Sunday, July 14, 2013

KERANA SEORANG ADAM [Bab 23] <----- Ending [akhirnya!!!. phew!]

BAB 23
Dua minggu kemudian…
            Selesai majlis di rumah pengantin lelaki, Rozie Rosa nekad untuk ke tempat Adam. Semua memberi sokongan dan mahu ikut serta menjadikan perjalanan itu umpama sebuah rombongan. Rozie Rosa, Dato’ J, Haziq dan kawannya Zali, Hana bersama suaminya Khairul, Razzi, Raisya, dan Ayu. Haji Malek, Syahid dan ibunya juga turut serta. Mereka bersatu demi Adam. Kerana seorang Adam, pertalian keluarga itu menjadi semakin utuh.

            Perjalanan itu bagaikan memuncakkan harapan yang menjadi semakin tinggi. Rozie Rosa merasanya penantian selama 2 minggu bagaikan bertahunan. Menunggu saat bahagia meleraikan tekanan rindu yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Dia yang merasa bagaimana merana hati menahan kerinduan. Jika melarat dan hilang pedoman, boleh menjadikannya sakit jiwa. Kalaulah Hana bertindak lebih bijak…
Kalaulah berita itu diketahuinya lebih awal… Tentulah sejarah menjadi berbeza.

Rombongan Rozie Rosa menginap di sebuah hotel di pekan. Haziq dan Zali yang masuk ke kawasan perkampungan dengan niat untuk memujuk dan membawa Adam keluar ke pekan. Kali ini Haziq tidak mahu salah langkah. Dia mahu membetulkan kesilapan lalu dengan membantu menemukan kembali anak dan ibu yang terpisah. Beberapa jam perjalanan meredah laluan berbukit bukau, ternyata menghampakan. Adam yang dicari tiada lagi di situ. Melalui Oden, Adam diberitakan telah mendapat pekerjaan di pekan dan bakal memulakan tugas baru bermula awal bulan Jun, iaitu kira-kira 2 minggu lagi. Oden sedia menunjukkan lokasi tempat tinggal Adam yang baru kerana dia yang membantu Adam pindah ke situ. Oden yang membawa peralatan lukisan Adam ke rumah sewa barunya yang terletak di pekan Gua Musang. Atas faktor cuaca, Haziq dan Zali bertolak lewat sedikit. Oden mengikut mereka sebagai pemandu arah. Rombongan Rozie Rosa telah dihubungi Haziq dan mereka akur untuk menunggu di hotel sahaja sehingga keesokan pagi.

Sementara itu di rumah sewa Adam…
            Adam perlu bersedia untuk kembali ke industri. Dia telah membeli peralatan komunikasi yang sekian lama dipinggirkannya. Telefon bimbit, komputer riba dan talian jalur lebar. Dia mula membuat rujukan di internet untuk rekaan terkini. Semasa memohon pekerjaan tempohari, dia menggunakan hasil kerja terdahulu yang tersimpan dalam thumb drive yang berada dalam simpanannya. Kini dia perlu mengemaskini pengetahuan bagi mempersiapkan diri menghadapi kerja baru. Sudah lebih setahun dia meninggalkan bidang itu. Penampilannya kini lebih terurus dengan potongan rambut pendek yang kemas dan pakaian yang lebih bergaya. Adam nekad untuk kembali memajukan hidupnya. Bertitik tolak dari kehampaannya terhadap Hana, telah membakar semangat juangnya untuk memantapkan diri. Bukan mahu membuktikan pada sesiapa, tetapi dia tidak mahu mempersia-siakan ilmu dan bakat yang dianugerah Tuhan.

            Semasa di pejabat JHEOA, dia membuka akaun emel yang baru. Tetapi tiba-tiba pada malam itu tergerak hatinya untuk membuka peti mel yang lama. Dalam debar dia menyemak emel yang sesak dengan kandungan. Subhanallah, terlalu banyak yang perlu dibaca. Pada mulanya Adam mahu mengabaikan dan memadam semua emel tersebut. Tetapi dia mengubah fikiran apabila mula membacanya satu persatu. Sudah terlalu lama dia meninggalkan tabiat meneroka laman sosial. Rupanya ia telah menghimpun berduyun mesej, komen dan pelbagai lagi permintaan. Semua yang diterima di laman sosial hanya dibaca melalui peti mel.

Ya Allah, terlalu banyak kisah yang langsung tidak diduga. Mama… terlalu banyak emel daripada mama. Mengapakah Adam terlalu alpa hingga enggan menoleh walau sekelimbas cuma. Mama menghantar banyak pesanan dengan ayat pujukan yang meruntun kalbu. Berada sendirian menghayati setiap mesej membuat Adam terpaku menatap komputer ribanya. Bagaikan belum benar-benar bersedia untuk menghadapi semua itu serentak, Adam mencekalkan hati untuk berdepan dengan semuanya. Penghayatannya tulus, mahu membongkar segalanya secara terperinci.

            Baru dia sedar, kehilangannya mendapat perhatian umum. Mama telah mengadakan sidang akhbar membuat pengakuan tentang Adam.  Ia adalah peristiwa besar yang patut diketahuinya kerana sidang akhbar itu bertujuan untuk mendedahkan ikatan Adam dan Rozie Rosa. Ya Allah, ini kisah yang baru tersingkap oleh pengetahuannya setelah ia berlalu lebih setahun dahulu. Terdapat emel yang menghubungkan dengan laman sesawang yang memaparkan rakaman sidang akhbar itu. Adam mengetahui kronologi perleraian kisahnya satu persatu. Ternyata mama ikhlas menerima kehadirannya. Ayah juga telah tampil melindungi aib mama dengan membuat pengakuan berani. Kelihatan ayah berada di atas kerusi roda dalam keadaan lemah.
“Ayah!”
Serta merta Adam teringatkan Haji Malek. Bagaikan terdengar-dengar bisikan azan di telinganya.  Risau melihat keadaan kesihatan ayah yang rupanya bermasalah. Adam terkilan kerana dia yang bertindak melulu membuang dirinya dari keluarga itu. Ternyata memang wujud ‘keluarga’ untuknya walaupun mama dan ayah tidak pernah berkahwin.

Melalui emel yang dihantar mama, Adam mendapat tahu kondisi ayah jatuh sakit sejurus ditinggalkan Adam. Adam menyesal dan tidak pernah menduga pemergiannya membawa impak besar pada keluarga ayah dan mama. Baru dia tahu betapa Syahid berusaha keras mencarinya untuk membantu memulihkan kesihatan ayah. Adam kesal kerana terlalu mengikut perasaan dan bertindak mementingkan diri sendiri.

Dia mula terasa betapa sebenarnya dirinya amat disayangi dan dihargai. Ternyata banyak kebenaran kata-kata Hana bahawa dia yang menutup pintu hati untuk orang-orang tersayang. Ayat-ayat rindu dari mama menyentuh rasa.

Adam di mana? Mama risaukan Adam. Pemergian Adam boleh buat mama jadi gila. Tolonglah kembali kepada mama.

Semalaman dia tidak tidur kerana leka menghayati setiap mesej yang sebenarnya telah lapok tetapi baru kini sampai ke pengetahuannya. Orang-orang di luar sana telah menganggap isu itu selesai dan kehidupan mama tidak lagi dihimpit fitnah mahupun kontroversi.  Adam memikul rasa bersalah kerana mengabaikan perasaan orang-orang yang menyayanginya. 

Maafkanlah Abang Haziq. Dia adalah anak tiri mama yang memukul Adam hingga parah. Mama tahu Adam derita disebabkan mama. Hubungan keluarga sudah kembali jernih. Adam pulanglah… mama sekeluarga sedang menunggu.

Baru dia tahu rupanya semua yang berlaku adalah kerana salah faham. Lelaki yang memukulnya dahulu ialah Haziq, anak tiri mama yang terlalu percayakan fitnah media. Hakikatnya selepas itu Papa J sendiri dapat menerima kehadiran Adam sebagai anak kandung mama.

Semuanya telah lama selesai. Adam pulanglah, sayang. Mama terlalu rindu. Mama dah berjanji tak akan tinggalkan Adam lagi, tapi kenapa Adam pula yang tinggalkan mama… Mama sekeluarga dan keluarga ayah Adam telah berbaik. Kami semua sedang mencari Adam. Kami telah bermuafakat dan membuang dendam silam. Semuanya kerana Adam. Kembalilah ke pangkuan kami.

Pesanan mama mengundang cecair jernih di birai mata. Telah lama dia tidak menangis sejak dia berada di perkampungan orang asli. Sejak itu dia membuang rasa sedih dan berjaya mengawal emosi sentimental. Semuanya jadi lebih tenang. Kini kisah lalu baru terhurai. Kisah yang sebenarnya sudah tamat tempoh tetapi belum ada penamat cerita. Adam nekad untuk menamatkan seksaan rindu semua pihak.
Adam mahu keluar dari pengasingan. Dia sendiri yang mengkuarantin diri tanpa ada pihak lain yang meminggirkannya. Semalaman dia bermuhasabah diri. Dia mahu mengakhiri pencarian itu dengan kesudahan yang menggembirakan. Adam ingin pulang. Dia sudah bersedia untuk kembali pada mama dan ayah. Komputer riba masih menyajikan deretan emel yang memberi kesedaran. Pagi nan syahdu itu, bersulamkan kesayuan, Adam nekad menghubungi mamanya.

“Assalammualaikum..”
Rozie Rosa tersentak apabila dihubungi oleh nombor yang tidak dikenalinya. Salamnya tidak berjawab, tetapi kedengaran suara nafas sendu di talian. Berderau darahnya kerana nalurinya dapat merasakan Adam sedang menghubunginya. Talian terputus kerana Adam hilang kata-kata. Mendengar suara mama menjadikannya terlalu rindu untuk bertemu.

“Waalaikumsalam”.
Setelah talian terputus Adam menjawab salam mama dalam tangisan.

            Rozie Rosa kuat merasakan panggilan itu datangnya daripada Adam. Didailnya nombor itu untuk kepastian. Adam menarik nafas dan cuba berlapang dada. Memang dia mahu berbicara melepas rindu pada mama. Lambat sedikit tetapi dijawabnya juga panggilan itu. Dia berusaha untuk mengawal emosi yang sebenarnya tidak keruan.

“Adam?” Soal Rozie Rosa memulakan bicara.

“Mama…” Jawab Adam dengan suara terketar-ketar.

“Adam… Adam di mana, sayang?”
Soalan mama dibalas dengan tangisan. Tidak mampu dia menahan rasa sebak sebaik mendengar suara mama.

“Adam… kenapa ni? Cakaplah dengan mama…”
Rozie Rosa seakan merayu. Adam terus mengalun sedu sedan. Hanya suara tangisan yang kedengaran.

“Adam gembira dapat dengar suara mama”. Jawab Adam ikhlas.

“Adam di mana, sayang?” Soal Rozie Rosa inginkan kepastian.

“Sekarang Adam jauh mama. Nanti Adam akan datang sana jumpa mama dan ayah”. Luah Adam dalam esakan.

“Adam, dulu Adam ada cakap Adam sentiasa harapkan mama akan datang ambil Adam semasa di rumah anak yatim. Masa tu mama tak tahu Adam di mana. Sekarang, mama akan usahakan untuk datang ambil Adam, walau sejauh manapun Adam berada”.
Pujuk Rozie Rosa.

“Apa maksud mama?” Adam keliru.
“Mama ada dekat Adam…” Rozie Rosa menerangkan jujur.

“Hah?”
Segera Adam mencampakkan komputer ribanya ke atas katil. Dia berlari membuka pintu.

“Mama… Mama…”.
 Adam memanggil dan tercari-cari. Dipandangnya sekeliling, tetapi hampa. Mustahil mama sekelip mata ada di situ. Adam berpaling dengan kecewa. Dia kembali ke dalam rumah dan mendengar suara mama di talian.

“Adam dah gila agaknya, sampaikan Adam boleh sangka mama boleh muncul di depan pintu rumah Adam”.

“Mama memang ada dekat dengan Adam”.

Kata-kata mama mengelirukan, namun sekali lagi ia mendorong Adam menjenguk keluar. Dia melangkah longlai. Di saat Adam menunjukkan reaksi hampa, muncul Rozie Rosa dari tepi rumah. Umpama mimpi, Adam melepaskan pegangan telefon di tangan. Dia tidak perlukannya lagi kerana mama telah berdiri di depan mata. Adam merebahkan lutut ke tanah lalu disambut oleh Rozie Rosa. Mereka saling berpelukan dengan esak tangis. Tangisan gembira yang meleraikan kerinduan yang menggunung. Bukan mimpi, bukan igauan. Ini realiti di depan mata.

Terima kasih ya Allah… alhamdullillah.

“Maafkan Adam, mama…”.
Hanya itu yang keluar berulangkali dari mulutnya. Rozie Rosa mendakap erat anaknya seakan tidak mahu melepaskannya.

“Adam tolong jangan buat macam ni lagi. Mama tak sanggup kehilangan Adam”.
Rozie Rosa menangis sayu meluah isihati.

“Adam…” Haji Malek menegur dari kerusi rodanya.

Adam kenal dengan suara itu. Segera dia berpaling lalu mendakap ayahnya erat.
“Ampunkan Adam, ayah… ampunkan Adam… Adam tak tahu ayah sakit”.

“Sudahlah, nak. Syukurlah kita dah bertemu kembali. Kehilangan Adam buat ayah hilang semangat untuk hidup. Berjanjilah supaya Adam tak meninggalkan ayah lagi”.
Permintaan Haji Malek memilukan hati Adam. Dia juga tidak sanggup kehilangan ayahnya.

“Adam janji tak akan tinggalkan ayah dan mama lagi. Adam janji…”.
Saat itu dia tidak mampu menahan diri mahupun berasa malu untuk menangis. Titisan air matanya bukanlah lakonan yang dibuat-buat.
Tanpa disedari sebenarnya pertemuan penuh emosi itu bersaksikan kaum keluarga yang turut sama datang mencari Adam. Seorang demi seorang keluar dari kenderaan masing-masing. Semua yang menyaksikan turut rasa tersentuh hingga menitiskan air mata gembira. Menyedari ramai yang mengelilinginya, Adam mengesat air mata yang masih menitis laju. Terlalu terharu dan bersyukur apabila terasa diri disayangi.

Adam bersalam dengan kesemua yang ada di situ setelah diperkenalkan oleh mama.
“Ini Papa J, Datin Jasmin, adik-adik Adam; Razzi dan Raisya. Ini Abang Haziq dan Hana, anak Papa J. Ini Khairul, suami Hana. Aunty Ayu pun ada”.

Adam terkesima melihat Hana turut berada di situ. Rupanya Hana bukanlah pari-pari kiriman Tuhan. Ternyata kehadiran Hana membawa agenda tersembunyi. Hana adalah agen mama. Hana memang telah mengenali siapa dirinya. Walaupun Adam rasa tertipu, tapi dia percaya tiada yang melempiaskan niat jahat untuk menyakitinya. Kemudian dipeluknya Syahid. Dia tahu Syahid banyak berkorban menjaga ayah semasa ayah sakit. Emel mama menceritakan semuanya.

“Ini ibu. Abang Adam jangan risau, ibu dapat terima Abang Adam”. Jelas Syahid.

“Maafkan Adam, ibu”.
Segera Adam bersalam mencium tangan ibu Syahid.


“Ibulah yang sepatutnya minta maaf pada kamu. Maafkan ibu, Adam. Ibu tak tahu”.
Begitu rendah hati Hajah Fazilah menerima Adam.

“Tidak ibu… ibu tak salah”. Pujukan Adam membuatkan Hajah Fazilah terharu.

“Yang itu Zali kawan Abang Haziq. Tadi Oden yang tunjuk tempat Adam”.
Jelas Rozie Rosa. Dari jauh kelihatan Zali sedang mengangguk sambil melambai tangan. Adam membalas dengan senyuman.  Melihat kelibat Oden, Adam menghampiri ‘adik angkatnya’ itu. Oden kemudian berlari mendapatkan Adam.

“Abang Adam pergilah ikut keluarga Abang pulang ke Kuala Lumpur. Oden akan meneruskan pelajaran. Oden akan hubungi Abang Adam bila Oden dah bersedia untuk menduduki S.P.M”.
Kata-kata Oden sangat menggembirakan. Adam merasa puas hati dengan keputusan Oden yang mula menitikberatkan pelajaran. Berbaloilah usaha gigihnya membantu Oden supaya memajukan diri.

Barulah Oden tahu kehidupan Adam yang sebenarnya sangat menyedihkan. Adam rupanya memendam rasa, hidup sendirian tanpa keluarga. Selama mengenali Adam, Adam terlalu tenang dan asyik berbakti dan membuat kebaikan kepada orang lain. Oden sendiri telah menerima limpahan manfaat dari Adam. Nilai kemanusiaan terlalu menebal dalam diri Adam. Keikhlasan hati Adam  sering sahaja menggembirakan hati orang lain sedangkan diri Adam sendiri sebenarnya diulit derita batin yang panjang. Kasihan Abang Adam. Kisah itu hanya tersingkap setelah lebih setahun dia mengenali Adam. Tidak mungkin Oden mampu melenyapkan pengorbanan besar Adam kepada dirinya.

            Adam menikmati saat pertemuan bersejarah itu dengan rasa terharu. Saat terindah yang lazimnya hanya muncul dalam tidur. Tapi ini realiti dan bukan mimpi. Adam benar-benar bersyukur dengan limpahan kasih sayang yang diperolehnya. Penerimaan yang ikhlas telah tiba di luar jangkaan. Semua yang berlaku memberi kejutan yang membahagiakan kepada Adam. Adam mendakap ayahnya sekali lagi. Dikucupnya dahi Haji Malek dengan kasih sayang.

“Adam rindu dengan suara azan ayah”. Bisiknya.

Kemudian dia merebahkan kepala di bahu Rozie Rosa. Adam terlalu mendambakan sentuhan kasih sayang sebuah keluarga. Tiada yang jijik dengan statusnya sebagai anak luar nikah. Dia adalah manusia biasa yang lahir ke dunia atas izin Allah. Adam juga berhak untuk mengecap kebahagiaan. Ternyata dia telah mendapat tempat di hati keluarganya. Ya, Adam sudah ada tempat di dunia ini.

            Adam merasakan kemanisan hidup dengan kasih sayang orang tuanya. Memang mama dan ayah telah membuat kesilapan paling besar dalam hidup mereka semasa muda dahulu. Tetapi, Tuhan tidak menutup pintu taubat pada hambaNya yang mahu insaf kembali ke jalanNya. Itulah yang dilakukan oleh mama dan ayah. Kekhilafan silam diperbaiki dan diperbetulkan ke jalan yang diberkati. Iktibar terbesar yang seharusnya menjadi pelajaran dalam kehidupan. Seandainya mama dan ayah menidakkan kewujudan Adam, pasti mereka mengundang kemurkaan Allah. Syukurlah, ada hidayah yang bersinar pada hati mama dan ayah. 

Inilah hikmah setelah diri diuji dengan dugaan yang besar. Inilah senyuman yang menanti di hujung jalan berliku. Berkat dari Ilahi, keluarga yang dahulunya tidak wujud, telah bercambah menjadi sebuah keluarga besar. Penyatuan ikatan keluarga, semarak kasih sayang, semuanya menguntum mekar dengan munculnya Adam. Tatkala itu, baru Adam mengerti makna ‘senyuman berair mata’. Dialah insan paling bahagia di dunia! Subhanallah! Alhamdulllillah!

TERIMA KASIH TUHAN KERANA MEMBUATKAN DIRIKU DIHARGAI. AKU SUDAH ADA TEMPAT DI HATI MEREKA. YA ALLAH, AKU BERSYUKUR DENGAN HIKMAH INI.






-Tamat-

KERANA SEORANG ADAM [Bab 22]

BAB 22
Rindu yang mendalam terhadap Hana membawa kepada percaturannya mengikut kata hati. Adam mahu ke Kuala Lumpur untuk menemui Hana pada tarikh hari lahirnya. Menanti 3 bulan bagaikan 3 ratus tahun di saat dia kecundang mengawal rasa rindu dan sayang pada Hana. Awal-awal lagi dia telah mengajak Oden untuk menemaninya ke Kuala Lumpur. Dia juga mahu mengambil kesempatan untuk membawa Oden menikmati isi kota metropolitan yang belum pernah dijejaki Oden. Hadiah telah disediakan dan tiket telah dibeli. Mereka akan bermalam di hotel kerana Adam tidak mahu menyusahkan Haikal.

25 April, Hulu Kelang.
            Rumah Dato’ J meriah dengan jemputan yang memenuhi khemah. Rozie Rosa melayan tetamu di dalam rumah sementara Dato J dan Datin Jasmin menyambut tetamu di luar. Hana sedang disiapkan oleh juru andam professional, iaitu sahabat Rozie Rosa sendiri. Hana mengharapkan berlakunya keajaiban jika Tuhan memakbulkan doanya untuk membuat Adam hadir pada majlis penting itu. Dia mahu Adam bertemu dengan Mama Rozie dan seluruh keluarganya yang sememangnya berkumpul di situ.

            Pemandu teksi membawa Adam dan Oden ke destinasi yang tepat tanpa sesat. Dari hujung jalan kelihatan deretan kenderaan yang memaksa teksi berhenti di pangkal simpang. Adam dan Oden kemudian menapak menghampiri alamat yang diberikan. Majlisnya terlalu besar seperti kenduri kahwin anak raja. Agak menghairankan majlis sambutan hari lahir dibuat sebesar itu. Walaupun gerak hatinya was-was, dia tetap berjalan perlahan-lahan sehinggalah dia ternampak kain rentang yang mempamerkan berkenaan majlis itu. Naluri cuaknya ternyata tidak meleset. Tertera gambar pasangan dan ucapan;
‘SELAMAT DATANG KE MAJLIS PERKAHWINAN KHAIRUL & HANA’

Subhanallah. Masyaallah. Apakah ertinya ini semua? Adam tidak mahu meneruskan niatnya. Langkahnya terhenti. Longlai rasanya untuk melihat kebenaran yang berlaku. Lama dia berdiri kaku memandang kain rentang tersebut. Sungguh tidak disangka Hana menjemput untuk menghadiri majlis perkahwinannya. Apa niat Hana memberi layanan mesra seolah memberi harapan padanya?

Adam berasa tertipu. Adam malu. Malu pada diri sendiri dan lebih malu pada Oden. Dia terlalu kecewa dengan Hana. Terasa diri telah dipermainkan. Dari jauh dia sanggup datang untuk Hana, tetapi yang terhidang di depan mata menyentap perasaan. Adam mengajak Oden beredar kerana tersalah majlis. Oden faham kemelut dalaman yang dirasa Adam lalu menurut sahaja kehendak Adam. Oden turut kesal dan dapat merasakan betapa kecewanya perasaan Adam terpaksa berhadapan dengan kenyataan pahit itu.  Walau terasa ingin menyejukkan hati Adam, Oden tidak bersedia kerana dia tidak tahu bagaimana caranya. Oden bimbang jika Adam melenting di saat genting seperti itu.

Sia-sia dia menyimpan rasa rindu dan sayang pada Hana. Semuanya sudah tidak bermakna lagi. Kenapalah dia mudah terpedaya dengan senyum manis dan kemesraan Hana. Adam merasakan dirinya terlalu naïf terlibat dalam kepuraan hati seorang manusia yang mementingkan perasaan sendiri. Ayat-ayat manis Hana hanya mainan bicara kosong!

Sebelum berpatah balik, Adam sempat menitipkan hadiah yang dibawanya kepada salah seorang jemputan yang ingin menuju ke majlis perkahwinan Hana. Memang dari awal lagi Adam telah menyediakan hadiah yang besar itu buat Hana.  Jika Hana merasakan hadiah itu tidak ada nilai, terpulanglah andai ia layak dibuang. Namun hadiah itu ada sejarah sendiri. Kerana terlalu obses membuatnya, Oden telah menjadi mangsa kemarahannya. Ternyata, ia meleset dan tidak berbaloi! Apalah malangnya nasib diri. Memang benarlah anggapannya selama ini bahawa dia tiada tempat di mana-mana.

            Gerak hati Rozie Rosa tiba-tiba terlalu kuat teringatkan Adam. Dia bagaikan dapat merasa kehadiran Adam. Bagi melayan perasaannya, Rozie Rosa menjenguk ke luar dan memerhati sekitar. Malangnya saat itu Adam telah berlalu pergi. Seseorang telah menghulur tangan berjabat salam sambil menyampaikan hadiah, bingkisan dari Adam ke tangan Rozie Rosa. Tatkala bungkusan itu berada di tangannya, sekali lagi Rozie Rosa merasakan kehadiran Adam. Matanya galak memerhati sekeliling, namun tiada kelibat Adam di mana-mana. Segera dia meletakkan hadiah itu di tempat sepatutnya.

            Rozie Rosa menjadi gelisah apabila perasaan dan ingatannya terhadap Adam tiba-tiba datang terlalu kuat. Hari itu merupakan hari bersejarah buat Hana, maka dia sepatutnya mengenepikan perkara lain dan fokus pada majlis Hana. Namun, Rozie Rosa tidak dapat menipu diri sendiri. Semakin dia berlagak tenang, semakin rancak hatinya bergendang memanggil-manggil nama Adam. Bagaikan orang gila dia berusaha mengawal diri. Akhirnya dia duduk bersendirian memujuk hati yang terganggu. Dia mahu menenangkan perasaan buat seketika.

            Mungkin masa bertenangnya agak lama, sehingga kehilangannya dapat dikesan. Bunyi paluan kompang tidak menarik perhatiannya untuk keluar meraikan Hana. Tiada yang mampu meredakan kekalutan yang dirasa ketika itu. Hanya Adam yang mampu mengubatinya.

“Kenapa mama duduk sorang-sorang kat sini? Semua orang cari mama” .
Tiba-tiba Razzi datang menghampiri. Rozie Rosa lantas mengesat air matanya yang membasahi pipi.

“Eh, kenapa ni mama? Kenapa mama sedih?”. Razzi risau melihat keadaan sugul mamanya.

“Tadi, tiba-tiba mama rasa macam Abang Adam kamu ada di sini”.
Luah Rozie Rosa tanpa berselindung.

“Nanti kita cari Abang Adam, ya mama. Razzi faham mama sedang rindukan Abang Adam, tapi sekarang majlis Kak Hana. Mama tak bolehlah sedih-sedih macam ni.”
Razzi memujuk lembut.

            Majlis persandingan berjalan dengan meriah. Begitu anggun Hana disamping Khairul. Hana mengharapkan Allah menganugerahkan keajaiban buat Rozie Rosa. Hana mengimpikan kehadiran Adam di majlis perkahwinannya. Semoga ada magis yang muncul di hari bahagia itu.

            Sebagai memujuk hati yang terluka, Adam menghabiskan masa membawa Oden bersiar-siar di Kuala Lumpur. Beberapa lokasi yang menjadi tarikan kotaraya diperkenalkan pada Oden. Sekurang-kurangnya kehadiran mereka ke bandaraya memberi kegembiraan pada Oden. Oden layak diberi keutamaan kerana dialah peneman setia di kala suka dan duka. Sebelum pulang ke hotel penginapan, Adam juga sempat lalu di hadapan rumah mamanya, Rozie Rosa untuk melepas rindu. Tetapi rumah itu sunyi sepi, tiada penghuni. Tiada kereta di garaj, menandakan tiada sesiapa di rumah.

26 April, Hulu Kelang.
            Keesokan harinya, acara membuka hadiah diadakan di hadapan keluarga terdekat. Majlis kenduri kahwin telahpun berakhir dengan selamat semalam. Usai memotong kek, Hana akur Adam tidak hadir pada majlis itu. Tidak berlaku pertemuan dramatik yang diharapkan Hana. Mama Rozie sedang bersiap untuk kembali ke rumahnya bersama Razzi dan Raisya. Sesekali dia meninjau hadiah-hadiah yang diperolehi oleh pasangan mempelai. Senyuman, gelak tawa dan usik mengusik mengiringi acara ringkas itu.

            Hana membuka bungkusan yang diberi oleh Adam. Dia tidak tahu pengirimnya kerana yang tertulis di luar bungkusan ialah ucapan ‘Selamat Hari Lahir, Hana’ dan bukannya ‘Selamat Pengantin Baru’ seperti yang lain. Oleh kerana tarikh majlis itu dibuat bersempena hari lahirnya, Hana tidak berasakannya sebagai sesuatu yang pelik. Tetapi, sejurus dibuka, Hana terkedu sebentar apabila melihat sebuah lukisan pemandangan di perkampungan orang asli yang pernah dikunjunginya 3 bulan yang lalu. Pemandangan di tepi sungai yang berlatar belakangkan lereng-lereng bukit nan menghijau. Dia dapat mengagak hadiah itu daripada siapa sebelum melihat tandatangan si pelukis di sudut lukisan tersebut.

“Mama Rozie… ini hadiah dari Adam. Adam tinggal di kampung yang indah ini”.
Spontan Hana meluahkannya pada Rozie Rosa. Kenyataan dari mulut Hana itu mengundang seribu satu pertanyaan. Rozie Rosa merasakan sesuatu telah disembunyikan daripada pengetahuannya. Semua yang mendengar diam seketika, mengamati luahan Hana.

“Macam mana Adam boleh kenal Hana? Hana dah jumpa Adam? Maknanya Hana dah tahu di mana Adam berada?” Soal Rozie Rosa inginkan kepastian.

“Sebenarnya, Hana sudah temui Adam semasa misi bantuan perubatan di perkampungan orang asli di Gua Musang, 3 bulan yang lalu. Memang sah itu Adam anak Mama Rozie. Dia bekerja dengan JHEOA dan menetap di sana”.

“Mama tahu Hana tak berniat buruk, tapi kenapa Hana sembunyikan perkara sebesar ini dari pengetahuan Mama?”  Air mata mula turun melebat. Ingatannya terhadap Adam tidak pernah luput, bahkan semakin kuat.

“Maafkan Hana. Semasa bertugas di sana, Hana telah cuba memujuknya untuk kembali ke sini. Ternyata Adam hadir semalam kerana tiada tanda bungkusan ini dikirim melalui syarikat penghantaran. Hana memang mengharapkan Adam datang ke sini untuk dipertemukan dengan Mama Rozie dan keluarga kita”. Hana berterus terang. Dipeluknya Rozie Rosa yang dalam kesedihan. Suasana gembira bertukar syahdu.

“Syukurlah Adam selamat dan Hana tahu di mana dia berada. Mama nak pergi ke tempatnya. Mama sendiri nak cari dan bawa Adam kembali ke sini”. Luah Rozie Rosa menyatakan isi hati yang terbuku di dalam.

“Bersabarlah, bawa bertenang, selepas majlis Hana selesai, kita akan sama-sama ke tempat Adam”.
Dato’ J menenangkan isterinya dengan pujukan yang menyejukkan hati.

Di tempat Adam…
            Kembalinya semula ke daerah itu mengundang rasa berbeza. Perasaannya memberontak untuk keluar dari kepompong yang dibina sendiri. Adam mahu berubah! Bukan untuk sesiapa, tetapi untuk kepentingan dirinya sendiri. Cukup-cukuplah merasa diri ditolak. Sakit hati dan terhina! Adam mahu bangkit. Sudah agak lama rasanya dia membawa diri jauh dari persekitaran kehidupan asalnya. Dia tidak sesekali menyesal hidup di daerah pedalaman itu kerana terlalu banyak pengalaman yang dikutip daripada masayarakat pribumi. Mereka menterjemah erti susah dengan kesyukuran. Mereka mengajarnya makna sebenar sebuah survival kehidupan. Tiada jalan mudah untuk mencapai sesuatu melainkan dengan usaha yang gigih di samping ketabahan hati. Adam berterima kasih atas pengalaman yang sangat berharga yang terlalu sukar untuk dikecap di mana-mana. Tetapi, sekarang dia ingin mengubah haluan.

            Adam nekad untuk berubah! Jika dia mahu mengubah nasibnya, maka dia sendiri yang perlu berubah!  Adam tidak akan berlengah lagi. Bagaikan baru tersedar dari mimpi yang panjang, Adam bingkas merencana apa langkah seterusnya yang proaktif untuk dilakukan. Dia mengambil cuti beberapa hari untuk misi penting itu. Menuju ke pekan untuk menambah nilai dalam diri. Dia berbelanja besar membeli keperluan yang selama ini diabaikan kerana merasakan tidak perlu. Dengan hati yang berkobar dia mengubah penampilan menjadi lebih kemas. Imej diri yang berketerampilan mampu memberi tarikan kepada majikan. Dengan keyakinan yang tinggi, Adam memulakan langkah mencari kerja di pekan Gua Musang. Kelulusan yang ada digunakan sepenuhnya dengan sokongan pengalaman kerja terdahulu.

            Berkat usaha gigihnya, dalam beberapa hari sahaja, Adam diterima untuk bekerja di salah sebuah firma swasta. Tugasnya sama seperti dahulu iaitu sebagai Pereka Multimedia. Kerja-kerja grafik dan animasi merupakan ‘makanannya’ sejurus tamat pengajian dahulu.  Maka, Adam perlu mempersiapkan diri supaya tidak ketinggalan dalam arus teknologi terkini kerana semuanya telah dinaiktaraf hanya dalam tempoh yang singkat.

            Walaupun sedih menerima berita yang Adam akan berpindah, namun Oden tetap gembira bagi pihak Adam. Tambahan pula, Adam turut mempelawa Oden untuk tinggal bersamanya. Tetapi Oden menolak dengan alasan tidak bersedia dan tidak mahu meninggalkan bapanya. Oden merasa bertanggungjawab untuk berada di sisi bapanya bagi membantu meringankan beban orang tua itu.

            Terlalu pantas Adam bergerak membawa diri mengubah haluan. Ternyata, keinginan dan keazaman melangkaui jangkaan fikiran. Jika mahukan sesuatu, teruskan dengan kesungguhan, rebut peluang dan segera bertindak. Jika leka dan lambat, diri akan ketinggalan di takuk lama. Oden belajar sesuatu daripada tindakan Adam. Sejurus Adam mahu berubah, dia terus bertindak dan tidak menoleh ke belakang lagi. Begitu cekal dan bersemangat waja. Keyakinan diri yang tinggi tentunya disokong oleh ilmu pengetahuan. Oden menjadi semakin bermotivasi untuk menuntut ilmu bagi membolehkannya bertindak berani seperti Adam. Adam boleh hidup berjaya di mana-mana di samping memberi manfaat pada orang lain. Itulah tingginya nilai seorang Mohamad Adam bin Abdullah.

            Oden dengan senang hati membantu Adam berpindah ke rumah sewa barunya. Melihat Adam bertekad untuk memajukan diri, memberi semangat dan iktibar kepada Oden untuk berani mengubah nasib. Adam mahu Oden menyambung pelajarannya yang terhenti setakat tingkatan 4 kerana tidak berminat untuk ke sekolah. Oden bencikan peperiksaan yang menuntut ketekunan masa untuk mengkaji pelajaran. Dia lebih sukakan perkara santai yang tidak dikongkong dengan jadual dan pemantauan. Maka, Adam mendidik Oden sesuai dengan sikap Oden yang baik hati tetapi tidak mahu dikawal sesiapa. Adam bijak menggunakan pendekatan psikologi sehingga Oden banyak belajar ilmu daripadanya. Jika Oden malu untuk kembali ke sekolah, Adam menawarkan untuk membantu mendaftarkannya sebagai pelajar persendirian bagi membolehkannya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Adam sendiri yang akan membiayai kos perbelanjaan Oden. Adam mahu Oden mengubah nasib kaum pribumi dengan ilmu pengetahuan. 




KERANA SEORANG ADAM [Bab 21]

BAB 21
Pagi kembali menjengah. Udara segar dihirup dengan panjang. Sesuatu yang mustahil untuk dinikmati di Kuala Lumpur. Adam bersyukur untuk nikmat yang dikecap di situ. Pagi itu Adam membawa misi penting. Sebagai memanfaatkan hubungannya dengan Oden yang telah pulih, Adam mahu memujuk Oden untuk meneruskan pembelajaran.

“Tapi Oden tak minatlah. Sekolah sangat membosankan! Terkongkong dan semuanya terpaksa mengikut jadual. Oden mahukan kebebasan!”
Bangkang Oden apabila diusulkan untuk  kembali menyambung pelajaran.

“Daripada darjah 1 hingga tingkatan 4, Oden boleh bertahan, sayangnya! Cuma tinggal setahun lebih sahaja lagi untuk S.P.M”.  Adam bingung, tetapi cuba memujuk.

“Selama bersekolah sebenarnya Oden lebih kerap ponteng. Oden tak suka ke sekolahlah Abang Adam. Paling Oden benci ialah peperiksaan”. Terus terang Oden mengakui.

“Macam mana kalau Oden tak perlu ke sekolah, tetapi Oden kena belajar dengan Abang  sampai Oden pandai”. Soal Adam memberi pilihan yang mudah.

“Selepas tu?”

“Selepas tu, Oden perlu ambil peperiksaan S.P.M bila Oden betul-betul dah bersedia. Peperiksaan sangat penting, Oden. Melalui peperiksaanlah prestasi kita dinilai”.

“Susahlah, Abang Adam… Oden puas hati dengan hidup Oden sekarang”.

“Oden, semua orang boleh majukan diri sendiri kalau mahu. Oden perlu ada keazaman yang kuat untuk melihat hidup Oden berubah. Oden nak berbakti pada bapa Oden, kan? Sampai bila nak biarkan bapa Oden tanggung risiko bahaya masuk hutan mencari rotan? Kan lebih baik kalau Oden ada pelajaran, dapat pekerjaan yang menjamin masa depan. Tentu dapat ubah nasib keluarga menjadi lebih senang dan selesa”.

“Kan selama ni dah macam-macam dah Abang Adam ajar Oden. Oden ingatkan Oden dah pandai”. Akui Oden dengan yakin.

Pengakuan Oden membuat Adam ketawa. Begitu mudah anak itu berpuas hati menilai diri sendiri. Selama ini Adam mengajarnya ilmu asas sahaja tentang seni, geografi, matematik dan sains. Itupun sekadar bagi memenuhi tuntutan kehidupan seharian. Langsung tidak mencapai piawaian sukatan pembelajaran. Mungkin itu sudah memadai pada Oden yang hanya menilai kehidupan dalam ruang lingkup yang kecil. Tetapi Adam merasa terkilan jika Oden mempersia-siakan usia mudanya dengan mengabaikan pelajaran.

Adam tidak tahu sampai bila dia akan menetap di situ. Selagi dia ada, Adam tidak mahu berputus asa untuk membantu Oden meningkatkan kualiti diri. Yang diperlukan oleh Oden ialah perangsang dan motivasi yang mampu menaikkan semangatnya. Oden perlu disuntik dengan kesedaran tentang kepentingan ilmu. Adam yakin, jika dia tidak berputus asa dan bersabar melayan kerenah Oden dengan pendekatan yang sesuai, dia mampu mempengaruhi Oden untuk kembali menyambung pembelajarannya sehingga ke peringkat yang mampu dicapainya.

            Di hadapan Adam, Oden meremehkan permintaan Adam. Namun setiap kali bersendirian, Oden memikirkan harapan Adam yang mahu melihat Oden berjaya. Setidak-tidaknya menyediakan kehidupan yang lebih selesa buat bapanya. Oden tahu, nasihat Adam bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi adalah untuk kesejahteraan masa depan Oden sendiri. Adam terlalu mengambil berat sehingga sanggup mengorbankan masa berharganya untuk meluangkan masa mengajar Oden. Terserah kepada Oden sama ada mahu merebut peluang itu ataupun tidak. Oden menjadi serba salah apabila Adam memberi perhatian kepadanya. Tawaran tersedia di depan mata, rugi jika dia pula yang jual mahal. Memikirkan belajar dengan Adam di waktu malam tidaklah bosan seperti suasana di sekolah, maka Oden berlembut hati untuk mencuba selama beberapa ketika. Sekiranya dia selesa dan mampu memperolehi ilmu setaraf dengan sukatan pembelajaran di sekolah, Oden akan meneruskannya sehinggalah dia benar-benar bersedia untuk menduduki peperiksaan S.P.M.

            Sudah menjangkau seminggu Oden berguru dengan Adam. Suasananya lebih santai dan tidak formal. Bahan rujukan semuanya disediakan oleh Adam. Betapa besarnya jasa Adam ingin membantunya. Oden kagum dengan keihklasan Adam sedangkan antara mereka tiada sebarang ikatan persaudaraan.

“Abang Adam, kenapa Abang suka tolong orang?” Soalan bonus dari Oden.

“Dalam agama Islam, kalau kita berbuat baik, kita dapat pahala. Pahala itulah yang melayakkan kita masuk syurga”. Adam menerangkan secara ringkas.

“Oden tengok kehidupan Abang tenang je. Abang baik dengan semua orang, Abang rajin sembahyang”.

“Walaupun agama kita berbeza, tapi agama Islam tidak membataskan untuk buat baik pada muslim sahaja. Abang pun bukanlah baik sangat. Abang cuma manusia biasa, jadi ada juga buat silap. Tu yang Abang marah Oden dulu tu, kesilapan yang Abang rasa sangat besar”. Adam berterus terang.

Melihat kerendahan hati Adam, Oden tertarik untuk mendekati cara hidup Adam. Karisma diri Adam amat mengkagumkan sehingga Oden menjadikan Adam sebagai idolanya. Dia mahu menjadi insan berilmu seperti Adam. Bukan setakat pandai, tetapi juga rendah hati dan suka berbakti. Oden tahu, Adam mampu berjaya walau berada di mana-mana sahaja. Oden kurang yakin untuk hidup berdikari di luar kerana dia berasa rendah diri dan tidak yakin mampu menyesuaikan diri dengan persekitaran moden. Oden semakin faham mengenai cabaran hidup di luar. Dia mula berkesedaran untuk  menyahut cabaran itu supaya menjadi lebih berani untuk bersaing.

            Memasuki minggu keempat, Oden menjadi semakin bijak dan yakin. Dia mula berminat dengan matematik yang sebelumnya dianggap terlalu rumit dan sukar. Cara Adam mengajarnya menggunakan kaedah yang mudah difahami. Kesabaran Adam terlalu tinggi kerana sanggup mengulangi beberapa kali setiap kali Oden bertanya. Setiap hari jadual mereka padat dengan aktiviti bermanfaat. Walau bercuti 2 hari seminggu, mereka akan tetap berjumpa di jambatan untuk mengail.

“Abang Adam ni tak penat ke? Siang bekerja, malam mengajar Oden, hari cuti melukis atau mengail”. Sambil mengail Oden memulakan perbualan.

“Bila kita buat aktiviti berfaedah yang kita suka buat, mana ada rasa penat. Kalau penat pun, kita puas hati dan gembira”. Jawab Adam selamba.

“Abang Adam ni asyik buat sesuatu untuk orang lain je. Bila pula Abang nak buat sesuatu untuk diri sendiri?” Protes Oden, kasihankan Adam.

“Bila orang lain gembira, Abang pun rasa gembira. Lagipun, apa yang Abang nak buat untuk diri Abang ni?”

“Abang boleh gembirakan hati Abang dengan melawat ibu bapa di Kuala Lumpur ke, Abang boleh cari Dr. Farhana ke… Oden tahu, sebenarnya Abang Adam rinnnnnduuuuuuuu sangat pada mereka, kan? Kan? Kan? Kan?”
Petah Oden menyerang sambil tersenyum riang.

“Yelah, memang rinnnnnduuuuuuuu sangat sangat sangat sangat sangaaaaaattttttttt pada mereka semua!!!” Luah Adam jujur dan ikhlas.

Tiba-tiba Adam merasa lega. Rupanya, luahan ringkas dalam bentuk gurauan seperti itu juga mampu melegakan tekanan rindu yang terpendam di hati.

“Apa Abang Adam? Tak dengarlah”. Oden mengusik.

“ADAM SAYANG DAN RINDU PADA MAMA, AYAH DAN HANA!!!”
Laung Adam  ke arah bukit. Luahan yang datang dari hatinya dilepaskan dengan jujur. Lega yang teramat! Semudah itu? Kalaulah dia melakukannya lebih awal, tidaklah sesak dadanya menahan segala rasa. Bebas segala tekanan, ringan kepalanya.

“ODEN RINDU IBUUUUUU!!!”
Laung Oden pula meluah rasa.

Adam dan Oden sama-sama ketawa. Mereka sebenarnya baru sahaja membebaskan satu tekanan yang berat. Jeritan yang sangat berkesan walaupun ia kelihatan pelik; melaungkan isihati pada bukit.

            Mereka menjadi lebih positif setelah meluahkan tekanan yang menghimpit jiwa. Baru mereka sedar, tidak perlu merintih panjang, menangis atau menghentak kepala ke dinding. Laungkan sahaja rasa hati dengan ikhlas, semuanya akan lega. Sementelah mereka sedang berada jauh dari rumah orang. Selain Tuhan, jeritan itu hanya didengari oleh bukit bukau, pokok-pokok, air sungai dan juga para unggas kecil yang mungkin terkejut.

            Mereka terus ketawa selepas membuat perkara bodoh yang membantu. Bodoh kerana menjerit pada alam, tetapi membantu melepaskan tekanan yang sarat di jiwa. Biarlah! Hanya mereka yang faham dan merasa nikmat manfaatnya. Selepas itu, Adam tidak segan silu untuk menyebut tentang Hana di hadapan Oden.
           
Adam sedang merencana untuk menemui Hana di Kuala Lumpur pada tarikh yang dikhabarkan Hana. Perkara itu telah dikongsi dengan Oden memandangkan Oden tahu Adam sukakan Hana. Alamat yang diberikan oleh Hana tersimpan rapi kerana gadis itu terlalu bermakna buat diri Adam. Hana bukan sahaja memberi inspirasi, tetapi setiap layanannya memberi kebahagiaan kepada Adam. Itulah istimewanya Hana. Berkenalan dengannya hanya dalam tempoh 10 hari, tetapi kesan rindu padanya terpaksa ditanggung sehingga kini. Adam pernah berusaha untuk melupakannya, tetapi ia akhirnya bertukar menjadi harapan dan impian. Hana adalah realiti, Adam masih berpeluang untuk mencuba mendekati Hana.











KERANA SEORANG ADAM [Bab 20]

BAB 20
Sudah 2 minggu Adam tidak melihat kelibat Oden. Bila pergi menjenguk ke rumah, dia diberitakan mengikut Pak Sitam ke hutan. Di malam hari pula, Oden terlalu penat hingga tertidur awal. Ada sahaja alasan untuk menjauhkan diri daripada Adam. Betul-betul merajuk Oden padanya. Adam faham mengapa Oden meminggirkan diri. Adam mahu menjernihkan keadaan kerana semuanya berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri. 

Oden perlu tahu yang Adam telahpun melukis kembali dan menyiapkan lukisan yang telah rosak itu. Lanskap pemandangan di tempat yang sama. Adam mahu lukisan itu menjadi hadiah untuk Hana pada bulan April nanti. Oden tentu tidak rasa bersalah lagi jika melihat lukisan itu sudah siap dibingkaikan. Adam perlu berbuat sesuatu untuk memperbaiki kekusutan. Petang itu Adam sekali lagi ke rumah Oden. Dia rela menunggu lama untuk bertemu Oden pulang dari hutan. Tanpa dapat mengelak, Oden terserempak dengan Adam. Adam mengajak Oden berbual jauh di jambatan. Di situlah mereka sering menghabiskan masa mengail bersama-sama. Hari hampir senja, tetapi Adam mahu menggunakan peluang itu dengan sempurna. Dia mahu berbaik semula dengan Oden.

“Maafkan Abang. Abang memang teruk. Abang yang salah sebab buat Oden kecil hati”.
Adam membuang egonya dengan memohon maaf kepada Oden.

Oden tunduk. Dia mendengar setiap ayat yang dibicara Adam dengan tumpuan. Namun, hatinya telah hancur berkecai. Mengapa tiba-tiba Adam merasa bersalah sedangkan semasa kejadian itu bermatian dia menyalahkan Oden. Hanya kerana sebuah lukisan, persahabatan mereka lebur begitu sahaja. Mungkin ia bukan sekadar sebuah lukisan. Tapi ia sangat penting dan terlalu berharga sehingga nilai seorang Oden jatuh murah di mata Adam. Siapa Oden untuk mempertikaikan perbuatan Adam itu. Jika Adam menilainya tidak penting, maka tidak pentinglah dia. Jika Adam menganggapnya mengganggu ketenangan, maka demikianlah Oden. Oden terguris dengan kenyataan Adam. Walaupun tidak berpelajaran tinggi, tapi Oden bukan bodoh. Dia tidak bebal dan dengan mudah dapat memahami maksud yang tersirat.

“Sudahlah Oden, Abang nak kita berbaik semula. Abang minta maaf, memang Abang yang salah”. Rayu Adam kepada Oden.

“Oden minta maaf sebab rosakkan lukisan Abang. Oden tak mahu rosakkan apa-apa harta Abang lagi, sebab itu Oden perlu jauh dari Abang. Lagipun Oden tak mahu mengganggu hidup Abang”. Jawab Oden jujur.

“Pasal lukisan tu, Abang memang keterlaluan. Ia hanya sebuah lukisan. Lagipun Abang dah buat lukisan yang baru”.

“Nampaknya lukisan tu terlalu penting pada Abang. Lukisan tu macam nyawa Abang. Sebab itu Abang mengamuk bila Oden tak sengaja rosakkannya”.

“Memang lukisan tu penting, tapi Oden lebih penting lagi bagi Abang. Abang nak Oden tahu yang Abang menyesal dengan perbuatan Abang. Abang emosional masa tu”. 

“Lukisan tu untuk orang yang Abang sayang ke?” Soal Oden.

Adam angguk. Dia tahu Oden terasa hati apabila dia terlajak kata. Oden tidak pernah berniat untuk menyakiti hatinya. Bahkan daripada mula lagi, Odenlah teman paling setia berada di sisi. Penerimaan Oden membuatkan Adam mudah menyesuaikan diri di daerah itu. Berada dalam kelompok orang asli kini bukanlah perkara asing buat Adam. Semuanya kerana Oden. Adam tidak mahu kehilangan Oden disebabkan dia gagal mengawal emosi diri.

“Oden rasa Oden tahu lukisan tu untuk siapa. Untuk Dr Farhana, kan?”.
Oden mula membuat spekulasi. Memang jangkaannya tepat kerana dia juga berada di situ semasa Dr Farhana menunjukkan keterujaannya pada pemandangan di tepi sungai itu. Oden dapat merasakan betapa marahnya Adam apabila lukisan itu rosak kerana ia umpama Oden menutup peluangnya untuk membuat sesuatu yang mampu menggembirakan hati Dr Farhana.

“Ooo… patutlah Abang Adam mengamuk, rupanya semua tu sebab Dr Farhana”.
Melihat Adam tersenyum apabila nama Dr Farhana disebut, ayat sinis yang cukup tajam, keluar dari mulut Oden.

“Ala, kan Abang dah minta maaf, janganlah cakap macam ni. Kita berbaik semula, ya”.
Adam menghulurkan tangannya kepada Oden. Oden diam. Dia membiarkan Adam ternanti jawapan daripadanya. Melihat wajah ikhlas Adam, membuatkan Oden berlembut hati. Oden memaniskan muka lalu menyambut tangan Adam dan mereka bersalaman. Maka terlerailah perselisihan faham antara mereka.

            Mereka sama-sama tersenyum sambil Adam menepuk-nepuk belakang Oden. Kemesraan yang kembali terjalin itu meredakan keresahan hati masing-masing.

“Dah senja, baliklah. Petang esok kita mengail bersama-sama, ya?” Pelawa Adam untuk mengumpan Oden agar hubungan mereka kembali seperti dahulu.

“Oden tahu, Abang Adam suka Dr Farhana!!!” Jerit Oden setelah dia jauh berlari untuk pulang ke rumahnya. Adam tersipu malu tetapi dia menerima usikan itu sebagai gurauan.

            Malam itu di rumah masing-masing, kedua-duanya berpuas hati. Selera makan Oden yang tertutup, kembali terbuka dengan hidangan ringkas kerana hati yang gembira sebenarnya mampu menerima apa sahaja dengan senang hati. Oden tidur dalam senyum. Adam bersyukur kerana dia telah memperbaiki kesilapan diri. Tidak sabar rasanya untuk mengail bersama Oden pada petang esok. Tetapi sebelum itu, Adam berharap lenanya diulit mimpi indah. Semoga Hana muncul dalam mimpi manisnya.

            Saat dinanti telah tiba. Oden berlari membawa joran buluh mencari Adam. Belum sempat Adam menukar pakaian, dengan kemeja kerjanya, Adam terus ke jambatan. Itulah detik berharga yang membuat mereka merasa diri saling dihargai. Mereka saling memahami tanpa dibatasi jurang usia. Adam seakan mentor kepada Oden, banyak mengajarnya ilmu pengetahuan yang selama ini kurang diberi pendedahan. Oden pula menjadi guru kepada Adam dalam soal kehidupan di situ yang lebih dekat dengan alam semulajadi.

“Abang Adam, Oden nak tahu sesuatulah”. Soal Oden memecah kesunyian.

“Apa dia yang Oden nak tahu?”

“Abang masih ada ibu bapa?” Soal Oden.

Kenapa soalan itu yang bermain di kepala Oden? Berjuta soalan lain boleh ditanya, mengapa yang satu itu yang terpacul dari mulutnya. Adam kurang berminat membincangkan tentang topik yang melibatkan orang tuanya. Adam terdiam beberapa saat. Namun, dia mengambil keputusan untuk jujur menjawab setiap pertanyaan Oden, memandangkan hubungan mereka baru sahaja pulih semula. Adam yakin Oden tidak berniat negatif. Pasti ada sebab di sebalik persoalan itu.

“Abang Adam dengar tak?” Soal Oden.

“Dengar, ya Abang dengar. Abang masih ada ibu dan bapa di Kuala Lumpur”. Jawab Adam perlahan.

“Seronoknya… bertuahnya Abang Adam, masih ada ibu dan bapa. Tak macam Oden ni. Tapi, sejak berada di sini Abang Adam tak balik ke rumah keluarga Abang ke? Abang tak rindu ke bila dah lama tak jumpa ibu dan bapa Abang?”

“Kalau Oden jadi Abang, apa yang Oden rasa?”
Soalan Oden dibalas dengan soalan oleh Adam. Hakikatnya Adam inginkan kepastian adakah apa yang dirasakannya merupakan satu perasaan yang normal. Untuk jalan mudah, Adam memerlukan pendapat dari orang lain.

“Kalau Oden jadi Abanglah kan… Oden akan rasa selalu nak balik kampung ke Kuala Lumpur. Mesti dah rindu sangat pada ibu dan bapa di sana. Tapi kan, Oden pasti yang ibu dan bapa Abang pun sedang rinnnnnnnnnduuuuuuuuuuu sangat pada Abang”.

“Kenapa pula mereka sampai rasa ‘rinnnnnnnnnduuuuuuuuuuu sangat’ tu?” Soal Adam mengejek ayat Oden yang penuh perasaan.

“Yelah, sebab Abang Adam dah lama sangat tinggalkan ibu dan bapa Abang. Mesti sekarang ni mereka sedang tanggung rindu pada Abang”.

“Kita cakap pasal lainlah Oden”. Adam mula merasa tidak selesa. Dia tidak mahu topik itu dibicarakan lebih mendalam.

“Kenapa? Oden nak dengar cerita tentang Abang dan keluarga Abang”. Balas Oden menegaskan isihati yang jujur.

“Tak ada apa yang istimewa untuk diceritakan. Kenapa pula tiba-tiba Oden nak tahu semua ni?”

“Sebab Oden nak tumpang rasa gembira bila dengar cerita Abang Adam. Abang masih ada peluang untuk rasa kasih sayang ibu dan bapa. Masih berkesempatan untuk balas jasa dan buat baik pada orang tua Abang. Macam Oden ni, dah tak sempat nak berbakti pada ibu. Sebab tu sekarang Oden selalu tolong bapa Oden untuk ringankan beban dia. Tentu kita rasa bahagia bila dapat buat orang tua kita gembira. Oden rasa menyesal sebab masa ibu masih ada, Oden jarang bantu ibu. Oden leka buat hal Oden je”.

Terpaku Adam mendengar luahan murni seorang anak pribumi yang masih mentah. Begitu luhur hatinya ingin mengabadikan diri kepada orang tuanya.

“Jangan menyesal, sebab Oden masih budak lagi. Belum tiba masanya untuk Oden membuat semua tugas ibu. Lagipun, masa tu Oden tak tahu yang ibu Oden akan pergi buat selamanya. Oden anak yang baik, sekarang ibu Oden tentu tenang dan bahagia apabila melihat Oden rajin membantu bapa”.
Petang itu Adam banyak mengeluarkan ayat-ayat berhemah bagi menyejukkan hati Oden. Ternyata anak itu sedang merindui ibunya. Mutiara kata yang berbentuk nasihat meresap ke jiwa Oden membuatkan dirinya mendapat semangat baru. Adam bijak memberi kekuatan kepada Oden. Namun realitinya, adalah sebaliknya. Odenlah yang sebenarnya memberi kekuatan dan pelajaran bermakna tentang kehidupan kepada Adam.
           
            Malam itu mata Adam sukar dilelapkan. Terkebil-kebil dia berfikir intipati luahan isihati Oden petang tadi. Memang benar, Adam masih ada peluang untuk merasa kasih sayang mama dan ayah. Adam juga mampu untuk berbuat jasa  kebaktian yang memberi senyuman bahagia kepada orang tuanya. Namun, bagaimanakah caranya jika dia terbuang jauh di daerah pedalaman itu? Adam tahu tiada sesiapa yang mencampak atau membuang dirinya ke situ. Pergi mengasingkan diri jauh dari keluarga adalah atas kehendaknya sendiri. Dia yang memilih jalan itu untuk mengubah hidup, mencari ketenangan dan semangat baru. Adam penat berhadapan dengan musibah dan ujian yang membawa kepada episod malang pada orang-orang yang disayangi. Terlalu lemah menerima hakikat apabila diri tidak diterima. Akhirnya Adam berputus asa dan lari dari masalah. Dia meninggalkan semua yang ada. Berbekalkan sisa-sisa semangat, Adam memulakan hidup baru dengan kekuatan yang diperolehi dari Tuhan.  Tuhan mendengar setiap luahannya dan hanya kepada Tuhan juga Adam berserah untuk mendapat kehidupan yang terbaik buat dirinya. Sekiranya yang terbaik itu adalah tanpa mama dan ayah, Adam redha.

            Namun, Tuhan pasti tahu apa yang dipendam dalam hati hatta sebesar mata jarum sekalipun, walaupun perasaan itu cuba disembunyikan. Hanya Dia yang benar-benar mengerti sengsara jiwa Adam yang sarat menanggung rindu. Kalaulah dia mengikut perasaan lara di hati, mungkin dia termenangis di depan Oden sambil membongkar segala cerita. Tetapi, berbaloikah? Oden terlalu muda. Perbuatan meluah perasaan memang akan melegakan, namun selepas itu dia akan berasa malu. Belum tentu Oden dapat memahami isi cerita yang terlalu kompleks. Kisahnya memang mengaibkan untuk dikongsi apatah lagi dengan remaja mentah seperti Oden. Maka, Adam berlapang dada dengan mengambil langkah terus menyembunyikan segala rasa yang terbuku. Biarlah dia melegakan dan memujuk hati Oden dengan cara yang matang.

            Malam itu berbagai persoalan singgah di minda. Bagaimana keadaan ayah sekarang? Adakah hubungan keluarga ayah kembali bersatu dan bahagia semula setelah Adam pergi? Bagaimana pula dengan mama? Apakah nasib rumahtangga dan kerjaya mama setelah dilanda fitnah? Adakah tempat seorang Mohamad Adam bin Abdullah di hati mama dan ayah? Mungkin pemergian Adam membuatkan dirinya dilupakan begitu sahaja. Jika begitulah ketentuanNya, Adam pasrah. Tetapi tiada tandatanya tentang apa yang dirasanya sekarang terhadap mama dan ayah kerana ia sememangnya  sebuah perasaan yang ikhlas dengan kasih sayang, rindu dan harapan untuk hidup bahagia bersama mereka. Harapan yang menjadi impian. Impian yang telah roboh dan hanya tinggal tapak usang yang sudah berkarat. Tetapi tapak itu terbina kukuh di jiwanya yang dapat dirasa di setiap helaan nafasnya.     

“Wahai Tuhan, berilah aku kekuatan untuk meneruskan hidup tanpa diganggu oleh kerinduan terhadap orang tuaku”.   Doa Adam bersungguh-sungguh.
Adam kemudian berusaha untuk melelapkan mata, dengan harapan tatkala mata terjaga pagi esok, setiap perkara itu terusir jauh dari fikirannya. Dia mahu hidup yang realistik. Sukar untuk menggendong harapan yang mustahil digapai. Kenyataan kini ialah hidupnya sekarang di kelilingi pribumi. Peneman setia yang paling memahami ialah seorang remaja orang asli yang berhati bersih bernama Oden. Harapan yang mahu diusahakan untuk memenuhi impian hati ialah Hana. Doktor manis dari Kuala Lumpur yang menggamitnya supaya kembali ke kota metropolitan itu. Itu semua adalah kenyataan! Maka, Adam perlu fokus pada kenyataan yang logik sahaja.   











            

KERANA SEORANG ADAM [Bab 19]

BAB 19
Sehari selepas pemergian Hana, Adam berasa jiwanya kosong. Bagaikan kesunyian ditinggalkan sendirian. Hakikatnya semenjak menetap di situ, Adam tidak merasa sepi kerana masanya sentiasa diisi dengan aktiviti berfaedah seperti melukis dan mengajar anak-anak kecil di situ. Paling tidakpun dia akan memancing bersama Oden. Namun kini, hatinya dipenuhi dengan ingatannya terhadap Hana. Senyuman berlesung pipit Hana, bicara lembutnya yang menceriakan, semua bagaikan terakam segar di minda. Adam menjadi gelisah apabila dia gagal melenyapkan imbauan kenangan bersama Hana.

Apa istimewanya Hana jika dibandingkan dengan ramai gadis yang ditemuinya semasa di Kuala Lumpur dahulu. Mungkin pengaruh kehidupannya yang jauh daripada pergaulan dengan gadis muda menjadikan rasa itu merasuk diri dengan mudah. Bukan dia sengaja merelakan rasa sayang dan rindunya pada Hana meracau fikiran. Adam mahu mengikisnya untuk meneruskan kehidupan seperti biasa. Ternyata kehadiran Hana dalam tempoh yang singkat begitu bermakna. Lembaran bahagia terpancar menyinari wajah gembira Adam.

Suka duka berada di daerah itu menjadi sejarah hidup yang sangat bernilai untuk dikenang. Kematian ibu Oden mencetuskan rasa bersalah di hati Adam. Rentetan daripada peristiwa malang itu, Adam merasa bertanggung jawab untuk melindungi keluarga Oden. Mujur dia dapat membantu menyelamatkan Pak Sitam. Setakat dipatuk ular, tidak menjadi kudis. Bahkan hikmah dari kejadian itulah yang menemukannya dengan Hana. Adam tersenyum sendirian apabila asyik sahaja ternampak bayangan Hana di depan  mata.

Ah, tidak mungkin aku layak untuk merasa sayang padanya. Aku tidak tahu asal usulnya. Mana mungkin pertemuan sesingkat 10 hari membuatkan aku rindu padanya. Tidak masuk akal! Adakah aku sudah jatuh cinta? Bencinya dengan perasaan ini. Indah tetapi tidak mungkin kesampaian. Adakah Hana turut teringat padaku ketika ini? Kenapalah dia hadir di sini sehingga membuat aku rasa begini…

Adam melayan bisikan hati yang tidak keruan. Jiwanya terasa kosong. Dia berasakan pemergian Hana turut meyentap hatinya. Kalaulah Hana turut merasakan perasaan yang sama, alangkah bahagianya. 10 hari bersama Hana adalah hari-hari yang sangat menceriakan. Berbunga perasaannya hingga berat hatinya melihat Hana pergi.

            Sepanjang dalam perjalanan, Hana asyik terkenangkan Adam. Dia sudah berusaha memujuk pemuda itu untuk kembali ke Kuala Lumpur. Bukan niat Hana untuk mempermainkan perasaan Adam. Dia perlu bijak menggunakan masa yang singkat itu untuk berbaik dengan Adam. Hubungan yang baik akan menzahirkan persefahaman sehingga mereka terasa akrab. Keakraban itulah yang membuat hubungan persahabatan mereka menjadi selesa untuk berbual tentang apa sahaja. Hana dapat mendalami jiwa Adam yang sebenarnya terlalu baik. Sia-sia sahaja Adam mengasingkan diri kerana pada hakikatnya keluarga yang dirindui  sangat menghargainya.

            Hana bimbang jika dia juga terjerumus merindui Adam. Tujuan asalnya bukanlah untuk membuat mereka saling terpaut hati. Sekadar menjalinkan persahabatan yang ikhlas. Segera Hana fokus pada niat utamanya. Dia khuatir jika dia turut hanyut bermain dengan perasaan yang sememangnya teringatkan Adam. Hana perlu berpijak di bumi nyata. Realitinya dia adalah tunangan orang yang bakal melangsungkan pernikahan tidak lama lagi. Hana tidak mahu meruntuhkan mahligai cinta yang telah dibina bersama Khairul. Biarlah Adam menjadi kenangan yang bersemadi di hatinya. Hana tidak mahu perasaannya celaru hanya kerana menurut kata hati. Mainan perasaan memang indah sekiranya dilayan, tetapi belum tentu kemanisannya dapat dikecap di alam nyata. Biarlah Adam singgah sebentar di hatinya. Hana berusaha mengusir rasa itu daripada berterusan menjajah perasaannya.

            Kalau diikutkan hati yang sebu dengan cerita, Hana ingin berkongsi pengalaman dengan ibu tirinya. Namun pada perkiraannya, adalah lebih manis jika kehadiran Adam menjadi kejutan buat Rozie Rosa, di saat majlis perkahwinan Hana nanti. Hana yakin Adam akan hadir pada tarikh bersejarah itu. Itulah hadiah paling istimewa yang ingin dibingkiskan pada Rozie Rosa. Dia tahu betapa dua beranak itu sebenarnya saling sarat menanggung perasaan rindu. Tetapi mereka terlalu yakin dengan persepsi sendiri.

“Macam mana misi ke kawasan orang asli tu?”. Tiba-tiba Rozie Rosa menjengah.

“Misi kami berjaya mencapai matlamat”. Tersenyum puas Hana menjawab.

“Bagaimana kehidupan masyarakat di sana?” Bersungguh-sungguh Rozie Rosa ingin tahu.

“Memang berbeza sangatlah jika dibandingkan dengan kehidupan kita di sini. Kehidupan mereka terlalu ringkas dan banyak bergantung kepada sumber hutan dan alam semulajadi”. Jelas Hana petah.

“Alangkah bagusnya kalau Hana dapat bertemu Adam”. Tiba-tiba Rozie Rosa meluah rasa hati.

Hana terdiam. Ingin saja dia membuka cerita manis perkenalannya dengan Adam sewaktu di sana. Namun zahirnya tidak terucap. Bukan tidak mahu berkongsi, tetapi Hana tidak mahu Mama Rozie kecewa lagi apabila Adam berdegil tidak mahu kembali semula ke Kuala Lumpur.  Pada Hana, biarlah Adam mengambil masa seberapa lama yang diingininya, asalkan Adam ikhlas kembali ke pangkuan keluarga setelah benar-benar bersedia. Kini, jiwa Adam masih kacau. Dia lebih selesa hidup dalam pengasingan di daerah yang jauh. Hana tidak mahu memaksa, kerana Adam bukanlah anak kecil yang boleh dikongkong. Terserah pada Adam sendiri untuk membuat keputusan bagi menentukan haluan hidupnya.

            Adam terus mengulit igauan memori bersama Hana. Dia berdiri memerhati pemandangan indah yang dikagumi Hana. Di situlah Hana meluahkan keterujaannya melihat lanskap indah semulajadi ciptaanNya. Atas kerinduannya pada Hana, Adam terpanggil untuk merakam keindahan itu untuk dicoretkan di atas kanvas. Tentu ia menjadi lebih bermakna sekiranya lukisan itu kelak dapat sampai ke tangan Hana. Tambahan pula, Hana juga amat menghargai hasil seni karya Adam.

            Adam begitu fokus. Leka dia melukis sehingga tidak sedar kehadiran Oden di belakangnya. Dari tadi Oden memerhati Adam menghayun berusnya dengan catan berwarna-warni. Niat asalnya adalah untuk mengajak Adam pergi mengail bersama-sama di bawah jambatan. Dia ingin menyapa, namun bimbang jika kehadirannya mengganggu tumpuan penuh Adam yang nampaknya sedang terlalu khusyuk. Oden kemudian beredar sambil mengusung joran buluhnya.

            Lewat petang, Oden kembali dengan beberapa ekor ikan di tangannya. Ikan-ikan itu walaupun diikat kemas, masih melentok liuk. Oden segera ke rumah Adam. Dijeritnya nama Adam, namun tidak bersahut. Segera dia berlari ke tempat Adam melukis pagi tadi. Ternyata, Adam masih berada di situ. Lukisannya hampir siap.

“Abang! Abang Adam! Tengok ni, Oden dapat banyak ikan!”
Adam menoleh dan melihat Oden berlari ke arahnya.

“Oden jangan dekat sangat…” 
Adam memberi amaran. Dia bimbang melihat ikan yang belibas-libas itu memercikkan air ke kanvasnya. Namun, larian Oden terlalu laju hingga dia sukar mengagak jangkauan langkahnya. Tidak semena-mena, kaki Oden tersadung batu dan mengakibatkan ikan yang dipegangnya terlepas dari tangan. Oden tersembam tertiarap ke tanah. Ikan-ikan yang dipegang melayang jatuh tepat ke kanvas Adam. Tiada yang dapat mengelak kerana semuanya berlaku terlalu pantas.  Adam terkesima! Kesal melihat lukisannya terjatuh di tepi sungai dan rosak. Pantas dia bangun dan berusaha menyelamatkan kanvas yang separuh basah di gigi air. Lukisan itu untuk Hana, ia sangat penting dan bermakna. Oden terlalu gopoh hingga mengakibatkan kemalangan kecil itu berlaku.

“Apa ni? Kenapa Oden tak hati-hati? Yang gelojoh sangat sampai terjatuh-jatuh ni kenapa?” Sergah Adam dengan marah. Merah mukanya, tinggi suara hingga timbul urat di leher.

Oden yang sedang menahan kesakitan perlahan-lahan bangun. Dia merasa bersalah, takut dan sedih. Bersalah atas sebab merosakkan lukisan Adam walaupun secara tidak sengaja. Takut melihat julung-julung kalinya Adam marah menengkingnya. Sedih kerana Adam lebih mementingkan lukisan itu daripada dirinya yang sedang sakit dan mengalami luka ringan. Adam langsung tidak membantunya, apatah lagi bertanya keadaannya. Adam terus mendapatkan lukisan yang terjatuh di tepi sungai dan membiarkan Oden tertiarap di situ dalam keadaan berdarah di dahi, lutut dan siku.

Dengan kasar Adam menendang easel, tapak pemegang lukisan itu hingga tercampak. Terlalu marah dengan perbuatan Oden merosakkan lukisan yang paling disayanginya.  Oden menangis kerana terlalu terkejut dengan reaksi keras Adam. Selama mengenali Adam, sekalipun dia tidak pernah melihat Adam hilang sabar sedemikian. Kesakitan luka itu tidak menjadi masalah baginya kerana luka di hatinya ketika itu lebih terasa bisanya. Niatnya adalah untuk memberi Adam beberapa ekor ikan hasil tangkapan untuk dibuat lauk. Dia langsung tidak bermaksud untuk mengganggu apatah lagi merosakkan karya kesayangan Adam.

“Oden tak sengaja… Oden minta maaf…”
Pantas Oden menuturkan ungkapan maaf. Namun ia tidak mampu menyejukkan hati Adam yang sedang panas. Usaha, tumpuan, masa dan keringatnya dari pagi, sia-sia. Sekelip mata ia rosak dengan tindakan terburu-buru Oden.

“Pergi baliklah! Jangan datang ganggu aku lagi!!!”  Kasar Adam menjawab ucapan maaf dari Oden. Adam terlalu marah lalu menbaling lukisan yang telah rosak itu ke tengah sungai. Adam memalingkan muka dan langsung tidak memandang tepat ke arah Oden. Luluh rasa hati apabila diherdik dengan kuat. Semuanya berlaku secara tidak sengaja. Oden mengutip ikan-ikan hasil tangkapannya lalu berlalu dari situ. 

Sepanjang perjalanan menuju ke rumahnya, Oden menangis kerana merasakan dia sudah dibenci Adam. Baru sahaja kehilangan ibu, Oden merasakan dia tiada tempat untuk mengadu. Selama ini, perhatian yang diberi oleh Adam padanya, mengubat lara di hati. Namun, semua itu sudah berlalu. Oden terkilan atas sikapnya yang terburu-buru dan tidak berhati-hati. Jika dia lebih berwaspada, tentu semuanya dalam keadaan baik. Hubungannya dengan Adam tidak tercela dan masih akrab. Oden sedih menanggung rasa bersalah atas perbuatannya. Dia tidak pernah melihat Adam dalam keadaan sebegitu marah.

“Kenapa dengan kamu Oden?” Soal Pak Sitam apabila melihat anaknya comot dengan lumpur dan luka.

“Oden terjatuh selepas mengail tadi. Ni, ikan yang Oden tangkap, boleh buat lauk”. Oden memberikan beberapa ekor ikan kepada bapanya. Separuh lagi telah ditinggalkan di hadapan rumah Adam. Memang itu niat asalnya mencari Adam. Dia mahu berkongsi separuh dari hasil tangkapannya dengan Adam.

Warna-warna senja memenuhi ruang alam. Hari ini, senja di daerah itu lebih suram daripada biasa. Adam melangkah longlai bagaikan hilang semangat. Tiba di rumah, Adam melihat ikan-ikan Oden tergantung di pintu. Dia mengeluh panjang apabila mengetahui niat anak itu adalah untuk memberikan ikan itu padanya. Timbul rasa sesal apabila merasakan tindakannya ke atas Oden tadi terlalu keras. Adam terdiam seketika, merenung ikan-ikan yang menjadi punca kemarahannya.

Selepas solat Adam bermuhasabah diri. Dia lebih tenang menghadapi kenyataan bahawa lukisan yang diusahakannya sejak pagi itu telah rosak. Kemudian dia kembali mengenangkan sifat marahnya yang tercetus bagaikan amukan seorang wira teraniaya. Hakikatnya dia tidak dianiayai sesiapa. Oden bukanlah ancaman dan anak itu terjatuh secara tidak sengaja hingga merosakkan lukisannya. Kasihan pula pada Oden. Entahkan bagaimana keadaan lukanya akibat tersungkur petang tadi. Adam langsung tidak berminat untuk mengambil tahu kebajikan Oden kerana ketika itu dia terlalu taksub dengan lukisan yang ingin didedikasikan buat Hana. Mungkin itulah punca masalah yang sebenarnya. Adam terlalu obses untuk membuat sesuatu yang istimewa khas buat Hana. Hana! Ya, Hana yang membuat Adam resah hingga hati tidak keruan. Adam gagal mengawal perasaan kerana Hana. Betapa dangkalnya fikiran Adam dalam mengemudi perasaan. Akal dan fikirannya menjadi tidak tenang kerana asyik teringatkan Hana. Hana menguasai pelusuk hatinya hingga dia buta menilai antara kenyataan dan harapan.

Adam mula merasa kesal dan terkilan kerana cepat melenting. Selama ini dia bukanlah dalam kategori manusia panas baran. Walau sesekali ada yang menyakiti hati, dia masih mampu bersabar. Marahnya bertempat. Tetapi, petang tadi akalnya bagaikan dirasuk. Marahnya tidak bersempadan hingga dia menakutkan Oden yang masih mentah. Apalah yang budak itu fikir tentangnya sekarang? Mungkin berbakul-bakul rasa benci Oden terhadap Adam. Adam bimbang jika Oden mula menjauhkan diri. Dia sendiri yang menengking meminta Oden supaya jangan mengganggunya lagi. Pasti ayat-ayat kasar itu mengecilkan hati Oden. Maaf Oden juga tidak dilayannya kerana terlampau mengikut perasaan. Jika difikir secara rasional, Oden datang adalah untuk memberinya hasil tangkapan ikan. Tetapi tidak semena-mena budak itu dimarah dengan keras.

Astaghfirullah… apa yang telah aku lakukan? Hana hanya impian yang tiada di depan mata. Tetapi kerana dia, aku telah merosakkan sebuah kenyataan. Betapa eratnya hubungan aku dengan Oden bagaikan adik dan abang. Aku telah memusnahkan ikatan yang terbina. Maafkan hambaMu yang naïf ini, ya Allah. Bantulah aku untuk melupakan Hana. Hana hanya harapan dan impian yang belum pasti. Mengapa aku sanggup gadaikan persahabatan dengan Oden hanya kerana terlalu mengikut emosi. Kerana perasaan terhadap seorang perempuan, aku telah gagal mengawal diri. Ampuni aku, ya Allah.

Sesal Adam terhadap perbuatannya kepada Oden tidak terempang. Ingin sahaja dia pergi mencari Oden dan meminta maaf pada budak itu. Tetapi cuaca membatasi keinginannya kerana malam itu hujan turun dengan lebat. Adam terkilan dengan tingkah lakunya yang memalukan. Sebagai seorang dewasa seharusnya dia bijak mengendalikan situasi kecil seperti itu. Yang rosak hanya lukisan. Setakat masalah remeh dan ia boleh dibuat semula di lain masa. Oden lebih bermakna dari calitan warna di kanvas. Namun, dia tersilap perkiraan. Adam menarik nafas panjang. Dia dapat merasakan Oden tentu mula menjauhkan diri darinya. Pasti Oden takut kerana melihat dirinya yang hilang sabar petang  tadi.

Di rumah, Oden tidak mahu makan. Seleranya tertutup kerana masih terluka dengan  makian Adam. Tidak terduga Adam akan  menjadi segarang itu. Oden tahu dia bersalah. Tetapi dia bukan melakukan kesalahan itu dengan sengaja. Dia tahu Adam mula membencinya lantaran menilai reaksi Adam yang langsung tidak mempedulikannya setelah dia tersungkur kesakitan. Oden kesal dengan sikapmya yang melulu. Dia terlalu teruja ingin menunjukkan hasil tangkapannya yang banyak kepada Adam. Oden mahu berkongsi kegembiraan itu dengan memberikan Adam separuh daripada ikan-ikan tersebut. Malang tidak berbau, kegembiraan yang dirasa direnggut sekelip mata. Oden tidak mahu lagi mencari Adam selepas ini. Masih terngiang jelas setiap ayat kemarahan Adam. Adam yang memintanya supaya tidak lagi mengganggunya. Ternyata kehadiran Oden selama ini dirasakan sebagai satu gangguan pada Adam. Oden terlalu sedih mengenang masalah yang telah terjadi. Dia malu untuk menceritakan pada Pak Sitam. Perkara itu dipendam sendirian. Malam itu tidur Oden mahupun Adam,  tidak lena. Kedua-duanya diulit resah dan kesal atas perbuatan sendiri. Mereka saling menghargai nilai persahabatan yang terjalin dan merasa kehilangan antara satu sama lain. Rugi dan sia-sia kegembiraan yang pernah dikecap dahulu. Semuanya tinggal kenangan.