BAB 18
Sebuah klinik
sementara telah diaturkan di pejabat JHEOA. Pejabat yang kecil itu akan beroperasi
sebagai klinik untuk memeriksa dan meningkatkan tahap kesihatan penduduk
kampung. Semasa sedang mengatur kelangkapan, pandangan Hana terpaku dan tertarik
melihat beberapa lukisan di dinding pejabat itu. Sejuk mata memandang melihat
keindahan hasil seni yang indah. Pada keesokan harinya mereka akan mula
beroperasi. Adam kemudian dipindahkan dari klinik desa kampung seberang setelah
peralatan dan kemudahan tersedia. Hana menjaganya dengan baik sekali.
“Saya Dr. Farhana, doktor yang merawat kamu semalam. Nama kamu?”
“Saya Mohamad Adam bin Abdullah. Macam mana keadaan Pak Sitam,
Doktor?” Soal Adam risau.
“Pak Sitam stabil. Kaki kanannya patah dan luka-luka di tubuhnya
beransur pulih”.
“Bunyi percakapan kamu seperti bukan pribumi. Boleh saya tahu kamu
berasal dari mana Adam?” Hana mula membuat percaturan.
“Saya dari Kuala Lumpur. Saya datang sini sebagai sukarelawan dan
sekarang bertugas dengan JHEOA. Doktor dari Kuala Lumpur juga, kan? Dari
kawasan mana ya?” Soal Adam ramah.
“Saya dari Hulu Kelang. Seronok juga bila kita datang dari jauh
dapat berjumpa dengan orang KL di sini. Tapi, kenapa Adam datang ke sini?
Tempat ni berada terlalu jauh di pedalaman”.
Adam menjawab soalan itu dengan senyuman. Tiada kata-kata yang terkeluar sebagai jawapan. Dia belum
betul-betul mengenali Dr. Farhana yang berada di hadapan matanya. Mana mungkin
terlalu mudah dia meluahkan sebab musabab yang membawanya ke daerah itu.
“Oh, maafkan saya jika terlalu banyak soal. Kamu berehatlah. Nanti
bila-bila kita berbual lagi ya”. Hana berlalu diiring dengan sebuah senyuman
manis. Sejuk hati Adam mendapat layanan mesra begitu dari orang yang baru
dikenali.
Hari pertama klinik
beroperasi.
Adam melihat kesibukan para petugas klinik sementara
itu. Ternyata keihklasan mereka datang dari jauh mendapat sambutan yang
menggalakkan. Ramai yang berkunjung membuat pemeriksaan kesihatan. Adam
sentiasa tertunggu-tunggu kehadiran Dr. Farhana untuk memberi rawatan susulan
padanya. Dia berasa selesa dan seronok berbual dengan doktor muda yang cantik
itu.
“Sepatutnya saya bertugas untuk membantu misi doktor ni, tapi saya
pula ditimpa kemalangan. Terima kasih Dr. Farhana sebab tolong rawat saya
kelmarin. Maafkan saya sebab tak dapat membantu”. Kata Adam sambil cuba
berjalan dengan terdengkot-dengkot.
“Tak apa, sudah menjadi tanggungjawab saya. Kamu perlu berehat. Kamu
dah boleh berjalan? Tak sakit ke?”. Hana runsing melihat Adam sudah mula
bergerak ke sana ke mari.
“Sakit, tapi boleh tahan. Saya rimaslah bila duduk sini je. Biar
saya pergi depan tolong Dr. Farhana, ya. Lagipun saya kenal orang-orang sini,
senang sikit nak berkomunikasi dengan mereka”. Tanpa dapat dibantah, Adam
berjalan terdengkot-dengkot ke hadapan. Dia lalu duduk berdekatan dengan meja
Hana. Hana hanya tersenyum melihat kesungguhan Adam. Sedikit sebanyak memberi
peluang untuk Hana mendekati Adam.
“Doktor, saya nak balik rumah boleh?” Soal Adam.
“Boleh, tapi kamu larat ke? Rumah kamu di mana? Tapi, kamu mesti
datang setiap hari untuk rawatan susulan”. Pinta Hana.
“Rumah saya dekat je, saya dah ok dah ni. Petang nanti saya balik.
Saya janji tiap-tiap hari saya akan datang untuk tolong Dr. Farhana di sini”.
Ternyata janji Adam bukanlah cakap kosong. Adam datang
setiap hari walaupun setelah kakinya pulih. Hari demi hari ada sahaja yang
dibualkan. Adam merasa ada keserasian berbicara dengan Hana. Mereka selesa
berbual tentang apa sahaja setiap kali berkesempatan untuk berkomunikasi.
Lazimnya setiap hari mereka berbual selepas waktu kerja kerana terlalu sibuk
dengan tugasan.
“Ibu bapa Adam di mana?” Soal Hana tiba-tiba.
“Saya sebatang kara. Saya dibesarkan di rumah anak yatim. Doktor
pula?”
“Maafkan saya sebab bertanya. Saya pula, disebabkan saya belum
berkeluarga, jadi saya masih tinggal di rumah ibu dan bapa saya di Hulu Kelang.
Adam berapa lama dah tak ke KL?”
“Semenjak tinggal di sini, langsung tak ke KL lagi. Adalah dalam
setahun. Lagipun saya saya bukan ada siapa-siapa di sana. Jadi, nak ke KL buat
apa?”
“Saja jalan-jalan apa salahnya. Nanti boleh datang melawat saya.
Pada hari jadi saya nanti, tiga bulan lagi, saya akan buat majlis. Adam
datanglah, nanti saya beri alamat dan tarikh”.
Adam tersenyum mendengar pelawaan ikhlas yang datang dari bibir
Hana. Hatinya mula terpaut. Hanya berbaki beberapa sahaja lagi Hana bersama
rombongannya akan pulang ke KL. Kerinduan mula dirasai kerana terbitnya suatu
perasaan nan indah pada doktor muda itu.
“Insyaallah. Seronok juga kalau kita dapat berjumpa lagi selepas
ni”. Balas Adam menyatakan isi hati.
“Dulu kamu belajar di mana? Kemudian bekerja dalam bidang apa?”
Bagaikan mata-mata, Hana menyoal siasat.
“M.M.U, lepas tu adalah pengalaman dua, tiga tahun bekerja sebagai Pereka
Multimedia”.
“Kenapa sampai merantau ke sini?” Soal Hana, soalan ulang tayang yang belum
berjawab.
“Mula-mula hari tu pun Doktor ada tanya saya macam ni. Pelik ke bila
saya berhijrah dari KL ke tempat asing macam ni?
Hana mengangguk. Dia menanti pengakuan selanjutnya daripada Adam
sendiri. Dia ingin tahu perasaan yang mendorong Adam pergi meninggalkan Mama
Rozie.
“Sebenarnya saya berhijrah ke sini untuk mendapatkan kehidupan baru
yang lebih tenang. Dulu hidup saya banyak masalah, sampai saya hampir putus asa
untuk terus hidup. Di sini ada kedamaian dan ketenangan hati. Saya rasa puas
bila dapat membantu dan memberi manfaat pada masyarakat di sini yang
memerlukan. Saya jadi lebih dekat dengan Allah”. Luah Adam pada Hana.
“Setiap dari kita, ada tersedia ujian dan dugaan untuk ditempuh. Jika
kita tabah dan redha dengan ujian itu, akhirnya tersergam hikmah yang besar
untuk dinikmati. Kamu tak boleh mudah berputus asa. Sesukar manapun yang kita
hadapi, Tuhan sentiasa ada menemani kita. Lagipun, kita perlu fikir tentang
orang-orang yang kita sayang dan orang-orang yang sayangkan kita”. Nasihat
Hana.
“Jalan cerita hidup kita tak sama, Doktor. Saya ni sebatang kara,
tiada tempat di mana-mana. Doktor bertuah hidup dikelilingi oleh orang-orang
yang sayangkan Doktor”. Adam mula beremosi.
“Mungkin kamu yang tutup pintu hati untuk rasa disayangi. Sebenarnya
mesti ada orang-orang menyayangi kamu. Mungkin juga mereka sedang merindui kamu
sekarang. Adam, dalam hati kamu sekarang ini ada rasa sayang dan rindu pada
sesiapa?” Cungkil Hana.
Adam menarik nafas panjang. Dia kemudian tunduk sambil membelek dan
memegang kemeja T yang dipakainya iaitu baju pemberian Rozie Rossa.
“Ada”. Jawabnya perlahan.
“Orang yang hadiahkan kamu baju yang kamu pakai tu?”. Bagaikan ahli
nujum, Hana menembak tepat ke sasaran.
“Haah”. Adam menjawab jujur.
“Kenapa tak hubungi saja? Buat apa kamu pergi jauh-jauh, terseksa
tanggung rindu seorang diri, sedangkan kamu ada pilihan untuk rasa bahagia?”
Hana semakin serius menasihati.
“Semua tu tinggal kenangan. Sebenarnya saya rindukan keluarga saya.
Saya tahu saya ada ibu dan bapa, tapi saya ditakdirkan tiada keluarga. Sebab
hakikatnya ‘keluarga’ yang saya sebutkan ni tak pernah wujud. Saya bukanlah
anak kepada mana-mana suami isteri. Saya hidup sebatang kara”. Tidak sukar
untuk difahami kerana jalan ceritanya telah diketahui oleh Hana. Cuma Adam sahaja
yang tidak tahu siapa sebenarnya Hana.
“Adam, kalau kamu nak tahu makna ‘senyuman berair mata’, kamu hubungilah
orang-orang yang kamu sayang”. Hana bermain kata-kata.
“Senyuman berair mata? Hahahaha…tak fahamlah!” Adam ketawa mendengar
ayat pelik daripada Hana.
“Adam, kamu ikut rombongan kami pulang ke KL, ya? Di sini bukan tempat kamu. Kamu boleh bina semula kerjaya
di sana. Kenapa kamu perlu jalan berundur sedangkan orang lain terus maju ke
depan?” Hana seakan mendesak.
“Tak apalah, Doktor. Saya dah boleh sesuaikan diri tinggal di sini.
Terima kasihlah sebab ambil berat”. Jawab Adam ikhlas.
“Saya harap Adam akan fikirkan semasak-masaknya. Saya rasa satu
kerugian bila kamu bawa diri jauh-jauh, tinggalkan orang-orang yang tersayang,
tinggalkan kerjaya yang telah kamu bina. Saya anggap ini hanya satu percutian
untuk menyegarkan fikiran dan bukanlah satu pengijrahan. Saya doakan agar Adam
kembali semula ke KL”. Pinta Hana.
“Kenapa Doktor ambil berat tentang saya? Saya ni bukan siapa-siapa…”
“Sebab Adam kawan saya. Apa salahnya kalau kita nasihatkan seorang
kawan, kan?” Jawab Hana spontan.
“Hmm… saya ingatkan Doktor anggap saya sebagai pesakit”. Balas Adam
dengan senyuman.
“Saya lebih selesa jika kamu panggil saya Hana sahaja. Abaikanlah
perkataan Doktor tu”. Hana membalas dengan senyuman ikhlas. Terukir lekukan
lesung pipit di pipi, menampakkan lagi seri wajahnya.
“Adam, kamu tak bosan ke tinggal di kawasan terpencil ni?” Soal Hana
lagi.
“Bila bosan, saya melukis. Tu, yang di dinding tu”. Adam menunjukkan
ke arah beberapa bingkai lukisan di dinding. Dari awal lagi Hana sudah teruja
melihat beberapa lukisan pemandangan yang indah di pejabat itu. Dia memang
meminati hasil seni lukis walaupun dia bukanlah berlatar belakangkan pelajar jurusan
seni.
“Wow! Adam yang lukis semua ni? Hebatnya! Bertuahnya saya dapat
berkenalan dengan seorang artis berbakat. Oh, tak sangka Adam ni seorang
seniman rupanya ”.
Teruja Hana mengamati lukisan hasil karya Adam. Bakat seninya
terserlah hebat. Melihat tandatangan Adam di sudut kanvas, menambahkan lagi
rasa kagum pada anak kandung Mama Rozie itu.
“Mana ada hebat. Ala… seniman jalanan je”.
Adam membalas pujian itu dengan rasa rendah diri. Di dalam hati
sebenarnya dia sedang mengawal rasa seronok dihargai sedemikian.
Pada sebelah
petang, Hana dibawa ke tempat-tempat indah di kawasan kampung. Hana cukup
tertarik menyedut udara yang nyaman di tepi sungai yang jernih. Lereng-lereng
hijau menambahkan udara segar yang tidak dapat dikecap di hutan batu Kuala
Lumpur.
“Subhanallah! Cantiknya tempat ni! Sungainya jernih, airnya dingin,
udaranya segar, lereng bukitnya hijau dan nyaman”.
Puji Hana yang teruja dengan keindahan alam semulajadi yang
terpelihara di kampung itu. Tiada pencemaran yang menggugat udara. Adam tersenyum
melihat kekaguman Hana pada ciptaan Tuhan. Pada awal kedatangannya dahulu, Adam
turut berasakan perkara yang sama. Terpukau dengan sisi indah alam yang
terpelihara. Sejak itu, dia terpikat untuk terus menetap di kampung itu
walaupun terpisah jauh dari kehidupan moden di bandar. Sememangnya mendekatkan
diri dengan alam semulajadi mampu mengembalikan kesegaran dan ketenangan minda
yang dijajah oleh tekanan hidup.
Malam itu tidur
Adam tidak lena. Setiap ayat Hana terngiang-ngiang di salur pendengarannya.
Keihklasan Hana mengambil berat benar-benar menyentuh perasaan. Sudah lama dia
tidak berbual-bual meluah perasaan sedemikian. Hatinya yang kosong mula
memiliki pengisian dengan kata-kata hikmah. Hana seolah-olah memahami jiwanya.
Nasihat Hana membuatnya terfikir untuk kembali ke KL. Namun, bukanlah dalam
tempoh terdekat kerana ia memerlukan persediaan mental yang tinggi. Adam masih
fobia bila mengingatkan kejadian yang menimpa dirinya dan fitnah yang melanda
Rozie Rosa.
Personaliti Hana
yang dinamik dan berkarisma memberi inspirasi kepada Adam. Seorang doktor muda
yang hidup mewah sanggup datang membawa misi mulia untuk memberi khidmat
bantuan perubatan dan kesihatan ke kawasan pedalaman itu. Hanya insan yang ikhlas sahaja mampu melakukan tugas
amal yang mencabar seperti yang dilakukan oleh Hana dan rakan sepasukannya.
Khidmat yang disediakan juga sangat memberi manfaat pada penghuni di situ yang
kurang pendedahan dalam menitik beratkan perihal kesihatan. Hati Adam berbunga
dan Hana muncul di setiap penjuru penglihatannya. Hana hadir di minda
menjadikannya sedih menghitung hari bakal melihat rombongan itu pergi
meninggalkan perkampungan. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja Adam mengikut Hana
pulang ke KL untuk terus bersamanya. Tetapi, tidak semudah itu untuk berhadapan
dengan kerenah kota metropolitan yang sesak dengan tekanan.
Setelah tamat
tempoh beroperasi di situ, sebelum pulang ke KL, Hana mengajak Adam untuk
sama-sama ke pekan Gua Musang. Hana mahu membelanja Adam makan. Adam masih
menjawab ‘TIDAK’ setiap kali diajak ke KL. Namun dia tidak menolak pelawaan
untuk dibelanja makan oleh kawan barunya itu.
“Sebab saya yang belanja, jadi biar saya yang pesan makanan”.
Hana menetapkan syarat. Adam tidak kisah kerana dia berselera makan
apa sahaja selagi Hana ada di depan mata. Hana memesan makanan pada kaunter
kerana dia tidak mahu Adam mendengar pesanannya. Dia mahu membuat kejutan yang
istimewa pada Adam.
Seketika kemudian
satu persatu makanan dihidang di atas meja. Nasi putih, tom yam udang, ikan
kerapu masam manis dan cendawan goreng sos tiram. Adam terfana sebentar melihat
hidangan kegemarannya. Anehnya, dia tidak pernah memberitahu Hana tentang itu dan
perkara itu menjadi kebetulan yang tidak masuk akal.
“Makanlah! Sedap tak menu yang saya pilih?”
Ceria Hana menuturkannya. Adam mengangguk perlahan tanpa kata-kata.
Diperhatikannya wajah Hana dengan teliti sehingga Hana menjadi kurang selesa.
“Kenapa pandang-pandang ni? Makanlah!” Hana ketawa sambil melambai
tangan di hadapan mata Adam.
“Awak ni siapa sebenarnya? Manusia ke ahli nujum?” Gurau Adam.
“Hahahaha…” Hana hilang kata-kata. Dia terus ketawa kerana
sememangnya dia mahu membuat Adam merasa kehadirannya hingga sanggup
mengikutnya kembali ke KL.
“Mungkin awak ni pari-pari yang Tuhan kirim untuk gembirakan hati
saya. Awak tahu apa yang saya suka”. Luah
Adam.
“Yelah tu… kalau macam tu, Tuhan utus pari-pari ni untuk bawa awak
kembali ke KL, nak tak?”
“Untuk pari-pari, saya sanggup. Tapi bukan sekarang” . Jawab Adam.
“Baiklah ‘saudara seniman jalanan’, ‘pari-pari’ tunggu kedatangan
saudara di KL pada tarikh hari lahir pari-pari nanti, ya. Ingat, tarikhnya 25
April, saudara seniman jalanan mesti datang. Jangan biarkan pari-pari hampa”.
Hana menjawab dengan bersahaja tetapi mesra.
“Baiklah pari-pari, nanti seniman jalanan akan datang bawa hadiah
besar”.
Adam meyakinkan Hana. Jawapan tersebut membawa harapan dan kelegaan
pada Hana. Timbul rasa puas hati apabila misi serampang dua matanya hampir
mencapai matlamat.
Selesai makan, Hana kembali ke tempat di mana rombongan
mereka berkumpul. Adam tetap dengan keputusannya untuk tidak mengikutnya pulang
ke Kuala Lumpur atas alasan belum
bersedia. Namun, hakikatnya Adam sudah mula memikirkan kesempatan untuk bertemu
Hana lagi, si pari-pari yang menceriakan perasaan. Dia mula terasa kehilangan
apabila Hana menaiki kenderaan. Sebelum beredar, Hana sempat memberi Adam
alamat dan tarikh hari lahirnya dengan harapan Adam akan muncul di rumahnya
pada majlis tersebut. Adam menerima bingkisan itu dengan rasa sayu.
10 hari yang amat membahagiakan telah berlalu. Waktu
yang terlalu singkat untuk menyemai benih cinta. Jiwa Adam bergelora
meronta-ronta melaungkan rasa sayang pada Hana. Tetapi suara itu hanya menjerit
di dalam hati. Zahirnya tidak terucap kerana malu dan rasa tidak wajar. Lambaian
terakhir mencetuskan fenomena rindu di hati Adam. Walaupun tempoh perkenalan
mereka hanya sekejap, tetapi Adam merasakan seperti telah lama mengenali Hana. Adam
telah terpaut hati dan jatuh cinta pada Hana.
Hana pula berpuas hati dengan perjalanan misi serampang
dua matanya. Masyarakat dapat manfaat dan Adam mula lembut hati untuk kembali
ke Kuala Lumpur. Dari awal lagi dia mempersiapkan diri dengan benteng sebagai
perisai untuk tidak jatuh hati pada Adam. Dia bukan mahu memberi harapan palsu
atau mempermainkan perasaan Adam. Hana mahu Adam cair dan terfikir untuk
kembali semula membina hidup di Kuala Lumpur. Dia mahu Adam ke pangkuan Mama
Rozie dan keluarganya.
No comments:
Post a Comment