BAB 23
Dua minggu kemudian…
Selesai majlis di
rumah pengantin lelaki, Rozie Rosa nekad untuk ke tempat Adam. Semua memberi
sokongan dan mahu ikut serta menjadikan perjalanan itu umpama sebuah rombongan.
Rozie Rosa, Dato’ J, Haziq dan kawannya Zali, Hana bersama suaminya Khairul,
Razzi, Raisya, dan Ayu. Haji Malek, Syahid dan ibunya juga turut serta. Mereka
bersatu demi Adam. Kerana seorang Adam, pertalian keluarga itu menjadi semakin
utuh.
Perjalanan itu
bagaikan memuncakkan harapan yang menjadi semakin tinggi. Rozie Rosa merasanya
penantian selama 2 minggu bagaikan bertahunan. Menunggu saat bahagia meleraikan
tekanan rindu yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Dia yang merasa
bagaimana merana hati menahan kerinduan. Jika melarat dan hilang pedoman, boleh
menjadikannya sakit jiwa. Kalaulah Hana bertindak lebih bijak…
Kalaulah berita itu diketahuinya lebih awal… Tentulah sejarah
menjadi berbeza.
Rombongan Rozie Rosa menginap di sebuah hotel di pekan.
Haziq dan Zali yang masuk ke kawasan perkampungan dengan niat untuk memujuk dan
membawa Adam keluar ke pekan. Kali ini Haziq tidak mahu salah langkah. Dia mahu
membetulkan kesilapan lalu dengan membantu menemukan kembali anak dan ibu yang
terpisah. Beberapa jam perjalanan meredah laluan berbukit bukau, ternyata
menghampakan. Adam yang dicari tiada lagi di situ. Melalui Oden, Adam
diberitakan telah mendapat pekerjaan di pekan dan bakal memulakan tugas baru
bermula awal bulan Jun, iaitu kira-kira 2 minggu lagi. Oden sedia menunjukkan
lokasi tempat tinggal Adam yang baru kerana dia yang membantu Adam pindah ke
situ. Oden yang membawa peralatan lukisan Adam ke rumah sewa barunya yang
terletak di pekan Gua Musang. Atas faktor cuaca, Haziq dan Zali bertolak lewat
sedikit. Oden mengikut mereka sebagai pemandu arah. Rombongan Rozie Rosa telah
dihubungi Haziq dan mereka akur untuk menunggu di hotel sahaja sehingga keesokan
pagi.
Sementara itu di rumah
sewa Adam…
Adam perlu bersedia
untuk kembali ke industri. Dia telah membeli peralatan komunikasi yang sekian
lama dipinggirkannya. Telefon bimbit, komputer riba dan talian jalur lebar. Dia
mula membuat rujukan di internet untuk rekaan terkini. Semasa memohon pekerjaan
tempohari, dia menggunakan hasil kerja terdahulu yang tersimpan dalam thumb drive yang berada dalam
simpanannya. Kini dia perlu mengemaskini pengetahuan bagi mempersiapkan diri
menghadapi kerja baru. Sudah lebih setahun dia meninggalkan bidang itu. Penampilannya
kini lebih terurus dengan potongan rambut pendek yang kemas dan pakaian yang
lebih bergaya. Adam nekad untuk kembali memajukan hidupnya. Bertitik tolak dari
kehampaannya terhadap Hana, telah membakar semangat juangnya untuk memantapkan
diri. Bukan mahu membuktikan pada sesiapa, tetapi dia tidak mahu mempersia-siakan
ilmu dan bakat yang dianugerah Tuhan.
Semasa di pejabat
JHEOA, dia membuka akaun emel yang baru. Tetapi tiba-tiba pada malam itu
tergerak hatinya untuk membuka peti mel yang lama. Dalam debar dia menyemak
emel yang sesak dengan kandungan. Subhanallah, terlalu banyak yang perlu
dibaca. Pada mulanya Adam mahu mengabaikan dan memadam semua emel tersebut.
Tetapi dia mengubah fikiran apabila mula membacanya satu persatu. Sudah terlalu
lama dia meninggalkan tabiat meneroka laman sosial. Rupanya ia telah menghimpun
berduyun mesej, komen dan pelbagai lagi permintaan. Semua yang diterima di
laman sosial hanya dibaca melalui peti mel.
Ya Allah, terlalu banyak kisah yang langsung tidak
diduga. Mama… terlalu banyak emel daripada mama. Mengapakah Adam terlalu alpa
hingga enggan menoleh walau sekelimbas cuma. Mama menghantar banyak pesanan
dengan ayat pujukan yang meruntun kalbu. Berada sendirian menghayati setiap
mesej membuat Adam terpaku menatap komputer ribanya. Bagaikan belum benar-benar
bersedia untuk menghadapi semua itu serentak, Adam mencekalkan hati untuk
berdepan dengan semuanya. Penghayatannya tulus, mahu membongkar segalanya
secara terperinci.
Baru dia sedar,
kehilangannya mendapat perhatian umum. Mama telah mengadakan sidang akhbar
membuat pengakuan tentang Adam. Ia
adalah peristiwa besar yang patut diketahuinya kerana sidang akhbar itu
bertujuan untuk mendedahkan ikatan Adam dan Rozie Rosa. Ya Allah, ini kisah
yang baru tersingkap oleh pengetahuannya setelah ia berlalu lebih setahun
dahulu. Terdapat emel yang menghubungkan dengan laman sesawang yang memaparkan
rakaman sidang akhbar itu. Adam mengetahui kronologi perleraian kisahnya satu
persatu. Ternyata mama ikhlas menerima kehadirannya. Ayah juga telah tampil
melindungi aib mama dengan membuat pengakuan berani. Kelihatan ayah berada di
atas kerusi roda dalam keadaan lemah.
“Ayah!”
Serta merta Adam teringatkan Haji Malek. Bagaikan terdengar-dengar
bisikan azan di telinganya. Risau
melihat keadaan kesihatan ayah yang rupanya bermasalah. Adam terkilan kerana
dia yang bertindak melulu membuang dirinya dari keluarga itu. Ternyata memang
wujud ‘keluarga’ untuknya walaupun mama dan ayah tidak pernah berkahwin.
Melalui emel yang dihantar mama, Adam mendapat tahu
kondisi ayah jatuh sakit sejurus ditinggalkan Adam. Adam menyesal dan tidak
pernah menduga pemergiannya membawa impak besar pada keluarga ayah dan mama.
Baru dia tahu betapa Syahid berusaha keras mencarinya untuk membantu memulihkan
kesihatan ayah. Adam kesal kerana terlalu mengikut perasaan dan bertindak
mementingkan diri sendiri.
Dia mula terasa betapa sebenarnya dirinya amat disayangi
dan dihargai. Ternyata banyak kebenaran kata-kata Hana bahawa dia yang menutup
pintu hati untuk orang-orang tersayang. Ayat-ayat rindu dari mama menyentuh
rasa.
Adam di mana? Mama risaukan
Adam. Pemergian Adam boleh buat mama jadi gila. Tolonglah kembali kepada mama.
Semalaman dia tidak tidur kerana leka menghayati setiap
mesej yang sebenarnya telah lapok tetapi baru kini sampai ke pengetahuannya.
Orang-orang di luar sana telah menganggap isu itu selesai dan kehidupan mama
tidak lagi dihimpit fitnah mahupun kontroversi.
Adam memikul rasa bersalah kerana mengabaikan perasaan orang-orang yang
menyayanginya.
Maafkanlah Abang Haziq. Dia
adalah anak tiri mama yang memukul Adam hingga parah. Mama tahu Adam derita
disebabkan mama. Hubungan keluarga sudah kembali jernih. Adam pulanglah… mama
sekeluarga sedang menunggu.
Baru dia tahu rupanya semua yang berlaku adalah kerana
salah faham. Lelaki yang memukulnya dahulu ialah Haziq, anak tiri mama yang
terlalu percayakan fitnah media. Hakikatnya selepas itu Papa J sendiri dapat
menerima kehadiran Adam sebagai anak kandung mama.
Semuanya telah lama
selesai. Adam pulanglah, sayang. Mama terlalu rindu. Mama dah berjanji tak akan
tinggalkan Adam lagi, tapi kenapa Adam pula yang tinggalkan mama… Mama
sekeluarga dan keluarga ayah Adam telah berbaik. Kami semua sedang mencari
Adam. Kami telah bermuafakat dan membuang dendam silam. Semuanya kerana Adam.
Kembalilah ke pangkuan kami.
Pesanan mama mengundang cecair jernih di birai mata.
Telah lama dia tidak menangis sejak dia berada di perkampungan orang asli.
Sejak itu dia membuang rasa sedih dan berjaya mengawal emosi sentimental.
Semuanya jadi lebih tenang. Kini kisah lalu baru terhurai. Kisah yang
sebenarnya sudah tamat tempoh tetapi belum ada penamat cerita. Adam nekad untuk
menamatkan seksaan rindu semua pihak.
Adam mahu keluar dari pengasingan. Dia sendiri yang
mengkuarantin diri tanpa ada pihak lain yang meminggirkannya. Semalaman dia
bermuhasabah diri. Dia mahu mengakhiri pencarian itu dengan kesudahan yang
menggembirakan. Adam ingin pulang. Dia sudah bersedia untuk kembali pada mama
dan ayah. Komputer riba masih menyajikan deretan emel yang memberi kesedaran. Pagi
nan syahdu itu, bersulamkan kesayuan, Adam nekad menghubungi mamanya.
“Assalammualaikum..”
Rozie Rosa tersentak apabila dihubungi oleh nombor yang tidak
dikenalinya. Salamnya tidak berjawab, tetapi kedengaran suara nafas sendu di
talian. Berderau darahnya kerana nalurinya dapat merasakan Adam sedang
menghubunginya. Talian terputus kerana Adam hilang kata-kata. Mendengar suara
mama menjadikannya terlalu rindu untuk bertemu.
“Waalaikumsalam”.
Setelah talian terputus Adam menjawab salam mama dalam tangisan.
Rozie Rosa kuat
merasakan panggilan itu datangnya daripada Adam. Didailnya nombor itu untuk
kepastian. Adam menarik nafas dan cuba berlapang dada. Memang dia mahu
berbicara melepas rindu pada mama. Lambat sedikit tetapi dijawabnya juga panggilan
itu. Dia berusaha untuk mengawal emosi yang sebenarnya tidak keruan.
“Adam?” Soal Rozie Rosa memulakan bicara.
“Mama…” Jawab Adam dengan suara terketar-ketar.
“Adam… Adam di mana, sayang?”
Soalan mama dibalas dengan tangisan. Tidak mampu dia menahan rasa sebak
sebaik mendengar suara mama.
“Adam… kenapa ni? Cakaplah dengan mama…”
Rozie Rosa seakan merayu. Adam terus mengalun sedu sedan. Hanya
suara tangisan yang kedengaran.
“Adam gembira dapat dengar suara mama”. Jawab Adam ikhlas.
“Adam di mana, sayang?” Soal Rozie Rosa inginkan kepastian.
“Sekarang Adam jauh mama. Nanti Adam akan datang sana jumpa mama dan
ayah”. Luah Adam dalam esakan.
“Adam, dulu Adam ada cakap Adam sentiasa harapkan mama akan datang
ambil Adam semasa di rumah anak yatim. Masa tu mama tak tahu Adam di mana.
Sekarang, mama akan usahakan untuk datang ambil Adam, walau sejauh manapun Adam
berada”.
Pujuk Rozie Rosa.
“Apa maksud mama?” Adam keliru.
“Mama ada dekat Adam…” Rozie Rosa menerangkan jujur.
“Hah?”
Segera Adam mencampakkan komputer ribanya ke atas katil. Dia berlari
membuka pintu.
“Mama… Mama…”.
Adam memanggil dan
tercari-cari. Dipandangnya sekeliling, tetapi hampa. Mustahil mama sekelip mata
ada di situ. Adam berpaling dengan kecewa. Dia kembali ke dalam rumah dan mendengar
suara mama di talian.
“Adam dah gila agaknya, sampaikan Adam boleh sangka mama boleh
muncul di depan pintu rumah Adam”.
“Mama memang ada dekat dengan Adam”.
Kata-kata mama mengelirukan, namun sekali lagi ia mendorong Adam
menjenguk keluar. Dia melangkah longlai. Di saat Adam menunjukkan reaksi hampa,
muncul Rozie Rosa dari tepi rumah. Umpama mimpi, Adam melepaskan pegangan
telefon di tangan. Dia tidak perlukannya lagi kerana mama telah berdiri di
depan mata. Adam merebahkan lutut ke tanah lalu disambut oleh Rozie Rosa.
Mereka saling berpelukan dengan esak tangis. Tangisan gembira yang meleraikan
kerinduan yang menggunung. Bukan mimpi, bukan igauan. Ini realiti di depan
mata.
Terima kasih ya Allah…
alhamdullillah.
“Maafkan Adam, mama…”.
Hanya itu yang keluar berulangkali dari mulutnya. Rozie Rosa
mendakap erat anaknya seakan tidak mahu melepaskannya.
“Adam tolong jangan buat macam ni lagi. Mama tak sanggup kehilangan
Adam”.
Rozie Rosa menangis sayu meluah isihati.
“Adam…” Haji Malek menegur dari kerusi rodanya.
Adam kenal dengan suara itu. Segera dia berpaling lalu mendakap
ayahnya erat.
“Ampunkan Adam, ayah… ampunkan Adam… Adam tak tahu ayah sakit”.
“Sudahlah, nak. Syukurlah kita dah bertemu kembali. Kehilangan Adam
buat ayah hilang semangat untuk hidup. Berjanjilah supaya Adam tak meninggalkan
ayah lagi”.
Permintaan Haji Malek memilukan hati Adam. Dia juga tidak sanggup
kehilangan ayahnya.
“Adam janji tak akan tinggalkan ayah dan mama lagi. Adam janji…”.
Saat itu dia tidak mampu menahan diri mahupun berasa malu untuk
menangis. Titisan air matanya bukanlah lakonan yang dibuat-buat.
Tanpa disedari sebenarnya pertemuan penuh emosi itu
bersaksikan kaum keluarga yang turut sama datang mencari Adam. Seorang demi
seorang keluar dari kenderaan masing-masing. Semua yang menyaksikan turut rasa
tersentuh hingga menitiskan air mata gembira. Menyedari ramai yang
mengelilinginya, Adam mengesat air mata yang masih menitis laju. Terlalu
terharu dan bersyukur apabila terasa diri disayangi.
Adam bersalam dengan kesemua yang ada di situ setelah diperkenalkan
oleh mama.
“Ini Papa J, Datin Jasmin, adik-adik Adam; Razzi dan Raisya. Ini
Abang Haziq dan Hana, anak Papa J. Ini Khairul, suami Hana. Aunty Ayu pun ada”.
Adam terkesima melihat Hana turut berada di situ. Rupanya Hana
bukanlah pari-pari kiriman Tuhan. Ternyata kehadiran Hana membawa agenda
tersembunyi. Hana adalah agen mama. Hana memang telah mengenali siapa dirinya.
Walaupun Adam rasa tertipu, tapi dia percaya tiada yang melempiaskan niat jahat
untuk menyakitinya. Kemudian dipeluknya Syahid. Dia tahu Syahid banyak
berkorban menjaga ayah semasa ayah sakit. Emel mama menceritakan semuanya.
“Ini ibu. Abang Adam jangan risau, ibu dapat terima Abang Adam”.
Jelas Syahid.
“Maafkan Adam, ibu”.
Segera Adam bersalam mencium tangan ibu Syahid.
“Ibulah yang sepatutnya minta maaf pada kamu. Maafkan ibu, Adam. Ibu
tak tahu”.
Begitu rendah hati Hajah Fazilah menerima Adam.
“Tidak ibu… ibu tak salah”. Pujukan Adam membuatkan Hajah Fazilah
terharu.
“Yang itu Zali kawan Abang Haziq. Tadi Oden yang tunjuk tempat
Adam”.
Jelas Rozie Rosa. Dari jauh kelihatan Zali sedang mengangguk sambil
melambai tangan. Adam membalas dengan senyuman.
Melihat kelibat Oden, Adam menghampiri ‘adik angkatnya’ itu. Oden
kemudian berlari mendapatkan Adam.
“Abang Adam pergilah ikut keluarga Abang pulang ke Kuala Lumpur.
Oden akan meneruskan pelajaran. Oden akan hubungi Abang Adam bila Oden dah
bersedia untuk menduduki S.P.M”.
Kata-kata Oden sangat menggembirakan. Adam merasa puas hati dengan
keputusan Oden yang mula menitikberatkan pelajaran. Berbaloilah usaha gigihnya
membantu Oden supaya memajukan diri.
Barulah Oden tahu kehidupan Adam yang sebenarnya sangat
menyedihkan. Adam rupanya memendam rasa, hidup sendirian tanpa keluarga. Selama
mengenali Adam, Adam terlalu tenang dan asyik berbakti dan membuat kebaikan
kepada orang lain. Oden sendiri telah menerima limpahan manfaat dari Adam. Nilai
kemanusiaan terlalu menebal dalam diri Adam. Keikhlasan hati Adam sering sahaja menggembirakan hati orang lain
sedangkan diri Adam sendiri sebenarnya diulit derita batin yang panjang.
Kasihan Abang Adam. Kisah itu hanya tersingkap setelah lebih setahun dia
mengenali Adam. Tidak mungkin Oden mampu melenyapkan pengorbanan besar Adam
kepada dirinya.
Adam menikmati saat
pertemuan bersejarah itu dengan rasa terharu. Saat terindah yang lazimnya hanya
muncul dalam tidur. Tapi ini realiti dan bukan mimpi. Adam benar-benar
bersyukur dengan limpahan kasih sayang yang diperolehnya. Penerimaan yang ikhlas
telah tiba di luar jangkaan. Semua yang berlaku memberi kejutan yang
membahagiakan kepada Adam. Adam mendakap ayahnya sekali lagi. Dikucupnya dahi
Haji Malek dengan kasih sayang.
“Adam rindu dengan suara azan ayah”. Bisiknya.
Kemudian dia merebahkan kepala di bahu Rozie Rosa. Adam terlalu
mendambakan sentuhan kasih sayang sebuah keluarga. Tiada yang jijik dengan
statusnya sebagai anak luar nikah. Dia adalah manusia biasa yang lahir ke dunia
atas izin Allah. Adam juga berhak untuk mengecap kebahagiaan. Ternyata dia
telah mendapat tempat di hati keluarganya. Ya, Adam sudah ada tempat di dunia
ini.
Adam merasakan
kemanisan hidup dengan kasih sayang orang tuanya. Memang mama dan ayah telah
membuat kesilapan paling besar dalam hidup mereka semasa muda dahulu. Tetapi,
Tuhan tidak menutup pintu taubat pada hambaNya yang mahu insaf kembali ke
jalanNya. Itulah yang dilakukan oleh mama dan ayah. Kekhilafan silam diperbaiki
dan diperbetulkan ke jalan yang diberkati. Iktibar terbesar yang seharusnya
menjadi pelajaran dalam kehidupan. Seandainya mama dan ayah menidakkan
kewujudan Adam, pasti mereka mengundang kemurkaan Allah. Syukurlah, ada hidayah
yang bersinar pada hati mama dan ayah.
Inilah hikmah setelah diri diuji dengan dugaan yang besar. Inilah
senyuman yang menanti di hujung jalan berliku. Berkat dari Ilahi, keluarga yang
dahulunya tidak wujud, telah bercambah menjadi sebuah keluarga besar. Penyatuan
ikatan keluarga, semarak kasih sayang, semuanya menguntum mekar dengan
munculnya Adam. Tatkala itu, baru Adam mengerti makna ‘senyuman berair mata’. Dialah
insan paling bahagia di dunia! Subhanallah! Alhamdulllillah!
TERIMA KASIH TUHAN KERANA MEMBUATKAN DIRIKU DIHARGAI. AKU SUDAH ADA
TEMPAT DI HATI MEREKA. YA ALLAH, AKU BERSYUKUR DENGAN HIKMAH INI.
-Tamat-
No comments:
Post a Comment