Thursday, July 4, 2013

KERANA SEORANG ADAM [Bab 15]

BAB 15
Lima hari telah berlalu setelah mengadakan sidang akhbar. Tiada sebarang berita tentang Adam. Bagaikan hilang sekelip mata, tiada yang mampu mengesan di mana Adam berada. Saban hari Rozie Rosa membaca komen yang berderetan di laman sosial milik Adam. Pujukan, kata semangat dari teman-teman memenuhi ruang. Namun tiada maklumbalas dari Adam sendiri. Sudah terlalu lama dia tidak membuka laman sosial itu iaitu semenjak peristiwa dia dipukul oleh Haziq. Status terakhirnya masih tidak berubah, Adam mencatatkan; 
‘Akan bertemu mama dan adik-adik hari ini…
terima kasih kepada Tuhan kerana memberi kegembiraan’.

Walaupun telah membacanya berulang kali, namun acapkali juga air mata bonda menitis mengenangkan anak yang gagal dijejaki. Rozie Rosa  tahu betapa bersyukur dan gembiranya hati Adam apabila ingin dipertemukan dengan adik-adiknya. Mulia sungguh perasaan itu tetapi ia kemudiannya tidak kesampaian apabila dicemari oleh pihak yang salah faham tentang ikatan yang wujud antara mereka. Rozie Rosa menyalahkan diri sendiri kerana lambat bertindak. Seandainya dia pantas mengemudi syak wasangka Haziq, mungkin kejadian pukul itu terkawal. Jika Haziq tahu lebih awal tentang hubungan mereka, tentu dia tidak tergamak untuk menyakiti Adam. Kasihan Adam, terkulai dipukul. Badannya lemah apabila dilukai luar dan dalam. Sakit di hati mungkin lebih kronik kerana ia hanya mampu dirawat oleh peredaran masa dan pengisian rohani. Kesabaran Rozie Rosa terus tercabar kerana Adam hilang begitu sahaja di saat dia sedang berjuang mempertahankan kedudukan anak kandungnya itu.
Mama tahu mama salah kerana membuat Adam menjadi mangsa. Maafkan mama, sayang. Dari kecil hinggalah kini Adam tak pernah rasa kasih sayang sejati dari ibu dan bapa. Bila kita dah bertemu, ada pula aral yang melintang. Adam pulanglah! Mama sayangkan Adam.

Satu lagi luahan hati yang dicatat di peti mel Adam. Cara itu agak berkesan untuk meredakan sedikit ketegangan perasaannya setiap kali kerinduannya terhadap Adam memuncak.

“Ya Allah, kau selamatkanlah anakku Mohamad Adam walau di mana dia berada. Kau lindungilah dia”. Doa seorang ibu untuk kesejahteraan anaknya.

Beberapa bulan kemudian, di suatu daerah nan jauh...
         Adam memerhati dengan tumpuan penuh. Akalnya sedang menterjemah perhiasan alam yang terlalu berharga di depan mata. Subjek yang terlalu menarik untuk dirakamkan di atas kanvas. Semenjak berada di daerah terpencil itu, dia kembali berpeluang mempersembahkan karya yang lahir dari bakat semulajadinya. Setiap palitan warna yang dicoret batang berusnya ligat mencoret warna-warna alam. Hidup dikelilingi lanskap indah, tentu sahaja menggamit darah seninya untuk mengabadikannya dalam bentuk lukisan.

            Peminat dan pemerhati setia, Oden berdiri di belakang persis seorang pengkritik seni. Matanya galak melihat Adam menggerakkan berus ke serata kanvas.
“Macam mana Oden, cantik tak?” Soal Adam apabila menyedari anak itu tekun melihat kerjanya.

“Hmmm…”  Hanya itu jawapan yang keluar dari bibir mongelnya. Dahinya sedikit berkerut.

“Kenapa? Oden tak suka lukisan ni ke? Tak cantik, ya?” Soal Adam inginkan kepastian. Kanak-kanak jujur dan tidak hipokrit dalam memberi pendapat. Adam inginkan kritikan yang telus.

“Cantik. Lukisan ni memang cantik sangat, bang. Pandai abang lukis. Tapi…” Ada sesuatu yang ingin disampaikan oleh Oden. Adam menghampirinya dan bertanya lagi.

“Kalau cantik, kenapa Oden tak suka?”

“Sebab Oden rasa lukisan ni cuma ada gambar latar belakang sahaja. Kan lebih lengkap kalau ada gambar Oden di depannya”. Balas Oden berterus terang.

“Oh… hahahaha… ni nak suruh abang lukis gambar Odenlah ni, ya? Patutpun Oden tak suka. Abang cuma tahu lukis gambar lanskap je. Abang tak pandai nak lukis muka orang. Nanti kalau abang lukis muka Oden tak jadi, mesti Oden marah pada abang”.

“Abang cubalah dulu. Asyik gambar pemandangan saja, lukis gambar Odenlah pula”. Pinta Oden. Sebenarnya itu bukanlah kali pertama Oden membuat permintaan. Ketika dia mula-mula melihat Adam melukis dia sudah kagum. Oden ingin benar wajah dan aksinya divisualkan di atas kanvas. Setiap kali itu jugalah Adam merendah diri berterus terang tentang kekurangan bakat seninya. Hakikatnya Adam bukan tidak mahu melayan kehendak Oden, tetapi dia sendiri kurang yakin untuk membuat sesuatu yang dia tidak mahir. Namun, Adam berazam untuk menunaikan impian Oden di suatu hari nanti. Dia mahu membuat anak itu tersenyum gembira. Sejak mendekati dan mengenali Oden, misi utama Adam ke atas remaja itu ialah mahu Oden menyambung kembali pembelajarannya. Oden langsung tidak berminat utuk ke sekolah. Adam akan memberi perangsang supaya Oden dapat memajukan diri dengan mencintai ilmu pengetahuan.

            Atas kesungguhan yang ditunjukkan, hanya dengan beberapa kunjungan ke pejabat Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Adam diterima bekerja.  Tugasnya langsung tiada kaitan dengan seni sepertimana bidang kerjayanya sebelum ini. Namun Adam tidak peduli itu semua, asalkan dia dapat menabur bakti pada masyarakat di situ. Tiada lagi tekanan ‘dateline’  dan tidak perlu pening kepala mencari idea untuk dipersembahkan pada pelanggan yang cerewet. Namun setiap tugas pasti menyajikan cabaran tersendiri. Tinggal di kawasan pedalaman, mengurus dan menjaga kebajikan komuniti orang asli diterimanya sebagai amanah. Dia mahu kehadirannya dapat dirasa dan memberi manfaat kepada warga di situ. Kehidupan mereka sangat ringkas dan serba kekurangan. Keperluan asas bagi mereka tidaklah rumit seperti kehidupan masyarakat bandar. Perbandingan mudah, kehidupan Adam sendiri selama ini yang dirasakan ringkas sebenarnya sudah jauh lebih kompleks. Namun, mereka sendiri sudah cukup selesa hidup tanpa kereta, telefon bimbit, jalur lebar dan pusat membeli belah. Keikhlasan hati membuatkan Adam tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri tinggal di situ. Adam berada di situ atas kehendaknya, maka dia perlu mengadaptasi kehidupannya berorientasikan persekitaran baru yang tentunya amat berbeza dan menuntut kesabaran.

            Semangat untuk membela golongan pribumi mendasari jiwa Adam. Dia menemui daerah itu atas ketentuan Ilahi. Tentu Allah sedang merencanakan sesuatu untuknya di tempat terpilih itu. Adam tekad untuk membela dan membahagiakan masyarakat pribumi di kawasan itu. Kali ini Adam mahu membuat perkara yang betul. Melakukan perkara yang betul dan perkara menggembirakan adalah dua perkara yang berbeza. Tidak semestinya perkara yang menggembirakan itu adalah perkara yang betul untuk dilakukan. Adam mengambil iktibar belajar daripada kesilapan. Kali ini dia mahu membuat perkara betul yang pada akhirnya akan memberi sinar bahagia.

            Berada di kelompok masyarakat orang asli, Adam merasakan dia memiliki lebih banyak masa berkualiti. Pelbagai aktiviti dijadikan sebagai pengisian.  Walaupun bekerja, namun dia masih sempat untuk melukis, bercucuk tanam dan mengajar anak-anak pra-sekolah di situ. Dia tulus berkhidmat walaupun di luar waktu bekerja. Buat apa dia berkira melakukan perkara baik, kerana dia sendiri merasa tenang apabila mendekati anak-anak orang asli di situ.

            Semenjak kehadiran Adam, anak-anak kecil yang berusia dalam lingkungan 4 hingga 6 tahun lebih terkawal. Kalau sebelumnya mereka sering sahaja dibiarkan berkeliaran dan bermain sendirian, kini Adam mengumpulkan mereka dan membuat aktiviti pembelajaran melalui pendekatan permainan. Mereka ketawa riang bermain sambil belajar. Seawal usia 4 tahun, ada yang sudah boleh membaca ABC mengikut turutan yang betul.

Good morning, Abang Adam”.

Adam menoleh dan seakan tidak percaya ucapan itu datangnya daripada si kecil yang masih pelat berkata-kata. Senyuman puas terukir di bibir. Anak-anak itu terlebih dahulu diberi pendedahan tentang kebersihan dan keselamatan diri. Segelintir yang dahulunya comot, kini kelihatan lebih kemas dan bersih. Adam faham ibu mereka sibuk menguruskan anak-anak kecil yang lain di samping membuat tugasan harian. Anak-anak itu diajar cara mengurus diri sendiri supaya sentiasa bersih dan sihat. Hakikatnya mereka memiliki tenaga yang berbeza dari kanak-kanak bandar. Mereka lebih lasak dan pantas melakukan sesuatu. Kelebihan itu memudahkan Adam mendidik anak-anak itu dengan cara yang kreatif.

Hari itu berlalu dengan pantas. Tatkala senja menghampiri, Oden berlari cemas menjerit memanggil namanya.
 “Abang Adam! Tolong Abang Adam! Ibu saya terjatuh. Banyak darah di sana sini. Bapak belum balik dari hutan”.
Adam bergegas berlari ke rumah Oden. Keadaan di rumah itu kelihatan sesak. Beberapa penduduk memperlihatkan reaksi resah. Ada yang buntu dan gemuruh, berlegar-legar di luar. Titisan darah menitik dari celah lantai buluh. Jiran-jiran sedang berusaha membantu. Ibu Oden telah kehilangan banyak darah. Keadaannya yang sedang sarat mengandung, menimbulkan rasa panik di hati Adam. Namun dia perlu mengawal keadaan supaya usaha membantu menyelamatkan ibu Oden berjalan lancar.

“Kita perlu bawa ibu Oden ke hospital. Dia dah banyak kehilangan darah, kita mesti selamatnya dia dan kandungannya”.  Pantas Adam berlari semula ke kawasan pejabat untuk mengambil kenderaan pacuan empat roda milik JHEOA. Kenderaan itu sememangnya disediakan untuk kemudahan masyarakat di situ.

Sekembalinya Adam di rumah Oden dengan Pajero, kelihatan seorang bidan sedang mengurut perut ibu Oden.

“Anak mahu keluar… hospital jauh. Biar anak dia lahir dulu”.
Perempuan tua itu menyatakan pendapatnya pada Adam. Adam menjadi serba salah. Dia tahu masyarakat di situ lebih mempercayai perubatan tradisional, tetapi di waktu kecemasan seperti itu, Adam tidak mahu mengambil risiko. Keadaan ibu Oden sangat kritikal.

“Saya nak bawa ibu Oden ke hospital sekarang. Darah sudah banyak keluar, bahaya!” Jelas Adam.
“Kamu takut aku buat dia mati? Aku sudah sambut hampir semua anak-anak di sini. Ada yang sudah besar seperti kamu, elok saja”. Perempuan itu membela diri apabila Adam memperlihatkan ketidakyakinannya.

“Bukan begitu, kita mahu supaya ibu Oden dan anak dalam kandungannya sama-sama selamat. Dia dah kehilangan banyak darah, jadi dia perlukan darah untuk dimasukkan ke dalam tubuhnya. Di hospital, dia boleh dirawat dengan lebih baik kerana peralatannya lengkap”. Adam cuba meyakinkan. Sejujurnya Adam tidak sanggup membiarkan ibu Oden terlantar mengerang kesakitan dalam keadaan berlumuran darah.

“Kamu keluarlah! Aku mahu bantu dia lahirkan anak”. Perempuan itu menolak Adam keluar dari rumah Oden.

“Tapi, saya mahu bawa dia bersalin di hospital. Tolonglah!”.  Rayu Adam.

Adam akhirnya terpaksa akur apabila dia seakan tidak diperlukan di situ. Suara ibu Oden terus mengerang kesakitan. Sesekali dia menjerit. Tidak tahan mendengar rintihan ibu Oden, Adam mengintai dari celahan dinding. Kasihan, tenaganya sudah habis kerana dia terlalu banyak tumpah darah. Selang 40 minit kemudian, kedengaran tangisan bayi baru lahir berkumandang. Tempoh yang terlalu lama untuk seseorang menanggung kesakitan. Masa berharga yang dirasakan sempat untuk Adam mendapatkan bantuan perubatan. Memadai jika dia sempat sampai ke kampung seberang yang memiliki pegawai perubatan. Namun, mendengar raungan bayi agak melegakan. Syukurlah, ibu Oden selamat melahirkan anaknya. Tetapi suara ibu Oden tidak lagi kedengaran selepas itu. Adam pantas membuka pintu dan meluru masuk. Dia tidak mampu menahan sabar menunggu di luar. Oden berlari mendapatkan ibunya yang kaku bermandi darah. Tiada lagi suara menanggung kesakitan, tiada lagi rintihan sayu. Adam meletakkan jemarinya dileher ibu Oden. Masih panas tetapi tiada denyut nadi. Dipegangnya pula pergelangan tangan untuk kepastian. Oden menggoncangkan tubuh ibunya memanggil-manggil acapkali. Suasana pilu menyelubungi, mengundang sedih di senja nan merah. Adam memandang tepat wajah sugul Oden. Dia lalu menggelengkan kepala memberi isyarat tiada lagi denyutan nadi.

“Ibu Oden dah tiada…”
Perlahan Adam menuturkannya. Begitu berat mulutnya mahu mengungkap ayat sadis seperti itu.

“Ibu! Ibu!!!”
Oden menangis mendakap ibunya yang sudah tidak bernyawa lagi. Ratapan hibanya meruntunkan hati yang mendengar. Adam kemudian mendakap Oden yang comot dibasahi darah ibunya. Biarlah darah ini mengotori pakaian, kerana ia merupakan darah suci sebuah kelahiran. Betapa sedihnya melihat Oden yang masih mentah terpaksa menghadapi detik kehilangan ibu tersayang. Melihat suasana pilu itu, perasaan Adam tersentuh. Dia tidak cukup kuat untuk berlagak tenang.

Bau hanyir darah melata di dalam rumah yang sempit itu. Darah masih menitik ke bawah rumah dari celahan lantai buluh. Di saat luluh itu, Pak Sitam pulang membawa rotan. Kisah sedih itu menjadi semakin dramatik apabila Pak Sitam meluru mendapatkan isterinya yang terbujur kaku. Tidak terpadang dek mata, tidak sanggup didengar esakan sayu ahli keluarga meratapi pemergian srikandi rumahtangga.

            Adam berundur perlahan. Kesalnya tidak terluah. Andainya dia optimis dan berdegil mempertahankan niatnya untuk membawa ibu Oden ke hospital, tidaklah dia ralat begini. Namun kuasa Tuhan melangkaui segalanya. Sudah tertulis di Loh Mahfuz ajal ibu Oden pada ketika itu, maka ia tidak mungkin dapat berganjak walau sesaat pun.

            Malam itu Adam tidak tidur semalaman. Dia menemani Oden dan membantu keluarganya menguruskan mayat ibu Oden. Adam tidak banyak berkata-kata. Mulutnya seakan terkunci setelah menyaksikan episod yang mencemaskan itu berakhir dengan tragis. Dia belajar sesuatu dari pengalaman yang menyayat hati itu, supaya pantas bertindak dan lakukan apa sahaja yang termampu demi untuk menyelamatkan sebuah nyawa. Nyawa yang terlalu penting dalam kehidupan setiap keluarga.

            Adam ingin membuat sesuatu yang mungkin mampu meredakan perasaannya. Perasaan terkilan kerana gagal membantu ibu Oden di saat kecemasan. Perasaan bersalah ekoran membiarkan dirinya mengalah dengan pengamal perubatan tradisional itu. Perasaan kesal yang menghimpit diri kerana mengakibatkan Oden kehilangan ibu. Perasaan sedih yang berpunca dari ketidak tegasannya mengendalikan masalah. Terlalu berat fikirannya hingga dia rasa terlalu sebak. Saat itu dia perlukan kekuatan, namun Adam tidak boleh kelihatan lemah di hadapan Oden. Adamlah yang memberi kekuatan kepada Oden, mana mungkin dia rebah dan pasrah semudah itu.

Melihat kondisi Oden, jiwa dan raga Adam  tersentuh. Terlalu sedih menyaksikan ratapan ahli keluarga menghadapi kenyataan perginya insan tersayang. Dia bersyukur kerana kedua ibu bapanya masih hidup walaupun pada zahirnya dia ‘kehilangan’ mereka. Setidak-tidaknya dia masih berpeluang menyayangi dan menghargai mereka, walaupun Adam sendiri tidak terfikir bagaimanakah caranya.

Tiba-tiba timbul limpahan syukur kerana menyedari sekurang-kurangnya dirinya masih memiliki ibu dan bapa. Selagi hayat mereka dikandung badan, Adam masih dikira bertuah jika dibandingkan dengan nasib yang menimpa Oden. Peluang masih ada, cuma kesempatannya sahaja yang belum pasti berpihak padanya. Ketika itu hatinya digamit kerinduan pada mama dan ayah. Dia tidak dapat menipu diri sendiri dengan menafikan perasaan itu. Semahunya Adam berusaha mengikis rasa yang difikirkannya tidak perlu dilayan. Dia penat meletak harapan kerana penyudahannya diri sendiri yang merana, tersepit dan tertekan. Namun setiapkali diusir dan ingin dilupakan, bertambah dalam perasaan itu memenuhi ruang hatinya.

Memenuhi tuntutan kerinduan yang membuak-buak, beberapa hari kemudian, Adam turun ke pekan membawa misi yang sebenarnya tiada dalam perancangan. Dia mahu menitipkan bingkisan berharga buat mama yang bakal menyambut hari lahirnya, 3 hari lagi. Mana mungkin Adam melupakan tarikh penting itu. Walau diri berjauhan, Adam mahu mama tahu bahawa mama sentiasa diingati. Sesungguhnya kasih sayang Adam terhadap kedua orang tuanya tidak pernah luntur. Dia berusaha memudarkan rasa itu, tetapi acapkali juga meluru limpahan kasih sayang diiringi kerinduan. Ternyata hikmah dari peritiwa kehilangan ibu Oden memberi pelajaran bermakna buat Adam iaitu; hargailah orang tua selagi mereka masih ada, kerana setelah terpisah nyawa, segalanya berakhir sekelip mata.


No comments: