Thursday, July 4, 2013

KERANA SEORANG ADAM [Bab 13]

BAB 13
“Terima kasih, Haikal”.
Hanya itu yang mampu diucap. Adam masih lemah. Separuh jiwanya pergi membawa semangat diri.

“Kau tak perlu ucapkannya. Aku tak pasti tindakan kau sekarang ni betul atau salah, tapi aku benar-benar risaukan kau sebab kau masih lemah dan belum sihat”.
Dalam kebuntuan Haikal mula membicarakan isu berat itu. Topik itu terlalu sensitif, tetapi ia tetap perlu diperhalusi.

“Haikal, kau dah saksikan sendiri betapa aku ni bawa musibah pada hidup mama aku, takkan aku nak tunggu lagi?”
Adam membela diri.

“Semua ni berpunca dari salah faham. Aku yakin, masalah ni dapat diselesaikan bila mama kau jelaskan pada semua siapa diri kau sebenarnya. Semua orang perlu tahu yang kau ni anak kandung dia”.

“Lepas tu semua orang akan hina mama aku bila mereka tahu aku ni anak luar nikah! Aku tak mahu berlaku macam tu. Konflik ni berat, Haikal. Aku ni ialah satu ‘kesilapan’. Kesilapan yang bukan sahaja memalukan, tapi juga bawa mudarat. Aku dah tak larat nak tengok orang-orang yang aku sayang jadi mangsa lagi. Disebabkan aku, kau sendiri pun turut terbabit jadi mangsa”. Adam berputus asa dengan diri sendiri.
“Yang buat kesilapan tu ialah orang tua kau. Kaulah yang daripada dahulu menjadi mangsa. Aku kasihan tengok kau, Adam. Berilah peluang pada diri kau untuk mengecap kebahagiaan yang dah lama kau cari”.

“Kebahagiaan apa? Aku memang tak berhak untuk rasa bahagia! Aku tak ada tempat di mana-mana sebab aku tak ada siapa-siapa!”
Mata Adam mula berkaca. Dia sayu mendengar nasihat Haikal yang menghargai dirinya. Tetapi, bukan simpati yang cuba diraih. Adam mahu memulakan hidup baru secara total.

“Kau ada Tuhan dan kau masih ada aku. Tuhan tak suka orang yang berputus asa. Allah S.W.T sentiasa ada di sisi tak kira siapapun diri kita. Kau mohonlah daripadaNya, insyaallah Dia maha mendengar. Jangan sesekali kau putus asa pada Allah. Bersangka baiklah padaNya kerana setiap ujian datang dengan hikmah”.
Haikal terus memujuk.

“Aku tahu Allah sedang menguji aku. Setakat ni, walaupun berat untuk diharungi sendirian, aku tetap redha hadapi semuanya. Tapi aku sedih bila diri aku memberi mudarat pada orang-orang yang aku sayang. Jadi, aku dah nekad, kali ni biarlah aku pergi jauh-jauh supaya aku tak menyusahkan hidup sesiapa lagi”.

“Kau nak pergi mana, Adam? Kau tu tak sihat, masih dalam rawatan. Dahlah badan masih lemah, fikiran pula tak tenteram. Bila kau sendirian, aku takut lagi berkecamuk fikiran kau”.
“Pandailah aku jaga diri. Selama inipun aku mampu hidup sebatang kara kerana aku tahu Allah sentiasa ada bersama aku”.

“Biar aku temankan kau, ya? Aku boleh ambil cuti. Aku risau kalau apa-apa jadi pada kau”.

“Terima kasih sebab ambil berat. Aku hargai niat murni kau. Tapi, aku dah tak mahu lagi menyusahkan hidup sesiapa termasuk kau”.

Perjalanan itu gagal mengubah pendirian Adam. Haikal turun dari kereta sejurus tiba di hadapan rumahnya. Adam mengemas beg pakaian dan membawa dokumen dirinya untuk beredar dari Semenyih.

“Kau pasti tak mahu tunggu sehingga hari siang? Kau tentu penat”.

“Aku dah terbaring 5 hari, dah puas berehat. Kau jangan risau tentang aku. Terima kasih atas bantuan kau ni. Aku minta maaf sebab menyebabkan kau kena pukul tempohari”. Adam bersalam dan memeluk Haikal. Dia tahu ketulusan hati sahabatnya itu.

“Kalau sesiapa cari aku, berterus terang saja yang kau tak tahu ke mana aku pergi”.
Adam meninggalkan pesan terakhir.

“Bagitahulah aku ke mana kau nak pergi…” Rayu Haikal.
“Aku tak mahu bebankan kau. Jadi, lebih baik kau tak tahu ke mana aku pergi supaya kau tak perlu berbohong untuk aku”.

Pertemuan itu berakhir di situ. Bagaikan nomad, sebelum subuh Adam memandu tanpa perancangan dengan niat untuk berhijrah. Cutinya masih panjang. Tetapi soal cuti tidak perlu dihadkan kerana kalau dia terus hilang sekalipun, cuti itu akan bertukar menjadi berhenti kerja. Wang simpanannya mampu digunakannya sebagai modal untuk memulakan hidup baru di tempat lain. Dia sedang berfikir untuk ke destinasi yang tidak terdedah dengan media. Dia mahu ke tempat yang penghuninya tidak mengambil tahu tentang dunia artis. Hendak berhijrah ke luar negara memerlukan perbelanjaan yang terlalu besar dan  besar kemungkinan, wang simpanannya akan habis dalam tempoh singkat. Untuk tidak mengundang risiko, Adam memikirkan untuk berhijrah ke dalam negara sahaja tetapi destinasinya mestilah jauh di pedalaman. Biarpun tidak maju, asalkan ia tenang dan damai. Lebih baik jika ke tempat di mana Adam mampu memberi manfaat untuk masyarakat setempat.

            Pekerja hospital menjadi panik apabila Rozie Rosa melaporkan kehilangan Adam. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), Adam keluar dari wad itu sekitar jam 1.45 pagi. Adam bersendirian dan tiada sesiapa yang kelihatan membantunya.  Rozie Rosa terkilan kerana dia tertidur dengan nyenyak di sofa. Dia keletihan setelah berhari-hari menjaga dan menanti Adam yang tidak sedarkan diri. Dia menyesal kerana saat dia terjaga, Adam sudah tiada di situ. Perkara yang paling ditakuti oleh seorang ibu telah berlaku; kehilangan anak kandung. Rozie Rosa pernah melaluinya 25 tahun dahulu. Dia tidak sanggup sejarah itu berulang kembali di saat dia baru membina semula ikatan darah dengan anak kandungnya. Terlalu perit untuk diharungi sekali lagi.

            Kehilangan Adam menjadi fenomena yang mencetuskan kekecohan di hospital berkenaan kerana kes itu melibatkan keluarga artis terkenal. Syahid turut mendapat tahu mengenai berita itu. Hatinya turut hampa kerana impiannya untuk menemukan Adam dan ayahnya tidak kesampaian. Di saat kesihatan Haji Malek semakin stabil, Adam pula menghilangkan diri. Syahid faham situasi abangnya yang menjadi mangsa keadaan.

Rozie Rosa menyalahkan kelalaian dirinya sendiri. Sukar untuk menerima kenyataan bahawa Adam yang terlantar telah melarikan diri sebaik sahaja sedar dari koma. Tentu anak itu masih lemah dan perlukan rawatan susulan. Walau sedewasa manapun seorang anak, hati ibu tetap resah setiap kali kesihatan anak terjejas. Apatah lagi Adam ditimpa musibah itu berpunca daripada dirinya.

Fitnah dan gosip dunia artis tidak pernah meneliti impak di sebalik perbuatan itu. Rundungan malang yang menyusul bukanlah tanggungjawab mereka untuk mengambil tahu. Asal sahaja ia sensasi, ia dianggap memiliki nilai berita yang mampu melariskan jualan akhbar mereka. Rozie Rosa menjadi mangsa serangan media yang tidak menyiasat mencari bukti terlebih dahulu, tetapi menghukum terus tanpa mengetahui isi cerita di sebaliknya.

            Badi drama Puncak Rindu seakan meresapi kehidupan realitinya. Sebagaimana dia mudah menghayati watak dalam drama itu, kini dia benar-benar menghadapinya tanpa berdepan dengan lensa kamera dan sang pengarah. Kerinduannya terhadap Adam mula meronta. Dia bimbang sekiranya Adam terus menghilangkan diri dan gagal ditemui. Dia faham mengapa Adam bertindak sedemikian. Anak itu sudah berputus asa kerana asyik sahaja menjadi mangsa kezaliman insan sekeliling yang membawa tohmah tidak berasas.

Kenapa memilih untuk hidup sendirian sedangkan kita sentiasa dihadapkan dengan pilihan? Apa gahnya hidup sebatang kara tanpa sesiapa yang mengambil berat? Jawapannya mudah! Supaya tidak menyusahkan sesiapa. Adam berguru dari pengalaman. Belajar dari kesilapan. Dia pernah hidup sebatang kara, jiwanya kosong tetapi dia tenang dan mampu mengejar cita-cita. Kemudian dia bertemu dengan orang tua kandung yang dicari-cari sekian lama. Indahnya berwarna-warni, tetapi impaknya menyedihkan. Hati sakit, kecewa, terkilan dan menyesal. Menyesal kerana menggugat ketenangan kehidupan asal mereka. Ternyata kemunculan Adam telah mengganggu keharmonian hidup orang tuanya. Jadi, lebih mulia jika Adam berundur diri. Membawa diri jauh-jauh agar tidak lagi memudaratkan kehidupan insan-insan tersayang. Apa maknanya kasih sayang kalau terpaksa membakar hati insan lain? Apa ertinya kebahagiaan sekiranya ia menjatuhkan maruah? Apa gunanya penyatuan keluarga jika harganya perlu dibayar dengan penderitaan orang lain? Semuanya sudah tidak bermakna lagi! Sudah tidak penting!

Adam melayan persepsi diri. Dia marah! Dia kecewa dan dia melaungkan jeritan jiwanya di tempat biasa yang mendamaikan. Sekali lagi ladang sawit menghijau mendengar lontaran vokalnya.

“Arghhhhhh!!!”

Adam melantunkan lagu sayu di awal pagi nan suram itu. Alam seakan mengerti perasaannya tatkala gerimis menurunkan jutaan titisan pilu. Adam memasuki kereta dan duduk melayan sendu. Di usia pagi yang masih muda, berlatarkan renyai nan syahdu, Adam menangis seorang diri. Dia teresak-esak melayan kesal yang meluru ke dalam diri. Hampir sesak nafasnya menghadapi detik itu sendirian. Namun, Adam perlu gagah kerana menyedari dia kembali hidup sebatang kara. Dia perlu memujuk diri sendiri memandangkan dia hanya ada dirinya dan Tuhan sebagai sandaran. Memang benar, semua yang dimiliki adalah pinjaman duniawi semata-mata. Bersifat sementara dan tidak kekal. Adam menangis semahunya untuk melegakan hati yang terluka. Dia mahu menyemadikan kisah indahnya yang singgah cuma sebentar. Biarlah pengalaman manis itu berkubur tanpa nisan. Segala memori indah  akan terpahat menjadi monumen yang kekal dalam kotak kenangan. Adam berusaha untuk berlapang dada. Dia memujuk diri sendiri untuk redha dengan ujian Tuhan yang walaupun berat tetapi tentu ada hikmah yang menunggu di hujung jalan.  Bersabarlah Adam, bersabarlah.

            Siang menjengah mengikut fitrah alam. Cahaya pagi yang menyinari menambah cuak di hati Rozie Rosa. Semakin hari beredar, bermakna lokasi Adam kian jauh daripadanya. Ayu kembali dari rumah Haikal membawa berita yang tidak sukar diramal. Adam tiada di situ dan Haikal tidak tahu di mana Adam berada. Rozie Rosa merasakan dia telah kehilangan Adam. Separuh semangatnya telah direnggut bersama pemergian Adam. Dia kaku tidak mampu berkata-kata. Perasaannya dizahirkan oleh air mata yang mencurah deras tanpa suara. Kehadiran Adam membawa cahaya yang mencerahkan kegelapan hati sekian lama. Rozie Rosa tidak mahu bibit-bibit kasih sayang antara ibu dan anak terhenti di awal pertemuan. Namun, detik indah itu terlalu sebentar. Ia berlalu di saat Rozie Rosa belum bersedia. Rozie Rosa ingin meneruskan usaha untuk mencari Adam. Anak itu hadir dengan harapan untuk bahagia. Ternyata kebahagiaan yang dirangkul terlalu suntuk tempohnya. Kerinduannya terhadap Adam memuncak. Adam, pulanglah sayang!

Rozie Rosa bagaikan hilang arah. Nafasnya sesak sukar dikawal. Urat sarafnya membawa aura resah hingga denyut nadinya kencang. Perasaan seorang ibu kehilangan anak yang dikasihi. Adam masih hidup, tetapi reaksi Rozie Rosa bagaikan dia tidak akan dapat bertemu lagi dengan anaknya itu. Paling dibimbangi jika Adam hilang terus dari hidupnya. Melihat keadaan diri sahabatnya yang tidak terurus, Ayu memberi kata-kata penuh hikmah. Dia mahu melihat Rozie Rosa bangkit untuk sama-sama mencari Adam. Masih banyak usaha yang boleh dilakukan. Selagi dunia belum kiamat, selagi itulah mereka masih berpeluang berusaha gigih bagi mengembalikan Adam kepada ibunya.

“Bawa mengucap Rozie, ingat Allah. Berdoa banyak-banyak. Kau belum kehilangan anak kau sebab Adam masih hidup. Dia dah dewasa dan pandai jaga diri. Sebagai ibu yang melahirkan, kau berdoalah minta Tuhan lindungi Adam. Aku yakin, kita akan dapat mencari dan menemui Adam. Kau bertenanglah”.

Ayu memeluk erat sahabatnya. Rozie Rosa tersedu sedan di bahu Ayu. Ada sedikit kelegaan apabila memikirkan Adam masih hidup dan mereka perlu berusaha mengesan di mana dia berada. Seisi keluarga berbincang di rumah Rozie Rosa. Rozie Rosa mahu mengadakan sidang akhbar untuk memberi penjelasan dan memenuhi tuntutan media. Kisah skandal dengan lelaki muda, kecurangan seorang aktres yang sebenarnya tidak wujud, perlu diperbetulkan. Setiap tindakan pasti ada pro dan kontra. Risiko atas tindakan itu difikirkan semasak-masaknya agar semuanya mandapat maklumat yang terperinci dari sumber yang tepat.

Keluarga memberi kekuatan kepada Rozie Rosa. Rozie Rosa sedar seisi keluarga termasuklah Adam akan terpalit dengan luka. Luka dihina apabila status Adam sebagai anak luar nikah dibicarakan pada umum. Natijahnya kelak pasti memberi impak yang memberi tekanan pada insan tersayang. Namun, Rozie Rosa akur dan redha kerana dia bersedia menanggung akibat kekhilafannya dahulu. Dia perlu memikul dosa dan balasan dari perbuatannya.

Di saat mesyuarat tertutup itu rancak membincangkan isu Adam, Ayu mendapat panggilan daripada Syahid. Haji Malek telah sedar dan kesihatannya stabil. Dia bersedia untuk membantu mencari Adam. Haji Malek turut memikul rasa bersalah kerana menjadikan anak itu mangsa yang sering dizalimi. Walaupun dendam Rozie Rosa terhadap Malek masih membara, namun sejurus mendengar kerjasama orang tua itu untuk mencari Adam, dia menerimanya dengan hati terbuka. Dia telah mendapat tahu bahawa orang tua itu jatuh sakit kerana kehilangan Adam. Ini bermakna mereka sedang sama-sama sengsara ditinggalkan Adam yang  pergi membawa rajuk hati. Lara Rozie Rosa amat difahami Haji Malek kerana dia juga terlalu rindu pada Adam.

            Kata sepakat dicapai dengan menyokong Rozie Rosa membuat pendedahan eksklusif pada wakil media. Mereka sanggup sama-sama menanggung risiko kerana seisi keluarga turut merasakan kesedihan yang menimpa Rozie Rosa. Dato’ J, Datin Jasmin dan Hana begitu rendah hati memberi sokongan moral tanda setuju dengan langkah tersebut. Mereka turut rasa bersalah atas perbuatan melulu Haziq yang membawa bencana pada Adam. Seandainya apa-apa kemudaratan terjadi pada Adam, keluarga Datin Jasmin perlu bertanggungjawab.

Rozie Rosa menaruh harapan agar Adam kembali ke pangkuannya setelah mendapat perkhabaran mengenai pengakuan ikhlas tentang pertalian darahnya dengan Adam. Dia mahu Adam tahu keikhlasannya menerima Adam sebagai anak kandung yang telah terpisah selama 25 tahun. Semoga tindakan berani itu berjaya memujuk hati Adam yang remuk terluka.  Sebagai ibu, Rozie Rosa mahu memainkan peranannya yang telah diabaikan selama anak itu membesar. Kali ini dia sudah cukup matang untuk membuat perkara yang betul.


No comments: