Sunday, July 14, 2013

KERANA SEORANG ADAM [Bab 20]

BAB 20
Sudah 2 minggu Adam tidak melihat kelibat Oden. Bila pergi menjenguk ke rumah, dia diberitakan mengikut Pak Sitam ke hutan. Di malam hari pula, Oden terlalu penat hingga tertidur awal. Ada sahaja alasan untuk menjauhkan diri daripada Adam. Betul-betul merajuk Oden padanya. Adam faham mengapa Oden meminggirkan diri. Adam mahu menjernihkan keadaan kerana semuanya berpunca daripada kesilapan dirinya sendiri. 

Oden perlu tahu yang Adam telahpun melukis kembali dan menyiapkan lukisan yang telah rosak itu. Lanskap pemandangan di tempat yang sama. Adam mahu lukisan itu menjadi hadiah untuk Hana pada bulan April nanti. Oden tentu tidak rasa bersalah lagi jika melihat lukisan itu sudah siap dibingkaikan. Adam perlu berbuat sesuatu untuk memperbaiki kekusutan. Petang itu Adam sekali lagi ke rumah Oden. Dia rela menunggu lama untuk bertemu Oden pulang dari hutan. Tanpa dapat mengelak, Oden terserempak dengan Adam. Adam mengajak Oden berbual jauh di jambatan. Di situlah mereka sering menghabiskan masa mengail bersama-sama. Hari hampir senja, tetapi Adam mahu menggunakan peluang itu dengan sempurna. Dia mahu berbaik semula dengan Oden.

“Maafkan Abang. Abang memang teruk. Abang yang salah sebab buat Oden kecil hati”.
Adam membuang egonya dengan memohon maaf kepada Oden.

Oden tunduk. Dia mendengar setiap ayat yang dibicara Adam dengan tumpuan. Namun, hatinya telah hancur berkecai. Mengapa tiba-tiba Adam merasa bersalah sedangkan semasa kejadian itu bermatian dia menyalahkan Oden. Hanya kerana sebuah lukisan, persahabatan mereka lebur begitu sahaja. Mungkin ia bukan sekadar sebuah lukisan. Tapi ia sangat penting dan terlalu berharga sehingga nilai seorang Oden jatuh murah di mata Adam. Siapa Oden untuk mempertikaikan perbuatan Adam itu. Jika Adam menilainya tidak penting, maka tidak pentinglah dia. Jika Adam menganggapnya mengganggu ketenangan, maka demikianlah Oden. Oden terguris dengan kenyataan Adam. Walaupun tidak berpelajaran tinggi, tapi Oden bukan bodoh. Dia tidak bebal dan dengan mudah dapat memahami maksud yang tersirat.

“Sudahlah Oden, Abang nak kita berbaik semula. Abang minta maaf, memang Abang yang salah”. Rayu Adam kepada Oden.

“Oden minta maaf sebab rosakkan lukisan Abang. Oden tak mahu rosakkan apa-apa harta Abang lagi, sebab itu Oden perlu jauh dari Abang. Lagipun Oden tak mahu mengganggu hidup Abang”. Jawab Oden jujur.

“Pasal lukisan tu, Abang memang keterlaluan. Ia hanya sebuah lukisan. Lagipun Abang dah buat lukisan yang baru”.

“Nampaknya lukisan tu terlalu penting pada Abang. Lukisan tu macam nyawa Abang. Sebab itu Abang mengamuk bila Oden tak sengaja rosakkannya”.

“Memang lukisan tu penting, tapi Oden lebih penting lagi bagi Abang. Abang nak Oden tahu yang Abang menyesal dengan perbuatan Abang. Abang emosional masa tu”. 

“Lukisan tu untuk orang yang Abang sayang ke?” Soal Oden.

Adam angguk. Dia tahu Oden terasa hati apabila dia terlajak kata. Oden tidak pernah berniat untuk menyakiti hatinya. Bahkan daripada mula lagi, Odenlah teman paling setia berada di sisi. Penerimaan Oden membuatkan Adam mudah menyesuaikan diri di daerah itu. Berada dalam kelompok orang asli kini bukanlah perkara asing buat Adam. Semuanya kerana Oden. Adam tidak mahu kehilangan Oden disebabkan dia gagal mengawal emosi diri.

“Oden rasa Oden tahu lukisan tu untuk siapa. Untuk Dr Farhana, kan?”.
Oden mula membuat spekulasi. Memang jangkaannya tepat kerana dia juga berada di situ semasa Dr Farhana menunjukkan keterujaannya pada pemandangan di tepi sungai itu. Oden dapat merasakan betapa marahnya Adam apabila lukisan itu rosak kerana ia umpama Oden menutup peluangnya untuk membuat sesuatu yang mampu menggembirakan hati Dr Farhana.

“Ooo… patutlah Abang Adam mengamuk, rupanya semua tu sebab Dr Farhana”.
Melihat Adam tersenyum apabila nama Dr Farhana disebut, ayat sinis yang cukup tajam, keluar dari mulut Oden.

“Ala, kan Abang dah minta maaf, janganlah cakap macam ni. Kita berbaik semula, ya”.
Adam menghulurkan tangannya kepada Oden. Oden diam. Dia membiarkan Adam ternanti jawapan daripadanya. Melihat wajah ikhlas Adam, membuatkan Oden berlembut hati. Oden memaniskan muka lalu menyambut tangan Adam dan mereka bersalaman. Maka terlerailah perselisihan faham antara mereka.

            Mereka sama-sama tersenyum sambil Adam menepuk-nepuk belakang Oden. Kemesraan yang kembali terjalin itu meredakan keresahan hati masing-masing.

“Dah senja, baliklah. Petang esok kita mengail bersama-sama, ya?” Pelawa Adam untuk mengumpan Oden agar hubungan mereka kembali seperti dahulu.

“Oden tahu, Abang Adam suka Dr Farhana!!!” Jerit Oden setelah dia jauh berlari untuk pulang ke rumahnya. Adam tersipu malu tetapi dia menerima usikan itu sebagai gurauan.

            Malam itu di rumah masing-masing, kedua-duanya berpuas hati. Selera makan Oden yang tertutup, kembali terbuka dengan hidangan ringkas kerana hati yang gembira sebenarnya mampu menerima apa sahaja dengan senang hati. Oden tidur dalam senyum. Adam bersyukur kerana dia telah memperbaiki kesilapan diri. Tidak sabar rasanya untuk mengail bersama Oden pada petang esok. Tetapi sebelum itu, Adam berharap lenanya diulit mimpi indah. Semoga Hana muncul dalam mimpi manisnya.

            Saat dinanti telah tiba. Oden berlari membawa joran buluh mencari Adam. Belum sempat Adam menukar pakaian, dengan kemeja kerjanya, Adam terus ke jambatan. Itulah detik berharga yang membuat mereka merasa diri saling dihargai. Mereka saling memahami tanpa dibatasi jurang usia. Adam seakan mentor kepada Oden, banyak mengajarnya ilmu pengetahuan yang selama ini kurang diberi pendedahan. Oden pula menjadi guru kepada Adam dalam soal kehidupan di situ yang lebih dekat dengan alam semulajadi.

“Abang Adam, Oden nak tahu sesuatulah”. Soal Oden memecah kesunyian.

“Apa dia yang Oden nak tahu?”

“Abang masih ada ibu bapa?” Soal Oden.

Kenapa soalan itu yang bermain di kepala Oden? Berjuta soalan lain boleh ditanya, mengapa yang satu itu yang terpacul dari mulutnya. Adam kurang berminat membincangkan tentang topik yang melibatkan orang tuanya. Adam terdiam beberapa saat. Namun, dia mengambil keputusan untuk jujur menjawab setiap pertanyaan Oden, memandangkan hubungan mereka baru sahaja pulih semula. Adam yakin Oden tidak berniat negatif. Pasti ada sebab di sebalik persoalan itu.

“Abang Adam dengar tak?” Soal Oden.

“Dengar, ya Abang dengar. Abang masih ada ibu dan bapa di Kuala Lumpur”. Jawab Adam perlahan.

“Seronoknya… bertuahnya Abang Adam, masih ada ibu dan bapa. Tak macam Oden ni. Tapi, sejak berada di sini Abang Adam tak balik ke rumah keluarga Abang ke? Abang tak rindu ke bila dah lama tak jumpa ibu dan bapa Abang?”

“Kalau Oden jadi Abang, apa yang Oden rasa?”
Soalan Oden dibalas dengan soalan oleh Adam. Hakikatnya Adam inginkan kepastian adakah apa yang dirasakannya merupakan satu perasaan yang normal. Untuk jalan mudah, Adam memerlukan pendapat dari orang lain.

“Kalau Oden jadi Abanglah kan… Oden akan rasa selalu nak balik kampung ke Kuala Lumpur. Mesti dah rindu sangat pada ibu dan bapa di sana. Tapi kan, Oden pasti yang ibu dan bapa Abang pun sedang rinnnnnnnnnduuuuuuuuuuu sangat pada Abang”.

“Kenapa pula mereka sampai rasa ‘rinnnnnnnnnduuuuuuuuuuu sangat’ tu?” Soal Adam mengejek ayat Oden yang penuh perasaan.

“Yelah, sebab Abang Adam dah lama sangat tinggalkan ibu dan bapa Abang. Mesti sekarang ni mereka sedang tanggung rindu pada Abang”.

“Kita cakap pasal lainlah Oden”. Adam mula merasa tidak selesa. Dia tidak mahu topik itu dibicarakan lebih mendalam.

“Kenapa? Oden nak dengar cerita tentang Abang dan keluarga Abang”. Balas Oden menegaskan isihati yang jujur.

“Tak ada apa yang istimewa untuk diceritakan. Kenapa pula tiba-tiba Oden nak tahu semua ni?”

“Sebab Oden nak tumpang rasa gembira bila dengar cerita Abang Adam. Abang masih ada peluang untuk rasa kasih sayang ibu dan bapa. Masih berkesempatan untuk balas jasa dan buat baik pada orang tua Abang. Macam Oden ni, dah tak sempat nak berbakti pada ibu. Sebab tu sekarang Oden selalu tolong bapa Oden untuk ringankan beban dia. Tentu kita rasa bahagia bila dapat buat orang tua kita gembira. Oden rasa menyesal sebab masa ibu masih ada, Oden jarang bantu ibu. Oden leka buat hal Oden je”.

Terpaku Adam mendengar luahan murni seorang anak pribumi yang masih mentah. Begitu luhur hatinya ingin mengabadikan diri kepada orang tuanya.

“Jangan menyesal, sebab Oden masih budak lagi. Belum tiba masanya untuk Oden membuat semua tugas ibu. Lagipun, masa tu Oden tak tahu yang ibu Oden akan pergi buat selamanya. Oden anak yang baik, sekarang ibu Oden tentu tenang dan bahagia apabila melihat Oden rajin membantu bapa”.
Petang itu Adam banyak mengeluarkan ayat-ayat berhemah bagi menyejukkan hati Oden. Ternyata anak itu sedang merindui ibunya. Mutiara kata yang berbentuk nasihat meresap ke jiwa Oden membuatkan dirinya mendapat semangat baru. Adam bijak memberi kekuatan kepada Oden. Namun realitinya, adalah sebaliknya. Odenlah yang sebenarnya memberi kekuatan dan pelajaran bermakna tentang kehidupan kepada Adam.
           
            Malam itu mata Adam sukar dilelapkan. Terkebil-kebil dia berfikir intipati luahan isihati Oden petang tadi. Memang benar, Adam masih ada peluang untuk merasa kasih sayang mama dan ayah. Adam juga mampu untuk berbuat jasa  kebaktian yang memberi senyuman bahagia kepada orang tuanya. Namun, bagaimanakah caranya jika dia terbuang jauh di daerah pedalaman itu? Adam tahu tiada sesiapa yang mencampak atau membuang dirinya ke situ. Pergi mengasingkan diri jauh dari keluarga adalah atas kehendaknya sendiri. Dia yang memilih jalan itu untuk mengubah hidup, mencari ketenangan dan semangat baru. Adam penat berhadapan dengan musibah dan ujian yang membawa kepada episod malang pada orang-orang yang disayangi. Terlalu lemah menerima hakikat apabila diri tidak diterima. Akhirnya Adam berputus asa dan lari dari masalah. Dia meninggalkan semua yang ada. Berbekalkan sisa-sisa semangat, Adam memulakan hidup baru dengan kekuatan yang diperolehi dari Tuhan.  Tuhan mendengar setiap luahannya dan hanya kepada Tuhan juga Adam berserah untuk mendapat kehidupan yang terbaik buat dirinya. Sekiranya yang terbaik itu adalah tanpa mama dan ayah, Adam redha.

            Namun, Tuhan pasti tahu apa yang dipendam dalam hati hatta sebesar mata jarum sekalipun, walaupun perasaan itu cuba disembunyikan. Hanya Dia yang benar-benar mengerti sengsara jiwa Adam yang sarat menanggung rindu. Kalaulah dia mengikut perasaan lara di hati, mungkin dia termenangis di depan Oden sambil membongkar segala cerita. Tetapi, berbaloikah? Oden terlalu muda. Perbuatan meluah perasaan memang akan melegakan, namun selepas itu dia akan berasa malu. Belum tentu Oden dapat memahami isi cerita yang terlalu kompleks. Kisahnya memang mengaibkan untuk dikongsi apatah lagi dengan remaja mentah seperti Oden. Maka, Adam berlapang dada dengan mengambil langkah terus menyembunyikan segala rasa yang terbuku. Biarlah dia melegakan dan memujuk hati Oden dengan cara yang matang.

            Malam itu berbagai persoalan singgah di minda. Bagaimana keadaan ayah sekarang? Adakah hubungan keluarga ayah kembali bersatu dan bahagia semula setelah Adam pergi? Bagaimana pula dengan mama? Apakah nasib rumahtangga dan kerjaya mama setelah dilanda fitnah? Adakah tempat seorang Mohamad Adam bin Abdullah di hati mama dan ayah? Mungkin pemergian Adam membuatkan dirinya dilupakan begitu sahaja. Jika begitulah ketentuanNya, Adam pasrah. Tetapi tiada tandatanya tentang apa yang dirasanya sekarang terhadap mama dan ayah kerana ia sememangnya  sebuah perasaan yang ikhlas dengan kasih sayang, rindu dan harapan untuk hidup bahagia bersama mereka. Harapan yang menjadi impian. Impian yang telah roboh dan hanya tinggal tapak usang yang sudah berkarat. Tetapi tapak itu terbina kukuh di jiwanya yang dapat dirasa di setiap helaan nafasnya.     

“Wahai Tuhan, berilah aku kekuatan untuk meneruskan hidup tanpa diganggu oleh kerinduan terhadap orang tuaku”.   Doa Adam bersungguh-sungguh.
Adam kemudian berusaha untuk melelapkan mata, dengan harapan tatkala mata terjaga pagi esok, setiap perkara itu terusir jauh dari fikirannya. Dia mahu hidup yang realistik. Sukar untuk menggendong harapan yang mustahil digapai. Kenyataan kini ialah hidupnya sekarang di kelilingi pribumi. Peneman setia yang paling memahami ialah seorang remaja orang asli yang berhati bersih bernama Oden. Harapan yang mahu diusahakan untuk memenuhi impian hati ialah Hana. Doktor manis dari Kuala Lumpur yang menggamitnya supaya kembali ke kota metropolitan itu. Itu semua adalah kenyataan! Maka, Adam perlu fokus pada kenyataan yang logik sahaja.   











            

No comments: