BAB 22
Rindu yang mendalam terhadap Hana membawa kepada
percaturannya mengikut kata hati. Adam mahu ke Kuala Lumpur untuk menemui Hana
pada tarikh hari lahirnya. Menanti 3 bulan bagaikan 3 ratus tahun di saat dia
kecundang mengawal rasa rindu dan sayang pada Hana. Awal-awal lagi dia telah
mengajak Oden untuk menemaninya ke Kuala Lumpur. Dia juga mahu mengambil
kesempatan untuk membawa Oden menikmati isi kota metropolitan yang belum pernah
dijejaki Oden. Hadiah telah disediakan dan tiket telah dibeli. Mereka akan
bermalam di hotel kerana Adam tidak mahu menyusahkan Haikal.
25 April, Hulu Kelang.
Rumah Dato’ J meriah
dengan jemputan yang memenuhi khemah. Rozie Rosa melayan tetamu di dalam rumah
sementara Dato J dan Datin Jasmin menyambut tetamu di luar. Hana sedang
disiapkan oleh juru andam professional, iaitu sahabat Rozie Rosa sendiri. Hana
mengharapkan berlakunya keajaiban jika Tuhan memakbulkan doanya untuk membuat
Adam hadir pada majlis penting itu. Dia mahu Adam bertemu dengan Mama Rozie dan
seluruh keluarganya yang sememangnya berkumpul di situ.
Pemandu teksi
membawa Adam dan Oden ke destinasi yang tepat tanpa sesat. Dari hujung jalan
kelihatan deretan kenderaan yang memaksa teksi berhenti di pangkal simpang.
Adam dan Oden kemudian menapak menghampiri alamat yang diberikan. Majlisnya
terlalu besar seperti kenduri kahwin anak raja. Agak menghairankan majlis
sambutan hari lahir dibuat sebesar itu. Walaupun gerak hatinya was-was, dia
tetap berjalan perlahan-lahan sehinggalah dia ternampak kain rentang yang
mempamerkan berkenaan majlis itu. Naluri cuaknya ternyata tidak meleset.
Tertera gambar pasangan dan ucapan;
‘SELAMAT DATANG KE MAJLIS PERKAHWINAN KHAIRUL & HANA’
Subhanallah. Masyaallah. Apakah ertinya ini semua? Adam
tidak mahu meneruskan niatnya. Langkahnya terhenti. Longlai rasanya untuk
melihat kebenaran yang berlaku. Lama dia berdiri kaku memandang kain rentang
tersebut. Sungguh tidak disangka Hana menjemput untuk menghadiri majlis perkahwinannya.
Apa niat Hana memberi layanan mesra seolah memberi harapan padanya?
Adam berasa tertipu. Adam malu. Malu pada diri sendiri
dan lebih malu pada Oden. Dia terlalu kecewa dengan Hana. Terasa diri telah
dipermainkan. Dari jauh dia sanggup datang untuk Hana, tetapi yang terhidang di
depan mata menyentap perasaan. Adam mengajak Oden beredar kerana tersalah
majlis. Oden faham kemelut dalaman yang dirasa Adam lalu menurut sahaja
kehendak Adam. Oden turut kesal dan dapat merasakan betapa kecewanya perasaan Adam
terpaksa berhadapan dengan kenyataan pahit itu. Walau terasa ingin menyejukkan hati Adam, Oden
tidak bersedia kerana dia tidak tahu bagaimana caranya. Oden bimbang jika Adam
melenting di saat genting seperti itu.
Sia-sia dia menyimpan rasa rindu dan sayang pada Hana.
Semuanya sudah tidak bermakna lagi. Kenapalah dia mudah terpedaya dengan senyum
manis dan kemesraan Hana. Adam merasakan dirinya terlalu naïf terlibat dalam
kepuraan hati seorang manusia yang mementingkan perasaan sendiri. Ayat-ayat
manis Hana hanya mainan bicara kosong!
Sebelum berpatah balik, Adam sempat menitipkan hadiah
yang dibawanya kepada salah seorang jemputan yang ingin menuju ke majlis
perkahwinan Hana. Memang dari awal lagi Adam telah menyediakan hadiah yang
besar itu buat Hana. Jika Hana merasakan
hadiah itu tidak ada nilai, terpulanglah andai ia layak dibuang. Namun hadiah
itu ada sejarah sendiri. Kerana terlalu obses membuatnya, Oden telah menjadi
mangsa kemarahannya. Ternyata, ia meleset dan tidak berbaloi! Apalah malangnya
nasib diri. Memang benarlah anggapannya selama ini bahawa dia tiada tempat di
mana-mana.
Gerak hati Rozie
Rosa tiba-tiba terlalu kuat teringatkan Adam. Dia bagaikan dapat merasa
kehadiran Adam. Bagi melayan perasaannya, Rozie Rosa menjenguk ke luar dan
memerhati sekitar. Malangnya saat itu Adam telah berlalu pergi. Seseorang telah
menghulur tangan berjabat salam sambil menyampaikan hadiah, bingkisan dari Adam
ke tangan Rozie Rosa. Tatkala bungkusan itu berada di tangannya, sekali lagi
Rozie Rosa merasakan kehadiran Adam. Matanya galak memerhati sekeliling, namun
tiada kelibat Adam di mana-mana. Segera dia meletakkan hadiah itu di tempat
sepatutnya.
Rozie Rosa menjadi
gelisah apabila perasaan dan ingatannya terhadap Adam tiba-tiba datang terlalu
kuat. Hari itu merupakan hari bersejarah buat Hana, maka dia sepatutnya
mengenepikan perkara lain dan fokus pada majlis Hana. Namun, Rozie Rosa tidak
dapat menipu diri sendiri. Semakin dia berlagak tenang, semakin rancak hatinya
bergendang memanggil-manggil nama Adam. Bagaikan orang gila dia berusaha
mengawal diri. Akhirnya dia duduk bersendirian memujuk hati yang terganggu. Dia
mahu menenangkan perasaan buat seketika.
Mungkin masa
bertenangnya agak lama, sehingga kehilangannya dapat dikesan. Bunyi paluan kompang
tidak menarik perhatiannya untuk keluar meraikan Hana. Tiada yang mampu
meredakan kekalutan yang dirasa ketika itu. Hanya Adam yang mampu mengubatinya.
“Kenapa mama duduk sorang-sorang kat sini? Semua orang cari mama” .
Tiba-tiba Razzi datang menghampiri. Rozie Rosa lantas mengesat air matanya
yang membasahi pipi.
“Eh, kenapa ni mama? Kenapa mama sedih?”. Razzi risau melihat
keadaan sugul mamanya.
“Tadi, tiba-tiba mama rasa macam Abang Adam kamu ada di sini”.
Luah Rozie Rosa tanpa berselindung.
“Nanti kita cari Abang Adam, ya mama. Razzi faham mama sedang
rindukan Abang Adam, tapi sekarang majlis Kak Hana. Mama tak bolehlah
sedih-sedih macam ni.”
Razzi memujuk lembut.
Majlis persandingan
berjalan dengan meriah. Begitu anggun Hana disamping Khairul. Hana
mengharapkan Allah menganugerahkan keajaiban buat Rozie Rosa. Hana mengimpikan
kehadiran Adam di majlis perkahwinannya. Semoga ada magis yang muncul di hari
bahagia itu.
Sebagai memujuk
hati yang terluka, Adam menghabiskan masa membawa Oden bersiar-siar di Kuala Lumpur.
Beberapa lokasi yang menjadi tarikan kotaraya diperkenalkan pada Oden. Sekurang-kurangnya
kehadiran mereka ke bandaraya memberi kegembiraan pada Oden. Oden layak diberi
keutamaan kerana dialah peneman setia di kala suka dan duka. Sebelum pulang ke
hotel penginapan, Adam juga sempat lalu di hadapan rumah mamanya, Rozie Rosa
untuk melepas rindu. Tetapi rumah itu sunyi sepi, tiada penghuni. Tiada kereta
di garaj, menandakan tiada sesiapa di rumah.
26 April, Hulu Kelang.
Keesokan harinya, acara
membuka hadiah diadakan di hadapan keluarga terdekat. Majlis kenduri kahwin
telahpun berakhir dengan selamat semalam. Usai memotong kek, Hana akur Adam
tidak hadir pada majlis itu. Tidak berlaku pertemuan dramatik yang diharapkan
Hana. Mama Rozie sedang bersiap untuk kembali ke rumahnya bersama Razzi dan
Raisya. Sesekali dia meninjau hadiah-hadiah yang diperolehi oleh pasangan
mempelai. Senyuman, gelak tawa dan usik mengusik mengiringi acara ringkas itu.
Hana membuka
bungkusan yang diberi oleh Adam. Dia tidak tahu pengirimnya kerana yang
tertulis di luar bungkusan ialah ucapan ‘Selamat Hari Lahir, Hana’ dan bukannya
‘Selamat Pengantin Baru’ seperti yang lain. Oleh kerana tarikh majlis itu
dibuat bersempena hari lahirnya, Hana tidak berasakannya sebagai sesuatu yang
pelik. Tetapi, sejurus dibuka, Hana terkedu sebentar apabila melihat sebuah
lukisan pemandangan di perkampungan orang asli yang pernah dikunjunginya 3
bulan yang lalu. Pemandangan di tepi sungai yang berlatar belakangkan lereng-lereng
bukit nan menghijau. Dia dapat mengagak hadiah itu daripada siapa sebelum
melihat tandatangan si pelukis di sudut lukisan tersebut.
“Mama Rozie… ini hadiah dari Adam. Adam tinggal di kampung yang
indah ini”.
Spontan Hana meluahkannya pada Rozie Rosa. Kenyataan dari mulut Hana
itu mengundang seribu satu pertanyaan. Rozie Rosa merasakan sesuatu telah
disembunyikan daripada pengetahuannya. Semua yang mendengar diam seketika,
mengamati luahan Hana.
“Macam mana Adam boleh kenal Hana? Hana dah jumpa Adam? Maknanya
Hana dah tahu di mana Adam berada?” Soal Rozie Rosa inginkan kepastian.
“Sebenarnya, Hana sudah temui Adam semasa misi bantuan perubatan di
perkampungan orang asli di Gua Musang, 3 bulan yang lalu. Memang sah itu Adam
anak Mama Rozie. Dia bekerja dengan JHEOA dan menetap di sana”.
“Mama tahu Hana tak berniat buruk, tapi kenapa Hana sembunyikan
perkara sebesar ini dari pengetahuan Mama?”
Air mata mula turun melebat. Ingatannya terhadap Adam tidak pernah
luput, bahkan semakin kuat.
“Maafkan Hana. Semasa bertugas di sana, Hana telah cuba memujuknya
untuk kembali ke sini. Ternyata Adam hadir semalam kerana tiada tanda bungkusan
ini dikirim melalui syarikat penghantaran. Hana memang mengharapkan Adam datang
ke sini untuk dipertemukan dengan Mama Rozie dan keluarga kita”. Hana berterus
terang. Dipeluknya Rozie Rosa yang dalam kesedihan. Suasana gembira bertukar
syahdu.
“Syukurlah Adam selamat dan Hana tahu di mana dia berada. Mama nak
pergi ke tempatnya. Mama sendiri nak cari dan bawa Adam kembali ke sini”. Luah
Rozie Rosa menyatakan isi hati yang terbuku di dalam.
“Bersabarlah, bawa bertenang, selepas majlis Hana selesai, kita akan
sama-sama ke tempat Adam”.
Dato’ J menenangkan isterinya dengan pujukan yang menyejukkan hati.
Di tempat Adam…
Kembalinya semula
ke daerah itu mengundang rasa berbeza. Perasaannya memberontak untuk keluar
dari kepompong yang dibina sendiri. Adam mahu berubah! Bukan untuk sesiapa,
tetapi untuk kepentingan dirinya sendiri. Cukup-cukuplah merasa diri ditolak.
Sakit hati dan terhina! Adam mahu bangkit. Sudah agak lama rasanya dia membawa
diri jauh dari persekitaran kehidupan asalnya. Dia tidak sesekali menyesal
hidup di daerah pedalaman itu kerana terlalu banyak pengalaman yang dikutip
daripada masayarakat pribumi. Mereka menterjemah erti susah dengan kesyukuran.
Mereka mengajarnya makna sebenar sebuah survival kehidupan. Tiada jalan mudah
untuk mencapai sesuatu melainkan dengan usaha yang gigih di samping ketabahan
hati. Adam berterima kasih atas pengalaman yang sangat berharga yang terlalu
sukar untuk dikecap di mana-mana. Tetapi, sekarang dia ingin mengubah haluan.
Adam nekad untuk
berubah! Jika dia mahu mengubah nasibnya, maka dia sendiri yang perlu berubah! Adam tidak akan berlengah lagi. Bagaikan baru
tersedar dari mimpi yang panjang, Adam bingkas merencana apa langkah seterusnya
yang proaktif untuk dilakukan. Dia mengambil cuti beberapa hari untuk misi
penting itu. Menuju ke pekan untuk menambah nilai dalam diri. Dia berbelanja
besar membeli keperluan yang selama ini diabaikan kerana merasakan tidak perlu.
Dengan hati yang berkobar dia mengubah penampilan menjadi lebih kemas. Imej
diri yang berketerampilan mampu memberi tarikan kepada majikan. Dengan
keyakinan yang tinggi, Adam memulakan langkah mencari kerja di pekan Gua
Musang. Kelulusan yang ada digunakan sepenuhnya dengan sokongan pengalaman
kerja terdahulu.
Berkat usaha
gigihnya, dalam beberapa hari sahaja, Adam diterima untuk bekerja di salah
sebuah firma swasta. Tugasnya sama seperti dahulu iaitu sebagai Pereka
Multimedia. Kerja-kerja grafik dan animasi merupakan ‘makanannya’ sejurus tamat
pengajian dahulu. Maka, Adam perlu
mempersiapkan diri supaya tidak ketinggalan dalam arus teknologi terkini kerana
semuanya telah dinaiktaraf hanya dalam tempoh yang singkat.
Walaupun sedih
menerima berita yang Adam akan berpindah, namun Oden tetap gembira bagi pihak
Adam. Tambahan pula, Adam turut mempelawa Oden untuk tinggal bersamanya. Tetapi
Oden menolak dengan alasan tidak bersedia dan tidak mahu meninggalkan bapanya.
Oden merasa bertanggungjawab untuk berada di sisi bapanya bagi membantu
meringankan beban orang tua itu.
Terlalu pantas Adam
bergerak membawa diri mengubah haluan. Ternyata, keinginan dan keazaman
melangkaui jangkaan fikiran. Jika mahukan sesuatu, teruskan dengan kesungguhan,
rebut peluang dan segera bertindak. Jika leka dan lambat, diri akan ketinggalan
di takuk lama. Oden belajar sesuatu daripada tindakan Adam. Sejurus Adam mahu
berubah, dia terus bertindak dan tidak menoleh ke belakang lagi. Begitu cekal
dan bersemangat waja. Keyakinan diri yang tinggi tentunya disokong oleh ilmu
pengetahuan. Oden menjadi semakin bermotivasi untuk menuntut ilmu bagi
membolehkannya bertindak berani seperti Adam. Adam boleh hidup berjaya di
mana-mana di samping memberi manfaat pada orang lain. Itulah tingginya nilai
seorang Mohamad Adam bin Abdullah.
Oden dengan senang
hati membantu Adam berpindah ke rumah sewa barunya. Melihat Adam bertekad untuk
memajukan diri, memberi semangat dan iktibar kepada Oden untuk berani mengubah
nasib. Adam mahu Oden menyambung pelajarannya yang terhenti setakat tingkatan 4
kerana tidak berminat untuk ke sekolah. Oden bencikan peperiksaan yang menuntut
ketekunan masa untuk mengkaji pelajaran. Dia lebih sukakan perkara santai yang
tidak dikongkong dengan jadual dan pemantauan. Maka, Adam mendidik Oden sesuai
dengan sikap Oden yang baik hati tetapi tidak mahu dikawal sesiapa. Adam bijak
menggunakan pendekatan psikologi sehingga Oden banyak belajar ilmu daripadanya.
Jika Oden malu untuk kembali ke sekolah, Adam menawarkan untuk membantu
mendaftarkannya sebagai pelajar persendirian bagi membolehkannya mengambil
peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia. Adam sendiri yang akan membiayai kos
perbelanjaan Oden. Adam mahu Oden mengubah nasib kaum pribumi dengan ilmu
pengetahuan.
No comments:
Post a Comment