Maaf
- Bab 2
Pengenalan
Zafirah dan Ameer bermula dari zaman universiti lagi. Mereka tidaklah rapat
sehingga bercinta, tetapi Ameer memang mengimpikan untuk menjadikan Zafirah
pasangan hidupnya suatu hari nanti. Zafirah bukan tidak mahu melayan, tetapi
dia mahu fokus pada kerjaya terlebih dahulu. Dia tidak mahu lagi membiarkan ibu
bersusah payah berkerja mencari rezeki untuk mereka sekeluarga. Lain orang,
lain pengalamannya. Ameer datang dari keluarga senang, mana mungkin dia faham
erti kesusahan hidup. Zafirah mahu ibu berehat dan duduk di rumah sahaja.
Cukup-cukuplah dengan pengorbanan ibu selama ini.
Ameer
bukanlah seorang yang mudah berputus asa. Sering sahaja dia cuba mengenali
Zafirah secara lebih dekat. Keperibadian Zafirah benar-benar memikat hatinya,
sehingga dia tidak 'nampak' wajah gadis lain. Zafirah menjadi semakin tidak
selesa. Cara Ameer yang tidak sanggup menunggu seakan mendesak dan memberi
tekanan pada Zafirah. Dari awal lagi Zafirah tidak pernah memberi harapan,
apatah lagi melayangkan ayat-ayat cinta pada Ameer. Dia melayan Ameer sama
seperti dia melayan kawan-kawan yang lain, tiada lebih apapun. Sedangkan Ameer
mahu tempat istimewa di hati Zafirah. Sekian lama menunggu kata putus untuk ke
fasa lebih dari sahabat, penantiannya ternyata sia-sia. Zafirah bagaikan
manusia tiada perasaan. Hadiah dan segala pemberiannya ditolak dengan baik. Dia
tidak mahu merasa terhutang budi atau seakan memberi harapan jika dia menerima
pemberian Ameer.
Mendengar
pengakuan ikhlas dari Zafirah yang menyatakan bahawa dia masih belum pernah
bercinta, menguatkan lagi desakan Ameer supaya Zafirah menerimanya. Puas dia
mengorek rahsia perinadi Zafirah, tetapi Zafirah mengunci rapat sisi hidupnya.
Biarlah hal keluarga menjadi milik peribadinya seorang. Dia tidak bersedia
berkongsi hal peribadi dengan insan yang tiada ikatan dengannya. Perangai Ameer
yang terlalu obses, membuatkan Zafirah kurang selesa dan terasa dikongkong. Ameer
bukanlah kekasih mahupun bakal suaminya. Ameer cuma rakan sekuliah. Setakat itu
sahaja. Tiada hubungan berkaitan perasaan yang tersimpan dia dalam hati. Maka,
Ameer tiada hak untuk mengawal hidupnya.
Ameer
menjadi kesal apabila terserempak melihat kemesraan Zafirah dengan lelaki lain.
Ternyata Zafirah berselindung di sebalik kata-katanya yang tidak jujur.
Beberapa kali Ameer ternampak Zafirah melayan lelaki itu istimewa sekali
sehingga bergelak ketawa dan sesekali cubit mencubit. Bila berjalan, adakalanya
Zafirah memegang lengan lelaki itu dengan mesra, tanpa rasa kekok. Perbuatan
itu amat memualkan di mata Ameer. Ternyata selama ini Zafirah menolak cintanya
kerana dia sebenarnya sudah berpunya. Tapi kenapa masih mahu menipu dan tidak
berterus terang sahaja dengannya? Hipokrit!
Secara
diam Ameer cuba mendekati lelaki itu. Dia mahu jadi racun dalam perhubungan tulus
antara dua insan. Secara terancang, dengan penuh kepalsuan Ameer berkenalan
dengan Zayn di tempat kerja. Zayn hanya pekerja bawahan, manakala Ameer pegawai
baru yang sentiasa bermanis muka dan berbuat baik padanya. Dijadikannya Zayn
kawan rapat. Zayn yang pada mulanya rasa canggung dilayan bagaikan sahabat yang
sudah kenal lama, lama kelamaan menjadi selesa dan serasi. Mereka berkawan
sehingga menjadi sahabat baik.
Zayn
juga seperti Zafirah, tidak menjadi tabiat untuk menceritakan hal peribadi pada
orang lain. Setelah semakin rapat dengan Ameer, Ameer mendapat tahu Zayn sedang
dilamun cinta. Setiap hari Sabtu dia akan membeli bunga untuk wanita yang
dicintainya. Lebih menyakitkan hati apabila Ameer pernah ternampak Zayn memberi
bunga itu pada Zafirah ketika Zafirah menjemputnya pulang. Setiap hari Zayn
hanya bermotosikal kecuali setiap Sabtu Zafirah akan menghantar dan menjemputnya.
Hakikat
yang Ameer tidak tahu, setiap Sabtu mereka akan bersama-sama ke tanah
perkuburan melawat pusara arwah bapa mereka. Bunga itu pun bukan dibeli dalam
bentuk jambangan berseni, tetapi hanya 5 kuntum dibalut dengan kertas berwarna
putih. Memandangkan tempat kerja Zayn berdekatan dengan kedai bunga, maka tugas
membeli 5 kuntum bunga itu telah menjadi rutinnya setiap Sabtu, atas arahan
kakak kembarnya Zafirah.
Bila
ditanya oleh Ameer yang kebetulan mengikutnya ke kedai bunga selepas mereka
bersarapan, Zayn berseloroh menyatanya bunga itu untuk kekasihnya.
5 kuntum mewakili 'I LOVE YOU SO MUCH'. Gurauan itu diterima serius oleh Ameer. Dia yakin bahawa bunga itu untuk Zafirah, si gadis pujaan hati yang menolak mentah cinta sucinya.
5 kuntum mewakili 'I LOVE YOU SO MUCH'. Gurauan itu diterima serius oleh Ameer. Dia yakin bahawa bunga itu untuk Zafirah, si gadis pujaan hati yang menolak mentah cinta sucinya.
- bersambung ke bab 3 -
No comments:
Post a Comment