BAB 17
“Mama Rozie dah baca habis buku catatan Adam?” Soal Hana mengambil
berat.
Rozie Rosa menggeleng. Penghayatannya teliti, dia memerlukan lebih
masa untuk menamatkannya.
“Mama Rozie dah tahu di mana Adam berada sekarang?”
“Mama tak tahu kerana Adam langsung tak sebut lokasinya. Tapi, mama
rasa Adam berada di kawasan perkampungan orang asli”.
Pantas Rozie Rosa menjelaskan kesimpulan yang dibuatnya sendiri.
“Adam banyak kali menyebut kehidupannya dengan masyarakat pribumi.
Kehidupannya ringkas dan serba kekurangan. Dia berkawan baik dengan seorang
remaja bernama Oden. Oden pernah pergi beberapa kali mendapatkan rawatan di
klinik desa. Jadi, mesti ada rekod perubatan. Tapi masalahnya di Malaysia ni
banyak perkampungan orang asli”.
“Hana dan Abang Haziq akan tolong Mama Rozie jejaki Adam. Jika ada
apa-apa lagi maklumat yang boleh membantu kita cari Adam, Mama Rozie
beritahulah pada Hana. Hana yakin, kita akan dapat menemui Adam”.
Harapan yang diberi Hana menyejukkan perasaan Rozie Rosa. Dari
semalam Rozie Rosa tidak melepaskan buku catatan Adam. Dia mencari petanda yang
membolehkannya mencari Adam.
Di suatu daerah yang
terletak di pedalaman Gua Musang.
Haziq menyertai
misi penjelajahan kenderaan pacuan empat roda.
Tanpa menggunakan kenderaan air, pasukan itu berjaya tiba ke destinasi
setelah berhempas pulas melalui cabaran perjalanan yang amat berisiko tinggi.
Haziq telah lali dengan cabaran seperti itu kerana sudah berpengalaman
menghadapi pelbagai bentuk perjalanan di kawasan hutan yang berbukit bukau.
Mereka menjadikan kawasan perkampungan orang asli di situ sebagai tapak persinggahan.
Rombongan seperti itu walaupun bukanlah kali pertama,
tetapi ia tetap mengundang rasa teruja. Terlalu jarang kawasan perkampungan
mereka dikunjungi tetamu dari luar. Hanya pegawai dan pekerja dari Jabatan Hal
Ehwal Orang Asli (JHEOA) yang tidak jemu bertandang. Dek kerana persinggahan
itu merupakan agenda terancang, apatah lagi mereka turut memberi sumbangan
bantuan kewangan, acara sambutan diadakan. Walaupun bersifat sederhana, ia
tetap meriah dengan pertunjukan kebudayaan penduduk pribumi di situ. Memang
menjadi adat mereka yang sangat menghargai tetamu.
Sebagai petugas JHEOA yang satu-satunya menginap di
kawasan kejiranan di situ, Adam diminta untuk melayan tetamu pada acara itu.
Semuanya berjalan lancar pada mulanya sehinggalah Adam ternampak kelibat Haziq.
Tersentak dan terlalu terkejut! Dia mengembara jauh dari kota untuk lari dari
masalah dan tiba-tiba tanpa diduga, masalah itu datang di depan matanya. Langkah
kakinya yang semakin hampir, secara drastik telah mengubah haluan. Serta merta
Adam berpaling untuk beredar dari situ sebelum dirinya dilihat Haziq. Mana
mungkin Adam mampu melupakan wajah bengis lelaki bertubuh sasa itu. Lelaki
itulah yang muncul dalam mimpi ngerinya yang memalitkan trauma hingga dia
terlantar tidak sedarkan diri. Peredaran masa telah meredakan kekalutan
hidupnya. Hati Adam tenang dan dia mula kembali tersenyum semenjak berasa di
daerah pedalaman ini. Biar nampak kusam, memang daif dan terlalu jauh dari
piawaian ukuran mewah, namun inilah destinasi yang mendamaikan. Inilah tempat
yang berjaya memberi ketenteraman fikiran dan hati.
Kemunculan Haziq agak mengganggu ketenangan hidupnya.
Hatinya berasa gusar dan tidak keruan. Dia mahu lari. Lari laju-laju, jauh-jauh
meninggalkan rombongan kenderaan dari Kuala Lumpur itu. Bukan kerana sombong,
tidak juga sebab mahu memencil diri. Semuanya kerana Haziq. Lelaki yang telah
membelasahnya parah apabila dia berusaha mempertahankan mama dan adik-adiknya
daripada dikasari.
“Ha, yang berlari itulah Adam, tapi kenapa pula tiba-tiba dia lari
meninggalkan majlis ni?”
Tok Batin Damit kehairanan. Kelihatan Oden sedang mengejar Adam dari
belakang. Haziq hanya mengangguk kerana dari awal tadi Tok Batin telah menyebut
nama Adam sebagai sukarelawan dari Kuala Lumpur yang kemudiannya telah menjadi
petugas JHEOA. Haziq sekadar melepas pandang kerana dia tidak kisah sekiranya
tidak berpeluang mengenali Adam memandangkan ia bukanlah sebahagian daripada
agenda misi rombongan mereka. Mereka hanya singgah bermalam sambil menyampaikan
sumbangan bantuan kewangan daripada kelab yang mereka sertai.
“Tak mengapalah, Tok. Yang penting sumbangan dari kami dapat kami
sampaikan kepada Tok untuk kebajikan penghuni di sini”. Balas Haziq ringkas.
Sementara itu Adam
terus berlari tanpa menyedari ia diekori Oden. Segera ditutupnya pintu rumah
sebaik sahaja masuk. Tiba-tiba terpacul kelibat Oden dalam keadaan termengah-mengah.
“Kenapa Abang tiba-tiba saja lari? Tok Batin nak kenalkan Abang
dengan orang-orang bandar tu”. Soal Oden inginkan kepastian.
“Abang sakit perut secara tiba-tiba. Kau baliklah Oden, Abang ada
urusan”.
Balas Adam sambil tersenyum. Oden faham dan mempercayai alasan Adam
bulat-bulat. Segera remaja itu meninggalkannya tanpa mempertikaikan
kebenarannya. Adam lega kerana tidak terserempak dengan Haziq. Dia tidak tahu
bagaimana kedua-dua pihak akan memberikan tindakbalas sekiranya mereka
bertentang mata tadi. Syukur, perkara itu dapat dielakkan. Mujurlah dia sempat
memandang dari jauh terlebih dahulu sebelum diperkenalkan dan bersalaman dengan
Haziq.
Selang beberapa minggu
kemudian, di Kuala Lumpur.
Kunjungan Haziq ke
banglo Dato’ J telah mencernakan pengalaman penjelajahannya tempohari. Hana
telah menyampaikan maklumat kepada Haziq yang Adam mungkin sedang berada di
sebuah perkampungan orang asli.
Berita tersebut telah mengembalikan ingatannya terhadap aktiviti
lasak di Gua Musang beberapa minggu yang lalu. Informasi itu bertambah rancak
difikirkan apabila dia kemudiannya menerima panggilan dari seorang sahabat.
Panggilan itu telah mengocakkan benak fikirnya. Zali baru sahaja mengkhabarkan
dia berjaya menjejaki kereta Adam di Pasir Mas, Kelantan. Kereta itu sekarang
dimiliki oleh seorang wanita. Menurut wanita itu, ia dibeli oleh suaminya dari sebuah
pusat jualan kereta terpakai di pekan Gua Musang beberapa bulan dahulu. Atas
rasa bersalah yang menggunung, dalam diam sebenarnya Haziq turut berusaha untuk
menjejaki Adam. Agak terkesima apabila mengaitkan ketiga-tiga situasi yang
memang masuk dek akal. Ia dapat disimpulkan bahawa; Adam berada di perkampungan
orang asli yang terletak di pedalaman daerah Gua Musang.
Masyaallah! Besar kemungkinan Adam yang dicari
sebenarnya adalah pemuda yang ingin diperkenalkan olah Tok Batin Damit. Adam
memang berniat lari daripadanya. Adam lari setelah ternampak dirinya bukan atas
sebab lain. Itulah Mohamad Adam yang dicari-cari sekian lama. Itulah pemuda
malang yang pernah dipukulnya hingga koma. Ya Allah, Kau telah menemukan aku
dengan Adam, tetapi aku pula tidak menyedarinya. Kalaulah aku lebih peka ketika
itu.
Kisah itu
diceritakan kepada Hana dengan jujur. Haziq yakin kaitan kesemua maklumat itu
mengukuhkan kebenaran kesimpulan yang dibuatnya. Walau bagaimanapun, Hana tidak
mahu terburu-buru membongkar maklumat terkini itu kepada Mama Rozie. Dia
khuatir seandainya impian menemui Adam tidak kesampaian. Hana tidak mahu Mama
Rozie hampa ditimpa kecewa jika mereka tersilap membuat andaian. Belum sahih
lelaki yang bernama Adam di perkampungan itu adalah Adam yang mereka cari. Hana
ada strateginya sendiri. Dia mahu mengatur langkah bijak bagi memastikan Adam
yang dinyatakan Haziq adalah benar-benar Mohamad Adam bin Abdullah, sebelum
memberitahu Mama Rozie tentang berita penemuan yang menggembirakan itu.
Setelah kertas
kerja cadangannya untuk mengadakan misi bantuan perubatan di penempatan orang
asli diluluskan pihak atasan, Hana mengetuai misi tersebut. Lokasi pertama yang
menjadi pilihan kumpulan perubatan pimpinannya ialah tempat sasaran di mana
Adam berada. Misi serampang dua mata. Hana mahu kerja amalnya bermanfaat pada
penduduk setempat yang memerlukan, disamping menemui dan memujuk Adam supaya
kembali ke Kuala Lumpur.
Dato’ J dan Datin
Jasmin berasa berat hati untuk melepaskan Hana mengetuai misi itu memandangkan
majlis perkahwinan Hana dijadualkan tiga bulan sahaja lagi. Kawasan yang ingin
dikunjungi Hana agak jauh di pedalaman. Perjalanannya mencabar kerana
memerlukan pengangkutan air disamping terpaksa melalui jalan tanah merah yang
berbatu dan tidak berturap di kawasan berbukit bukau. Hana gadis bandar yang
tidak pernah melalui pengalaman hidup susah. Mereka bimbang jika cabaran
bekerja di kawasan itu menjadi tekanan kepada Hana. Namun, Hana mempamerkan
semangat perjuangan yang tinggi. Dia berjaya meyakinkan tunangnya, Khairul agar
berlapang dada dan mendoakan kejayaan misi yang mulia itu. Hana akan bertindak
dengan strategi yang bernas bagi mencapai matlamat misinya itu.
Kehadiran petugas
perubatan dari Kuala Lumpur amat dialu-alukan. Mereka akan berkampung di situ
selama 10 hari. Selaku petugas JHEOA, Adam ditugaskan untuk memastikan misi itu
berjalan lancar. Dia satu-satunya orang bandar yang hafal setiap sudut kawasan
perkampungan itu. Adam juga mesra dan mengenali masyarakat di situ yang terdiri
daripada suku kaum Temiar. Adam sedia menunggu kehadiran rombongan itu yang
sedang dalam perjalanan menuju ke situ.
Jeritan Oden
meminta tolong memeranjatkan Adam. Oden menangis cemas mengatakan bapanya
tergelincir lalu terjatuh ke dalam gaung. Soal hidup lasak selama ini memang
suatu kebiasaan bagi masyarakat pribumi. Namun, kali ini bunyinya terlalu
serius. Adam dan Oden berlari menuju lokasi di mana bapa Oden terjatuh. Pak Sitam
tercedera dan menyukarkan pergerakannya untuk mendaki naik ke atas. Tebing yang
licin di puncak gaung yang curam itu menyulitkan lagi keadaan. Kebanyakan orang
dewasa telah ke hutan. Ada yang ke sungai untuk mencari hasil tangkapan. Dalam
kepayahan, Adam dan Oden menuruni gaung yang licin itu untuk menyelamatkan Pak
Sitam. Tubuh Pak Sitam yang besar memerlukan kudrat untuk mengangkatnya naik.
Seluruh pakaian Adam dan Oden telah comot dipalit selut. Besar kemungkinan kaki
Pak Sitam telah patah dan mereka perlu mengangkatnya dengan berhati-hati. Kaki
Pak Sitam diikat pada dahan kayu agar berada pada posisi lurus. Adam dan Oden
menggunakan seluruh tenaga untuk menyelamatkan Pak Sitam.
Oden hanya ada Pak
Sitam untuk menjaganya. Setelah kehilangan ibu, Adam tidak mahu membiarkan Pak
Sitam dalam bahaya. Tanah curam yang licin menyukarkan pergerakan. Keringat
membasahi tubuh mereka. Pak Sitam semakin lemah. Atas usaha dan keihkhlasan
hati, Pak Sitam berjaya diangkat naik ke tebing.
Penghuni hutan melunaskan rutin hidup masing-masing.
Tanpa disedari muncul seekor ular di hadapan Pak Sitam. Mereka terkejut kerana
tidak bersedia untuk situasi yang lebih cemas. Pak Sitam tiada masalah jika
berhadapan dengan sang ular, tetapi TIDAK bagi Adam. Dia baru berjinak-jinak
dengan alam semulajadi. Hatinya cuak tidak terperi. Oden disuruhnya melindungi
dan memapah Pak Sitam pulang. Adam berjaya menguis ular itu ke tepi. Ular itu
terus mengejarnya dan mengacukan muncungnya ke arah Adam. Nafas Adam kencang
dan degupan jantungnya tidak stabil. Terlalu cemas dan takut dengan ancaman
reptilia berbisa itu. Bersenjatakan dahan kayu, pantas dikuisnya ular itu jauh sedikit.
Namun ular itu terlalu licik kembali padanya. Mulut Adam terkumat kamit berdoa
agar dilindungi Tuhan. Adam mahu selamat. Tidak semena-mena ular itu
menghampirinya lalu mematuk betis kirinya. Adam bertindak memukul kepala ular
itu sekuat hati berkali-kali. Akhirnya ular itu mati di situ dengan keadaan
kepala yang hancur. Adam menguatkan semangat berjalan tersengkot-dengkot hingga
dia menemui Oden yang sedang memapah Pak Sitam.
Dalam menahan
kesakitan, Adam membantu memapah Pak Sitam hingga ke kawasan perkampungan. Pengalaman
kehilangan ibu Oden mengajarnya supaya tidak lokek menggadai nyawa untuk
menyelamatkan insan lain. Adam meremehkan risiko dirinya dalam bahaya kerana
ketika itu yang paling penting baginya
ialah nyawa Pak Sitam. Mereka bertiga kemudian dibawa oleh pegawai JHEOA ke
klinik desa yang lokasinya agak jauh dari kampung mereka. Kebetulan ketika itu
rombongan Hana dari Kuala Lumpur telah tiba di klinik desa itu sebelum bertolak
ke kampung mereka. Bantuan segera diberikan pada Pak Sitam.
Sementara itu
keadaan Adam semakin kronik. Wajahnya pucat dan berpeluh. Dia sedang menahan
kesakitan. Keadaannya yang comot dan kotor menyebabkan Hana langsung tidak
dapat mengecam wajahnya. Para doktor dan jururawat dari Kuala Lumpur turut
membantu merawat Pak Sitam yang dalam kecemasan. Tiba-tiba Adam tumbang kerana
sudah tidak berdaya lagi. Adam pengsan.
“Abang! Abang!”
Jerit Oden. Dibelek-beleknya tubuh dan kaki Adam. Alangkah
terkejutnya apabila mendapati terdapat kesan patukan ular pada betis kaki kiri
Adam.
“Hah? Abang! Tolong! Abang dipatuk ular!”. Jerit Oden pada petugas
klinik.
Hana dan rakan sepasukan membantu merawat Adam. Dipotongnya kaki
seluar Adam. Jururawat mengelap lumpur yang menyelaputi kaki Adam.
Mereka kemudiannya bertungkus lumus berusaha menyelamatkan Adam yang pada
hakikatnya mereka terima sebagai pesakit. Mereka belum lagi mengetahui latar
belakang pesakit itu.
Selesai merawatnya, Hana terkejut melihat kaki kiri Adam. Tompokan
hitam tampak jelas, yang tadinya terselindung di sebalik kekotoran lumpur.
Subhanallah! Adakah ini…? Perlahan-lahan diselaknya pakaian di bahu Adam dan…
Alhamdulillah! Ini memang Mohamad Adam bin Abdullah.
Tanda-tanda yang digambarkan oleh Mama Rozie ada pada tubuhnya. Tanda lahir
tompokan hitam di buku lali sebelah kiri dan parut di bahu. Hana mengurut dada
dan mengucapkan syukur beberapa kali. Tidak diduga Tuhan mempermudahkan
pertemuannya dengan Adam. Segalanya berlaku dengan terlalu pantas. Mereka
dijadualkan bertolak ke perkampungan seberang dalam beberapa jam lagi dengan
membawa peralatan dan kemudahan perubatan. Tidak disangka Adam yang datang
kepadanya sebelum dia sempat tiba ke tempat Adam.
No comments:
Post a Comment