Sunday, July 14, 2013

KERANA SEORANG ADAM [Bab 16]

BAB 16
Tanggal 8 November, Datin Jasmin dan Hana bertandang di rumah Rozie Rosa. Dato’ J sedang mengikuti seminar perniagaan di Singapura. Razzi dan Raisya sudah bersedia untuk membuat kejutan majlis hari lahir Rozie Rosa. Majlis itu disambut kecil-kecilan sahaja, berniat untuk menggembirakan hati Rozie Rosa. Rozie Rosa menerima kejutan itu dengan senyuman kerana dia sangat menghargai usaha murni anak-anak dan ahli keluarganya. Walaupun jauh di sudut hati dia sebenarnya tidak bersedia untuk meraikan sambutan hari lahirnya, Rozie Rosa tetap menikmati kesungguhan dan keihklasan hati keluarganya.

Kek dipotong dan mereka saling suap menyuap. Gelak tawa Razzi dan Raisya menenangkan hati Rozie Rosa. Semenjak pemergian Adam, Rozie Rosa bagaikan hilang semangat dan menghadapi kemurungan.  Razzi dan Raisya mahu mama yang mereka sayangi meneruskan kehidupan dan kembali ceria seperti dahulu.

Selesai menikmati juadah, tibalah agenda membuka hadiah. Rozie Rosa merasa bahagia apabila dilayan bagaikan puteri raja. Dia membuka hadiah daripada Razzi dan kemudian Raisya. Sesungguhnya, bukan harga yang menjadi ukuran tetapi ia dinilai dari sudut keihklasan dan nilai kasih sayang si pemberi.

“Ooo… buku motivasi, terima kasih sayang!” Satu ciuman hinggap di pipi Raisya.
“Hmm…ini pula dari Razzi. Apalah yang diberi oleh anak bujang mama ni?”

Rozie Rosa membukanya dengan tenang. Seisi keluarga kemudian tergelak apabila menyaksikan ia adalah sehelai kemeja T santai berwarna hitam yang bertulis;
me with handsome  à
“Mama kena pakai T-shirt ni bila berjalan dengan Razzi”.  Terang Razzi.

“Kalau dengan Papa tak boleh ke?” Soal Rozie Rosa.

“Yang handsome tu Razzi, bukan Papa”. Balas Razzi.
Semua ketawa mendengar jawapan spontan daripada Razzi.

“Terima kasih, sayang”. Diciumnya dahi Razzi.

Rozie Rosa gembira dengan setiap pemberian.  Datin Jasmin memberinya selendang buatan luar negara, manakala Hana pula memberi seutas jam tangan.  Selesai membuka semua hadiah, tiba-tiba Mak Yah menghulurkan sebuah bungkusan.

“Eh, ini daripada Mak Yah ke?” Soal Rozie Rosa.

“Bukan. Tadi masa puan potong kek, ada van syarikat penghantaran hantar. Bungkusan ni untuk puan, Mak Yah dah tandatangan tadi”. Jujur Mak Yah menerangkan.

Rozie Rosa membelek-belek bungkusan itu. Dibukanya perlahan-lahan balutan kertas minyak itu.
“Sepatutnya ada alamat penuh pengirim di sini. Tapi yang ini tiada”. 
Rozie Rosa bingung.

“Mungkin kejutan dari Papa”. Raisya cuba meneka.

“Bukan”.
Jawab Rozie Rosa. Rozie Rosa terfana seketika. Bagaikan tidak percaya apabila membaca sekeping kad kecil yang dilekatkan pada hadiah itu. Serta merta air matanya menitis.

‘Untuk mama tersayang…’
‘Selamat Hari Lahir’.
Daripada: Adam
Rozie Rosa meneliti bungkusan itu. Dia membuka kotak hadiah itu dengan emosi lalu mendapati sebuah buku catatan di dalamnya. Didakapnya buku itu dengan iringin air mata.

“Dari Adam… Adam yang bagi… Adam ingat tarikh hari lahir mama”.
Rozie Rosa memberitahu semua yang ada di situ. Mereka saling berpandangan kerana tidak menyangka sama sekali nama Adam akan muncul ketika itu, setelah sekian lama.

Malam itu Rozie Rosa menghabiskan masa menghayati isi kandungan buku catatan Adam. Di hadapannya ada sekeping nota yang dilampirkan dengan kelip kertas.
Selamat hari lahir, mama. Adam doakan kehidupan mama sekeluarga bahagia dan tenang. Tiada hadiah mahal yang dapat Adam titipkan. Hanya sebuah buku catatan peribadi.

Mama, dahulu Adam bukanlah penulis diari yang tegar, tetapi di suatu hari, Adam mula mencatat isi hati Adam di dalam buku catatan ini untuk meluahkan rasa yang terpendam. Adam tiada tempat untuk meluah rasa, jadi untuk kelegaan fikiran, Adam mula menulis di sini. Sekurang-kurangnya, Adam dapat mengurangkan tekanan tanpa menyakiti sesiapa. Namun, kadangkala Adam tetap melukakan perasaan orang lain kerana terlalu menurut kata hati. Sekarang Adam bersedia dan mahu berkongsi rasa dengan insan yang paling layak iaitu mama kandung Adam.

Walaupun Adam tiada di depan mata mama, tetapi Tuhan tahu betapa Adam sayangkan mama. Mama tetap di hati Adam sampai bila-bila. Mama pernah cakap ingin tahu semuanya tentang Adam. Walaupun tidak tercatat semuanya, tetapi Adam yakin mama akan tahu isi hati Adam apabila membacanya. Mama akan faham dan dapat merasakan apa yang Adam rasa. Salam sayang dari anakmu, Adam.

Mukadimah yang meruntun hati keibuannya. Rozie Rosa mula menyelak helai demi helai buku catatan itu. Bahasanya mudah dan perasaannya berubah-ubah. Namun ternyata jiwa anak muda itu kecamukan dalam pencarian yang ingin membongkar identiti dirinya sendiri.                                         

Aku memang anak haram! Mak bapak aku orang yang paling tak guna dan tak bertanggungjawab di dunia! Anak dah lahir, tak mahu bela, buang di tempat sampah! Yelah, masa tu aku tak berdaya, masih bayi. Sekarang, aku dah bersedia untuk cari kamu berdua biarpun terpaksa merangkak ke neraka. Aku dah puas kumpul cerita dan maklumat. Akan aku cari sampai dapat, Malek dan Rozita!

Rozie Rosa bertafakur sebentar. Helaan nafas yang panjang mengiringi istighfarnya. Masyaallah, hati anak ini penuh dengan dendam. Rozie Rosa tahu, kisah sadis itu telah berlalu, tetapi dia kesal kerana tiada di sisi Adam di saat anak itu menanggung tekanan dalam hidup.  Dibacanya lagi helai demi helai hingga merasakan seolah-olah kejadian itu sedang berlaku.

Aku muak mendengar bebelan Fahmi. Katanya nasihat, tapi membebel siang malam tak bagi aku cari lelaki tua yang buang aku dulu. Dia tak percaya aku ni dijumpai di tempat sampah. Tak habis-habis suruh siasat dulu. Sebab dah puas siasatlah aku berani untuk bertindak. Tengoklah nanti, penumbuk aku akan hinggap tepat di muka lelaki tak guna tu!

Setiap kronologi peristiwa yang berlaku kini jelas tergambar di hadapan Rozie Rosa. Dia dapat memahami mengapa Adam menurut darah mudanya bertindak tanpa berfikir panjang.

Orang tua tu dah mula perasan aku ni pelanggan tetap dia.  Bukan main baik lagi dia melayan aku. Bodoh betul! Minggu depan dia buat kenduri kesyukuran di restoren. Inilah peluang untuk aku balas dendam!

Penghayatan Rozie Rosa menjangkaui fokusnya pada dunia lakonan. Dia benar-benar menghayati setiap bait perkataan yang diluah Adam. Semalaman dia  membaca buku itu. Walau tidak setebal mana, namun beberapa kali dia berhenti dan beristighfar untuk berlapang dada. Luahan Adam penuh emosi. Adam terlalu marah pada Rozita dan Malek, dua manusia yang disifatkannya sebagai makhluk perosak yang jahat.

Adam kembali menulis tentang perasaannya sekembalinya dari hospital akibat koma. Adam merasa ‘menang’ apabila berjaya memukul Malek yang disebut lelaki keparat. Dia tidak merasa kesal atas perbuatannya bahkan merasa puas dapat mengajar orang tua itu. Tambahan pula orang tua itu yang meminta maaf padanya.

Tiba-tiba dalam plot yang lain, Adam meluahkan bahawa dia sudah mula dapat menerima kehadiran Malek sebagai ayahnya. Sementara itu, dendamnya terhadap Rozita menjadi pudar setelah Allah menayangkan kisah silam yang berlaku. Adam mengetahui apa yang terjadi bagaikan mimpi yang panjang semasa dia terlantar tidak sedarkan diri. Setelah mendapat layanan kasih sayang dan melihat sendiri keikhlasan Malek, perlahan-lahan dibuangnya rasa ego hingga terbit pula perasaan sayang pada Malek.

Sekarang baru aku tahu bagaimana rasanya bila ada orang tua yang mengambil berat. Selama hidup sebatang kara, aku terlalu dahagakan layanan seperti ini. Terima kasih Tuhan kerana memberi peluang pada aku menemui ayah. Ayah terlalu baik. Susah nak terima hakikat yang orang yang dulunya pernah cuba untuk membunuh aku, telah insaf dan menyayangi diri aku. Lebih sukar untuk dipercayai bila aku sendiri mula terasa sayang padanya. Aku harap ayah akan terima dan sayang aku sampai bila-bila.

Ayatnya sudah tidak kasar lagi. Ternyata nilai kasih sayang terlalu agung hingga mampu menyejukkan hati dan melenturkan perasaan Adam yang telah menjadi buluh. Rozie Rosa ingin menamatkan membaca buku itu hingga helaian terakhir. Dia sanggup bersengkang mata untuk tahu kesudahannya. Dia mahu tahu perasaan Adam selepas Adam meninggalkannya. Dia terus membaca dengan mata fikir yang terbuka luas.

Masyaallah, rupanya kerana aku, ayah kehilangan isteri. Syahid pula kehilangan ibu. Kenapalah aku terlalu mementingkan diri sendiri? Kehadiran aku telah memecah belahkan keluarga bahagia ayah. Oh Tuhan, ampuni aku kerana telah membuat keluarga ayah kucar-kacir. Aku tak bermaksud untuk menyusahkan hidup mereka. Aku hanya ingin menumpang kasih ayah. Kenapa semuanya terlalu singkat? Aku tak mahu mengganggu kehidupan keluarga ayah lagi. Aku akan pergi dari hidup ayah. Ayah tetap bapa kandung aku sampai bila-bila. Aku rindukan ayah tetapi aku memang tidak berhak untuk berada di tengah-tengah keluarga itu. Aku memang tiada tempat di mana-mana!

Kasihan pada kamu, Adam. Kamu memendam rasa dan terpaksa berkorban. Bukan begitu yang sebenarnya terjadi. Ayah Adam jatuh sakit sejurus selepas Adam pergi meninggalkannya. Keluarga ayah Adam juga sedang mencari Adam.
Kalaulah Adam tahu cerita sebenar…
Kalaulah Adam bersabar sedikit…
Kalaulah mama ada di sisi Adam…
…mesti Adam sedang bahagia dengan keluarga mama dan ayah Adam.

Rozie Rosa terkilan apabila Adam terlalu cepat pergi kerana membawa rajuk hati. Namun sebagai ibu, Rozie Rosa akur latar belakang Adam yang dibesarkan tanpa merasa kasih sayang ibu dan bapa, menjadikannya mudah memberontak. Jiwanya sensitif dengan gejolak yang datang satu persatu. Kini Adam lari dari masalah kerana pertama kali dia berani berdepan dengannya, dia tersilap langkah apabila menumbuk Malek. Belajar dari kesilapan, Adam mengambil langkah mudah, jauhkan diri, lari dan pergi meninggalkan masalah. Namun sebenarnya itu bukanlah tindakan yang paling bijak untuk dilakukan. Adam sepatutnya membuka peluang pada orang-orang yang menyayanginya untuk membantu dirinya yang tersepit dan tertekan.

Macam tak percaya, mama aku rupanya pelakon terkenal. Ah! Tapi aku tak peduli siapa dia pada masyarakat. Pada aku dia terlalu istimewa sebab dia mama aku. Aku dapat merasakan kasih sayang mama yang ikhlas. Aku harap tiada yang menghalang ikatan ini. Aku dah kehilangan ayah, aku tak sanggup hilang mama pula. Terima kasih Tuhan sebab memberi peluang aku bertemu dengan wanita yang telah melahirkan aku ke dunia.
Tersenyum Rozie Rosa menghayati pengakuan Adam. Dia bersyukur kerana Adam dapat merasakan keikhlasan hatinya menerima dan menyayangi anaknya itu. Rozie Rosa meneruskan pembacaan. Adakala dia tersenyum, adakala tulisan Adam mengundang air matanya tanpa sedar. Helai demi helai diselak tanpa jemu.

Mama memang cantik dan penyayang. Bertuahnya jika berpeluang merasa dibesarkan sendiri oleh mama. Tapi, aku tetap bersyukur kerana walaupun hanya mengenali mama setelah aku dewasa, sekurang-kurangnya aku dapat juga merasakan kasih sayang mama. Aku berharap tiada apa yang memisahkan aku dengan mama lagi. Cuma aku mula bimbang jika keluarga mama tidak dapat menerima aku. Ah! Rumitnya hidup sebagai anak di luar nikah. Hina dan bagaikan melukut di tepi gantang. Aku sendiri tidak tahu di mana sebenarnya tempat aku.

Rozie Rosa menghayati isihati Adam yang merasakan dirinya tidak diterima. Kasihan! Rozie Rosa memeluk erat buku itu dengan rasa simpati.
Tempat kamu ada di hati kami, Adam. Kalaulah Adam tahu…

Luahan Adam dihayati dengan mata fikir yang tajam. Adakala dia mengulangi pembacaan untuk lebih memahami isihati Adam.

Kenapa setiap kali aku mula merasa sayang pada orang tuaku, datang musibah? Kenapa terlalu sekejap aku dapat menikmati rasa diri disayangi? Kerana aku, hidup mama pula jadi musnah. Aku memang pembawa malang pada orang tuaku. Dulu ayah ditinggalkan isteri, sekarang mama pula difitnah oleh masyarakat. Aku tak mahu merosakkan rumahtangga dan kerjaya mama. Aku memang pembawa sial! Tak habis-habis menyiksa hidup orang lain. Aku mesti pergi jauh-jauh dari hidup mama. Aku mesti pergi! Aku mesti pergi ke tempat yang penghuninya tidak mengambil kisah tentang artis. Aku tak mahu membiarkan mama terpalit dengan fitnah lagi.

Ya Allah… Adam! Kenapalah Adam merasa bersalah atas apa yang berlaku? Sedangkan Adam sendiri yang menjadi mangsa hingga parah dipukul oleh anak tiri mama. Adam tak bersalah, nak. Adam memang tak bersalah… Kenapa Adam yang harus berkorban? Kenapa Adam yang harus pergi?
Rozie Rossa merintih sendirian. Tidak sampai hati membaca luahan Adam yang menanggung rasa bersalah.

Daerah ini terlalu pedalaman lokasinya. Tidak perlulah dicatat di sini kerana biarlah aku sahaja yang menikmati kehidupan baru. Di sini segalanya berbeza. Aku berhijrah dengan niat untuk meneruskan kehidupan dengan lebih tenang dan diberkati. Aku merasa diriku lebih dekat pada Tuhan.

Anak-anak pribumi ini terlalu tulus dan ikhlas. Merekalah hidup baruku kini. Aku tak perlu lagi laman sosial dan telefon bimbit. Mereka adalah dunia aku. Aku akan membantu mereka menikmati hidup lebih baik. Aku tidak rindukan kehidupan di kota kerana di sini lebih tenang dan damai. Walaupun kehidupan di sini serba kekurangan dan jauh dari kemewahan, tetapi hatiku kaya dengan kedamaian. Aku bahagia walaupun di dalam hati masih timbul kerinduan pada mama dan ayah.

Masyarakat pribumi perlukan bantuan perubatan. Mereka terlalu yakin pada perubatan tradisional. Terlalu sedih apabila melihat luka Oden melarat dan tidak sembuh-sembuh. Aku sanggup memikulnya ke klinik desa yang agak jauh untuk mendapat rawatan. Mujurlah Oden sihat semula setelah beberapa kali dibawa untuk rawatan susulan. Kini kami kembali menjadi kawan baik.

Adam tinggal di kawasan orang asli? Tapi di mana? Bagaimana mahu mencarinya jika tiada sebarang petanda lokasi dicatatkan?





No comments: