BAB 14
Hari yang
ditunggu-tunggu hadir dengan sinar harapan. Sesungguhnya agenda bersejarah itu
amat mendebarkan. Walau berpuluh tahun gah dalam industri, saat dan detik itu
mengundang canggung buatnya. Dia merasakan semua wakil media sedang bersedia
untuk menghentamnya. Namun, Rozie Rosa sudah bersedia untuk memberi penjelasan.
Pastinya dia perlu menjawab soalan yang pedas dan berisiko mengundang aib.
Selama ini pelbagai provokasi tidak dilayan olehnya sehingga menyebabkan isu
itu kian sensasi.
Dia tidak akan mendustakan mana-mana pihak walaupun ia bakal
mengguris perasaan. Rozie Rosa bukanlah pembentang manifesto politik yang
inginkan tumpuan hebat, tetapi sekadar bersikap kritis untuk menjadi pemangkin
penegak kebenaran bagi mengelakkan kes itu merebak menjadi epidermik di
kalangan masyarakat. Dia sudah muak dihadapkan dengan kisah peribadi yang
sumbernya bukan datang dari mulutnya sendiri. Sementelah dia tidak pernah
memberi mandat pada mana-mana individu untuk mengumpil cerita hidupnya.
“Assalammualaikum dan salam sejahtera pada anda semua. Saya ingin
memberi penjelasan mengenai gossip dan cerita yang kononnya saya ada skandal
dengan pemuda mentah”.
“Saya harap penjelasan saya ini akan dapat diterima dengan hati
terbuka. Saya hadir dengan sokongan keluarga yang sentiasa tahu pergerakan
saya”.
Rozie Rosa kemudian menunjukkan gambar-gambar yang berleluasa
disiarkan media.
“Ini pemuda yang dikaitkan dengan saya. Namanya ialah Mohamad Adam.
Dia lahir pada 8 januari 1985. Di buku lali kaki kirinya ada tanda lahir
tompokan hitam. Bagaimana saya tahu perkara ini? Saya kenal dan tahu Mohamad Adam kerana…”
Rozie Rosa tidak dapat menahan sebaknya. Ayatnya terputus di situ.
Ayu yang berada di sebelahnya memegang erat tangannya untuk memberi kekuatan.
Semua wakil media terdiam. Mereka tidak sabar untuk mendengar cerita
seterusnya.
“… kerana sayalah yang telah melahirkan Mohamad Adam ke dunia 25
tahun dahulu. Adam adalah anak kandung yang saya lahirkan ketika saya berusia
19 tahun. Ketika itu saya masih belum terlibat dalam industri seni. Saya telah bertemu dengannya setelah sekian
lama terpisah. Maka, setiap yang anda saksikan dalam rakaman foto ini adalah
kemesraan antara seorang ibu dan anak yang melepas kerinduan setelah lama
terpisah. Saya tidak curang. Keluarga saya tahu siapa Adam. Saya yang menjadi
insan seni, jadi saya tak mahu anak dan keluarga saya mendapat tempiasnya”.
“Di manakah Adam sekarang? Mengapa dia tidak hadir hari ini?”.
Salah seorang wartawan mula menyoal.
“Adam pergi setelah saya
difitnah kerana berasakan dialah puncanya. Sekarang, saya ingin Adam kembali ke
pangkuan saya semula. Anda yang membuat Adam pergi membawa diri, saya mohon
agar anda tolong bersama-sama saya untuk mencarinya. Dia anak kandung saya,
saya tak mahu kehilangan Adam lagi”.
Air mata Rozie Rosa mengalir bagaikan tiada henti. Dia sebak setiap
kali berbicara tentang Adam. Pada sesi soal jawab, Rozie Rosa dilontarkan
dengan pelbagai soalan sinis. Semuanya dapat ditangani dengan bijaksana.
“Jika keluarga tahu tentang Adam, mengapa timbul peristiwa Adam
dipukul oleh anak tiri Rozie Rosa sendiri?”
“Perkara itu berlaku atas faktor salah faham dalam keluarga.
Keluarga kami telahpun menyelesaikannya secara muafakat. Ia masalah
kekeluargaan dan saya tak mahu isu peribadi diperbesarkan lagi selepas ini”.
“Adakah Adam menghilangkan diri kerana merajuk?”
“Ya… saya yang menjadi artis, tetapi anak saya yang menjadi mangsa
fitnah. Tentulah dia tertekan dan terluka”.
“Adakah Rozie Rosa yakin Adam
akan pulang selepas sidang akhbar ini?”
“Saya tak ada jawapan untuk soalan itu. Tetapi, saya tak mahu hanya
duduk menanti Adam pulang ke pangkuan saya. Sebaliknya saya mahu terus berusaha
mencarinya”.
“Maknanya sebelum berkahwin dengan Dato’ J, Rozie Rosa adalah ibu
tunggal? Siapa bapa kepada Mohamad Adam?”
Rozie Rosa terdiam mendengar soalan yang satu itu. Kalau boleh dia
tidak mahu aib menyebut tentang status anak itu. Tuhan mengerti jeritan
hatinya. Tiba-tiba Haji Malek mengangkat tangan menjadi penyelamat. Dari kerusi
rodanya, dia menjawab dengan perlahan tetapi lancar.
“Sayalah bapa Mohamad Adam. Saya bukan artis, jadi saya tidak mahu wajah
saya dirakamkan dan nama saya ditulis. Saya akui Mohamad Adam adalah anak
kandung kami. Kami terlalu muda ketika berkahwin dahulu, saya harap anda semua
faham dan jangan diperbesarkan lagi isu keluarga kami ini kerana sekarang kami
masing-masing ada kehidupan sendiri”.
Haji Malek berani mempertahankan maruah Rozie Rosa. Dia tidak mahu
wanita itu ditimpa aib. Seisi keluarga tahu bahawa Haji Malek terpaksa
berbohong dengan menyebut perkataan ‘berkahwin’ yang pada hakikatnya ia tidak
pernah berlaku. Tetapi, Haji Malek bukan bermaksud untuk memperbodohkan
wartawan, melainkan berniat untuk memelihara harga diri banyak pihak. Dia tahu
semua itu berlaku atas kesalahannya yang melepaskan tanggungjawab. Kini dia
sudah tua, terlalu matang untuk membuat perkara yang betul. Dia mahu menebus
kesalahannya dengan bertanggungjawab memelihara maruah Rozie Rosa, keluarganya
dan juga Adam.
Ternyata kenyataan yang dikeluarkan Haji Malek membantu
Rozie Rosa. Allah itu maha pengasih. Setiap insan yang bertaubat akan mendapat
ganjaran yang besar. Saat itu aib Rozie Rosa terpelihara. Syukurlah kerana
dipermudahkan olehNya. Rozie Rosa sedar dia tidak mampu untuk memuaskan hati
semua pihak. Tetapi dia merasa terlalu lega setelah membuat pengakuan berani
yang berisiko itu. Dia mempertaruhkan maruah diri dan keluarga demi Adam.
Penampilan Haji Malek menguak pintu kemaafan di hati Rozie Rosa. Terlerailah
sedikit demi sedikit dendam kesumat yang selama ini membara di jiwa.
“Sekiranya Adam sedang mendengar sekarang, apakah yang ingin Rozie
Rosa sampaikan padanya?”
Kesempatan yang paling dinanti. Selain mahu menjernihkan keadaan dan
membersihkan namanya, Rozie Rosa berharap tindakannya membuat sidang akhbar itu
juga adalah untuk membuktikan keikhlasan hatinya membuat pengakuan tentang Adam
yang merupakan darah dagingnya.
“Adam, semua yang berlaku ni berpunca kerana salah faham, bukan
disebabkan Adam. Adam anak kandung mama dan mama tak mahu kehilangan Adam lagi.
Maafkan mama sebab buat Adam terpaksa lalui kesukaran. Adam pulanglah… mama
rindu…”
Rozie Rosa tenang tetapi ada air mata mengiringi ucapannya. Dia
tidak mampu menyembunyikan kesayuan perasaan yang bersarang di hati. Dia lega
setelah membuat pengakuan yang lama dipendam. Luahannya diharap berbaloi untuk
membawa Adam kembali kepadanya.
Haji Malek turut menyandarkan selangit harapan agar dia
berkesempatan untuk menemui Adam. Terlalu sarat rasanya penanggungan rindu yang
terperap sebu dalam diri. Dia tidak mahu terkulat-kulat menanti Adam tanpa
berusaha. Haji Malek mahu bekerjasama dengan Rozie Rosa untuk mencari Adam.
Kerinduan terhadap Adam membuka ruang
untuk penyatuan yang mustahil. Penyatuan yang tidak pernah terduga telah
berlaku. Semuanya kerana seorang Adam. Seorang Adam yang sebenarnya amat
dihargai tanpa disedarinya. Seorang Adam yang terlalu disayangi dan didambakan
kedua ibu dan bapa kandungnya, sedang dia membawa rajuk hati entah ke mana.
Sidang akhbar itu berakhir dalam tempoh yang singkat.
Namun sudah pasti ia tidak mampu untuk menutup kisah itu dengan mudah. Orang
ramai masih bercakap mengenainya, terus mengulas dengan pendapat peribadi.
Namun, buah mulut orang walaupun berbisa, tidak mampu dibendung mahupun dilayan
semuanya. Kehidupan perlu diteruskan tanpa menjadikan cakap-cakap orang sebagai
halangan. Rozie Rosa telah melakukan tindakan sewajarnya. Selebihnya diserahkan
pada Ilahi untuk menentukan apa kesudahannya kelak. Tiada siapa yang tahu
rahsia perjalanan kehidupan yang sebenarnya telah disusun Allah dengan cantik.
Setiap yang kita perolehi adalah yang terbaik hasil daripada setiap tindakan
dan perbuatan yang kita pilih. Setiap pilihan ada akibat dan risiko yang
membuat manusia belajar menerusi proses kehidupan secara berterusan.
Subuh menjengah. Sayu tatkala mengamati sayup-sayup suara azan berkumandang yang entahkan dari
mana. Adam tercari-cari namun jalan kecil yang dilaluinya menjadi semakin
sempit. Daerah asing itu bagaikan tiada penghuni, dikelilingi dengan lereng
flora dan fauna. Indah!
Di suatu daerah yang jauh, Adam mendongak ke langit
menghayati kepulan awan yang sekejap berpadu sekejap berserakan. Ia seakan
menggambarkan metafora perjalanan hidup yang sedang dilaluinya. Berada di
daerah asing itu turut membawa bersama gelombang kesunyian. Tiada lagu-lagu
puitis yang mengiringi kembaranya. Berlatarkan bunyi titisan air gunung, Adam
merasa cukup selesa dan tenang. Dia berhenti di tepi jalan itu kerana terkesima
melihat keindahan alam yang diselaputi kabus. Di kawasan tanah tinggi itu Adam
disapa embun dan bayu pagi nan lembut. Angin dingin membuai perasaan menikmati
kedamaian hati. Di bandaraya nan gah, setiap hari dia menyedut asap dan debu
secara terpaksa. Berbeza dengan apa yang tersergam di sini. Terlalu indah untuk
dinikmati. Adam menarik nafas, menyedut udara segar disimbahi embun pagi. Damai
dan nyaman.
Hidup sendirian mengusung diri berkelana mengembara
mengutip pengalaman yang kadangkala tidak terjangkau dek akal. Emosi diri yang
menghanyutkannya ke lembah dendam telah dihumban jauh. Terpukau Adam menghayati
nikmat keindahan alam ciptaanNya. Betapa kerdilnya diri sebagai hamba yang
jahil. Air gunung yang mencurah disambut oleh anggota wuduknya. Ah… airnya
dingin terasa hingga ke tulang. Dalam kegelapan subuh, Adam mendirikan solat di
atas batu. Solatnya terlalu khusyuk. Kali
ini Adam benar-benar merasa tawadhuk dan zuhud pada Allah maha pengasih. Tiada
dinding batu yang memisahkan, tiada lantai berlapik permaidani tebal yang
mengalas. Hanya Adam, Tuhan dan alam semulajadi. Inilah yang paling selesa.
Setiap ayat dibaca dengan penuh syahdu. Fokus hanya padaNya.
Usai solat, Adam memanjatkan doa ke hadrat Ilahi.
Perasaan sayu menyelubungi hati ditemani bunyian alam yang berlagu tanpa henti.
Bunyi curahan air gunung disulami unggas yang melantunkan irama indah. Bagaikan
mendapat hidayah, Adam bergelumang dengan rasa bersalah. Satu persatu
kekhilafan diri menyerbu. Adam bermuhasabah diri menggali mengapa dugaan
bertimpa-timpa menerjah kehidupannya. Kekalutan hidup yang sebenarnya berpunca daripada kekeliruannya
menurut nafsu amarah dan kesumat yang menular dalam diri. Dia yang membajai
rasa negatif itu hingga dia sendiri tewas untuk mengawalnya. Dia menyesal dan
memohon keampunan dari maha pencipta atas ketelanjurannya menderhakai bapa
kandung. Dia nekad untuk menjadi manusia lebih baik yang tidak memudaratkan
sesiapa bahkan memberi manfaat.
“Ya Allah ampunilah aku ya Allah. Aku terlalu jahil,
terlalu mengikut emosi hingga sanggup menderhakai bapa kandungku sendiri.
Ampunilah aku. Aku tahu aku tidak layak untuk syurgaMu, namun Kau peliharalah
hatiku agar menjadi bersih dengan amalan dan ibadat kepadaMu. Aku mahu
menikmati syurgaMu, ya Allah. Ya Allah, kau ampunilah dosa-dosa mama dan ayahku
ya Allah. Lindungilah mereka dan kurniakanlah kebahagiaan buat mereka, ya
Allah. Sesungguhnya kau maha mengetahui betapa aku menyayangi kedua-dua orang
tuaku itu. Aku redha dengan perpecahan yang berlaku pada keluargaku kerana
hakikatnya memang tidak pernah wujud sebuah keluarga untukku. Aku tahu Kau
sedang merencana perkara lebih baik buatku. Aku bersyukur untuk setiap yang aku
lalui, alhamdullillah. Amin, amin ya rabbal alamin”.
Doanya tulus. Dia mahu kembali ke jalanNya. Selama ini
walaupun dia patuh dan menyembah Allah dengan mendirikan solat lima waktu, tetapi
Adam masih gagal mengawal nafsu marah dan tewas menyurutkan kesumat nan membara
pada Haji Malek. Adam terkilan apabila mengenangkan dia tergamak menumbuk muka
orang tua itu dengan kuat. Anak derhaka! Dia redha dengan balasan Tuhan yang
membawa kepada tragedi koma. Namun hikmah peristiwa itu juga terlalu hebat dan
tidak ternilai. Dia kembali berbaik dan sempat memohon ampun pada ayahnya, Haji
Malek. Mujurlah Haji Malek menerima dan memaafkan kesilapan diri yang terlalu
mengikut kata hati. Adam puas hati apabila mengenangkan pertemuan singkat yang
membahagiakan itu. Sekurang-kurangnya dia berpeluang berada dalam dakapan ayah
kandungnya, berkesempatan berkenalan dengan adiknya Syahid. Adam redha dan
tidak kesal dirinya tidak dapat diterima oleh isteri Haji Malek. Dia faham dan segera
mengundur diri walaupun sebu dengan perasaan sayu. Kini perasaan itu dapat
ditelan dengan berlapang dada.
Mengimbau pula pertemuannya dengan mama tersayang,
hatinya tersayat. Tersentuh apabila menyelak kembali diari yang mencatat memori
indah yang berkubur tanpa nisan. Namun, masa telah mengembalikan kekuatan
rohaninya. Semangat diri yang hilang telah menjelma dengan izinNya. Adam redha
dengan setiap ujian yang menjanjikan hikmah di hujung jalan. Dia tidak pasti
apa kesudahannya, tetapi amat yakin bahawasanya Allah sentiasa menghidangkan
kenikmatan setelah hambaNya melalui ujian demi ujian.
Sudah lebih seminggu dia mengabaikan barisan emel yang
memenuhi peti melnya. Dia mampu hidup tanpa emel dan laman sosial yang
menghubungkannya dengan teman-teman dan dunia luar. Bukan mahu hidup dalam
kepompong nan sempit, namun dia mahu lari dari kekalutan kota yang sememangnya
menyajikan tekanan yang bukan sedikit. Adam mahu bersifat qanaah, hidup dalam
redha dan kecukupan yang memadai. Mungkin pihak yang berlumba-lumba untuk
mengumpul kekayaan akan meletakkannya dalam kategori orang-orang yang putus asa
dan gagal. Itu persepsi khalayak yang tidak mahu difikirkannya kerana biarpun
hidup sebagai insan marhaein, yang penting dia mahu mengecap ketenteraman hati.
Misi utamanya ialah untuk meneruskan kehidupan dengan lebih
tenang dan diberkati. Tercetus misi sampingan untuk berbakti dan memberi
manfaat pada insan yang memerlukan. Adam faham dan tahu bagaimana rasanya hidup
dalam kekosongan jiwa. Dia mahu membantu insan lain menikmati keberuntungan.
Modalnya hanyalah ilmu yang hanya sedikit tetapi disaluti padat dengan nilai
keihklasan. Adam mahu hidupnya jadi lebih bermakna dan dia berazam untuk
melakukan semuanya kerana pengabdiannya yang tulus kepada Ilahi.
Ya Allah Ya Tuhanku… hadiahkanlah aku senyuman gembira di daerah
ini. Kunjungan ini mungkin menjadi satu penghijrahan jika Kau temukan aku
dengan ketenangan yang kudambakan.
No comments:
Post a Comment