Monday, December 23, 2013

Cerpen Serius - MAAF - bab 1

Maaf - Bab 1
Dari tadi ibu memandang tepat ke luar pagar. Kerap! Ibu bagaikan menunggu kehadiran seseorang. Tidak seperti selalu, di waktu-waktu begini ibu tenang mengaji dan menghayati tafsiran ayat-ayat Ilahi. Hari ini  agak berbeza, ibu kelihatan gelisah dan kurang tenteram. Hatinya berkocak barangkali sehingga terbit ekspresi kerisauan di wajah tuanya.
Orang lain mungkin tidak perasan akan perubahan ketara pada ibu. Tapi, Zafi nampak dengan jelas. Ibu umpama merana kehilangan. Dan Zafi memang tahu apakah puncanya. Dia sedang berusaha untuk membahagiakan ibu sebagaimana dulu-dulu. Sebelum Zayn keluar dari rumah. Sebelum Zayn meninggalkan mereka dengan rasa serba salah. Sebelum Zayn rapat dengan... ahhh! Hampa rasanya mengenangkan perpecahan dalam keluarga yang selama ini erat dan utuh dengan kasih sayang. Zafi menyesal! Walau bukan dia yang menghalau Zayn, namun dia faham benar, Zayn pergi kerana marah dan sakit hati padanya.
Hakikatnya mereka tidak perlu menurut emosi hingga mewujudkan jurang dalam pertalian saudara. Mereka adalah satu, tiada seorang maka tidak lengkaplah diri.
"Malam ni kita makan di tepi laut nak tak Bu?"
Zafi cuba mengubah fokus ibu. Dia mahu fikiran ibu tidak hanya tertumpu pada kehilangan Zayn. Ibu memandang wajah Zafi. Tapi amat ketara ia pandangan sepi yang kosong. Tiada senyum manis seperti selalu.
Ibu kemudian menggelengkan kepala.  Dari wajah suramnya, jelas kelihatan penanggungan perasaan ibu yang berat menggalas rasa tak keruan. Rindu, resah barangkali. Mengapalah Zayn begitu mementingkan diri sendiri! Di saat usia tua begini, sudah pasti perasaan ibu perlu dijaga. Hati orang tua lebih mudah tersentuh. Sepatutnya di usia begini, Zayn dan Zafirah menjaga dan membahagiakan hati ibu. Setelah begitu banyak pengorbanan yang ibu curahkan untuk membesarkan mereka sehingga dewasa, ibu patut dikurniakan penghargaan. Bukan kekecewaan dan penderitaan.
Entah apa yang dimenungkan ibu. Makan tak mahu, minum tak mahu. Asyik memandang ke luar dengan harapan menggunung. Zafi mengurut-urut kaki ibu. Dia mahu ibu selesa dan rasa disayangi. Ibu memandang Zafi dengan matanya diselaputi lapisan bercahaya. Satu persatu titisan airmata melepasi birai matanya. Tanpa kata-kata, ibu meluahkan rasa sedihnya yang sukar dibendung.

Ibu menangis kerana di mindanya terhidang kebahagiaan lampau. Kisah silam sebelum Zayn menjadi cukup dewasa untuk membuat tindakan-tindakan bodoh. Ketika itu hanya ada mereka bertiga. Ibu, Zafirah dan Zayn.
"Selamat Hari Jadi, anak-anak ibu".
Muah! Muah!
Kucupan sayang hinggap di pipi anak kembar seiras yang berlainan gender itu. Satu untuk Zafirah, satu untuk Zayn. Tiada hadiah paling berharga yang dapat diberi melainkan menyediakan kek buatan sendiri. Ibu tiada modal untuk membeli hadiah mahal waima membelanja makan KFC sekalipun. Mujur anak-anak faham. Ibu membanting tulang dan tenaga wanitanya bekerja di kilang untuk menyara keluarga. Ibu bukan wanita berkerjaya yang berpelajaran tinggi. Kehidupan ketika itu sekadar cukup-cukup makan sahaja. Namun kepayahan itulah yang menjadikan keluarga mereka erat. Ketika Zafi belajar di sekolah asrama penuh sejak di tingkatan empat, Zayn yang mengambil alih hal menguruskan rumah. Ibu dah penat bekerja, maka kerja-kerja rumah seperti mengemas dan adakalanya memasak dilakukan oleh Zayn. Walau berjauhan, ikatan kasih sayang yang mendalam antara mereka hanya dapat dipisahkan oleh maut.

Kalaulah ibu mampu untuk mengundurkan kembali masa silam, ibu akan halang Zayn dari berkawan dengan Ameer.

-bersambung ke bab 2-

No comments: