BAB 19
Sehari selepas pemergian Hana, Adam berasa jiwanya
kosong. Bagaikan kesunyian ditinggalkan sendirian. Hakikatnya semenjak menetap
di situ, Adam tidak merasa sepi kerana masanya sentiasa diisi dengan aktiviti
berfaedah seperti melukis dan mengajar anak-anak kecil di situ. Paling tidakpun
dia akan memancing bersama Oden. Namun kini, hatinya dipenuhi dengan ingatannya
terhadap Hana. Senyuman berlesung pipit Hana, bicara lembutnya yang menceriakan,
semua bagaikan terakam segar di minda. Adam menjadi gelisah apabila dia gagal
melenyapkan imbauan kenangan bersama Hana.
Apa istimewanya Hana
jika dibandingkan dengan ramai gadis yang ditemuinya semasa di Kuala Lumpur
dahulu. Mungkin pengaruh kehidupannya yang jauh daripada pergaulan dengan gadis
muda menjadikan rasa itu merasuk diri dengan mudah. Bukan dia sengaja merelakan
rasa sayang dan rindunya pada Hana meracau fikiran. Adam mahu mengikisnya untuk
meneruskan kehidupan seperti biasa. Ternyata kehadiran Hana dalam tempoh yang
singkat begitu bermakna. Lembaran bahagia terpancar menyinari wajah gembira
Adam.
Suka duka berada di
daerah itu menjadi sejarah hidup yang sangat bernilai untuk dikenang. Kematian
ibu Oden mencetuskan rasa bersalah di hati Adam. Rentetan daripada peristiwa
malang itu, Adam merasa bertanggung jawab untuk melindungi keluarga Oden. Mujur
dia dapat membantu menyelamatkan Pak Sitam. Setakat dipatuk ular, tidak menjadi
kudis. Bahkan hikmah dari kejadian itulah yang menemukannya dengan Hana. Adam
tersenyum sendirian apabila asyik sahaja ternampak bayangan Hana di depan mata.
Ah, tidak mungkin aku
layak untuk merasa sayang padanya. Aku tidak tahu asal usulnya. Mana mungkin
pertemuan sesingkat 10 hari membuatkan aku rindu padanya. Tidak masuk akal!
Adakah aku sudah jatuh cinta? Bencinya dengan perasaan ini. Indah tetapi tidak mungkin
kesampaian. Adakah Hana turut teringat padaku ketika ini? Kenapalah dia hadir
di sini sehingga membuat aku rasa begini…
Adam melayan bisikan
hati yang tidak keruan. Jiwanya terasa kosong. Dia berasakan pemergian Hana
turut meyentap hatinya. Kalaulah Hana turut merasakan perasaan yang sama,
alangkah bahagianya. 10 hari bersama Hana adalah hari-hari yang sangat
menceriakan. Berbunga perasaannya hingga berat hatinya melihat Hana pergi.
Sepanjang
dalam perjalanan, Hana asyik terkenangkan Adam. Dia sudah berusaha memujuk
pemuda itu untuk kembali ke Kuala Lumpur. Bukan niat Hana untuk mempermainkan
perasaan Adam. Dia perlu bijak menggunakan masa yang singkat itu untuk berbaik
dengan Adam. Hubungan yang baik akan menzahirkan persefahaman sehingga mereka terasa
akrab. Keakraban itulah yang membuat hubungan persahabatan mereka menjadi
selesa untuk berbual tentang apa sahaja. Hana dapat mendalami jiwa Adam yang
sebenarnya terlalu baik. Sia-sia sahaja Adam mengasingkan diri kerana pada
hakikatnya keluarga yang dirindui sangat
menghargainya.
Hana
bimbang jika dia juga terjerumus merindui Adam. Tujuan asalnya bukanlah untuk
membuat mereka saling terpaut hati. Sekadar menjalinkan persahabatan yang
ikhlas. Segera Hana fokus pada niat utamanya. Dia khuatir jika dia turut hanyut
bermain dengan perasaan yang sememangnya teringatkan Adam. Hana perlu berpijak
di bumi nyata. Realitinya dia adalah tunangan orang yang bakal melangsungkan
pernikahan tidak lama lagi. Hana tidak mahu meruntuhkan mahligai cinta yang
telah dibina bersama Khairul. Biarlah Adam menjadi kenangan yang bersemadi di
hatinya. Hana tidak mahu perasaannya celaru hanya kerana menurut kata hati.
Mainan perasaan memang indah sekiranya dilayan, tetapi belum tentu kemanisannya
dapat dikecap di alam nyata. Biarlah Adam singgah sebentar di hatinya. Hana
berusaha mengusir rasa itu daripada berterusan menjajah perasaannya.
Kalau
diikutkan hati yang sebu dengan cerita, Hana ingin berkongsi pengalaman dengan
ibu tirinya. Namun pada perkiraannya, adalah lebih manis jika kehadiran Adam
menjadi kejutan buat Rozie Rosa, di saat majlis perkahwinan Hana nanti. Hana
yakin Adam akan hadir pada tarikh bersejarah itu. Itulah hadiah paling istimewa
yang ingin dibingkiskan pada Rozie Rosa. Dia tahu betapa dua beranak itu sebenarnya
saling sarat menanggung perasaan rindu. Tetapi mereka terlalu yakin dengan
persepsi sendiri.
“Macam mana misi ke kawasan orang
asli tu?”. Tiba-tiba Rozie Rosa menjengah.
“Misi kami berjaya mencapai
matlamat”. Tersenyum puas Hana menjawab.
“Bagaimana kehidupan masyarakat
di sana?” Bersungguh-sungguh Rozie Rosa ingin tahu.
“Memang berbeza sangatlah jika
dibandingkan dengan kehidupan kita di sini. Kehidupan mereka terlalu ringkas
dan banyak bergantung kepada sumber hutan dan alam semulajadi”. Jelas Hana
petah.
“Alangkah bagusnya kalau Hana
dapat bertemu Adam”. Tiba-tiba Rozie Rosa meluah rasa hati.
Hana terdiam. Ingin saja dia
membuka cerita manis perkenalannya dengan Adam sewaktu di sana. Namun zahirnya
tidak terucap. Bukan tidak mahu berkongsi, tetapi Hana tidak mahu Mama Rozie
kecewa lagi apabila Adam berdegil tidak mahu kembali semula ke Kuala
Lumpur. Pada Hana, biarlah Adam
mengambil masa seberapa lama yang diingininya, asalkan Adam ikhlas kembali ke
pangkuan keluarga setelah benar-benar bersedia. Kini, jiwa Adam masih kacau.
Dia lebih selesa hidup dalam pengasingan di daerah yang jauh. Hana tidak mahu
memaksa, kerana Adam bukanlah anak kecil yang boleh dikongkong. Terserah pada
Adam sendiri untuk membuat keputusan bagi menentukan haluan hidupnya.
Adam
terus mengulit igauan memori bersama Hana. Dia berdiri memerhati pemandangan
indah yang dikagumi Hana. Di situlah Hana meluahkan keterujaannya melihat
lanskap indah semulajadi ciptaanNya. Atas kerinduannya pada Hana, Adam
terpanggil untuk merakam keindahan itu untuk dicoretkan di atas kanvas. Tentu
ia menjadi lebih bermakna sekiranya lukisan itu kelak dapat sampai ke tangan
Hana. Tambahan pula, Hana juga amat menghargai hasil seni karya Adam.
Adam
begitu fokus. Leka dia melukis sehingga tidak sedar kehadiran Oden di
belakangnya. Dari tadi Oden memerhati Adam menghayun berusnya dengan catan
berwarna-warni. Niat asalnya adalah untuk mengajak Adam pergi mengail
bersama-sama di bawah jambatan. Dia ingin menyapa, namun bimbang jika
kehadirannya mengganggu tumpuan penuh Adam yang nampaknya sedang terlalu
khusyuk. Oden kemudian beredar sambil mengusung joran buluhnya.
Lewat
petang, Oden kembali dengan beberapa ekor ikan di tangannya. Ikan-ikan itu
walaupun diikat kemas, masih melentok liuk. Oden segera ke rumah Adam. Dijeritnya
nama Adam, namun tidak bersahut. Segera dia berlari ke tempat Adam melukis pagi
tadi. Ternyata, Adam masih berada di situ. Lukisannya hampir siap.
“Abang! Abang Adam! Tengok ni,
Oden dapat banyak ikan!”
Adam menoleh dan melihat Oden
berlari ke arahnya.
“Oden jangan dekat sangat…”
Adam memberi amaran. Dia bimbang
melihat ikan yang belibas-libas itu memercikkan air ke kanvasnya. Namun, larian
Oden terlalu laju hingga dia sukar mengagak jangkauan langkahnya. Tidak semena-mena,
kaki Oden tersadung batu dan mengakibatkan ikan yang dipegangnya terlepas dari
tangan. Oden tersembam tertiarap ke tanah. Ikan-ikan yang dipegang melayang
jatuh tepat ke kanvas Adam. Tiada yang dapat mengelak kerana semuanya berlaku
terlalu pantas. Adam terkesima! Kesal
melihat lukisannya terjatuh di tepi sungai dan rosak. Pantas dia bangun dan
berusaha menyelamatkan kanvas yang separuh basah di gigi air. Lukisan itu untuk
Hana, ia sangat penting dan bermakna. Oden terlalu gopoh hingga mengakibatkan
kemalangan kecil itu berlaku.
“Apa ni? Kenapa Oden tak
hati-hati? Yang gelojoh sangat sampai terjatuh-jatuh ni kenapa?” Sergah Adam
dengan marah. Merah mukanya, tinggi suara hingga timbul urat di leher.
Oden yang sedang menahan
kesakitan perlahan-lahan bangun. Dia merasa bersalah, takut dan sedih. Bersalah
atas sebab merosakkan lukisan Adam walaupun secara tidak sengaja. Takut melihat
julung-julung kalinya Adam marah menengkingnya. Sedih kerana Adam lebih
mementingkan lukisan itu daripada dirinya yang sedang sakit dan mengalami luka
ringan. Adam langsung tidak membantunya, apatah lagi bertanya keadaannya. Adam
terus mendapatkan lukisan yang terjatuh di tepi sungai dan membiarkan Oden
tertiarap di situ dalam keadaan berdarah di dahi, lutut dan siku.
Dengan kasar Adam menendang easel, tapak pemegang lukisan itu hingga
tercampak. Terlalu marah dengan perbuatan Oden merosakkan lukisan yang paling
disayanginya. Oden menangis kerana
terlalu terkejut dengan reaksi keras Adam. Selama mengenali Adam, sekalipun dia
tidak pernah melihat Adam hilang sabar sedemikian. Kesakitan luka itu tidak
menjadi masalah baginya kerana luka di hatinya ketika itu lebih terasa bisanya.
Niatnya adalah untuk memberi Adam beberapa ekor ikan hasil tangkapan untuk
dibuat lauk. Dia langsung tidak bermaksud untuk mengganggu apatah lagi
merosakkan karya kesayangan Adam.
“Oden tak sengaja… Oden minta
maaf…”
Pantas Oden menuturkan ungkapan
maaf. Namun ia tidak mampu menyejukkan hati Adam yang sedang panas. Usaha,
tumpuan, masa dan keringatnya dari pagi, sia-sia. Sekelip mata ia rosak dengan
tindakan terburu-buru Oden.
“Pergi baliklah! Jangan datang
ganggu aku lagi!!!” Kasar Adam menjawab
ucapan maaf dari Oden. Adam terlalu marah lalu menbaling lukisan yang telah
rosak itu ke tengah sungai. Adam memalingkan muka dan langsung tidak memandang
tepat ke arah Oden. Luluh rasa hati apabila diherdik dengan kuat. Semuanya
berlaku secara tidak sengaja. Oden mengutip ikan-ikan hasil tangkapannya lalu
berlalu dari situ.
Sepanjang perjalanan menuju ke
rumahnya, Oden menangis kerana merasakan dia sudah dibenci Adam. Baru sahaja
kehilangan ibu, Oden merasakan dia tiada tempat untuk mengadu. Selama ini, perhatian
yang diberi oleh Adam padanya, mengubat lara di hati. Namun, semua itu sudah
berlalu. Oden terkilan atas sikapnya yang terburu-buru dan tidak berhati-hati.
Jika dia lebih berwaspada, tentu semuanya dalam keadaan baik. Hubungannya
dengan Adam tidak tercela dan masih akrab. Oden sedih menanggung rasa bersalah
atas perbuatannya. Dia tidak pernah melihat Adam dalam keadaan sebegitu marah.
“Kenapa dengan kamu Oden?” Soal
Pak Sitam apabila melihat anaknya comot dengan lumpur dan luka.
“Oden terjatuh selepas mengail
tadi. Ni, ikan yang Oden tangkap, boleh buat lauk”. Oden memberikan beberapa
ekor ikan kepada bapanya. Separuh lagi telah ditinggalkan di hadapan rumah
Adam. Memang itu niat asalnya mencari Adam. Dia mahu berkongsi separuh dari
hasil tangkapannya dengan Adam.
Warna-warna senja
memenuhi ruang alam. Hari ini, senja di daerah itu lebih suram daripada biasa.
Adam melangkah longlai bagaikan hilang semangat. Tiba di rumah, Adam melihat
ikan-ikan Oden tergantung di pintu. Dia mengeluh panjang apabila mengetahui
niat anak itu adalah untuk memberikan ikan itu padanya. Timbul rasa sesal
apabila merasakan tindakannya ke atas Oden tadi terlalu keras. Adam terdiam
seketika, merenung ikan-ikan yang menjadi punca kemarahannya.
Selepas solat Adam
bermuhasabah diri. Dia lebih tenang menghadapi kenyataan bahawa lukisan yang
diusahakannya sejak pagi itu telah rosak. Kemudian dia kembali mengenangkan sifat
marahnya yang tercetus bagaikan amukan seorang wira teraniaya. Hakikatnya dia
tidak dianiayai sesiapa. Oden bukanlah ancaman dan anak itu terjatuh secara
tidak sengaja hingga merosakkan lukisannya. Kasihan pula pada Oden. Entahkan
bagaimana keadaan lukanya akibat tersungkur petang tadi. Adam langsung tidak
berminat untuk mengambil tahu kebajikan Oden kerana ketika itu dia terlalu
taksub dengan lukisan yang ingin didedikasikan buat Hana. Mungkin itulah punca
masalah yang sebenarnya. Adam terlalu obses untuk membuat sesuatu yang istimewa
khas buat Hana. Hana! Ya, Hana yang membuat Adam resah hingga hati tidak
keruan. Adam gagal mengawal perasaan kerana Hana. Betapa dangkalnya fikiran
Adam dalam mengemudi perasaan. Akal dan fikirannya menjadi tidak tenang kerana
asyik teringatkan Hana. Hana menguasai pelusuk hatinya hingga dia buta menilai
antara kenyataan dan harapan.
Adam mula merasa
kesal dan terkilan kerana cepat melenting. Selama ini dia bukanlah dalam kategori
manusia panas baran. Walau sesekali ada yang menyakiti hati, dia masih mampu
bersabar. Marahnya bertempat. Tetapi, petang tadi akalnya bagaikan dirasuk.
Marahnya tidak bersempadan hingga dia menakutkan Oden yang masih mentah. Apalah
yang budak itu fikir tentangnya sekarang? Mungkin berbakul-bakul rasa benci
Oden terhadap Adam. Adam bimbang jika Oden mula menjauhkan diri. Dia sendiri
yang menengking meminta Oden supaya jangan mengganggunya lagi. Pasti ayat-ayat
kasar itu mengecilkan hati Oden. Maaf Oden juga tidak dilayannya kerana
terlampau mengikut perasaan. Jika difikir secara rasional, Oden datang adalah untuk
memberinya hasil tangkapan ikan. Tetapi tidak semena-mena budak itu dimarah
dengan keras.
Astaghfirullah… apa
yang telah aku lakukan? Hana hanya impian yang tiada di depan mata. Tetapi
kerana dia, aku telah merosakkan sebuah kenyataan. Betapa eratnya hubungan aku
dengan Oden bagaikan adik dan abang. Aku telah memusnahkan ikatan yang terbina.
Maafkan hambaMu yang naïf ini, ya Allah. Bantulah aku untuk melupakan Hana.
Hana hanya harapan dan impian yang belum pasti. Mengapa aku sanggup gadaikan
persahabatan dengan Oden hanya kerana terlalu mengikut emosi. Kerana perasaan
terhadap seorang perempuan, aku telah gagal mengawal diri. Ampuni aku, ya Allah.
Sesal Adam terhadap
perbuatannya kepada Oden tidak terempang. Ingin sahaja dia pergi mencari Oden
dan meminta maaf pada budak itu. Tetapi cuaca membatasi keinginannya kerana malam
itu hujan turun dengan lebat. Adam terkilan dengan tingkah lakunya yang
memalukan. Sebagai seorang dewasa seharusnya dia bijak mengendalikan situasi
kecil seperti itu. Yang rosak hanya lukisan. Setakat masalah remeh dan ia boleh
dibuat semula di lain masa. Oden lebih bermakna dari calitan warna di kanvas.
Namun, dia tersilap perkiraan. Adam menarik nafas panjang. Dia dapat merasakan
Oden tentu mula menjauhkan diri darinya. Pasti Oden takut kerana melihat dirinya
yang hilang sabar petang tadi.
Di rumah, Oden tidak mahu makan. Seleranya tertutup
kerana masih terluka dengan makian Adam.
Tidak terduga Adam akan menjadi segarang
itu. Oden tahu dia bersalah. Tetapi dia bukan melakukan kesalahan itu dengan
sengaja. Dia tahu Adam mula membencinya lantaran menilai reaksi Adam yang
langsung tidak mempedulikannya setelah dia tersungkur kesakitan. Oden kesal
dengan sikapmya yang melulu. Dia terlalu teruja ingin menunjukkan hasil
tangkapannya yang banyak kepada Adam. Oden mahu berkongsi kegembiraan itu
dengan memberikan Adam separuh daripada ikan-ikan tersebut. Malang tidak
berbau, kegembiraan yang dirasa direnggut sekelip mata. Oden tidak mahu lagi
mencari Adam selepas ini. Masih terngiang jelas setiap ayat kemarahan Adam.
Adam yang memintanya supaya tidak lagi mengganggunya. Ternyata kehadiran Oden
selama ini dirasakan sebagai satu gangguan pada Adam. Oden terlalu sedih
mengenang masalah yang telah terjadi. Dia malu untuk menceritakan pada Pak
Sitam. Perkara itu dipendam sendirian. Malam itu tidur Oden mahupun Adam, tidak lena. Kedua-duanya diulit resah dan
kesal atas perbuatan sendiri. Mereka saling menghargai nilai persahabatan yang
terjalin dan merasa kehilangan antara satu sama lain. Rugi dan sia-sia
kegembiraan yang pernah dikecap dahulu. Semuanya tinggal kenangan.
No comments:
Post a Comment