BAB 10
Hajah Fazilah
sentiasa berada di sisi Haji Malek. Syahid sedang berusaha untuk menjejaki
Adam. Dia ingin mengotakan janjinya pada Haji Malek. Dia mahu impian Haji Malek
untuk melengkapkan keluarga mereka tercapai. Hajah Fazilah menjadi semakin
lembut hati apabila melihat suaminya terbaring lesu. Dia tersalah anggap pada
Adam. Setelah dijelaskan secara terperinci oleh Syahid, Hajah Fazilah
menginsafi diri. Dia kesal kerana tidak memberi ruang dan masa pada suaminya untuk memperbaiki kesilapan diri.
Sudah beberapa hari Haji Malek kaku di situ. Tiada mata
yang sampai hati melihatnya begitu. Semuanya memandang dengan perasaan simpati.
Syahid tidak berputus asa. Akhirnya dia berjaya menjejaki tempat kerja Adam.
Dia telah berkomunikasi dengan Fahmi yang pernah ditemuinya di hospital dahulu
ketika Adam koma. Menurut Fahmi, Adam mengambil cuti panjang. Adam juga telah
menukar nombor telefonnya supaya tidak dapat dikesan oleh sesiapa. Malang sekali, Fahmi tidak
tahu di mana Adam berada.
Sementara itu Razzi dan Raisya mulai menyimpan syak
wasangka pada mama mereka. Perbualan mesra di telefon dan perubahan sikap Rozie
Rosa menjadikan Razzi dan Raisya mengesyaki ada sesuatu yang kurang sihat
sedang berlaku. Mungkin mama ada skandal? Beberapa hari kebelakangan ini, mama
menjadi semakin ceria, bagaikan orang baru bertemu buah hati. Ada suatu hari, mama keluar hingga lewat
malam dengan alasan bertemu dengan kawan lama di Melaka. Tentu ada sesuatu yang
tidak kena. Tambahan pula, semuanya berlaku ketika papa tiada. Tentu mama yang
kesunyian mengambil kesempatan menemui kekasih hati. Ayat-ayat manis kasih
sayang bermain di bibir mama sewaktu menjawab panggilan. Selama ini ayat-ayat
sedemikian lazimnya hanya diucapkan kepada Razzi dan Raisya. Mama pelik! Mama
buat hal dengan lelaki lain agaknya!
Rozie Rosa sedang mengatur strategi untuk mencari
formula terbaik bagi menjelaskan sejarah hidupnya pada suami dan anak-anak. Dia
menantikan saat suaminya pulang dari bercuti untuk meringankan beban yang
ditanggung. Dia sudah tidak sabar untuk membawa Adam kembali dalam hidupnya.
Dia mahu menceritakan segala-galanya walaupun cerita itu membuka pekung di
dada. Namun, belum sempat dia bertindak, ada pihak lain yang merosakkan
rencananya melalui pintu belakang.
Beberapa hari selepas menemui Adam, badai bergelora
datang menghempas kehidupan Rozie Rosa. Tersebar gambar-gambar yang menunjukkan
kemesraannya dengan Adam di internet. Gambar dia berpegangan tangan di tepi
pantai. Gambar dia menyuapkan makanan ke mulut Adam. Gambar Adam mencium tangan
dan pipinya sebelum dia memasuki kereta untuk pulang ke Kuala Lumpur . Semua andaian berbentuk
serangan peribadi yang negatif.
Hakikatnya mereka yang tidak bertanggungjawab itu telah menangguk di
air yang keruh. Mereka sebenarnya tidak
tahu apa-apa. Sewenangnya membuat kesimpulan dan andaian sendiri berdasarkan
apa yang mereka lihat dengan mata kasar. Mereka hanya merasa puas menghentam
artis yang kononnya terlalu sosial dan jahil. Mereka menjual kisah sensasi yang
memalukan. Tuduhan melulu yang selalu dilemparkan kepada insan seni sepertinya.
Rozie Rosa malu dan terhina. Dia ada suami dan anak-anak. Maruahnya
tercalar. Dia terasa karier seninya sedang menjunam jatuh dari puncak menara
KLCC terperosok ke bawah gaung yang dalam. Selama beberapa hari isu itu mengisi
ruang pojok akhbar. Kolumnis tabloid turut menghentamnya kasar. Dia dianggap
keji dan tidak sedar diri.
‘Pelakon wanita terkenal dengan anak ikan’.
‘Rozie Rosa dan skandal’
‘Rozie Rosa bercumbu mesra dengan anak ikan’
‘Pelakon miang lupa diri’
‘Rozie Rosa curang di belakang suami’
Begitulah antara tajuk yang disasar padanya. Dia tidak pasti tujuan
individu yang menyebarkan fitnah itu sama ada berniat untuk menjatuhkan kerjaya
seninya atau untuk meruntuhkan keharmonian rumahtangganya. Rozie Rosa bimbang
jika suaminya yang sedang bercuti di luar negara mendapat berita itu lalu
membuat kesimpulan sendiri, tanpa terlebih dahulu mendapatkan penjelasan
daripadanya. Media dan masyarakat telah menjadi juri dan menghukumnya tanpa
perbicaraan.
Setelah mengetahui gossip liar itu tersebar, Adam
menghubungi Rozie Rosa. Sebagaimana dia kesal mengganggu hidup keluarga Haji
Malek, Adam sekali lagi merasa bersalah. Dia terkilan kerana kemunculannya
memudaratkan kerjaya dan maruah keluarga Rozie Rosa. Adam sedih kerana setiap
kali dia merasa bahagia, tempohnya terlalu singkat. Ada sahaja musibah yang memisahkannya dengan
insan tersayang.
“Mama dah kena fitnah! Mereka tak tahu siapa Adam. Tapi, lebih baik
mereka tak tahu. Kalau mereka tahu, mama akan ditimpa aib sebab ada anak luar
nikah”.
Luah Adam secara jujur.
“Selagi mama sorok hubungan kita, mama akan terus difitnah. Lebih
baiklah kalau mama berterus terang pada umum”. Rozie Rosa menyatakan pendapatnya.
“Adam minta ampun, sebab Adam dah susahkan hidup mama. Adam memang
tak ada tempat di mana-mana. Adam dah rosakkan reputasi mama. Biarlah Adam
pergi jauh-jauh supaya hidup mama jadi tenang macam dulu. Ampunkan Adam...”
Adam sebak di talian. Dia merasa terlalu sedih kerana kebahagiaan
yang baru ditemui tidak bertahan lama.
“Adam tak salah, sayang. Ini semua adalah balasan Tuhan, akibat dari
perbuatan terkutuk mama 25 tahun dahulu. Mama takkan lepaskan Adam. Tolong
jangan pergi tinggalkan mama lagi. Mama tak mahu kehilangan Adam sekali lagi…”
Rozie Rosa merayu. Dia mahu meraung jika Adam benar-benar pergi dari
hidupnya. Seperti juga Haji Malek, separuh nyawanya bagaikan melayang tatkala
Adam pergi meninggalkannya.
Begitu besarnya pengaruh media internet. Internet yang menbantu
menemukannya semula dengan Adam. Dan ternyata internet juga yang membuatnya
sengsara. Rozie Rosa mengurung diri di rumahnya. Dia mahu meleraikannya satu
persatu, dimulakan dengan penjelasan pada Razzi dan Raisya.
Razzi dan Raisya yang selama ini kebal dengan tohmahan
wartawan dan blogger, turut terpengaruh dengan mainan media. Razzi
dan Raisya mulai menunjukkan rasa tidak hormat pada Rozie Rosa. Mereka lebih
percayakan fitnah daripada si ibu yang ada di depan mata. Pada malam itu, Ayu
datang untuk menyokong sahabatnya, Rozie Rosa. Dia tahu kemelut yang berpunca
25 tahun dahulu itu perlu diungkaikan segera. Tiada ayat puitis untuk diluah,
sekadar merungkai kebenaran yang tersembunyi sekian lama. Walaupun Razzi dan
Raisya masih mentah, tetapi mereka perlu tahu hakikat sebenar yang sememangnya
pahit.
“Semua gambar-gambar ni memang mama akui kesahihannya. Tetapi, semua
cerita di sebalik gambar ini adalah fitnah! Mama dan Aunty Ayu yang tahu apa sebenarnya yang berlaku”.
“Tapi, gambar-gambar ni membuktikan mama dah curang pada papa. Kami
malu pada semua orang”. Razzi meluah rasa marahnya sambil melemparkan
gambar-gambar itu di hadapan mamanya. Perbuatan yang biadab untuk dilakukan
oleh seorang anak.
“Razzi… tolong dengar dulu penjelasan mama kamu. Kenapa kasar sangat
ni?”
Ayu geram melihat sikap kurang ajar yang ditunjuk Razzi.
“Nak nafikan apa lagi? Mama dah buat perkara tak elok, lepas tu mama
tak nak mengaku pula?”. Raisya berang
lalu menyokong Razzi.
Rozie Rosa mula menangis. Dia sedih apabila anak-anak yang ditatang
bagai minyak yang penuh, hilang kepercayaan padanya. Dia hanya ingin diberi
peluang untuk membela diri. Dia tidak curang!
“Ini Mohamad Adam bin Abdullah. Dia anak kandung yang mama lahirkan
25 tahun dahulu… mama tak curang… dia anak mama yang selama ini terpisah dari mama”.
Rozie Rosa menjelaskannya. Dia sudah tidak tahan dihina anak-anak
sendiri.
Razzi dan Raisya diam. Mereka terkejut dengan kenyataan itu. Sesuatu
yang langsung tak dijangka.
“Tapi, mama tak pernah beritahu pun status mama sebagai ibu tunggal
sebelum berkahwin dengan Papa” . Razzi
berbicara ingin kepastian. Nadanya lebih lembut.
“Mama memang ingin berterus terang menjelaskan segala-galanya di
depan kamu berdua apabila papa pulang nanti. Tapi, tak sangka mama difitnah
oleh orang luar yang tak tahu apa-apa” .
Jelas Rozie Rosa.
“Tolonglah beri peluang pada mama kamu untuk menceritakan dari A
sampai Z”.
Rayu Ayu pada Razzi dan Raisya.
“Ketika remaja dahulu, sebelum mama jadi artis, mama telah melakukan
kesilapan paling besar kerana hanyut dalam nafsu. Mama telah mengandungkan anak
luar nikah. Lelaki itu tidak mahu bertanggung jawab, tidak mahu mengahwini mama.
Hidup mama susah dan terpaksa hadapi macam-macam cabaran”.
“Tanggal 8 januari 1985, pada usia baru 19 tahun, mama telah selamat
melahirkan seorang bayi lelaki. Terdapat tanda lahir tompok hitam di buku lali
pada kaki kirinya. Sebelum membedungnya, kami letak tanda nama sebagai
pengenalan diri bayi itu bersama tarikh lahirnya. Mama yang mahu dia dinamakan
sebagai Mohamad Adam bin Abdullah. Anak itu Aunty
Ayu serahkan pada bapa kandungnya yang berjanji untuk serahkannya pada sebuah
keluarga angkat. Namun, semua itu adalah penipuan semata-mata. Dengan zalim,
bayi itu kemudiannya dibuang di tempat sampah tanpa pengetahuan kami. Mujurlah
dia ditemui orang lain dan ditempatkan di rumah kebajikan”.
“Minggu lepas, tiba-tiba usaha Adam menjejaki ibu kandungnya
berjaya. Dia yang mencari mama. Selama 25 tahun mama memendam kerinduan pada
Adam. Mama penat menyimpan rasa bersalah sekian lama. Pertemuan pertama kami
berlaku di Tanjung Bidara, Melaka, kerana Adam sedang bercuti di sana . Bayangkan betapa
gembira dan terharunya perasaan mama bila dapat bertemu semula dengan anak
kandung yang telah terpisah selepas sahaja dia dilahirkan”.
“Pertemuan itu sangat memilukan. Kami menangis melepaskan rindu.
Selama 25 tahun, Adam hidup sebatang kara. Dia dibesarkan di rumah anak-anak
yatim. Mama tidak ada di sisinya ketika dia membesar. Mama sayang padanya sama
macam mama sayangkan Razzi dan Raisya. Abang Adam kamu bernasib malang . Sedangkan mama
hidup mewah, tanpa mengetahui bahawa dia hidup seorang diri tanpa belaian kasih
sayang ibu dan bapa”.
“Mama baru bertemu dengannya sebanyak dua kali, iaitu semasa di
Melaka dan di rumah kawannya. Tetapi, hampir setiap hari kami berhubung. Adam
anak mama, tentulah mama ambil berat padanya. Tiba-tiba keluar gossip
bukan-bukan ni semua. Adam menangis dan minta maaf pada mama. Dia rasa semua ni
berlaku kerana dia. Adam tak mahu mama dedahkan dirinya sebagai anak mama
kerana dia tidak mahu kisah silam yang mengaibkan nama mama terbongkar. Dia nak
pergi jauh-jauh supaya hidup mama kembali tenang. Dia kata dia tahu yang
dirinya tak ada tempat di mana-mana. Tapi hakikatnya, hidup mama menjadi lebih
tenang setelah bertemu kembali dengannya. Mama dah kehilangan dia selama 25
tahun… dan sekarang mama tak mahu kehilangan Adam sekali lagi”.
Nada sayu berkumandang dengan cucuran air mata. Razzi dan Raisya
terpaku mendengar sejarah silam yang terpaksa diungkit semula. Kisah hitam yang
bukan sahaja memalukan, bahkan mengeruh dan mencalarkan maruah diri.
“Mama mohon maaf pada Razzi dan Raisya kerana membuat kamu malu dan
tertekan. Inilah risiko menjadi anak wayang. Mama minta Razzi dan Raisya supaya
faham keadaan ni. Mama terpaksa membongkar sejarah hitam hidup mama yang
terlalu memalukan. Kalau boleh mama nak beritahu pada semua orang yang Adam tu
anak kandung mama. Tapi, takkanlah mama nak jaja kisah anak luar nikah itu pada
semua orang. Bukan sahaja mama, malah semua orang akan malu termasuk Adam dan
keluarga kita”.
Razzi dan Raisya diam. Baru mereka tahu kisah sebenar di
sebalik doa mama yang sering menyebut nama Adam. Rupanya mereka telah salah
sangka. Mama tidak curang bahkan mama mahu membuat perkara betul iaitu membela
nasib anaknya. Prasangka buruk sepatutnya tidak berlaku sekiranya mereka
menanam kepercayaan pada mama. Mereka lega kerana mama tiada skandal dengan
lelaki muda bahkan baru mendapat berita bahawa mereka memiliki seorang abang.
Razzi dan Raisya mahu berdiri di belakang mama untuk
berhadapan dengan papa. Papa akan tahu kenyataan yang bakal dipapar padanya
kelak. Razzi dan Raisya tidak sanggup melihat mama ditindas oleh masyarakat
yang memandang serong. Mereka mahu memberi peluang pada mama untuk memperbaiki
kesilapan diri. Razzi dan Raisya nekad untuk menyokong mama yang sedang
tertekan. Biarlah masyarakat mengeji, kerana kebenaran akan menang juga lambat
laun.
Malam itu, maka terlerailah segala prasangka yang menghantui Razzi
dan Raisya. Mereka memeluk dan meminta ampun kepada mama. Mereka tahu betapa
sukarnya menjadi cekal apabila bergelar anak seni. Rozie Rosa lega dengan
penerimaan Razzi dan Raisya. Yang bermain di fikirannya sekarang ialah Adam.
Apa jadi dengan anak sulongnya itu. Paling dikhuatiri jika Adam berputus asa lalu
membawa diri. Adam masih muda, mata hatinya masih tumpul untuk menilai.
Ditambah dengan tekanan fitnah yang menyerbu tanpa notis. Dia tahu Adam bukan
patung yang tiada perasaan untuk menangkis keladak tohmahan yang sedang
menggerudi kisah silamnya hingga ke akar umbi. Rozie Rosa bimbang jika Adam
hilang arah dan sesat dalam kemelut yang sedang menghantui hidup mereka
sekeluarga.
Adam tolonglah bertahan, sayang… jangan tinggalkan mama. Berilah mama
masa untuk pulihkan keadaan. Bersabarlah hadapi ujian ini, nak.
No comments:
Post a Comment