Assalammua'laikum ^__^
Kita kena selalu amik tau [membaca, mendengar atau melihat] kisah orang lain. [Ni bukan kes bz body, ye]. Maksud aku, setiap kali kita menghayati sesebuah kisah, pasti ia mempengaruhi hati dan fikiran kita.
Kalau kisah kejayaan;
Ia akan buat kita rasa nak tingkatkan usaha. Usah berputus asa dan lakukan yang terbaik hingga capai matlamat. Kalau gagal, bangkit semula dan usaha lagi. Orang-orang yang berjaya tu semuanya hasil daripada beberapa kegagalan. Mereka berani dan cekal, belajar dari kesilapan, ambil nilai positif dan teruskan usaha. Pasti kita akan re-charge!
Kalau kisah duka;
Ia akan membuat kita lebih mensyukuri nikmat Allah yang kita perolehi. Walau sesusah mana pun kita rasa, ada yang lebih susah lagi. Nikmat Allah ni datang dalam berbagai bentuk. Kita je yang adakalanya terleka dan lalai menghargai. Kisah duka juga akan membuka deria simpati kita untuk berbakti pada yang memerlukan. Kita akan jadi lebih prihatin dan rendah hati bila merenung kembali nikmat yang kita ada.
Kalau kisah fitnah dan penganiayaan;
Ia mendidik kita supaya lebih berhati-hati. Sesiapa juga mungkin menjadi mangsa aniaya tidak kira usia dan jantina kerana ia terjadi bila hasad dengki bersarang di hati. Kita mengambil iktibar dan langkah berjaga-jaga supaya ia tidak terkena pada diri kita. Selalunya si mangsa adalah seorang naif yang dijadikan 'kambing hitam'. Bersabarlah, jika anda seorang mangsa. Kita perlu selalu ingat bahawa kita tidak akan dapat lari dari karma hukum Tuhan. Yang menganiaya akan rasa balasannya, manakala mangsa yang teraniaya akan mendapat hikmah di kemudian hari. Tak payah tunggu, ia pasti datang.
Kalau kisah peperangan;
Ia mengajar kita nikmat keamanan. Bagaimana sifat hormat menghormati perlu ada di setiap jiwa manusia. Kita perlu bertoleransi dengan manusia yang lain tanpa hanya mementingkan pendapat, perasaan dan keinginan peribadi. Jangan mudah berpecah belah hanya kerana hasutan orang luar yan berkepentingan jahat untuk mengaut hasil. Sejarah telah tertulis, baca dan fahamilah. Konspirasi Barat mencetuskan ketegangan hingga manusia sesama kaum dan agama bergaduh, berpecah belah hingga berbunuh-bunuhan. Aduh! Kasihan! Pencetus komplot bertepuk tangan, sambil pura-pura simpati mahu membantu memerangi pihak yang satu lagi. Akhirnya... negara dan kaum itu kalah... yang menang ialah kuasa Barat. Campurtangan mereka berbaloi dengan habuan membolot semua hasil bernilai. Negara itu musnah! Itulah matlamat mereka sejak dahulu lagi. Belajarlah dari sejarah! Bawalah bersabar dan usah sesekali mulakan minta bantuan sokongan dari mereka atas alasan 'mahu menang!'. Lihatlah apa yang berlaku di banyak negara di Asia Barat. Sama-samalah kita berdoa semoga saudara seagama kita yang teraniaya di sana dilindungi Allah. Dan... sentiasalah mendoakan kesejahteraan negara kita agar berada dalam rahmat Allah, dijauhi dari peperangan yang membinasakan.
Kalau kisah cinta;
Ia mengajar kita tentang betapa sweetnya percintaan selepas bernikah. Inikan trend novel dan drama-drama sekarang. Ia mendidik kita bahawa ikatan yang diberkati itu akan mampu membahagiakan.
Kalau kisah public figure, ahli politik atau artis;
Mereka juga manusia biasa. Ada di antara mereka yang ada pasangan, ada anak-anak... ada keluarga yang lengkap. Walau apapun penerimaan masyarakat sama ada dari idealogi yang sama mahupun berbeza, mereka patut dinilai sebagai seorang insan. Mereka juga insan biasa yang ada kelebihan dan kekurangan. Jika ada di kalangan mereka ini yang kurang berhemah, jika nak rasa sakit hati, cuba pikirkan sejenak... mereka juga ada anak-anak, ibu bapa, adik-beradik yang menyayangi mereka, yang kagum dengan mereka. Apa perasaan kita jika bapa atau ibu atau anak atau adik beradik kita dihina, dikondem, difitnah, dibenci? Tentu teruk perasaan tu, remuk rasanya hati, kan? Jadi... usahlah membenci. Usahlah jadi tukang forward 'bende2 sinikal tak matang' kalau ia hanya bertujuan untuk memuaskan hati sendiri. Tak mustahil, apa yang kita buat hari ni, anak kita pula yang terima balasannya. Sebab... rasa kecewa yang berganda akan dirasai bila ia terkena pada orang yang kita sayang [berbanding dengan diri sendiri]. Ahli potilik dan artis pun manusia biasa, mereka bukan malaikat. Bukan menghalalkan mereka berbuat sesuka hati, tetapi... kita sendiri pun belum gerenti jadi ahli syurga. Itu hak mutlak Allah, jadi biar Allah saja yang menghukum jika ada yang tak kena. Yang terbaik ialah doakan yang baik2 buat mereka.
Kalau kisah Rasulullah s.a.w;
Ambil iktibar, jadikan idola. Bagaimana? Ikutlah sunnah selagi mampu. Kesabaran Baginda membuatkan kita rasa kerdil dan rendah hati. Betapa besarnya cabaran dan dugaan daripada Baginda masih kecil [yatim piatu] hinggalah ketika menyampaikan ajaran Islam. Bukan sedikit yang membenci hingga menfitnah, memerangi, cubaan membunuh... ternyata Allah melindungi kekasihNya. Aku malu pada diri sendiri, hidup dalam zaman yang serba ada ini pun ada masanya mengeluh juga jika dugaan datang. Betapa tipisnya iman. Ampunkan aku Ya Allah, adakalanya aku lemah! Semoga kita bersyukur menikmati kehidupan yang dirahmati Allah ini.
Kesimpulan.
BELAJARLAH DARI KISAH ORANG LAIN [selain dari kisah diri sendiri] KERANA SETIAP MAKHLUK ADA KISAHNYA [...tetiba cam misteri pulak].
Kesimpulan.
BELAJARLAH DARI KISAH ORANG LAIN [selain dari kisah diri sendiri] KERANA SETIAP MAKHLUK ADA KISAHNYA [...tetiba cam misteri pulak].
Bacalah sesuatu setiap hari ~ walau sesibuk mana pun kita, tak dapat baca banyak, baca sikit... setakat mampu. Pastikan arus ilmu mengalir ke dalam diri, inSyaAllah ada manfaat.
No comments:
Post a Comment