BAB 21
Pagi kembali menjengah. Udara segar dihirup dengan
panjang. Sesuatu yang mustahil untuk dinikmati di Kuala Lumpur. Adam bersyukur
untuk nikmat yang dikecap di situ. Pagi itu Adam membawa misi penting. Sebagai
memanfaatkan hubungannya dengan Oden yang telah pulih, Adam mahu memujuk Oden
untuk meneruskan pembelajaran.
“Tapi Oden tak minatlah. Sekolah sangat membosankan! Terkongkong dan
semuanya terpaksa mengikut jadual. Oden mahukan kebebasan!”
Bangkang Oden apabila diusulkan untuk kembali menyambung pelajaran.
“Daripada darjah 1 hingga tingkatan 4, Oden boleh bertahan,
sayangnya! Cuma tinggal setahun lebih sahaja lagi untuk S.P.M”. Adam bingung, tetapi cuba memujuk.
“Selama bersekolah sebenarnya Oden lebih kerap ponteng. Oden tak
suka ke sekolahlah Abang Adam. Paling Oden benci ialah peperiksaan”. Terus
terang Oden mengakui.
“Macam mana kalau Oden tak perlu ke sekolah, tetapi Oden kena
belajar dengan Abang sampai Oden
pandai”. Soal Adam memberi pilihan yang mudah.
“Selepas tu?”
“Selepas tu, Oden perlu ambil peperiksaan S.P.M bila Oden
betul-betul dah bersedia. Peperiksaan sangat penting, Oden. Melalui
peperiksaanlah prestasi kita dinilai”.
“Susahlah, Abang Adam… Oden puas hati dengan hidup Oden sekarang”.
“Oden, semua orang boleh majukan diri sendiri kalau mahu. Oden perlu
ada keazaman yang kuat untuk melihat hidup Oden berubah. Oden nak berbakti pada
bapa Oden, kan? Sampai bila nak biarkan bapa Oden tanggung risiko bahaya masuk
hutan mencari rotan? Kan lebih baik kalau Oden ada pelajaran, dapat pekerjaan
yang menjamin masa depan. Tentu dapat ubah nasib keluarga menjadi lebih senang
dan selesa”.
“Kan selama ni dah macam-macam dah Abang Adam ajar Oden. Oden
ingatkan Oden dah pandai”. Akui Oden dengan yakin.
Pengakuan Oden membuat Adam ketawa. Begitu mudah anak itu
berpuas hati menilai diri sendiri. Selama ini Adam mengajarnya ilmu asas sahaja
tentang seni, geografi, matematik dan sains. Itupun sekadar bagi memenuhi
tuntutan kehidupan seharian. Langsung tidak mencapai piawaian sukatan
pembelajaran. Mungkin itu sudah memadai pada Oden yang hanya menilai kehidupan
dalam ruang lingkup yang kecil. Tetapi Adam merasa terkilan jika Oden
mempersia-siakan usia mudanya dengan mengabaikan pelajaran.
Adam tidak tahu sampai bila dia akan menetap di situ.
Selagi dia ada, Adam tidak mahu berputus asa untuk membantu Oden meningkatkan
kualiti diri. Yang diperlukan oleh Oden ialah perangsang dan motivasi yang
mampu menaikkan semangatnya. Oden perlu disuntik dengan kesedaran tentang
kepentingan ilmu. Adam yakin, jika dia tidak berputus asa dan bersabar melayan
kerenah Oden dengan pendekatan yang sesuai, dia mampu mempengaruhi Oden untuk
kembali menyambung pembelajarannya sehingga ke peringkat yang mampu dicapainya.
Di hadapan Adam,
Oden meremehkan permintaan Adam. Namun setiap kali bersendirian, Oden
memikirkan harapan Adam yang mahu melihat Oden berjaya. Setidak-tidaknya
menyediakan kehidupan yang lebih selesa buat bapanya. Oden tahu, nasihat Adam
bukan untuk kepentingan peribadi, tetapi adalah untuk kesejahteraan masa depan
Oden sendiri. Adam terlalu mengambil berat sehingga sanggup mengorbankan masa
berharganya untuk meluangkan masa mengajar Oden. Terserah kepada Oden sama ada
mahu merebut peluang itu ataupun tidak. Oden menjadi serba salah apabila Adam
memberi perhatian kepadanya. Tawaran tersedia di depan mata, rugi jika dia pula
yang jual mahal. Memikirkan belajar dengan Adam di waktu malam tidaklah bosan
seperti suasana di sekolah, maka Oden berlembut hati untuk mencuba selama
beberapa ketika. Sekiranya dia selesa dan mampu memperolehi ilmu setaraf dengan
sukatan pembelajaran di sekolah, Oden akan meneruskannya sehinggalah dia
benar-benar bersedia untuk menduduki peperiksaan S.P.M.
Sudah menjangkau
seminggu Oden berguru dengan Adam. Suasananya lebih santai dan tidak formal. Bahan
rujukan semuanya disediakan oleh Adam. Betapa besarnya jasa Adam ingin
membantunya. Oden kagum dengan keihklasan Adam sedangkan antara mereka tiada
sebarang ikatan persaudaraan.
“Abang Adam, kenapa Abang suka tolong orang?” Soalan bonus dari
Oden.
“Dalam agama Islam, kalau kita berbuat baik, kita dapat pahala.
Pahala itulah yang melayakkan kita masuk syurga”. Adam menerangkan secara
ringkas.
“Oden tengok kehidupan Abang tenang je. Abang baik dengan semua
orang, Abang rajin sembahyang”.
“Walaupun agama kita berbeza, tapi agama Islam tidak membataskan
untuk buat baik pada muslim sahaja. Abang pun bukanlah baik sangat. Abang cuma
manusia biasa, jadi ada juga buat silap. Tu yang Abang marah Oden dulu tu,
kesilapan yang Abang rasa sangat besar”. Adam berterus terang.
Melihat kerendahan hati Adam, Oden tertarik untuk mendekati cara
hidup Adam. Karisma diri Adam amat mengkagumkan sehingga Oden menjadikan Adam
sebagai idolanya. Dia mahu menjadi insan berilmu seperti Adam. Bukan setakat
pandai, tetapi juga rendah hati dan suka berbakti. Oden tahu, Adam mampu
berjaya walau berada di mana-mana sahaja. Oden kurang yakin untuk hidup berdikari
di luar kerana dia berasa rendah diri dan tidak yakin mampu menyesuaikan diri
dengan persekitaran moden. Oden semakin faham mengenai cabaran hidup di luar.
Dia mula berkesedaran untuk menyahut
cabaran itu supaya menjadi lebih berani untuk bersaing.
Memasuki minggu keempat,
Oden menjadi semakin bijak dan yakin. Dia mula berminat dengan matematik yang
sebelumnya dianggap terlalu rumit dan sukar. Cara Adam mengajarnya menggunakan
kaedah yang mudah difahami. Kesabaran Adam terlalu tinggi kerana sanggup
mengulangi beberapa kali setiap kali Oden bertanya. Setiap hari jadual mereka
padat dengan aktiviti bermanfaat. Walau bercuti 2 hari seminggu, mereka akan
tetap berjumpa di jambatan untuk mengail.
“Abang Adam ni tak penat ke? Siang bekerja, malam mengajar Oden,
hari cuti melukis atau mengail”. Sambil mengail Oden memulakan perbualan.
“Bila kita buat aktiviti berfaedah yang kita suka buat, mana ada
rasa penat. Kalau penat pun, kita puas hati dan gembira”. Jawab Adam selamba.
“Abang Adam ni asyik buat sesuatu untuk orang lain je. Bila pula
Abang nak buat sesuatu untuk diri sendiri?” Protes Oden, kasihankan Adam.
“Bila orang lain gembira, Abang pun rasa gembira. Lagipun, apa yang
Abang nak buat untuk diri Abang ni?”
“Abang boleh gembirakan hati Abang dengan melawat ibu bapa di Kuala
Lumpur ke, Abang boleh cari Dr. Farhana ke… Oden tahu, sebenarnya Abang Adam
rinnnnnduuuuuuuu sangat pada mereka, kan? Kan? Kan? Kan?”
Petah Oden menyerang sambil tersenyum riang.
“Yelah, memang rinnnnnduuuuuuuu sangat sangat sangat sangat
sangaaaaaattttttttt pada mereka semua!!!” Luah Adam jujur dan ikhlas.
Tiba-tiba Adam merasa lega. Rupanya, luahan ringkas dalam bentuk
gurauan seperti itu juga mampu melegakan tekanan rindu yang terpendam di hati.
“Apa Abang Adam? Tak dengarlah”. Oden mengusik.
“ADAM SAYANG DAN RINDU PADA MAMA, AYAH DAN HANA!!!”
Laung Adam ke arah bukit.
Luahan yang datang dari hatinya dilepaskan dengan jujur. Lega yang teramat!
Semudah itu? Kalaulah dia melakukannya lebih awal, tidaklah sesak dadanya
menahan segala rasa. Bebas segala tekanan, ringan kepalanya.
“ODEN RINDU IBUUUUUU!!!”
Laung Oden pula meluah rasa.
Adam dan Oden sama-sama ketawa. Mereka sebenarnya baru sahaja
membebaskan satu tekanan yang berat. Jeritan yang sangat berkesan walaupun ia
kelihatan pelik; melaungkan isihati pada bukit.
Mereka menjadi
lebih positif setelah meluahkan tekanan yang menghimpit jiwa. Baru mereka
sedar, tidak perlu merintih panjang, menangis atau menghentak kepala ke
dinding. Laungkan sahaja rasa hati dengan ikhlas, semuanya akan lega. Sementelah
mereka sedang berada jauh dari rumah orang. Selain Tuhan, jeritan itu hanya
didengari oleh bukit bukau, pokok-pokok, air sungai dan juga para unggas kecil
yang mungkin terkejut.
Mereka terus ketawa
selepas membuat perkara bodoh yang membantu. Bodoh kerana menjerit pada alam,
tetapi membantu melepaskan tekanan yang sarat di jiwa. Biarlah! Hanya mereka
yang faham dan merasa nikmat manfaatnya. Selepas itu, Adam tidak segan silu
untuk menyebut tentang Hana di hadapan Oden.
Adam sedang merencana untuk menemui Hana di Kuala Lumpur
pada tarikh yang dikhabarkan Hana. Perkara itu telah dikongsi dengan Oden
memandangkan Oden tahu Adam sukakan Hana. Alamat yang diberikan oleh Hana
tersimpan rapi kerana gadis itu terlalu bermakna buat diri Adam. Hana bukan
sahaja memberi inspirasi, tetapi setiap layanannya memberi kebahagiaan kepada
Adam. Itulah istimewanya Hana. Berkenalan dengannya hanya dalam tempoh 10 hari,
tetapi kesan rindu padanya terpaksa ditanggung sehingga kini. Adam pernah
berusaha untuk melupakannya, tetapi ia akhirnya bertukar menjadi harapan dan
impian. Hana adalah realiti, Adam masih berpeluang untuk mencuba mendekati
Hana.
No comments:
Post a Comment