya. Dia mahu menebus segala perbuatannya yang selama ini sudah cukup membuatkan hidup anak itu derita.

“Adam dah susahkan semua orang. Adam minta maaf. Dari dulu lagi Adam dah dapat rasa yang Adam ni memang tak ada tempat di mana-mana”.
Adam mengucup tangan ayahnya dan dengan pantas membuka pintu dan beredar pergi.

Haji Malek menahan, memegang erat tangan Adam. Dengan kuat, Adam melepaskan pegangan itu dan berlalu. Maka terlerailah ikatan dua jiwa yang baru sahaja berdamai di bumi Tuhan. Air mata Haji Malek tertumpah menangisi pemergian Adam. Kalau 25 tahun dahulu, dia yang berniat untuk menghapuskan bukti kelahiran Adam di dunia, kini roda kehidupan berpusing ligat. Haji Malek bagaikan hilang separuh nyawa apabila Adam pergi meninggalkannya. Dia tidak sanggup kehilangan anak itu lagi. Haji Malek telah insaf. Dia benar-benar menyesal atas perbuatannya yang dilaknati Allah S.W.T. 

Syahid mengejar Adam. Namun Adam tidak mempedulikannya dan memecut laju beredar meninggalkan kawasan itu. Syahid memerhati Adam berlalu dengan terkilan. Syahid melangkah masuk ke rumah dan mendapati Haji Malek telah rebah di lantai. Semuanya berlaku terlalu pantas. Dalam kekalutan, Syahid menghubungi Adam yang belum jauh meninggalkan kawasan perumahan itu. Bertalu-talu panggilannya tidak diendahkan. Adam lantas mematikan telefon apabila mendapati panggilan itu dibuat oleh Syahid. Dia tidak mahu lagi ada kaitan dengan keluarga itu. Dia sudah lali hidup sebatang kara. Walaupun jemu dengan cara hidup itu, dia perlu meneruskannya.

Adam melayan kecamuk perasaan. Dia tidak mampu fokus pada pemanduannya. Dia memberhentikan kereta di tepi lebuhraya dan keluar membetulkan nafas yang sesak sepanjang perjalanan.

“Arghhh!!!!!!”  
Dia menjerit ke arah ladang sawit yang luas menghijau. Adam menangis semahunya. Tiada yang mempeduli. Hanya bunyi deruan enjin kenderaan yang berdesing memecut laju. Dia menyalahkan diri sendiri kerana mengakibatkan Haji Malek ditinggalkan isteri. Adam menyesal kerana hadir dalam hidup Haji Malek. Namun, nun di sudut hatinya masih memanjat rasa syukur pada Ilahi. Adam bersyukur kerana sekurang-kurangnya dia berpeluang menikmati rasa disayangi dan dihargai seorang ayah walaupun dalam tempoh yang singkat. Tangisannya adalah kerana kesal kemanisan itu telah berlalu. Di saat dia bahagia menemui sinar yang mengisi kekosongan hati, tanpa disedari dia telah menghiris hati insan yang lebih berhak. Itu yang memilukan perasaan.
Adam duduk termenung menghadap ladang sawit. Dalam hiruk pikuk deruan enjin yang bertali arus, Adam merasakan sedikit ketenangan apabila menikmati pemandangan hijau itu. Dia mahu berlapang dada sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah. Dalam waktu terdekat, dia nekad untuk mencari rumah sewa yang baru. Dia tidak mahu Haji Malek mencarinya. Sudah terbukti kehadirannya dalam keluarga itu mengkucar-kacirkan keadaan. Dia tidak mahu meruntuhkan masjid yang telah lama dibina. Sekian lama keluarga itu telah lengkap dengan seorang ayah, ibu dan anak. Syahid ada menjadi penyeri rumahtangga mereka. Tidak perlu Adam untuk menambah beban. Biarlah keluarga itu bahagia tanpa gangguan Adam sebagai orang ketiga.

Syahid merasa bersalah kerana telah melukakan dua jiwa. Dua jiwa yang pastinya sedang kerinduan. Dia tidak bermaksud untuk memisahkan ikatan suci itu. Pertalian darah yang wujud antara Haji Malek dan Adam terlalu kukuh. Sedangkan Syahid hanya sekadar anak angkat yang menumpang kasih. Syahid menyesal kerana berterus terang pada waktu yang tidak sesuai. Melihat Haji Malek di bawa ambulan, membuatkan Syahid tidak keruan. Dia resah sekiranya sesuatu berlaku pada ayahnya.

Di luar wad kecemasan, Syahid tahu penawar paling berkesan untuk mengubati ayahnya. Serangan jantung itu berpunca dari pemergian Adam. Maka, Syahid perlu segera mendapatkan Adam. Tetapi dia tidak tahu di mana Adam tinggal. Cuma Haji Malek yang menghantar Adam pulang ke Kajang. Kajang bukanlah daerah yang terlalu kecil. Tidak mudah untuk mencari tanpa mengetahui lokasi dan alamat seseorang. Syahid buntu. Dalam kebuntuan itu dia perlukan seorang ibu untuk mengadu. Rajuk Hajah Fazilah tidak berpanjangan apabila diberitakan saudaranya tentang suara tangisan Syahid di talian.

Tidak sampai sejam kemudian, Hajah Fazilah menghubungi Syahid. Tatkala mendengar suara ibu yang dirindui, Syahid sukar meneruskan kata-kata. Hatinya terlalu sayu. Dia tertekan dengan peristiwa yang berlaku.

“Ibu….. ibu baliklah… ayah sakit kuat… Syahid dah tak ada siapa-siapa lagi… Ibu tolonglah Syahid… ibu… ibu… ibu…”.
Syahid menangis merayu ibunya pulang. Esakan tangisnya meruntun hati si ibu. Tidak sampai hatinya mendengar rayuan si anak yang keseorangan tiada tempat mengadu.

Pagi esoknya, Hajah Fazilah tiba di KLIA. Syahid menjemputnya dengan wajah cemas.  Haji Malek masih tidak sedarkan diri. Melihat kelibat ibunya, Syahid berlari memeluk dan mengucup ibu tersayang. Bagaikan berpuluh tahun tidak bertemu, kedua beranak itu berpelukan melepaskan kerinduan.

Di pagi Isnin itu, penggambaran drama Puncak Rindu sampai ke penghujungnya. Suasana di set terakhir itu bakal berlaku dengan penuh dramatik. Rozie Rosa sedang menanti babak terakhirnya. Dia sudah tidak sabar untuk menamatkan kisah duka itu. Ketika sedang meneliti skrip di saat-saat akhir, Rozie Rosa terpaku melihat gelagat dua insan yang tidak dikenalinya. Dengan mudah dia dapat mengagak itu adalah pertemuan antara ibu dan anak yang bertemu semula setelah berpisah.
Rozie Rosa memerhatikan realiti kehidupan di depan mata. Syahid menangis memeluk ibunya. Hajah Fazilah mengucup dahi anaknya dengan penuh kasih sayang. Si ibu mahu pulang, tetapi anaknya meminta mereka duduk berbual di situ dahulu. Saat itu Syahid ingin melakukan perkara yang betul. Walaupun berat, namun dia perlu untuk menjernihkan keadaan. Syahid berusaha untuk meleraikan kekusutan. Dia tersepit dan tertekan. Dia sendiri yang tersilap percaturan dan dia akan memperbaikinya dengan penuh rasa tanggungjawab.

Rozie Rosa leka memerhatikan mereka kerana kedudukan mereka tidak jauh daripada set penggambaran. Yang pasti, itu bukan lakonan atau kisah yang direka penulis. Itu adalah hakikat kehidupan. Di sudut hatinya, Rozie Rosa meronta ingin tahu kisah di sebalik pertemuan yang pada pandangannya kelihatan sayu. Tentu ada konflik di sebalik pertemuan itu. Hakikatnya apa yang dirasa Rozie Rosa memang benar. Syahid ingin berterus terang menceritakan semua yang berlaku. Kisah hitam yang terlalu panjang itu akan dihidangkan kepada ibunya. Hajah Fazilah bersedia untuk mendengar segalanya.

Syahid memegang erat tangan ibunya sambil bercerita. Hajah Fazilah menghayati setiap ayat yang sebenarnya tidak terjangkau dek akalnya. Perkara yang langsung tidak terduga. Dia sukar untuk menerima hakikat, namun ungkapan jujur Syahid meluahkan kebenaran. Dari sinar mata redup anaknya yang dari tadi basah disirami air mata, Hajah Fazilah dapat merasakan betapa beratnya kenyataan itu untuk dikongsi. Kemelut terbesar yang menyergah membawa impak sehebat badai tsunami. Sekarang dia tahu mengapa suaminya perlu menunggu masa yang sesuai untuk membuka pekung di dada.
Melihat dua beranak itu berdiri untuk beredar, Rozie Rosa lantas menghampiri.
“Maafkan saya, saya tak berniat untuk masuk campur atau menyibuk, tapi… saya rasa tersentuh melihat kakak dan anak kakak dari sana”.

“Eh! Cik Rozie Rosa…”
Hajah Fazilah menghulurkan tangan berjabat salam dengan pelakon terkenal.

“Saya Kak Fazilah. Ini anak saya Syahid. Maafkan saya, saya perlu cepat ke hospital, suami saya perlukan saya”. Hajah Fazilah memaniskan muka melihat keihklasan Rozie Rosa menyapanya.

“Boleh saya tahu apa yang berlaku?” Bagaikan paparazzi Rozie Rosa menyiasat tanpa diundang.

“Sebenarnya saya baru sahaja mendengar kisah duka perpisahan dan pertemuan dua beranak. Tidak jauh bezanya daripada drama Puncak Rindu. Tapi ini realiti. Kisah peribadi keluarga. Maaf ya Cik Rozie Rosa, saya pergi dulu”.

“Ya…walau apapun, saya harap kakak bersabar dan tabahkan hati. Kalau dalam hati kita redha, kita mampu untuk menerima dan atasi walau apa sahaja ujian Tuhan”.
Bagaikan pakar motivasi, Rozie Rosa mengakhiri perbualan singkat itu dengan ayat yang menyejukkan hati. Ternyata kata-kata nasihat itu membantu Hajah Fazilah. Jiwanya sedikit tenang.
Setelah beberapa langkah meninggalkan Rozie Rosa, Hajah Fazilah menoleh dan tersenyum sambil melambai tangannya kepada pelakon cantik itu. Tersentuh jiwanya apabila disapa oleh pelakon terkenal yang rendah hati dan mengambil berat.  Pertemuan singkat itu menjadi simbolik yang mengingatkan Hajah Fazilah agar redha dan menerima kehadiran Adam seikhlas hati.

Di pagi Isnin itu, di waktu yang sama, berlaku pertembungan konflik jiwa yang saling  berkait. Jiwa yang sebenarnya saling sarat menanggung rindu. Namun jeritan batin mereka hanya terluah dengan cara tersendiri.

Rozie Rosa; di KLIA – set penggambaran Puncak Rindu.
“Cut!...     And Wrap!”
Ungkapan keramat daripada sang sutradara.  Semua bersorak kerana telah berjaya mengharungi cabaran dalam tempoh penggambaran  yang panjang. Pengarah sangat berpuas hati dengan kecemerlangan hasil kerja Rozie Rosa. Bagaikan dirasuk, Rozie Rosa berjaya mengkagumkan semua yang berada di set. Air mata menitis seiring dengan lakonannya yang berbekas di hati. 

Walau drama itu telah tamat, air mata Rozie Rosa masih turun melebat. Dia terlalu rindukan Adam. Entah mengapa kebelakangan ini perasaannya terasa begitu dekat dengan anak itu. Anak yang tidak mungkin dilupakan walaupun ia hasil hubungan haramnya bersama Malek. Anak itu tidak berdosa. Saat itu yang terpendam di hati ialah dia mahu mencari Adam. Dia mahu mengubat kerinduan yang memuncak. Dia mahu terkena badi kesudahan drama Puncak Rindu. Dia ingin bertemu Adam. Adam, di mana kamu, nak?

Hajah Fazilah, Syahid dan Haji Malek; di hospital.
“Abang, Zilah dah balik, Bang. Abang bangunlah… Zilah takkan tinggalkan Abang lagi”.
Hajah Fazilah memberi kata perangsang. Setelah mengetahui sejarah hitam itu, dia berusaha untuk menerima hakikat walaupun ia terlalu pahit. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.

“Ayah, Syahid akan cari Abang Adam sampai jumpa”.
Syahid ingin menebus kesilapannya. Dia tahu itulah penawar lara ayahnya. Haji Malek sedang bertarung dengan dirinya sendiri. Dia terlalu tertekan apabila Adam meninggalkannya. Adam mengalah dan berundur pergi untuk memberi ruang pada keluarganya bersatu semula. Tetapi, Haji Malek mahukan keluarga itu menjadi lebih lengkap dengan kehadiran Adam. Adam darah dagingnya. Mana mungkin dia terpaksa memilih untuk meninggalkan anak demi seorang isteri. Anak dan isteri perlu ada di sisinya.

Adam; di tempat kerja.
Pagi itu Adam terasa asing di tempat duduknya sendiri. Adam masih dalam tempoh berehat cuti sakit, namun dia ke tempat kerja untuk satu urusan penting. Tempat kerjanya di Kajang itu  telah lama ditinggalkan. Dia nyaris hilang pekerjaan gara-gara majikan memandang serong perbuatannya menumbuk Haji Malek. Mujurlah Fahmi berani menegakkan kebenaran. Namun kerana tidak mahu Adam terus difitnah, Fahmi terpaksa membongkar rahsia peribadi Adam yang selama ini tersimpul rapi. Adam bimbang dia akan dipandang rendah setelah pihak majikan mengetahui asal usulnya. Dia juga tidak perlukan simpati kerana dia sudah puas hidup dalam simpati sepanjang menghuni rumah anak-anak yatim.

Melayan fikirannya yang kusut, Adam menghantar surat notis perletakan jawatan 24 jam tanpa gaji. Dia malu apabila banyak mata-mata yang memandang dengan kesimpulan sendiri. Mereka sudah tahu dia anak luar nikah dan anak terbuang. Dia tidak sanggup untuk bertentang mata dengan sesiapapun di situ.

“Adam… selama ini saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja kamu. Tolonglah jangan sia-siakan masa depan kerjaya kamu di sini kerana hal peribadi. Saya faham, ia masalah berat, tapi kami di sini memandang kamu sebagai mangsa. Kami simpati dan mahu kamu terus berada di sini”.

“Maafkan saya, tuan. Tapi, saya tak boleh fokus. Fikiran saya berserabut” .
Adam berterus terang. Dia mahu memulakan hidup baru di tempat lain.

“Beginilah… selama ini, kamulah yang paling rajin bekerja. Jadi, selepas tamat tempoh cuti sakit kamu ni, saya beri kamu peluang untuk sambung bercuti. Kamu boleh habiskan cuti kamu yang banyak tu. Selesaikanlah semua masalah kamu. Kemudian pergilah bercuti di mana-mana untuk tenangkan fikiran kamu”.
Surat notis perletakan jawatan yang diberi Adam tidak laku. Dia mengambil cuti selama sebulan. Tempoh yang cukup untuk dia bermuhasabah diri.

Keluarga Haji Malek ingin mencari Adam untuk bersatu semula sebagai sebuah keluarga. Rozie Rosa mula mengatur langkah mencari anaknya yang terpisah dari dakapan 25 tahun dahulu. Dan Adam… terus merasa dirinya tidak bermakna dan tiada tempat di mana-mana.




No comments: