Monday, December 23, 2013

Cerpen Serius - MAAF - bab 5

Maaf - Bab 5
Kejadian itu berlaku terlalu pantas. Sekelip mata sahaja ibu dan Zafi kehilangan Zayn. Sejak itu Zayn gagal dihubungi.
Zafi keliru. Dia lebih marah kerana bukan sahaja kehilangan kepercayaan dari seorang adik tetapi kesal kerana maruah dirinya diperkotak katikkan. Ibu membekalkan anak-anak dengan asas didikan agama yang kukuh. Zafi tahu beza dosa dan pahala. Dia tahu batasan pergaulan. Tidak pernah dia menyentuh atau bergurau senda berlebihan dengan insan bukan mahram. Satu-satu lelaki yang dicubiit-cubit manja adalah Zayn. Mereka terlalu rapat sejak dari dalam kandungan ibu lagi. Siapa yang mencetuskan cerita fitnah ini?
Jika nama Ameer Afiq yang disebut Zayn ketika mengamuk, adakah bermakna fitnah jahat itu datang dari mulut Ameer sendiri? Tetapi sejak bila pula Ameer berkawan dengan Zayn? Dakwaan Zayn, kawan baiknya merupakan salah seorang mangsa Zafi, adakah Ameer Afiq yang dimaksudkan 'kawan baik' itu?
Jika benar Ameer yang menfitnah, tapi apakah motifnya? Adakah selama ini Ameer yang berperawakan baik dan memendam perasaan pada Zafi mendendaminya? Tapi mengapa? Kerana menolak cinta? Tapi Zafi bukan pernah memberi harapan pun. Zafi juga bukan gadis liar yang suka berfoya-foya. Langsung sekalipun Zafi tidak pernah mempermainkan perasaan Ameer atau mana-mana lelaki lain.
Sekelip mata hidup mereka berubah. Ibu hilang bahagia bila anak-anak berpecah belah. Selama ini keluarga mereka bersatu dan kehidupan mereka sejahtera. Setiap hari Sabtu mereka akan melawat pusara bersama-sama. Mereka akan makan bersama dan saling menghargai.
Ibu berendam airmata. Ibu kesal setelah dewasa, Zayn membuat tindakan bodoh dengan mudah mempercayai fitnah. Tentu ia datang dari orang yang amat dipercayai oleh Zayn sehingga Zayn sanggup membuang keluarga.
Melihat keadaan ibu semakin hilang semangat, Zafi berusaha mencari pendekatan sendiri untuk menjernihkan keadaan. Dicarinya nombor Ameer melalui kawan-kawan lama. Dia perlu menyiasat sehingga ke akar umbi siapa yang melancarkan peluru berpandu membunuh jiwa mereka bertiga hingga hancur berderai.
Ada seorang sahabat yang mengkhabarkan di mana tempat Ameer bekerja. Sah! Memang satu syarikat dengan Zayn. Zafi menghubungi syarikat tersebut dan dapat bercakap dengan Ameer Afiq. Segera dia memutuskan talian kerana dia hanya mahukan kepastian.
Kesihatan ibu semakin merosot. Kerana murung, tekanan darah dan jantung ibu terjejas. Zafi perlu memberitahu Zayn tentang sakit pening ibu. Ibu pasti sihat jika keluarga mereka kembali bersatu. Walaupun ibu kecewa dengan tindakan Zayn, tapi Zafi tahu ibu terlalu rindukan Zayn. Ibu mahu Zayn sedar kesilapannya dan kembali ke pangkuan keluarga.

Zayn masih gagal dihubungi. Sebab Zafi semakin risaukan kesihatan ibu, dia menghubungi tempat kerja Zayn. Mendengar sahaja suara Zafi di talian, Zayn segera meletakkan telefon. Itulah yang berlaku setiap hari. Akhirnya Zafi terpaksa menggunakan Nur Adibah untuk mendekati Zayn.

- bersambung ke bab 6 -

No comments: