Thursday, July 4, 2013

KERANA SEORANG ADAM [Bab 12]

BAB 12
“Mama… Mama…Mama…”
Hanya itu yang terkumat kamit dari mulut Adam.

“ADAM…!!!”
Raungan derita seorang ibu melihat anaknya dipukul hingga parah. Rozie Rosa meratapi Adam yang sedang dibawa ambulan. Lebih menyayat hati apabila Rozie Rosa mula menyedari Adam sedang memakai pakaian yang dihadiahkannya tempohari.

“Adam pakai baju yang mama bagi…”
Rozie Rosa tidak dapat menahan airmata. Baju baru itu walau kelihatan padan dengan saiz tubuh Adam, namun ia telah comot dek percikan darah.

“Mama… siapa lelaki tu?” Soal Adam dalam nada tersekat-sekat. Dalam kepayahan menahan sakit, Adam inginkan jawapan. Tetapi belum sempat dijawab, Adam tiba-tiba sesak nafas. Dia terus pengsan tidak sedarkan diri. Rozie Rosa menjerit melihat Adam longlai di ribanya.

“Bertahanlah, sayang. Mama tahu Adam kuat semangat…”
Rozie Rosa menggenggam tangan Adam sepanjang perjalanan ke hospital.

Setelah puas memujuk, Adam akhirnya sudi hadir untuk membantunya meredakan salah faham di kalangan keluarga. Adam bersedia untuk bersemuka bagi memperkenalkan diri kepada adik-adiknya. Tidak diduga kehadiran Adam telah mengundang salah faham baru yang merumitkan lagi keadaan. Haziq, anak tirinya melulu menghukum tanpa usul periksa. Berdasarkan keyakinannya terhadap hasutan dan provokasi media, Haziq dengan rakus membelasah Adam yang sememangnya belum cukup pulih dari kecederaan fizikal. Adam dipukul teruk di waktu dia masih dalam tempoh menghabiskan cuti sakit.

Adam terbaring kaku setelah dipukul hingga cedera parah. Sejarah itu berulang kembali di kala kecederaan yang lama masih berparut. Begitu tragis! Di luar wad, Rozie Rosa mula diserbu wartawan. Ada yang dapat menghidu kejadian itu apabila Rozie Rosa membuat laporan polis. Masalah menjadi semakin rumit. Dada akhbar akan menjadikan berita itu terlalu besar, walau hakikatnya ia berkisar masalah salah faham keluarga. Namun kerjaya wartawan tidak pernah membezakan hal peribadi dengan hal kerjaya seninya. 

Di dalam bilik kelas pertama yang besar itu, berkumpulnya Rozie Rosa, Dato’ J,  Datin Jasmin, Hana, Razzi dan Raisya di sofa rehat. Mereka semua sedang menumpukan penuh perhatian kepada Rozie Rosa. Segala kisah Adam disingkapnya tanpa ada sezarah pun yang disembunyikan. 

Kemelut itu berpunca daripada salah faham. Rozie Rosa mahu menjernihkan keadaan dengan berterus terang kepada umum tentang Adam. Dia mahu membuat pengakuan pada semua bahawa Adam adalah anak kandungnya. Namun status Adam sebagai anak luar nikah merumitkan niatnya itu. Dia rela ditimpa aib kerana memang dirinya yang telah melakukan dosa besar. Tetapi Rozie Rosa berasakan adalah tidak adil Adam dipandang serong kerana anak itu tidak sudah-sudah menjadi mangsa keadaan.

Tangisan Rozie Rosa membengkakkan matanya. Dia terlalu kesal dengan kejadian yang menimpa Adam. Dalam tempoh sebulan, dua kali Adam dipukul oleh orang yang tidak tahu apa-apa. Anak itu sudah banyak menderita. Sebelum ini kerana Malek. Kali ini penderitaan itu disebabkan  mamanya sendiri. Rozie Rosa tidak sanggup melihat Adam disakiti lagi. Dia menangis teresak-esak di sisi Adam yang tidak mampu mendengar.

            Dato’ J dan Datin Jasmin kesal dengan tindakan emosional anak sulong mereka, Haziq. Berbeza dengan Hana, dari awal lagi Haziq tidak pernah hormat pada Rozie Rosa. Dia merasakan Rozie Rosa menggunakan popularitinya sebagai artis untuk menggoda papanya, Dato’ J. Hana berkali-kali meminta maaf kepada Mama Rozie. Setelah mendengar kisah hitam itu, keluarga Datin Jasmin faham dan redha dengan sejarah silam Rozie Rosa. Cerita membuka pekung itu terpaksa diluahkan berulang kali demi mengelakkan fitnah.

……………………………
            Di wad kardiologi, Ayu mendapatkan Syahid. Dia membisikkan sesuatu pada anak saudaranya itu memintanya keluar sebentar untuk berbincang. Syahid terkejut dengan berita yang baru didengarinya. Namun dalam waktu yang sama, Syahid bersyukur kerana Adam sudah dapat dikesan. Banyak masanya dihabiskan untuk menjejaki Adam. Semuanya tidak mencapai matlamat.
“Adam kata dia pergi sebab tak mahu keluarga Syahid berpecah-belah. Kenapa Syahid? Syahid dan ibu tak dapat terima Adam ke?”
Soal Ayu ingin mendengar penjelasan kedua-dua pihak.

“Semua ni berpunca dari salah faham. Dari mula lagi ibu benci Abang Adam sebab kes pukul tu.  Ibu tak tahu cerita sebenar tentang Abang Adam. Ayah malu dan tunggu masa yang sesuai untuk jelaskan pada ibu. Tapi belum sempat ayah jelaskan, ibu merajuk sebab ayah terlalu tumpukan perhatian pada Abang Adam”.

“Bila Abang Adam tahu ibu lari sebab dia, terus Abang Adam pergi meninggalkan ayah. Ayah tertekan sebab dia dah mula sayang pada Abang Adam. Ayah menyesal sebab menganiaya Abang Adam dahulu dan berazam nak tebus semua kesalahannya. Ayah tak mahu kehilangan Abang Adam. Bila Abang Adam pergi, ayah menghadapi serangan jantung”.

“Sejak ayah masuk wad,  Syahid berusaha satukan semula keluarga ni. Syahid dah pujuk ibu dan berterus terang pada ibu tentang siapa Abang Adam sebenarnya. Syahid juga berusaha mencari Abang Adam, tapi semua usaha Syahid gagal”.
Panjang lebar Shahid bercerita. Ayu mengusap rambut Syahid. Dia simpati dan faham keresahan hati Syahid.

“Tak sangka, rupanya Abang Malek jatuh sakit kerana kehilangan Adam. Syahid dah buat perkara yang betul. Syahid tabahkan hati dan teruskanlah niat murni Syahid tu”.
Melalui perkhabaran yang dibawa Ayu, Syahid hadir melawat Adam. Umpama cerita ulang tayang, sekujur tubuh Adam terbaring koma. Haji Malek dan Adam berada di hospital yang sama, cuma wad sahaja yang berbeza. Syahid masuk ke bilik itu ditemani Ayu. Rozie Rosa memerhati wajah pemuda itu. Dia seakan dapat mengecam Syahid sebagai seseorang yang pernah dilihatnya. Akhirnya dia terimbau pada peristiwa di KLIA, ketika Syahid menjemput ibunya.

Belum sempat Rozie Rosa bertanya, Ayu terlebih dahulu memperkenalkan.
“Ini Syahid. Dia nak melawat Adam”.

“Ya, rasanya kita pernah bertemu sebelum ini. Tapi, apa kaitan Syahid dengan Adam?”. Soal Rozie Rosa.

“Dia…dia… hmmm…”
Ayu teragak-agak untuk membongkar pertalian itu. Rozie Rosa membalas dengan mimik muka tidak puas hati. Dia inginkan jawapan tepat. Memahami jelingan tajam tersebut, Ayu lantas berterus terang.

“Sebenarnya Syahid ni adik Adam. Dia anak Abang Malek” .
Dalam keterpaksaan Ayu menuturkannya.

 “Masa di KLIA tu….?”  Rozie Rosa mahu ayatnya disambung oleh Syahid. Dia tidak sedap hati dan inginkan penjelasan daripada Syahid.
“Masa itulah saya menjelaskan segala kisah silam ayah pada ibu. Baru ibu faham siapa Abang Adam dan kenapa Abang Adam tumbuk ayah. Sebelum tu ibu lari bawa diri ke Sarawak. Ibu pulang bila tahu ayah sakit”.

“Mana Malek?” Tanya Rozie Rosa keras kepada Syahid.

“Dah, dah, dah… bawa bersabar. Abang Malek sakit, masih di wad lagi”.
Ayu menyabarkan Rozie Rosa yang mendendami Malek.

“Aku nak bersemuka dengan jantan tak guna tu!” Luah Rozie Rosa penuh emosi.

Syahid jadi kurang selesa dan serba salah. Tiba-tiba Rozie Rosa naik angin apabila kisah ayahnya disebut-sebut.

“Wad apa? Bilik mana? Aku nak cucuh pula api rokok pada dia waktu dia tak bermaya ni. Biar dia tahu bagaimana rasanya didera waktu kita lemah tak mampu melawan”.
Rozie Rosa memekik menengking. Keadaannya mula tidak terkawal.

“Setan tu yang buang anak aku!!! Mana dia jantan sial tu?!!!”
Bagaikan histeria Rozie Rosa menggoncang bahu Syahid. Syahid tergamam dan tertekan. Ayu berusaha meleraikan. Dia menarik Syahid dan menepis tangan Rozie Rosa. Segera dibawanya Syahid keluar dari bilik itu, meninggalkan Rozie Rosa terduduk meraung di lantai.
Ayu menyuruh Syahid pergi dari situ. Dia tahu Syahid masih terlalu mentah untuk menghadapi masalah yang berpunca daripada orang tuanya. Inilah akibat yang tidak pernah difikirkan oleh pasangan bercinta ketika berseronok melayan nafsu syaitan. Walau sudah dewasa dan matang dalam menerajui pemikiran dengan akal yang waras, pasangan bercinta dengan mudah menurut kata hati yang inginkan kepuasan duniawi. Apabila Tuhan menunjukkan pengajaran, mereka terus lemah dan tidak cukup kuat untuk memikulnya. Sedangkan ketika melakukannya, mereka mengenepikan soal risiko atas perbuatan haram itu.

“Orang tua yang buat hal, anak-anak yang jadi mangsa!”
Rungut Ayu sendirian. Dia terkilan apabila kehidupan Adam mahupun Syahid terpaksa berhadapan dengan kesulitan ekoran ketelanjuran orang tua mereka dahulu.

Desas desus media tidak surut. Bahkan kian rancak membuat spekulasi mengenai skandal Rozie Rosa. Pihak penerbit telah membatalkan kontrak Rozie Rosa dengan alasan terma yang telah ditandatangani itu termasuk isu disiplin dan masalah sosial yang ditimbulkan. Walaupun itu sekadar alasan yang rapuh untuk menggugurkan namanya, Rozie Rosa enggan bertindak. Baginya mengambil tindakan undang-undang di waktu benaknya disuap dengan keserabutan, bukanlah sesuatu yang paling penting. Bahkan dia bersyukur kerana terlepas daripada jadual penggambaran ketat yang menuntut komitmen tinggi. Sedangkan di saat itu dia mahu berada di sisi Adam. Dia tidak hairan dan langsung tidak kisah dengan percaturan kotor pihak produksi yang mahu menyingkirkannya. Hakikatnya mereka tidak tahu apa-apa. Maka, pengadilan mereka tentulah tidak tepat dan meragukan. Rozie Rosa tidak peduli itu semua. Dia redha dan menyerahkan pada Allah S.W.T untuk menilai.

Rozie Rosa dapat merasakan konflik peribadinya itu menjadi pemangkin kejatuhan kerjaya seninya. Semua yang dibina hasil usaha keras dan disiplin diri yang tinggi selama ini,  berkecai begitu sahaja. Industri seni tidak memerlukannya lagi di saat kerjayanya sedang berada di ambang kemalapan. Cerita skandal yang disensasikan oleh pihak yang tidak tahu apa-apa, mencetuskan trauma yang bukan sedikit. Sejarah hidupnya sebelum dia berkecimpung dalam industri seni telah meragut kebahagiaannya kini. Dia semakin lemah, goyah dan longlai melayan umpatan dan hinaan yang bertubi-tubi dilontarkan ke arahnya. Dia bukan tuli dan bukan juga bebal. Ternyata karma silam menghukumnya setelah ia berlaku 25 dahulu. Ia tidak mungkin lenyap tanpa menunjukkan akibat.

Rozie Rosa sedar dengan kesilapannya di masa lampau. Sudah lama dia menyesali perbuatannya itu, sebelum Adam dilahirkan, bermula dari saat Malek menafikan dan enggan bertanggungjawab atas kandungannya. Sebab itulah, selepas itu dia tidak mudah mempercayai lelaki, sehinggalah hadirnya Dato’ J membawa bimbingan yang menyejukkan hati. Air matanya tertumpah kerana pandangan buruk masyarakat yang menghinanya merampas suami orang. Namun keihklasan hati Datin Jasmin menerimanya, amat menginsafkan. Semenjak dari saat dia dan Dato’ J diijabkabul, sehinggalah kini, tiada badai besar yang menggugat bahtera perkahwinan mereka. Sikap saling ikhlas menerima, di samping menghormati hak masing-masing, menjadikan poligami tidak pahit seperti yang digambarkan masyarakat umum.

Masa berlalu pantas, seiring dengan perkembangan positif kesihatan Adam. Dia menunjukkan reaksi balas yang memberi erti dia semakin pulih. Masuk hari ke 5, Adam mula menunjukkan pergerakan. Tepat jam 1.20 pagi, Adam tersedar. Matanya berpinar menjadikan visual berpusing. Ahhh… sakit! Sekali lagi dia melalui pengalaman terlantar di hospital, tidak sedarkan diri. Pandangan kaburnya menjadi semakin cerah. Dia cuba untuk bangun tetapi dihalang oleh wayar dan jarum saluran ubat di tangannya.

Dia cuba mengingat kronologi yang membawanya sekali lagi ke hospital itu. Ternyata ingatan Adam masih kuat. Masih jelas tergambar rentetan peristiwa yang berlaku. Lelaki bertubuh sasa itu memukulnya tanpa belas apabila dia cuba untuk melindungi mamanya. Mama? Tiba-tiba wajah Rozie Rosa hadir dalam kotak fikirnya. Ketika itu, tiada sesiapa di sisinya. Adam tercari-cari dan melihat sekitar dengan teliti. Baru dia sedar dia berada di wad yang sungguh besar dan selesa, dilengkapi dengan set sofa mewah untuk tetamu. Tiba-tiba penglihatan Adam terpanah di sofa itu. Rozie Rosa yang saban hari menunggu dan menjaga Adam, sedang tidur. Adam terharu melihat si bonda menjaga kebajikan anaknya yang selama ini hidup terpinggir. Sejuk hati Adam melihat mama ada menemani.

Adam ingin bingkas memanggil dan mengejutkan mama untuk memberitahu yang dia telah sedar dan tidak apa-apa. Sememangnya itulah yang diharapkan oleh setiap ibu iaitu melihat anak mereka sihat dan dalam keadaan yang baik.  Nalurinya melonjak ceria untuk mendakap mama tersayang, namun keceriaan Adam tidak lama. Deria fikirnya kembali serabut tatkala mengenang kembali kemelut yang melanda. Keinginan itu terkubur apabila memikirkan natijahnya sekiranya hubungan mereka disalah ertikan oleh anasir luar yang bersifat subversif. Dia tidak mampu menghalang pandangan skeptikal para juri tidak bertauliah di luar sana. Dia tidak mahu sekali lagi menjadi pemisah sebuah ikatan keluarga yang selama ini aman bahagia.

Adam merasakan kehadirannya membawa musibah pada insan yang disayanginya. Mereka mendapat mudarat sejurus rapat dengannya. Keluarga Haji Malek berantakan sehingga orang tua itu ditinggalkan isteri. Rozie Rosa dilanda fitnah busuk hingga menjatuhkan maruah dirinya dan keluarga. Kerjaya seninya juga merudum dan diancam kejatuhan. Haikal kawan baiknya juga menjadi mangsa pukul. Memang tidak dapat disangkal, Adam pencetus konflik keluarga. Adam akur bahawa dia tiada tempat di mana-mana.

Ternyata kebangkitan semangatnya untuk membongkar identiti dan asal-usul diri, mengundang malapetaka. Adam redha jika dirinya yang menerima akibat, tetapi apabila ia turut melibatkan orang yang rapat dengannya, Adam memikul beban rasa bersalah yang tidak tertanggung. Dia menyesal dirinya dilahirkan. Sekarang baru dia faham mengapa ayah pernah cuba untuk membunuhnya. Ada baiknya jika dia mati, melupuskan bersama bukti-bukti ketelanjuran ayah dan mama. Tentu peristiwa itu tidak terungkit dan tiada siapa yang mendapat susah. Kini hidupnya menyusahkan keluarga dan kawan-kawan.  Kebahagiaan yang berada dalam genggaman, hanya bersifat sementara. Kemudian, ia lebur dan terbang dibawa udara. Sesalnya meresap di setiap nafas. Adam akhirnya berputus asa pada diri sendiri. Dia tidak mahu lagi melihat kehancuran insan-insan tersayang di depan mata. Dia mahu segera melenyapkan diri dari kehidupan semua orang yang mengenalinya.

Adam pernah berazam untuk menghapuskan jejaknya dari hidup Haji Malek. Memang dia berjaya menjauhkan diri hingga gagal dikesan oleh Syahid mahupun ayahnya. Namun selepas itu Adam tiba-tiba membuka lembaran baru dengan memberi peluang pada diri sendiri untuk mencari ibu kandung. Sejarahnya  bermula dengan penemuan yang amat menggembirakan tetapi ia  telah mencatatkan hikayat sayu di tengah jalan. Adam tidak mahu pengakhirannya menjadi kisah duka yang membawa derita pada ibu kandung yang disayangi. Semenjak Adam muncul, kehidupan Rozie Rosa tidak pernah aman.

Sekali plot isihati Adam bakal mengisi buku catatannya.
Kali ini biarlah semua orang selesa dan kembali tenang. Kalian semua tak akan menderita lagi. Cukup-cukuplah aku menyiksa kalian. Walau aku tidak berniat, tetapi setiap kali aku hadir, kalian akan menjadi mangsa. Memang wajarlah jika nyawaku direnggut sejak awal dahulu, di saat aku masih tidak mampu menunjuk bukti pada sesiapa. Aku perlu pergi meninggalkan kalian. Aku mesti pergi untuk kesejahteraan kalian. Demi keharmonian semua yang aku sayang, aku perlu berkorban. Aku tidak tahu di mana mahu ku tuju kerana aku memang tiada tempat di mana-mana. Namun, sejarah telah membuktikan betapa nasib kalian asyik dirundung malang dengan hadirnya aku. Aku yang memulakan, maka biar aku yang menamatkan.




No comments: