BAB 11
Panggilan dari Haziq benar-benar berbekas di jiwa. Dato’
J yang pada mulanya tenang, bertukar riak wajahnya tatkala mengamati aduan
Haziq. Dato’ J sudah masak dengan mainan media yang gemar mensensasikan sesuatu
isu yang melibatkan artis. Sementelah dia berkahwin dengan Rozie Rosa, maka dia
turut terheret sama ke kancah yang berliku dan penuh warna warni. Berapi-api
asakan Haziq meminta Dato’ J mengambil tindakan segera terhadap Rozie Rosa.
Membiarkan atau mendiamkan diri bererti dayus! Sewenangnya mengizinkan isteri
berlaku curang sesuka hati. Berfoya-foya dengan pemuda hingusan ternyata
menjatuhkan maruah Dato’ J sebagai suami. Apatah lagi kedudukan Dato’ J sebagai
tokoh korporat yang disegani dan dihormati. Mendengar perkataan DAYUS
menggoyahkan pendirian Dato’ J. Mana mungkin dia berlagak tenang setelah
dilemparkan tuduhan berat sedemikian oleh anak kandung sendiri.
Dato’ J bingkas
bangun setelah membaca gossip terbaru. Dia rasa mahu segera terbang pulang ke
tanahair ekoran hatinya yang tidak tenang. Dia malu pada isteri dan
anak-anaknya. Apabila cerita panas mengenai isteri keduanya tersebar, maruahnya
turut tercemar. Percutiannya di U.K adalah sempena Majlis Graduasi anak
bongsunya Hana. Kegembiraannya menyaksikan kejayaan Hana bertukar hambar. Hana
merasakan dirinya telah cukup dewasa untuk bercakap mengenainya. Kisah sensasi
itu menjadikan papa bersikap dingin dan sugul.
“Papa janganlah rasa tertekan. Kita tak tahu lagi perkara sebenar”. Hana memujuk.
“Bukti dah ada di depan mata, macam mana papa nak bersabar?
Takkanlah papa nak jadi dayus membiarkan isteri sendiri curang di belakang papa”.
“Dah hampir 19 tahun I
bermadu dengan Rozie. I kenal hati
budi dia. I rasa tak mudah melatah
dalam hal ni kerana I yakin dengan
Rozie”.
Datin Jasmin memberi pandangan ikhlas.
“Maksud you, I kena beri peluang untuk Rozie beri
penjelasan?”
“Yelah papa. Hana pun rasa tak adil kalau papa terus percaya media
massa daripada Mama Rozie”.
“Wartawan dah mula cari you,
jadi you kena kuat. Beberapa hari
lagi bila kita balik Malaysia ,
kita pergi bersemuka dengan Rozie. Kalau kita dengar dari media, kita sendiri
yang akan berpecah belah. I dah masak
dengan dunia hiburan yang terlalu sensasikan cerita negatif artis”.
“You memang penyabar, Min.
Betapa bertuahnya I dapat isteri yang
sanggup berkongsi, tidak tamak dan ikhlas seperti you”.
“Mama nak payung emas, ya…hahahaha…”
Usik Hana bergurau di waktu tegang itu.
“Mama ikhlas daripada dulu dan insyaallah sampai bila-bila.
Masyarakat yang mengkriktik apabila mereka tidak setuju. Tapi mama ada fikiran
dan pendirian sendiri, tidak perlu terikut-ikut provokasi orang luar. Kalau mama
tak kuat, tentu hidup kita tak aman macam ni”.
“Islam menghalalkan poligami, tetapi orang kita yang memandangnya
macam hukumnya haram. Papa tak berniat jahat dan Mama Rozie kamu pun
menghormati mama dan kita semua. Akhirnya bila masyarakat melihat sendiri
keharmonian keluarga kita, mereka diam”.
“Tapi, mereka sebenarnya sentiasa menunggu peluang kita buat salah
untuk menghentam kita. Pelik, kan ?
Bila orang luar yang sibuk-sibuk pasal hidup kita. Tapi mama bersyukur kerana
hati mama tenang dan berlapang dada”.
Pendirian Datin Jasmin dan Hana menyejukkan sedikit hati Dato’ J.
Ramai di luar sana
yang bencikan poligami, tetapi Datin Jasmin insan yang redha dan rendah hati.
Kekayaan tidak menjadikannya sombong menongkat langit. Dia sedar, selagi hatinya
ikhlas, kedamaian jiwa dan kebahagiaan terus menjadi miliknya. Masyarakat
terlalu dihambat dengan kisah buruk mengenai poligami, tetapi bagi yang berjaya
menghadapinya, ia jarang pula ditonjolkan.
Tuhan lebih tahu niat setiap insan. Belumpun ada tindakan,
hanya dengan terdetik di hati, Tuhan mengerti dan menilai. Dia akan
mempermudahkan jiwa-jiwa bersih yang meletakkan kepercayaan tulus padaNya.
Janganlah ada yang bersangka buruk dan mempertikaikan mengapa sesuatu itu
menimpa diri mereka dan bukan insan
lain. Hakikat hidup ini kita perlu kembali pada tujuan asal kita dihidupkan ke
dunia. Sudah pasti untuk diuji sama ada layak ke syurga atau tewas dalam
memandu diri hingga terjerumus ke neraka jahannam.
Datin Jasmin lega apabila keimanan dapat memandunya
menjadi matang dalam pemikiran. Dato’ J banyak membimbingnya supaya tidak mudah
terpengaruh dengan provokasi masyarakat sekeliling. Maka, di saat Dato’ J
tertekan dihimpit masalah besar, Datin Jasmin bangkit memberi motivasi yang
menenangkan hati. Dia bukan wanita emosional yang mudah melatah apabila dicucuk
orang. Dia yakin, selagi dia berpegang teguh pada Allah S.W.T, jiwanya tidak
mudah goyah oleh cakap-cakap orang.
Di Kuala Lumpur…
Haziq menepuk meja dengan kuat, membuatkan Seri terkejut sendirian.
Seri faham benar sikap panas baran suaminya itu. Jika dilayan ketika api amarah
menjurang marak, tentu akan membakar semuanya yang berhampiran. Seri bertindak
berdiri di atas garisan tengah. Dia tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak
kerana belum ada penjelasan daripada kedua-dua pihak. Tuduhan sebelah pihak
bukanlah jawapan muktamad untuk mensabitkan sebarang hukuman mandatori. Melihat
Seri tidak menunjukkan reaksi sokongan, Haziq membebel sendirian mengeji
perbuatan ibu tirinya, Rozie Rosa.
Pemikiran Haziq
sebenarnya dari mula lagi tidak dapat menerima
kehadiran Rozie Rosa sebagai madu ibunya. Walaupun melihat kenyataan
keharmonian rumahtangga yang diterajui bapanya, Haziq tetap berpendirian
membenci Rozie Rosa. Berbeza dengan Hana, Haziq tidak pernah cuba berbaik
dengan adik-adik sebapanya, Razzi dan Raisya. Hubungan itu longgar dan renggang
walaupun banyak usaha dilakukan untuk merapatkan silaturrahim sesama mereka.
Semuanya kerana Haziq sendiri yang menolak. Dirinya gagal menerima keluarga di
sebelah sana. Perbuatan curang Rozie Rosa sengaja dibangkitkan untuk menjadi
umpan memecah belah dan memprorak perandakan ikatan kekeluargaan yang terjalin.
Peluang yang telah lama dinantikan oleh Haziq. Kehadiran Rozie Rosa dilihat
sebagai perempuan murahan yang berperanan sebagai pisau cukur yang mengambil
kesempatan mengikis dan memperalat bapanya demi tuntutan material. Rozie Rosa
menggunakan aset kecantikan dan populariti untuk menggoda bapanya, seorang ahli
perniagaan yang berjaya. Jurang jarak usia, membuktikan lagi betapa Rozie Rosa
gila harta dan kemewahan.
Kali ini semuanya
sudah jelas. Kalau dulu, Rozie Rosa boleh bersandarkan alasan; jodoh adalah
ketentuan Ilahi, kini tembelangnya sudah pecah. Tiada alasan kukuh yang mampu
ditegakkan untuk membela diri. Sudah terang-terangan Rozie Rosa bermesra dengan
pemuda hingusan di kawasan percutian. Apa lagi? Apa lagi yang mahu
disembunyikan, semuanya telah tersingkap di depan mata. Jika Dato’ J masih
percaya pada isteri mudanya, nescaya ia bakal menjatuhkan maruah Dato’ J
sebagai ketua keluarga. Nama baik Dato’ J akan tercalar dan tercemar. Haziq
tidak memandang konflik itu sebagai musibah, tetapi ia adalah hikmah yang
menyenangkan hatinya. Kerana, dia ada alasan yang teguh untuk marah. Dia ada
sebab yang utuh untuk menyerang ibu tirinya itu. Selama ini, setiap kali dia
menyelar, dia sendiri yang ditimpa sakit hati kerana tiada sokongan dari
keluarganya. Kali ini biar mereka semua terjegil mata, terperanjat dengan
perlakuan tidak senonoh Rozie Rosa. Baru mereka sedar siapa sebenarnya Rozie
Rosa.
…………………………………….
Telefon berbunyi
lagi. Lagu rancak itu berkumandang bertalu-talu.
‘Mama calling’
Tertera di skrin berkelip-kelip beberapa kali. Semuanya tidak
dijawab oleh Adam. Dia ingin membawa hati yang luka jauh-jauh. Dia tidak
merancang destinasi, hanya menurut naluri. Sudah beberapa hari Adam tidak
berhubung dengan wanita itu. Memikirkan kesungguhan mama, Adam memberhentikan kereta
di tepi jalan lalu mengangkat telefon.
“Assalammualaikum”. Adam
memula bicara.
“Walaikumsalam…Adam… Adam…tolong jangan lari dari mama, sayang…”
Adam diam. Dia menghayati suara terdesak mamanya yang sedang
menangis di talian. Dia tidak dapat menipu diri sendiri yang dia sebenarnya terlalu
rindu untuk mendengar suara itu. Adam membiarkan mama berkomunikasi dengannya.
Dia hanya mendengar menikmati setiap patah perkataan yang diucap.
“Mama dah janji mama takkan tinggalkan Adam lagi. Mama takkan putus
asa untuk bawa Adam hidup bersama mama. Mama sedang berusaha pulihkan keadaan.
Biarlah masyarakat di luar sana
membenci, menabur fitnah dan memulaukan mama, mama redha. Mereka tak tahu
apa-apa. Tapi, mama tak boleh terima kalau Adam tinggalkan mama di saat mama
tertekan dengan masalah ni”.
“Mama tahu Adam sedang mendengar. Mama dah jelaskan semuanya pada
Razzi dan Raisya. Mereka berdua mahu bertemu Adam. Mama nak Adam datang ke
rumah mama. Adam, tolonglah bersabar dengan dugaan ni. Ujian Tuhan datang dan
pergi. Adam bertahanlah, tolong jangan berputus asa sekarang… mama nak kita sama-sama
kuat hadapi cabaran ni”. Rayu si ibu.
Fikiran Adam
menjadi celaru dan serba salah. Dia mahu memuaskan hati mama, tetapi dia gusar
jika pertemuannya kelak membawa musibah baru. Cukup-cukuplah dia mengheret mama
ke arah fitnah yang menyakitkan hati. Adam membiarkan mindanya bergelora
melayan rasa.
Perlukah aku
menurut permintaan mama? Adakah kehendak mama ini mampu membantu menyatukan
kami adik beradik? Mungkin ini memang bukan jaminan untuk sebuah penyatuan
keluarga, tetapi sekurang-kurangnya ia merupakan satu usaha murni yang cuba
dilakukan mama. Ada baiknya aku memberi kerjasama untuk memudahkan niat luhur
mama mencapai matlamat. Sebenarnya aku sendiri rela dan memang ingin
menjejakkan kaki ke rumah mama. Berada hampir dengannya menjadikan diriku semakin
dekat padanya. Namun, ini isihati yang tidak boleh dikongsi dengan sesiapa
kerana aku bimbang jika harapan yang ku letak terlalu tinggi ini akan
mengakibatkan aku kecewa lagi. Aku mahu disayangi seorang ibu seperti orang
lain. Ingin merasa sebuah perasaan indah yang tidak pernah ku rasai dari kecil.
Disayang, dibelai dan dijaga oleh seorang ibu mungkin perkara biasa bagi orang
lain. Namun, ia hanya sebuah gambaran bahagia bagi ku, yang ingin ku gapai
selama ini. Ternyata cabaran untuk merealisasikan impian itu terlalu besar. Aku
sudah penat mengusung kegagalan, aku tidak larat lagi melayan impian yang
hancur berkecai. Tidak, bukan sekarang. Sudah letih menyimpan hasrat. Namun,
belum tiba masanya untuk aku berputus asa. Mama… nantikan kehadiran anakmu.
Adam akan datang ke sana.
Damansara – Di kediaman Rozie Rosa.
Setelah puas memujuk, akhirnya Adam setuju untuk ke kediaman Rozie
Rosa untuk diperkenalkan kepada Razzi dan Raisya. Rozie Rosa memasak sendiri
hidangan kegemaran Adam iaitu tom yam udang, ikan kerapu masam manis dan
cendawan goreng sos tiram. Razzi dan Raisya seakan tidak sabar mahu bertemu
dengan abang mereka, Adam.
Adam bersiap memakai pakaian baru yang dihadiahkan
mamanya. Pakaian itu bukan sahaja selesa
dan bergaya dipakai, tetapi nilai sentimentalnya terlalu tinggi kerana ia
adalah pemberian daripada orang tersayang. Adam meminta Haikal menemaninya
memandangkan Haikal satu-satunya sahabat yang tahu hubungannya dan Rozie Rosa.
Haikal tidak menolak kerana dia tidak mahu Adam berasa terasing sekiranya
berlaku apa-apa di sana
nanti.
Setelah memberhentikan kereta, Adam dan Haikal keluar menuju ke
pagar rumah mewah itu. Adam menekan loceng sekali. Tiba-tiba…
“BERANI KAU TUNJUK MUKA KAU DI RUMAH INI?!!”
“DUSH!!!”
Satu das tumbukan tidak semena-mena mengenai tepat di mukanya. Adam
tidak bersedia lalu terjatuh. Haikal terkejut lalu berusaha melindungi Adam,
tetapi dia pula yang menjadi mangsa.
“NAH KAU!!!”
Haikal pula ditumbuk.
Mereka tidak kenal lelaki yang membuat onar itu. Adam ingin melawan
tetapi apabila lelaki itu mengugutnya, dia melepaskan genggaman tangannya.
“BUDAK SIAL! TAK ADA MARUAH! HIDUP MENJUAL DIRI!!!
JANGAN KAU GANGGU LAGI KELUARGA INI!
BERAMBUS KAU SEBELUM AKU BUNUH KAU!”
Jerkahan yang kuat berbunyi ugutan.
Raisya membuka pintu untuk melihat siapa yang menekan loceng. Dia
mendengar bunyi bising dan ternampak Abang Haziq dengan marah sedang memukul
dua orang pemuda. Abang Haziq kemudian menghalau pemuda itu beredar dari situ.
Raisya terkejut dan tergamam melihat kejadian pukul di hadapan pagar rumahnya.
Dia menjerit memanggil Rozie Rosa dan Razzi.
“MAMA!!! MAMA…RAZZI!!!”
Jeritan Raisya memeranjatkan Rozie Rosa
dan Razzi. Mereka bertiga terpaku melihat Haziq berpeluh dengan wajah serius
garang. Rozie Rosa membuka suis pagar dan Haziq masuk tanpa diundang.
“MAMA ROZIE MEMANG TAK SEDAR DIRI! PEREMPUAN CURANG! KALAU DAH ARTIS
TU, MEMANG HIDUP TAK BERMORAL!!!”
“Tuih!” Haziq meludah di depan Rozie Rosa, Razzi dan Raisya.
“Abang Haziq jahat! Mama tak curanglah!”
Razzi membela mamanya.
“Sebelum aku kerjakan kau sampai mampus, lebih baik kau masuk!”
Haziq menggertak sambil
mencengkam kolar baju Razzi.
“Jangan apa-apakan Razzi. Lepaskan dia! Haziq tak tahu perkara
sebenar”.
Rozie Rosa tegas mempertahankan maruah diri keluarganya.
“PANG!!!”
Haziq menampar pipi Razzi. Kuat! Razzi terjatuh.
“AaaaaAAAaa!!! TOLONG!!!”
Raisya menjerit. Dia takut jika amukan Haziq berlarutan.
Adam tidak sedap hati, dia paling takut jika sesuatu berlaku ke atas
mamanya. Mereka berpatah balik untuk melihat keadaan di rumah Rozie Rosa.
“Haziq dah gila ke? Mengamuk tak tentu pasal, tuduh-tuduh orang!
Mama boleh jelaskan semuanya”.
Rozie Rosa membantu Razzi bangun. Berdarah mulut anak itu. Raisya
menangis. Razzi marah lalu dia menerkam Haziq.
“Aaaaa!!!” Razzi meluru ke arah Haziq.
Dengan mudah Haziq memukul Razzi.
“Arghhh!!!” Razzi tersungkur.
Melihat kekecohan yang berlaku, Mak Yah si pembantu rumah
menghubungi Dato’ J. Dia cemas melihat Haziq datang menyerang secara tiba-tiba.
Dato’ J dalam perjalanan baru pulang dari lapangan terbang.
Rozie Rosa tidak tahan melihat anaknya disakiti tanpa belas kasihan.
Dia menghayun tangan ingin menampar Haziq. Dengan pantas Haziq mencengkam
tangannya lalu menampar pipi ibu tirinya itu.
“PANG!!!”
“Arghhh!!!” Rozie Rossa tertiarap.
Adam melihat mamanya dikasari lalu memberhentikan kereta di tepi
pagar. Dia meluru keluar dan terus memukul Haziq. Haikal yang masih lemah dan
terkejut, disuruh menghubungi polis dari dalam kereta.
“SETAN!!!” Jerit Adam apabila
melihat mamanya tertiarap.
Adam dan Haziq bergelut. Tubuh Haziq yang lebih besar membelasah
Adam hingga lembik. Adam menggunakan seluruh tenaganya untuk mempertahankan
mamanya. Adam sedar tubuhnya masih belum cukup kuat ekoran tragedi dipukul
hingga koma. Tetapi dia rela mati daripada membiarkan bonda tersayang dipukul
di depan mata. Haziq membelasah Adam
hingga Adam longlai.
Rozie Rosa meraung melihat Adam dizalimi Haziq. Mendengar siren
polis dari jauh, Haziq bergegas meninggalkan banglo itu. Dia memecut laju,
berjaya melarikan diri.
No comments:
Post a Comment